Berita Harian: Ratu
Posted by Tanpa Nama
Berita Harian: Ratu |
Posted: 12 Apr 2013 07:55 AM PDT Usianya masih muda namun namanya gah berdiri sebaris syarikat antarabangsa hab ICT terkemuka dunia antaranya Google, Yahoo, Intel dan Facebook. Itulah kejayaan diraih syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan, Terato Tech Sdn Bhd (Terato) apabila berjaya mengembangkan sayap perniagaan menembusi Lembah Silikon, San Francisco, Amerika Syarikat, baru-baru ini. Bagaimanapun, akibat krisis ekonomi, Reza Fahmi memutuskan untuk kembali ke tanah air selepas dua tahun menimba pengalaman sepanjang bekerja di Lembah Silikon, San Francisco itu. Malangnya dia berasakan pengalaman, kepintaran dan kepakaran yang dimiliki seolah-olah tidak dihargai oleh syarikat IT tempatan. Hatinya bagaikan terguris apabila dibayar gaji RM1,500 sebulan. Melihat gajinya yang kecil dan jumlah keluarganya pula bertambah, membuatkan Reza Fahmi mengintai peluang untuk menjana pendapatan dalam bidang IT. Kepakaran dan pengalamannya dalam bidang IT mahu dipergunakan sepenuhnya untuk menjamin keselesaan kehidupan keluarganya. Ibarat bulan jatuh ke riba, pengumuman pemberian geran permulaan perniagaan bernilai RM150,000 menerusi Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) menjadi batu loncatan untuknya kembali menerokai bidang ICT. Pengalaman bersaing sehingga memaksanya bekerja lebih 16 jam sehari ketika bekerja di San Francisco, digunakan sepenuhnya untuk mengukuhkan Terato Tech. Dari sehari ke sehari, ternyata usaha gigih Reza Fahmi dan abangnya berhasil, sehingga berjaya menarik perhatian penerbit mainan video terkemuka dengan 16 juta pelanggan di seluruh dunia, Bulkypix. "Terato diambil sempena loghat Minang yang membawa maksud teratur. Projek terbaru kami adalah Amok, iaitu permainan maya ala kepahlawanan dengan pelancaran di pasaran Perancis. "Dibantu lebih 36 kakitangan berinovasi, Terato mula diintai dan ditawarkan kerjasama dengan syarikat perisian Jepun, Dena. Sebelum ini, kami pernah menghasilkan produk tempatan seperti aplikasi korporat dan maklumat, e-Parlimen Malaysia, CIMB, Yellow Pages, Malaysia Most Wanted, SolQib, Muslim Calculator, IslamKidsWudhu dan Halal," katanya memberitahu tumpuan Terato adalah membangunkan aplikasi telefon pintar dengan kapasiti tiga hingga enam hari untuk membangunkan satu-satu aplikasi. Ringkas, peramah Walaupun berjawatan Pengarah Urusan di Terato Tech, tetapi Reza Fahmi Razali ternyata membuka mata penulis dek sikapnya yang sempoi (ringkas), peramah, dan tidak sombong biarpun menjawat jawatan besar dalam syarikat ICT. Malah, paling mengejutkan apabila beliau bersahaja mengenakan baju T berkolar bulat lusuh dipadankan seluar khakis sambil tangan sesekali membetulkan kedudukan kaca matanya. Cekap memantau pergerakan anak buahnya melakukan kerja, tiada siapa menyangka di sebalik personaliti jejaka berusia 29 tahun ini terselit bakat, kemampuan dan idea luar biasa. "Saya ni orangnya sangat meminati bidang teknologi dan bermain komputer meskipun zaman kanak-kanak ketika itu masih taboo dengan permainan komputer. "Boleh dikatakan, usia kanak-kanak dan remaja saya berbeza dengan rakan sebaya lain kerana lebih banyak masa dihabiskan bermain komputer dan mencipta idea. Bayangkan, saya cipta aplikasi mainan dan pengaturcaraan Q Basic ketika usia tujuh tahun. "Atas dasar sokongan dan memahami minat, ibu (Zainab Idris, 56) dan bapa (Razali Hamzah, 61) sepakat menghantar saya mengikuti kelas 'programming' secara formal ketika berusia 10 tahun," katanya kerap menghabiskan masa bersama abangnya, Reza Hazri, 35. Perkara biasa jika dia menghadap komputer jenis IBM 286 milik ayahnya, jurutera nuklear bagi mencari idea dalam bidang teknologi sekali gus berusaha menjana kewangan daripada kepakarannya. Buat duit pada usia muda Pada usia 15 tahun, ketika rakan sebaya sibuk bermain di padang, Reza dan abangnya sudah membuat duit dengan menjual barangan di laman eBay dan Yahoo Option Store sekali gus mewujudkan peluang jaringan kewangan secara bersama. Pada usia 16 tahun, Reza mula dikenali ramai dan diundang mengisi slot rancangan televisyen selepas berjaya mencipta rekod peribadi memenangi pelbagai anugerah IT peringkat tempatan dan antarabangsa. Antara anugerah pernah disandang adalah Anugerah Koridor Raya Multimedia Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi Asia Asia Pasifik (APMITTA - 2000) serta Anugerah Pakatan ICT Antarabangsa Asia Pasifik (APICTA -2001). Tahun 2000 menyaksikan permulaan baru buat diri Reza apabila berjinak dengan pembinaan laman web permotoran. Bagaimanapun, hasrat mengembangkan karier dalam bidang IT ditangguhkan selepas memperoleh keputusan memberangsangkan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sentiasa berfikiran jauh dan bermatlamat tinggi, lelaki berasal dari Negeri Sembilan ini memilih bidang kewangan ketika menyambung pelajaran di University of Oklahoma, Amerika Syarikat. Jelasnya, tujuan memilih bidang kewangan kerana mahu menambah ilmu, mencabar diri dan mencuba sesuatu bidang yang baru. Justeru, keazaman dan sikap tidak membiarkan diri selesa pada satu-satu tahap berjaya mematangkan fikiran sekali gus mencipta satu jenama diri berkualiti. "Biarpun mempelajari bidang kewangan, saya masih mengikuti perkembangan dunia teknologi. Selepas tamat pengajian pada 2006, saya mengambil keputusan menetap di Amerika Syarikat bersama isteri, Siti Durathul Ain Ali kerana peluang pekerjaan dan tawaran gaji lumayan di sana. "Pelbagai pekerjaan dilakukan bagi memastikan kelangsungan hidup termasuk menjual buku di eBay dan kerjaya perunding jualan syarikat komputer terkenal, DELL," katanya menjelaskan sempat bermastautin di sana selama dua tahun sebelum kembali ke Malaysia, ekoran krisis ekonomi dunia. Jangan takut mencuba Keluarga adalah harapan dan pemberi semangat buat Reza. Masakan tidak, kehadiran isteri, Siti Duratul Ain dan tiga cahaya mata, Reza Eusoff (6), Zara Alia (5) dan Reza Haris (2) sentiasa membuatkan Reza bersemangat meneruskan kehidupan harian. "Saya tahu matlamat hidup saya dan sudah mencapai kejayaan diingini. Keluarga kami bahagia, sentiasa membantu dan menyokong daripada belakang," katanya mengakui tidak menyesal berkahwin muda sebaliknya, berbangga memiliki keluarga sempurna. Sentiasa mengendalikan komputer membuatkan individu berisiko menambah berat badan. Justeru, bagi mengatasi masalah berkenaan, beliau sering kali cuba mencari masa untuk bersama anak dan keluarga. Mahukan masa berkualiti bersama keluarga, Reza enggan memikirkan soal kerja sebaliknya, bergembira bermain permainan kegemaran Xbox Kinnect, keluar bersama-sama, melancong atau beriadah. Pesannya kepada gen Y, jangan takut mencuba dan keluar dari kepompong keselesaan kerana anda penentu masa depan diri sendiri. Ujarnya, rebut peluang yang hadir dengan bersungguh-sungguh dan aplikasi kemahiran fizikal dan emosi secara teratur bagi memastikan kelestarian, kelak. |
Posted: 12 Apr 2013 07:48 AM PDT Pada minggu lepas kita sudah belajar cara menyimpan untuk pendidikan anak. Minggu ini pula kita akan mempelajari cara mendidik anak-anak menguruskan wang mereka. Pendidikan terbaik untuk anak-anak disemai di rumah. Kanak-kanak lebih banyak belajar dengan memerhati daripada melakukan apa yang disuruh.
Masa berlalu begitu pantas. Alisa sudah berumur dua tahun. Adam dan Aida sudah dapat menyesuaikan diri dengan gaya hidup baru. Namun, kadang kala mereka berasa tersepit antara keluarga dan kerjaya. Mujurlah ibu bapa Adam sudi menjaga Alisa. Menjaga kanak-kanak perlukan sepenuh perhatian. Malah tugas ini sama besar tekanannya, dan dalam keadaan tertentu, lebih banyak cabarannya daripada kerja biasa. Seseorang ibu bapa sepenuh masa mempunyai bidang kerja seperti ini; menyediakan sarapan, memastikan anak-anak bersarapan, menyediakan bekal, menghantar ke sekolah dan selepas itu berkejar pulang untuk membasuh kain baju pula. Selesai semua tugas itu, tiba pula menyiapkan makan malam, menghidangkan, basuh pinggan, memandikan anak-anak serta memastikan mereka tidur pada waktunya. Aduhai! tidak hairanlah banyak pusat jagaan kanak-kanak dan agensi pengambilan pembantu rumah tumbuh bagai cendawan pada musim hujan. Mengajar anak-anak nilai wang dibelanjakan
Aida dan Adam meletakkan Alisa dalam jagaan datuk dan neneknya ketika mereka bekerja. Ini memang lebih baik berbanding meninggalkan mereka dalam jagaan pembantu rumah asing. Namun cara ini juga tidak baiknya. Ramai datuk dan nenek suka memanjakan cucu mereka. Contohnya, Adam dan Aida mungkin hanya benarkan Alisa makan ais krim pada hujung minggu dan tidak benarkan dia menonton televisyen pada waktu siang. Datuk dan neneknya pula mungkin kurang tegas. Oleh itu, apabila tiba masa mengajar mengenai kewangan, kedua-dua ibu bapa dan datuk nenek perlu sehati sejiwa apabila mendidik anak dan cucu mereka dan tidak mengajar perkara yang bercanggah antara satu dengan lain. Jadi bagaimana cara sepatutnya mengajar Alisa atau anak-anak kita mengenai pengurusan kewangan? Di bawah disenaraikan beberapa garis panduan berdasarkan peringkat umur yang boleh digunakan untuk mendidik kanak-kanak mengenai nilai wang. Peringkat pra-sekolah Peringkat umur ini tidak terlalu untuk untuk mula menyemaikan amalan terbaik dari segi kewangan. Ibu bapa boleh bermula dari peringkat awal lagi dengan menyediakan tiga tabung duit. Satu, tabung untuk beramal; kedua, tabung untuk simpanan dan ketiga, tabung untuk belanja. Elaun, belanja atau hadiah yang diperolehi anak-anak seperti duit raya atau angpow, dimasukkan dalam tiga tabung ini. Duit dalam Tabung Amal digunakan untuk mendidik mereka membantu golongan serba kekurangan seperti mangsa bencana alam, menderma membantu kanak-kanak jantung berlubang menjalani pembedahan dan sebagainya. Duit 'Bank Belanja' digunakan untuk membeli barangan yang anak-anak inginkan. Apabila duit sudah habis, mereka tidak boleh ambil duit dari Bank Amal atau Bank Tabungan. Duit dalam Bank Tabungan pula bagi tujuan mencapai sasaran jangka pendek yang tertentu. Misalnya, menabung untuk beli kereta kawalan jauh atau hadiah istimewa buat hari jadi ayah dan ibu tersayang. Peringkat sekolah rendah Apabila kanak-kanak mencapai umur tujuh tahun, mereka sepatutnya sudah bersedia untuk menyediakan belanjawan mini. Menerusi belanjawan mini, perbelanjaan dan pendapatan hendaklah dicatatkan dalam buku notya kecil. Kita asingkan Bank Tabungan kepada Tabungan Jangka Pendek dan Tabungan Jangka Panjang dan ajar anak-anak cara merekodkan perbelanjaan. Peringkat remaja Ini adalah paling kritikal bagi kanak-kanak kerana ia adalah tahun peralihan kepada peringkat dewasa. Apabila mencapai tempoh ini, mereka sudah seharusnya faham asas kewangan dan belanjawan peribadi dan sudah mengguna kaedah berkaitan.
Wang tidak tumbuh melata Kesimpulannya, ibu bapa patut mula mengajar anak-anak dengan konsep 'kerja untuk elaun' dalam tempoh ini. Cara ini untuk mengajar kanak-kanak apabila sampai ke satu tahap dalam hidup mereka. tiada lagi semuanya boleh didapati dengan percuma. Wang yang dibawa pulang oleh ibu dan bapa setiap bulan adalah hasil kerja keras mereka. Jadi, anak-anak akan menyedari nilai sebenar wang dan lebih berhemat ketika berbelanja. Kita, sebagai ibu bapa perlu berhati-hati menyemai sikap terpuji ketika memupuk anak-anak belajar menabung. Jika tidak, pertumbuhannya akan terencat atau tidak menghasilkan buah yang diingini. Wang mungkin tidak tumbuh melata, tetapi usaha kita akan membuahkan hasil kepada anak-anak kita. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Ratu To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |