Harian Metro: BeritaUtama
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: BeritaUtama |
Posted: 23 Apr 2013 11:48 PM PDT NIBONG TEBAL: Kejadian letupan berhampiran bilik gerakan Barisan Nasional (BN) Nibong Tebal malam tadi adalah daripada alat letupan rekaan (IED). Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, polis percaya bahan letupan IED yang diletakkan dalam longgokan sampah di kawasan ceramah itu adalah perbuatan khianat yang dirancang sekumpulan profesional.
"Polis menemui dua IED dalam longgokan sampah dan percaya ia bertujuan menakutkan orang ramai dan menimbulkan suasana tidak tenteram serta huru hara di kawasan ceramah," katanya selepas melawat tempat kejadian. Beliau berkata, berikutan itu, polis menubuhkan satu pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah bagi menyiasat kejadian itu dan mengesan mereka yang terbabit.
Ketika kejadian, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Hock Nan sedang menyampaikan ceramah pada majlis yang dihadiri lebih 3,000 orang. Abdul Rahim berkata, kedua-dua bahan letupan sebesar kotak rokok yang disembunyikan dalam sampah itu telah ditetapkan masa berbeza untuk menghasilkan dua kali letupan. "Selepas letupan pertama, sepasukan anggota polis dan forensik polis menjalankan siasatan di tempat kejadian dan menemui satu lagi bahan IED itu yang kemudian diletupkan pada kira-kira 3 pagi," katanya. Beliau berkata berdasarkan siasatan, bahan letupan itu bukan untuk mencederakan orang tetapi bagi menghasilkan bunyi yang kuat untuk menakutkan orang ramai dan menimbulkan suasana huru hara di tempat ceramah. Polis memandang serius kejadian itu dan memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba menimbulkan keadaan huru hara di negeri ini. "Terdapat kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran tempat kejadian tetapi ia tidak berfungsi dan polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24 |
Petugas BN parah akibat letupan Posted: 23 Apr 2013 12:57 PM PDT NIBONG TEBAL: Seorang petugas keselamatan Barisan Nasional (BN) cedera parah di kaki akibat letupan dalam timbunan sampah di belakang Bilik Gerakan Pilihan Raya BN di Jawi, di sini, malam tadi. Kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu mengejutkan kira-kira 3,000 orang yang hadir bagi mendengar ceramah yang ketika itu disampaikan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan. Difahamkan, ketika kejadian, lelaki berusia lingkungan 30-an itu berada berhampiran longgokan sampah berkenaan sebelum ia tiba-tiba meletup menyebabkan kaki kanannya berlubang. Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sungai Bakap oleh petugas BN bagi mendapatkan rawatan lanjut.
"Letupan itu sangat kuat. Saya tidak nampak sesiapa mencurigakan sebelum itu, hanya ada beberapa orang kanak-kanak bermain berhampiran longgokan sampah itu. "Kejadian itu mengejutkan saya, malah isteri turut trauma," katanya. Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan (SPS) Superintendan Shafien Mamat, bergegas ke lokasi kejadian bersama anggotanya bagi menjalankan siasatan. Bagaimanapun, beliau enggan memberikan maklumat lanjut berikutan kejadian masih dalam siasatan. Sementara itu, Pengerusi UMNO Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman, yang turut berada di tempat kejadian mengutuk kejadian itu dan meminta polis menyiasat pihak yang bertanggungjawab. Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: BeritaUtama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |