Harian Metro: Rap
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Rap |
Posted: 26 Apr 2013 07:35 AM PDT Persembahan mantap, muzik padu dan bertenaga. Itulah yang dirasai penonton ketika menyaksikan Konsert Wings Rockestra 2013 di Istana Budaya (IB), malam kelmarin. Hampir dua jam setengah, mereka terpaku dan tidak mahu berganjak dari kerusi masing-masing berikutan aksi hebat daripada Awie (vokal), Joe (gitar), Eddie (bass) dan Black (dram) yang diiringi 43 pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) pimpinan Mustafa Fuzer Nawi. Menambah kualiti pada konsert berkenaan, mereka turut mengundang gitaris hebat, Ian Antono dari band rock legenda Indonesia, God Bless dan gitaris tersohor tempatan, Hillary Ang yang berganding dengan Joe dalam sesi selingan iaitu Ilusi Intonasi 3G. Menerusi kejayaan yang dilakar dalam Konsert Opera Hidup Wings di lokasi sama dua tahun lalu, konsert kali ini dilihat bakal mengulangi kejayaan serupa.
Sebelum konsert dimulakan, penonton mula teruja dengan empat arca gergasi berwajah Awie, Joe, Eddie dan Black yang digantung di pentas. Mungkin ada yang membayangkannya dengan ukiran gergasi wajah empat presiden Amerika Syarikat (AS) di Mount Rushmore di Keystone, South Dakota, AS. Tiupan seruling daripada Mohar untuk 'intro' lagu Amok membuatkan penonton semakin tidak sabar. Sudah pastinya ia sesuatu yang menarik kerana Amok yang dipetik dari album Bazooka Penaka amat jarang dimainkan Wings dalam kebanyakan konsert mereka sebelum ini. Amok walaupun kurang mendapat perhatian segelintir peminat Wings sebenarnya adalah sebuah lagu yang menarik jika dipersembahkan secara 'live'. Gabungannya dengan muzik orkestra menjadikan lagu yang pernah dimuatkan dalam runut bunyi filem Bintang Malam itu lebih menarik dan padat. Wings seterusnya membawakan lagu Bujang Senang, Pengabdian Kekasih, Suara Kita, Hikayat Penuh Ranjau, Anugerah, Sayap Ilusi, Alam Barzakh, Awang Trasher, Misteri Mimpi Syakila untuk segmen pertama. Tanpa sebarang cacat cela sama ada nyanyian Awie mahupun persembahan pemuzik. Penyatuan muzik rock bersama orkestra sememangnya menakjubkan, menghiburkan dan membawa kelainan dalam persembahan ini. T iada sebarang rungutan daripada peminat yang terus melekat di kerusi menyaksikan kehebatan mereka. Bagi memberikan rehat kepada Awie, gandingan Joe, Ian dan Hillary ditampilkan dalam persembahan dinamakan Ilusi Intonasi 3G. Petikan tiga gitaris handalan bersama orkestra ini sememangnya memukau. Masing-masing mempunyai skil tersendiri yang dikagumi ramai. Seterusnya Awie muncul kembali mengambil tempat dengan menyampaikan lagu Dari Tuhan, Ameringgo dan Julang Timur Tengah. Nyanyian ini turut menampilkan tiga gitaris terbabit yang saling berubah posisi dengan persembahan begitu menarik. Persembahan yang hangat dan rancak kembali tenang apabila Awie menyampaikan lagu Taman Rashidah Utama. Peminat turut sama menyanyi bersamanya diikuti dengan lagu Ranjang Mawar dan Kota Kemusnahan. Seperti janjinya sebelum ini, Wings turut menyanyikan lagu Harapan dari album ketiga Teori Domino yang sememangnya mencabar kerana bernada tinggi. Namun Awie berjaya menyanyikannya dengan lancar tanpa masalah. Mengakhiri persembahan mereka, Wings menyampaikan lagu Opera Hidup yang menjadi siulan ramai suatu ketika dulu dan lagu berhantu mereka Sejati. Berbanding sebelum ini, Awie juga tidak banyak berkomunikasi dengan peminat. Dia lebih mengutamakan nyanyian kerana mahukan mereka yang hadir menikmati sepenuhnya persembahan yang digandingkan dengan orkestra ini. Ketika penutup, anggota Wings sempat lagi bergurau di atas pentas sekali gus membuktikan keakraban mereka yang menjadi antara resipi kejayaan bertahan sehingga hari ini. Walaupun ada cakap-cakap mengatakan Wings banyak membawa lagu yang kurang dikenali peminat, itu sebenarnya tidak perlu dipersoalkan. Lagu seperti Hikayat Penuh Ranjau, Suara Kita, Pengabdian Kekasih, Sayap Ilusi, Anugerah, Dari Tuhan, Harapan dan Kota Kemusnahan adalah lagu popular dalam kalangan peminat Wings, cuma ia jarang dimainkan dalam konsert mereka dulu. Justeru, pemilihan lagu adalah tepat kerana peminat setia Wings sememangnya menanti-nantikan idola mereka ini memainkan lagu berkenaan. Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/27 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |