Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Tahun cipta nama
NAMA Raja Ilya mula mencuri perhatian peminat tatkala kisah kontroversinya mula hangat di media cetak dan blog-blog hiburan sekitar dua tahun lalu. Kisah dikatakan mahu membunuh diri akibat tertekan kerana putus tunang selepas gambar kontroversinya bersama seorang lelaki tersebar merupakan episod paling buruk buat Raja Ilya. Akui pemilik nama sebenar Raja Ramilah Raja Muhammad, 28, itu, mungkin kerana sikapnya yang suka berterus terang menjadikannya makanan kepada dunia gosip hiburan tempatan. "Saya jenis gadis yang lurus bendul. Apabila disoal media, semua perkara ingin dikongsikan. Ini termasuklah mengaku saya hampir membunuh diri dahulu," ujarnya yang bagaimanapun tidak menyalahkan pihak media atas kenyataan yang keluar sendiri daripada bibirnya itu. Belajar daripada kesilapan lalu, ungkap Raja Ilya, kini dia lebih berhati-hati dalam memberi kenyataan dan berharap tahun ini merupakan tahun untuknya menyinarkan bakat lakonan sekali gus menutup segala kisah kontroversinya selama ini. Disoal adakah kontroversi yang melanda dirinya selama ini hanya mendatangkan keburukan kepada dirinya sahaja, dedah Raja Ilya, kontroversi yang melanda seseorang artis itu juga ada kebaikannya kerana ia merupakan salah satu daripada caranya artis itu dikenali. "Mana ada artis yang tidak pernah dilanda kontroversi. Bagi saya, kontroversi ini juga salah satu daripada caranya orang ramai mengenali artis tersebut. Mungkin juga ada peminat yang suka artis disebabkan kontroversi yang melanda diri artis tersebut," ujarnya ketika dihubungi Kosmo!.
Nafi akan berkahwin Jika sebelum ini Raja Ilya mengakui kecewa teruk selepas putus tunang, terbaharu, pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu dikhabarkan bakal berkahwin pada penghujung tahun ini. Saat diajukan pertanyaan mengenai perkara itu (berkahwin), Raja Ilya lantas menepis dakwaan mengatakan dia bakal berkahwin. Katanya: "Mana ada saya akan berkahwin. Saya masih solo dan tidak mempunyai kekasih sejak putus tunang dua tahun lalu. "Tipu jika saya kata tiada yang cuba mendekati saya, tetapi pintu hati saya masih belum terbuka. Saya lebih senang hidup bersendirian buat masa ini", ujarnya. Mengakui pengalaman lalu membuatkannya serik dan fobia menerima cinta daripada lelaki, ujar Raja Ilya, fokus utamanya kini adalah aktif dalam karier lakonan. Raja Ilya juga menolak kenyataan mengatakan dia antilelaki. Ujarnya, pengalaman lalu hanya membuatkannya bimbang masalah yang sama akan berulang. Begitupun, jelas Raja Ilya, jika ditakdirkan bertemu dengan seorang lelaki yang berjaya membuka pintu hatinya, dia tidak dapat menolak takdir tersebut. "Mungkin saya tidak sesuai berada dalam perhubungan. Jadi buat masa sekarang, pendirian saya adalah masih ingin terus kekal solo. Tetapi jika ditakdirkan bertemu dengan seseorang saya terima," katanya. Ditebak tidakkah dia berasa sunyi hidup bersendirian, ulas Raja Ilya, masanya banyak diisi dengan penggambaran drama dan filem. Ujarnya lagi, jika tiada penggambaran dia lebih senang menghabiskan masa di rumah melayan kerenah kucing-kucingnya yang kini melebihi 10 ekor. Berwajah sombong Mengulas lanjut, kata Raja Ilya, dia juga tidak mahu melepaskan peluang dan kepercayaan yang diberikan penerbit-penerbit yang menawarkannya berlakon. Biarpun dilanda kontroversi, Raja Ilya bersyukur kerana tawaran berlakon tidak pernah putus. "Saya tidak mahu mensia-siakan peluang dan kepercayaan yang diberikan. Saya juga ingin menebus kembali apa yang telah saya lepaskan sebelum ini. "Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Pilot Cafe bersama pelakon Fahrin Ahmad dan Neelofa. Dalam filem itu saya memegang watak salah seorang daripada kekasih Fahrin. "Kini, saya sedang menjalani dua penggambaran drama untuk slot Samarinda iaitu Episod Cinta Kirana dan juga drama Dahlia untuk tayangan saluran Astro Mustika HD (saluran 134). Dalam kedua-dua drama tersebut saya memegang watak antagonis," jelasnya. Mengulas mengenai kedua-dua watak antagonis yang dipegangnya, ujar Raja Ilya, dia tiada masalah untuk membezakan kedua-dua watak tersebut kerana jalan cerita kedua-dua drama itu adalah berlainan. RAJA ILYA (dua dari kiri), bersama Hans Isaac (kiri), Dira Abu Zahar dab Faizal Hussein. Mereka membintangi drama berjudul Dahlia. Menurut Raja Ilya, dalam drama Dahlia, watak antagonis yang dibawa memaparkan dirinya dari sudut yang elegan dan bergaya manakala dalam drama Episod Cinta Kirana pula dia membawa peranan sebagai model yang seksi. Kerap menerima peranan antagonis, Raja Ilya mengakui berasa tidak selesa, tetapi akhirnya sedar sebagai seorang pelakon dia harus menerima apa jua tawaran yang diberikan. Disoal kenapa dia sering ditawarkan watak antagonis, kata Raja Ilya, mungkin kerana raut wajahnya yang kelihatan sombong dan garang. "Memang pada asalnya saya tidak selesa kerana kerap ditawarkan watak antagonis, tetapi bila sudah kerap dapat ia sudah sebati pula pada diri. Bidang lakonan juga merupakan periuk nasi saya, jadi kenapa saya harus menolak tawaran yang datang," ungkapnya. Hipokrit Mengenali sedikit sisi sebenar Raja Ilya, dia memberitahu, tidak suka berpakaian seksi dan lebih selesa mengenakan baju T ke mana sahaja. "Saya tidak suka pakai kasut tinggi sebaliknya suka pakai selipar. Saya juga tidak suka pakai skirt atau pakaian seksi dan lebih selesa memakai baju T. "Sebagai pelakon saya tidak perlu hipokrit mengenakan pakaian yang cantik-cantik sahaja ke mana sahaja. Saya cuma jadi diri sendiri," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Raja Ilya akan berangkat ke India untuk penggambaran filem berbahasa Tamil pertamanya berjudul Briyani. Jelasnya, walaupun tidak mendapat watak utama tetapi ia adalah peluang terbaik untuk kerjayanya terus berkembang di Bollywood. | ||
Posted: Suami tak halang Amy aktifOleh RONI HIDAYAT RIDWAN
PADA usia yang sudah mencecah 40-an, pembabitan penyanyi dan pelakon Amy Mastura masih lagi diterima ramai. Status sebagai ibu kepada dua cahaya mata langsung bukan penghalang buat dirinya meneruskan karier seninya. Amy yang ditemui semasa majlis pelancaran teater Nyonya & The Gang pada minggu lalu menyatakan, dia tidak menyangka bahawa masih banyak lagi pihak yang memberi kepercayaan kepadanya untuk berlakon dan mengadakan persembahan nyanyian. Menurutnya, sebagai ibu juga ia sepatutnya tidak menjadi penghalang untuk meneruskan bidang yang diminati, asalkan perlu bijak membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya. Selain itu, Amy yang pernah popular menerusi lagu Meniti Hari menyatakan apa yang lebih penting adalah pembabitannya dalam bidang seni masih lagi mendapat restu suami tercinta, Alvin Tham Suffian. Kosmo!: Boleh ceritakan tentang perkembangan terbaharu kerjaya Amy sekarang? AMY: Saya sangat gembira kerana pada usia yang bakal mencecah 42 tahun bulan depan (Mei), saya masih lagi diberi peluang untuk terus berlakon dan menyanyi. Yang terbaharu, saya bakal tampil dengan sebuah teater Nyonya & The Gang yang akan dipentaskan pada 14 hingga 20 Jun ini. Ia merupakan teater dewasa saya yang pertama setelah beberapa kali muncul dalam teater kanak-kanak sebelum ini. Memandangkan Amy mempunyai dua orang anak yang sedang membesar, adakah suami tidak kisah apabila Amy terus aktif dalam bidang seni? Setakat ini suami langsung tidak menghalang sebarang kegiatan seni saya. Lagipun dia cukup memahami bahawa nyanyian dan lakonan merupakan bidang yang cukup saya minati, asalkan saya tidak mengabaikan keluarga. Bagaimanapun, ia tidak bermakna saya perlu terlalu fokus kepada kerjaya kerana saya ada tanggungjawab yang lebih besar iaitu memberi sepenuh perhatian terhadap kedua-dua anak saya iaitu Adriana, 12, dan Adilia yang kini sudah berusia lapan tahun. Adakah Amy memberikan galakan sekiranya anak-anak berminat mengikut jejak langkah Amy? Antara kedua-dua anak saya itu, rasanya Adilia lebih menunjukkan minat untuk menjadi seorang pelakon berbanding kakaknya. Namun begitu, saya tidak menghalang sekiranya mereka mahu terbabit dalam bidang seni dan sebagai ibu saya akan menyokong apa sahaja yang mereka minat. Pada masa ini Amy dilihat lebih menyerlah dalam bidang lakonan, sedangkan Amy terlebih dulu mencipta nama sebagai penyanyi. Adakah Amy mahu memberi lebih fokus kepada lakonan sahaja? Biarpun orang melihat kerjaya seni lebih terarah kepada lakonan, kerjaya nyanyian masih lagi diteruskan. Saya baru sahaja tampil dengan single terbaharu berjudul Tapi Itu Dulu. Berkenaan dengan pembikinan album baharu pula rasanya masih lagi belum sesuai berdasarkan kepada keadaan sekarang. Mungkin saya akan keluarkan album kompilasi dulu dan akan diselitkan dengan single saya itu. Apakah yang membuatkan Amy mahu terus aktif dalam dunia seni, sedangkan semakin ramai artis baru yang muncul sekarang? Pembabitan saya dalam dunia seni ini bukanlah mahu bersaing dengan sesiapa, sebaliknya apa yang saya lakukan ini semuanya berdasarkan kepada minat dan keseronokan. Misalnya, sebelum menerima sesuatu tawaran lakonan itu saya akan menilai terlebih dulu seperti skrip dan jalan cerita. Mengenai watak pula saya tidak kisah bawa apa sahaja watak, asalkan saya berasa seronok untuk melakonkannya. | ||
Posted: Eksklusif Wings RockestraBERGABUNG. Dari kiri: Joe, Ian Antono, Awie, Hillary Ang, Eddie dan Black. KURANG tempoh seminggu, Wings akan kembali menghangatkan pentas Istana Budaya yang pernah mereka tawan sebelum ini. Bermula 26 hingga 30 April ini, memakai label Wings Rockestra, Wings sekali lagi bakal memuntahkan segala kepakaran dan untaian lagu terbaik mereka. Wings Rockestra masih lagi akan diiringi oleh 43 orang pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan yang dipimpin oleh Mustafa Fuzer. Hanya pada kali ini, ujar si pemain gitar yang juga merupakan penggerak utama konsert tersebut, Joe, mewakili grup legenda itu memberitahu bahawa Wings tidak akan mengulang main lagu-lagu yang telah dipersembahkan dalam konsert sulung mereka dahulu. Kali ini, Wings akan memainkan beberapa lagu yang cukup dekat dalam kalangan peminat tegar mereka, tetapi tidak pernah dimainkan dalam konsert-konsert sebelum ini. "Boleh dikatakan, kami merombak hampir semua pemilihan lagu yang akan dimainkan pada kali ini. Ini kerana kami mempunyai banyak lagi katalog lagu yang peminat suka, tapi belum sempat dimainkan dalam konsert-konsert sebelum ini. "Antara lagu yang akan kami mainkan seperti Harapan, Pengabdian Kekasih dan Amuk. Bagaimanapun kami tetap akan mengekalkan lagu seperti Taman Rashidah Utama kerana ia sudah menjadi satu kebiasaan untuk dimainkan Wings," ujar Joe dalam sidang media kedua Wings Rockestra di Istana Budaya, baru-baru ini. Selain menukar pemilihan lagu, Wings turut mengubah sedikit haluan konsert pada kali ini. Mempunyai tiga segmen, salah satu daripadanya akan menyaksikan Wings berkolaborasi dengan dua pemain gitar legenda. Pemain gitar Search, Hillary Ang dan Ian Antono, pemain gitar God Bless yang diterbangkan khas dari Indonesia akan menjadi 'pemercik api' konsert pada malam itu nanti. Bercakap tentang kesudian menerima lamaran Wings untuk bermain tiga buah lagu bersama grup tersebut, Ian memberitahu, sebagai seorang pemuzik, dia menyokong semua jenis muzik biar berbeza budaya dan agama. Malah, dia yang akan bermain dalam satu segmen dengan durasi 20 minit memberitahu: "Secara jujurnya, saya baru kenal muzik Wings, namun berasa muzik mereka bagus. Kini, saya giat menjalani latihan agar dapat memainkan muzik mereka dengan baik." Sementara itu, bercakap mengenai pilihan alternatif untuk peminat Wings yang barangkali tidak dapat menyaksikan konsert mereka seperti boleh memiliki video yang dirakam pada konsert tersebut kelak, Joe menegaskan, Wings Rockestra tidak akan dirakamkan dan dijual. "Kami tidak akan merakamkan sebarang video pada konsert ini untuk dijual. Ini kerana kami mahu menyimpan nilai eksklusif konsert ini hanya untuk peminat yang datang ke Istana Budaya. "Ia juga sebagai tanda Wings menghargai peminat yang sudi membeli tiket menyaksikan persembahan ini," ujar Joe. Sementara itu, berita baik buat peminat Wings apabila tiket-tiket yang dijual pada harga bermula RM69 hingga RM499 kini boleh dibeli dengan potongan harga sebanyak 20 peratus. Tiket boleh didapati di http://www.ticket2u.biz. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |