Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Kolaborasi bersama tiga penyanyi Posted: Kolaborasi bersama tiga penyanyi
JIKA dilihat kepada penampilan penyanyi Aizat sewaktu mula-mula berkecimpung dalam dunia nyanyian dengan sekarang, perbezaannya boleh diibaratkan bagai langit dengan bumi. Dahulu, penyanyi yang popular menerusi lagu Hanya Kau Yang Mampu itu tampil dengan bentuk tubuh yang gempal, tetapi kini dia kelihatan lebih kurus, kemas serta nampak tampan berkumis nipis. "Sebelum ini saya kurang ambil kisah tentang penampilan diri, kecuali berusaha untuk menguruskan badan. Kemudian, setelah difikirkan kembali barulah saya sedar bahawa penampilan itu memang sangat penting sebagai seorang penyanyi. "Peminat sekarang bukan sekadar melihat kepada hasil karya seseorang pemuzik sahaja, sebaliknya, penampilan juga turut dinilai dan saya rasa lebih selesa dengan penampilan sekarang," ujarnya ketika ditemui semasa majlis pelancaran kerjasama antara syarikat telekomunikasi Digi dan Deezer baru-baru ini. Bercerita lebih lanjut tentang perkembangan karier nyanyiannya, Aizat menyatakan dia sedang dalam proses untuk menghasilkan album baharu selepas terbit dengan dua buah album sebelum ini iaitu Percubaan Pertama (2008) dan Urusan Aizat Amdan (2010). Ujar Aizat, sesuatu yang menarik tentang album baharu itu nanti ialah kolaborasi yang terjalin dengan tiga orang penyanyi hebat iaitu Yuna, Zee Avi dan Azlan & The Typewriter. "Selepas membantu Yuna menyanyikan lagu Terukir Di Bintang di pentas akhir Anugerah Juara Lagu 27 pada Januari lalu sehingga bergelar juara, ramai yang bertanya tentang kolaborasi kami berdua. "Sebenarnya, perancangan untuk kami menjalinkan kerjasama itu sudah bermula sejak tahun lepas, tetapi disebabkan kesibukan yang dilalui Yuna di luar negara menyebabkan perancangan tersebut sering tertangguh," jelasnya. Menurut Aizat, memandangkan jarak antara mereka berdua yang berjauhan apabila Yuna sedang berada di Amerika Syarikat, proses rakaman lagu duet mereka berjudul Dwihati juga terpaksa dilakukan secara berasingan. Ujarnya, terlebih dahulu dia akan menghasilkan susunan muzik dan lirik lagu tersebut bersama Noh Hujan. Selepas itu dia akan menghantar lagu itu kepada Yuna menggunakan e-mel dan penyanyi itu akan melakukan proses rakaman vokal di sana. "Biarpun proses rakaman lagu Dwihati berdepan dengan situasi yang sukar, tetapi akhirnya ia telah berjaya dilakukan dua minggu lalu dan akan menjadi single pertama untuk album baharu saya nanti," ujarnya. Berbeza dengan proses rakaman lagu duetnya bersama Yuna, penyanyi itu memberitahu dia tidak mengalami kesukaran untuk merakamkan lagu bersama Zee Avi menerusi lagu berjudul Will Be Happy. Ujarnya, lagu duet bersama Zee Avi sudah siap dirakamkan sepenuhnya ketika Zee Avi pulang ke Kuala Lumpur baru-baru ini. Ketika ini, dia sedang menantikan waktu yang sesuai untuk proses rakaman lagu berjudul Catwalk Ke Balai bersama Azlan. "Bagi saya bukan mudah untuk menghasilkan projek kolaborasi ini kerana perlu mengikut kesesuaian jadual masing-masing. Jadi, proses untuk menghasilkan album ini mengambil masa yang agak lama. "Namun begitu, saya berasa cukup puas kerana dapat berkolaborasi dengan ketiga-tiga penyanyi tersebut dan begitu menghormati mereka sebagai seorang anak seni yang jujur dalam menghasilkan karya," jelasnya tentang keistimewaan terhadap album baharunya itu. Walaupun proses penerbitan albumnya itu memakan masa yang panjang, Aizat memberi jaminan bahawa ia akan dilancarkan sekurang-kurangnya pada bulan Jun ini. AIZAT mahu memberi fokus terhadap bidang nyanyian, berbanding lakonan yang dianggap bukan selera utamanya. Jadual padat Memandangkan album baharunya itu akan dilancarkan dalam tempoh terdekat ini, Aizat memberitahu jadual sekarang ini cukup padat dan dia banyak menghabiskan masa di studio rakaman miliknya yang terletak di Ampang, Selangor. Ujarnya, sekarang ini dia masih lagi dalam proses untuk memilih lagu-lagu yang sesuai untuk dimuatkan dalam albumnya itu memandangkan baru dua lagu sahaja yang sempat dirakam daripada 10 buah lagu yang dimuatkan iaitu Dwihati dan Will Be Happy. "Selain perlu memberi tumpuan kepada penerbitan album saya ini, ada beberapa projek lain yang perlu diberi tumpuan dan harus diselesaikan terutamanya membabitkan artis naungan saya iaitu Amir Jahari serta band Go Gerila. "Berkenaan dengan penerbitan album sulung Amir Jahari, ia baru sahaja selesai dihasilkan dan akan dilancarkan pada bulan hadapan. Selain itu saya bakal menghasilkan sebuah album mini bersama Go Gerila pada akhir tahun ini," jelasnya. Ketika ditanya sama ada dia tidak kisah apabila album dia dan Amir akan dilancarkan dalam tempoh yang tidak jauh berbeza, Aizat menyatakan dia tidak risau kerana kedua-duanya tampil dengan konsep yang berbeza. "Itu merupakan antara cabaran yang terpaksa dilalui supaya tidak ada persamaan antara kami berdua. Namun begitu, album kami ini akan dapat diterima ramai berdasarkan kelainan yang ditampilkan nanti," ujarnya. Tidak minat Pada tahun lalu, Aizat telah membuat kemunculan dalam filem berjudul Istanbul Aku Datang terbitan Grand Brilliance dan Red Films yang turut dilakonkan oleh Lisa Surihani, Beto Kusyairy dan Tomok. Menurut Aizat, biarpun diberi peluang untuk muncul dalam filem yang mencatat kutipan pecah panggung itu, dia mengakui tidak begitu berminat untuk terus berlakon dan lebih gemar menumpukan kepada bidang nyanyian. "Pembabitan saya dalam filem Istanbul Aku Datang sebenarnya berlaku secara kebetulan. Pada mulanya saya mendapat peluang untuk menghasilkan salah sebuah lagu tema untuk filem tersebut. "Ketika perbincangan dilakukan pihak produksi memberitahu ada satu watak yang sesuai dan akhirnya saya ditawarkan. Tanpa berfikir panjang saya terus menerimanya kerana watak tersebut agak kecil dan saya berpeluang pergi ke negara Turki," ujarnya yang memegang watak Ijoi dalam filem tersebut. Selepas berlakon dalam filem tersebut Aizat memberitahu ada beberapa tawaran berlakon yang diterimanya, tetapi terpaksa ditolak kerana merasakan bidang lakonan tidak sesuai dengan jiwanya. "Saya merasakan biarlah peluang berlakon ini diberi kepada mereka yang memang menjiwai dunia lakonan. Jiwa saya pula lebih terarah kepada nyanyian dan lebih baik saya fokus kepada satu perkara sahaja," jelasnya. Bagaimanapun, Aizat sedia mempertimbangkan tawaran lakonan sekiranya diberikan watak cameo atau sekadar kemunculan istimewa dalam mana-mana filem pada masa akan datang. | ||
Posted: Afiq difitnah besar kepalaOleh KHAIRUL AMRI HASSAN
SEBUAH akhbar mingguan tempatan Ahad lalu menyiarkan laporan mengenai sikap pelakon muda, Afiq Muiz yang didakwa semakin besar kepala dan sering membuat hal sejak akhir-akhir ini. Afiq atau nama sebenar Muhamad Afiq Muiz Azman Shah, 21, katanya kini sudah tidak bernaung di bawah pengurusan yang memantau perjalanan kariernya sejak tiga bulan lalu dan atas alasan itu banyak cerita negatif mengenai pelakon drama Mimpi Cinderella itu timbul. Tambah mengecewakan apabila Afiq khabarnya terlalu melebih-lebihkan kekasih hatinya, Eina Azman dalam pelbagai hal termasuk mengetepikan urusan kerja. Sejauh manakah kebenaran tuduhan yang dilemparkan terhadap pelakon kelahiran Kelantan itu? Ikuti temu bual Kosmo! bersama Afiq Muiz menjawab spekulasi yang timbul. KOSMO!: Benarkah dakwaan yang mengatakan Afiq kini bermusuhan dengan pihak pengurusan dan sudah semakin besar kepala? AFIQ MUIZ: Tidak benar sama sekali dan saya tidak bergaduh dengan sesiapa! Itu semua fitnah! Benar, saya telah meninggalkan pihak pengurusan saya. Bagaimanapun, saya keluar daripada pihak pengurusan saya dengan cara yang betul tanpa ada berkasar atau meninggi suara. Saya rasa saya boleh menjaga diri sendiri dan mahu menguruskan kerjaya saya tanpa ada pihak lain. Saya kurang selesa apabila ada pihak yang memburuk-burukkan saya kepada orang lain, sedangkan perkara itu boleh diselesaikan dengan cara berhemah. Anda menyatakan bahawa anda keluar daripada pengurusan secara baik, adakah sepanjang bernaung di bawah syarikat itu tiada langsung ikatan kontrak atau hitam putih perjanjian? Tiada. Saya tidak menandatangani sebarang kontrak dengan syarikat tersebut dan saya sudah maklumkan awal-awal lagi bahawa saya akan tinggalkan syarikat itu andai saya tidak selesa. Setiap projek yang saya dapat, saya akan bahagikan kepada syarikat pengurusan saya sebanyak 20 peratus dan saya bersifat adil dengan mereka. Saya tidak mahu bergaduh, tapi mahukan penjelasan! Sejak bilakah anda kembali bergerak sendiri dan kenapakah anda meninggalkan pengurusan? Sejak awal bulan Mac lalu selepas dua bulan bernaung di bawah pengurusan tersebut. Saya tidak selesa dan rasa kaku, malah, saya tidak suka apabila pihak pengurusan masuk campur dalam urusan peribadi saya. Apabila saya dikatakan suka mengarah-arah dan lupa diri, saya rasa itu tidak adil kerana sudah menjadi tanggungjawab pengurusan untuk membantu saya apabila saya memerlukan pertolongan daripada mereka. Timbul juga dakwaan anda besar kepala selepas semakin popular dan mendapat banyak tawaran berlakon. Komen? Buat apa saya perlu besar kepala disebabkan kerja? Saya sudah dewasa dan boleh berfikir dengan matang, tidak perlu saya meninggi diri. Saya berharap dibukakan mata semua pihak supaya tidak melulu menuduh saya bukan-bukan. Saya tertekan dengan perkara sebegini.
Susulan daripada pengunduran anda daripada pihak pengurusan tersebut, anda dikatakan terlalu mengikut telunjuk kekasih anda iaitu Eina Azman. Apa yang anda boleh katakan tentang tuduhan ini? Saya tiada kekasih! Sejujurnya, saya tidak tahu kenapa saya digosipkan dengan Eina kerana kami cuma berkawan baik. Saya mengenalinya sudah tiga tahun dan saya tidak faham kenapa Eina sering dibabitkan apabila timbul masalah berkaitan saya. Dia tidak pernah masuk campur hal saya, begitu juga sebaliknya. Sebenarnya, apakah bentuk hubungan anda dengan Eina? Kami tidak pernah mengumumkan kami sedang bercinta dan tiada perancangan untuk meneruskan ke peringkat selanjutnya. Hubungan kami hanya sebagai kawan. Anda turut terlibat dengan rancangan MasterChef Selebriti Malaysia musim kedua, sudi kongsikan pengalaman menarik sepanjang membintangi program itu? Mula-mula masuk MasterChef Selebriti saya tidak tahu memasak, tapi sekarang Alhamdulillah sekurang-kurangnya sudah tahu membezakan bawang besar dan bawang merah. Saya suka memasak makanan Melayu yang berasaskan buah-buahan contohnya pengat pisang dan bubur. Selain itu, saya kini terlibat dalam penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul Orang Gaji IQ bersama Anzalna dan Aida Khalida yang akan disiarkan di RTM tidak lama lagi. | ||
Anugerah Blokbuster 2 di Johor Bahru Posted: Anugerah Blokbuster 2 di Johor BahruOleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA ANTARA barisan karyawan yang hadir pada majlis sidang akhbar Anugerah Blokbuster 2 di Hotel Best Western Premier, Kuala Lumpur baru-baru ini. ANUGERAH Blokbuster yang memasuki tahun kedua penganjurannya bakal berlangsung pada 15 Jun ini, pukul 9 malam. Kali ini, ia tidak diadakan di ibu kota, sebaliknya pihak penganjur memilih untuk mengadakannya di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Johor Bahru. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Pansha Nalliah, Johor dipilih kerana ingin memberi peluang kepada penduduk di luar Lembah Klang untuk sama-sama menyemarakkan anugerah yang memartabatkan industri perfileman negara itu. "Kami (PFM) dengan pihak Astro berbincang untuk mencari lokasi sesuai mengadakan Anugerah Blokbuster ini supaya penganjuran kali keduanya lebih cemerlang. Kami berasa Johor adalah lokasi yang paling sesuai,"jelasnya ketika ditemui pada sidang akhbar Anugerah Blokbuster di Hotel Best Western Premier, Kuala Lumpur. Mengulas lanjut, Pansha memberitahu, anugerah yang diilhamkan oleh Norman Abdul Halim itu juga dibuat lebih awal iaitu pada bulan Jun berbanding sebelum ini dibuat pada bulan Oktober. Tindakan itu (pemilihan bulan Jun) diambil kerana pihak PFM dan juga Astro mahu merakyatkan lagi filem tempatan. "Kami bercadang mengadakan Anugerah Blokbuster ini pada bulan Jun kerana filem-filem luar kebanyakannya memasuki negara pada bulan Mei, Jun dan Julai. Jadi, kami tidak mahu dilupakan dan secara tidak langsung penonton akan menyokong filem yang dihasilkan oleh produksi tempatan," ujar Setiausaha Kehormat PFM, Norman pula. Sementara itu, menurut Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh, sebagai penyiar rasmi Astro menerusi saluran Astro Ria (saluran 104) akan memperhebatkan lagi promosi bagi menarik penonton menyokong anugerah ini. "Tahun lalu kita menghadapi masalah kerana mempromosikan anugerah itu dalam masa yang singkat. Jadi, tahun ini promosi dapat disusun dengan lebih kemas kerana ia dimaklumkan berlangsung pada bulan Jun," ujarnya mengenai Anugerah Blokbuster yang akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro dan Radio Era. Bakal mengangkat tema Hipster, begitupun, jelas Khairul, senarai pengacara, persembahan dan sebagainya akan diumumkan pada sidang akhbar yang seterusnya. Mengulas lanjut, sememangnya senarai artis yang membuat persembahan dan juga pengacara untuk anugerah itu memainkan peranan yang besar untuk menjadikan sesebuah acara itu berjaya.
Terdapat 49 buah filem yang telah ditayangkan bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2012 memenuhi terma dan syarat untuk layak mengambil bahagian dalam Anugerah Blokbuster. Sebanyak 15 kategori yang melibatkan 49 pencalonan (bagi setiap kategori) diperkenalkan menerusi 100 peratus undian peminat. Kategori tersebut merangkumi Anugerah Filem Terhebat, Anugerah Tuan Direktor Terhebat dan Anugerah Direktor Baru Terhebat. Selain itu, terdapat juga Anugerah Filem Aksi Terhebat, Filem Kelakar Terhebat, Filem Takut Terhebat, Drama Muzikal Terhebat dan Lagu Tema Terhebat. Anugerah Blokbuster turut memiliki kategori Anugerah Hero Terhebat, Heroin Terhebat, Hero Baru Terhebat, Heroin Baru Terhebat dan Watak Penjahat Terhebat. Menjadikan Anugerah Blokbuster itu lebih sempurna apabila ia turut mencalonkan kategori bagi Anugerah Istimewa Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan juga Anugerah Astro First Terhebat. Bagi yang ingin mengundi, proses pengundian boleh dilakukan menerusi laman web www.anugerahblokbuster.com.my. Undian pusingan awal bermula pada 19 April sehingga 10 Mei ini. Seramai 10 orang calon yang disenarai pendek oleh pihak penganjur akan bersaing untuk setiap kategori yang dipertandingkan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |