Kosmo Online - Infiniti
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Infiniti |
- Pentingnya aplikasi dalam telefon pintar
- Pencuri minyak dan pencemaran alam
- Imej definisi tinggi terbaik Canon
Pentingnya aplikasi dalam telefon pintar Posted: Pentingnya aplikasi dalam telefon pintarOleh SUHANA VERU DALAM kejadian rompakan di Seri Kembangan, Selangor, 4 Januari lalu, seorang wanita dikenali sebagai Linda telah kehilangan sebuah tablet Galaxy Note 10.1. Bagaimanapun, Linda bernasib baik kerana dia gemar memuat turun aplikasi Dropbox dalam semua gajet miliknya. Aplikasi tersebut membolehkan pengguna menyimpan fail dan gambar selain ia boleh diakses melalui komputer. Dropbox menggunakan teknologi perkomputeran awan yang fungsinya sama seperti perkhidmatan bekalan air dan elektrik yang disalurkan ke setiap rumah. Perkomputeran awan juga membolehkan seorang pemilik syarikat memiliki laman web, sistem operasi pejabat tanpa perlu membeli dan membina perkakasan komputer yang mahal di lokasi masing-masing. Keperluan teknologi itu ialah mesin yang bertindak sebagai pusat data dan perisian maya. Perisian tersebut yang membolehkan keperluan penyimpanan data pada perkakas diubah berdasarkan kepada keperluan pelanggan. Laman sosial seperti Facebook, iCloud, Google Apps merupakan perkomputeran awan perisian manakala perkhidmatan penghosan web seperti MediaFire, Dropbox dan RapidShare termasuk dalam jenis penyimpanan. Merujuk kepada statusnya dalam Facebook, Linda memberitahu, baru-baru ini dia memuat turun beberapa keping gambar miliknya menerusi telefon pintar yang baru dibelinya. Di samping memasukkan gambar, Linda menyedari terdapat beberapa keping gambar individu yang tidak dikenali di dalam kamera Dropbox. Selepas meneliti gambar-gambar tersebut, terdapat dua lelaki dipercayai pencuri gajetnya. Menerusi gambar-gambar itu, dia melihat kedua-dua perompak tersebut mengayakan pelbagai aksi di dalam tandas sambil mengambil gambar dengan menggunakan tabletnya. SEKIRANYA anda memuat turun aplikasi keselamatan, ia dapat mengesan lokasi peranti yang hilang. "Saya percaya mereka terus menggunakan telefon bimbit tanpa daftar keluar atau memadamkan akaun Dropbox milik saya. Sehubungan itu, saya masih boleh menerima semua maklumat daripada Dropbox menerusi komputer," jelasnya lagi. Dia kemudiannya membawa foto-foto tersebut kepada pihak polis sebagai bahan bukti. Dalam kes tersebut, Linda berpeluang untuk mendapat semula gajetnya kerana mempunyai bukti kukuh yang diperoleh daripada aplikasi berkenaan. Tiada statistik kecurian Merujuk kepada laporan akhbar sebelum ini, Ketua Polis Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah memberitahu, pihaknya tidak mempunyai statistik mengenai bilangan kecurian melibatkan telefon bimbit. Berbanding di bandar New York, rekod polis menunjukkan lebih 40 peratus kes rompakan pada hari ini melibatkan telefon bimbit. Dalam pada itu, Muhammad Idrus Abdul Wahab, 35, yang memberhentikan kereta di bahu jalan sekitar Kuchai Lama, Kuala Lumpur turut menjadi mangsa rompakan. Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, Idrus menanggung kerugian lebih RM4,000 apabila kehilangan sebuah telefon bimbit jenama iPhone, wang tunai RM200 dan cermin tingkap kereta pecah. Bagaimanapun, Idrus bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan. Berbicara lanjut mengenai kejadian berkenaan, dia memberitahu, ketika itu dia sedang leka bermain permainan menerusi telefon pintarnya sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal. "Mereka merampas telefon bimbit dan memeriksa seluruh tubuh saya. Saya terkejut dan tidak mampu berbuat apa-apa sebelum membuat laporan di balai polis berdekatan. "Apabila pihak polis mengesan kedudukan menerusi aplikasi iPhone iaitu 'cari telefon saya', mereka dikesan berada di Kota Damansara sebelum hilang setelah telefon bimbit berkenaan dimatikan," ujarnya yang memberitahu kes tersebut masih dalam siasatan. |
Pencuri minyak dan pencemaran alam Posted: Pencuri minyak dan pencemaran alamPENYELUDUP minyak di Nigeria memperoleh pendapatan berpuluh ribu ringgit sebulan hasil penjualan minyak yang dicuri daripada syarikat petroleum negara itu. SEJAK remaja, Pam Tonye, yang tinggal di Port Harcourt, River State, Nigeria sering melihat kemewahan hidup pekerja syarikat petroleum. Kerana itulah, kerjaya tersebut menjadi impiannya, namun ia tidak menjadi kenyataan. Setelah tamat belajar universiti, empat tahun lalu, Tonye mendapat pekerjaan sebagai guru di sebuah sekolah swasta dengan gaji bulanan sebanyak N20,000 (RM384). Selepas dua bulan menjadi guru, Tonye terjumpa rakan sekelasnya di kawasan Perindustrian Trans Amadi, yang terletak di pelabuhan berkenaan. Perjumpaan itu membuka jalan untuknya mengejar impian ketika zaman remaja iaitu bekerja di syarikat minyak. Walaupun, rakannya itu memiliki perniagaan berkaitan minyak, Tonye berdepan dilema apabila mengetahui perniagaan tersebut dijalankan secara haram. Pada mulanya, dia menolak pelawaan tersebut, tetapi rakannya itu berjaya memujuknya termasuk menjanjikan gaji lumayan mencecah sebanyak RM7,700 sebulan. Tidak sampai enam bulan menceburi bidang tersebut, Tonye mampu membeli sebuah kenderaan utiliti sukan jenama Nissan. Selain itu, dia turut membina sebuah rumah di Port Harcourt. Pencuri minyak Di bandar-bandar besar di Delta Niger seperti Port Harcourt, Warri, Yonagoa dan Uyo, ramai anak muda seperti Tonye menyamar sebagai pekerja syarikat petroleum. Hakikat sebenarnya, mereka merupakan pencuri minyak mentah. Minyak tersebut dicuri daripada syarikat minyak dan gas, Trans Niger Pipeline (TNP) atau Nembe Creek Trunk Line (NCTL). Kumpulan pencuri tersebut menggunakan peralatan dan kapal canggih sebelum mengisi minyak mentah tersebut dalam tong-tong drum. Ia kemudiannya dijual terus kepada para pelanggan yang telah sedia menunggu di sekitar pantai di pelabuhan berkenaan. TUMPAHAN minyak juga memberikan kesan kepada tanaman pertanian di kawasan sekeliling. Syarikat petroleum, Royal Dutch Shell (Shell) mengutuk perbuatan kumpulan pencuri tersebut yang menyebabkan kerugian besar kepada syarikat berkenaan. Menurutnya, kes kecurian minyak di wilayah itu berada pada tahap membimbangkan, malah dipercayai ia membabitkan sindiket jenayah terancang. Tumpahan minyak Selain berdepan masalah kecurian minyak mentah, syarikat minyak dan gas juga perlu mengatasi kejadian tumpahan minyak. Pada tahun 2012 terdapat 36 kes kejadian tumpahan membabitkan hampir 200 tan minyak mentah. Dalam pada itu, Shell Petroleum Development Company (SPDC) mengalami sebanyak 137 kes tumpahan minyak akibat sabotaj dan kecurian pada tahun 2012 dengan isipadu minyak yang hilang berjumlah 30,000 tan. "Berbanding tahun 2011, berlaku peningkatan besar pada isipadu dan bilangan kes kecurian minyak di Nigeria," menurut laporan itu. Sementara itu, Pengarah Urusan SPDC dan Pengerusi Negara Shell Nigeria, Mutiu Sunmonu menggesa kerajaan persekutuan, komuniti tempatan dan antarabangsa agar mengambil langkah bagi menghentikan kecurian minyak di Delta Niger. Syarikat multinasional itu turut melancarkan reviu terhadap aset minyak dan gas di negara tersebut. Tindakan tersebut bertujuan bagi menyambung semula kerja-kerja pembersihan alam sekitar akibat pencemaran minyak yang berlaku di wilayah Ogoniland pada dua dekad lalu. Katanya, ia bukanlah untuk memulakan semula pengeluaran minyak, tetapi bagi mematuhi laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2011. "Sejak menggantung operasi pada 1993, kami ingin menilai semula kemudahan yang ada termasuk loji sebelum melihat kaedah pembersihan yang boleh digunakan. "Proses pembersihan alam sekitar itu bakal menjadi yang terbesar di dunia," kata Sunmonu. Jurucakap syarikat tersebut, Precious Okolobo berkata kepada AFP, tindakan tersebut sebagai langkah untuk memenuhi laporan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNEP) yang mengeluarkan perincian impak terhadap pencemaran minyak di wilayah terbabit. SALAH satu stesen Shell di Awoba, Nigeria. Laporan itu turut meminta pemain industri minyak dan gas serta kerajaan Nigeria supaya menyumbang AS$1 bilion (RM3.04 bilion) untuk tabung pembersihan di wilayah tersebut. Dijangka, proses pembersihan tersebut mengambil masa sehingga 30 tahun. Kejadian paling teruk dan menerima kutukan dunia di Ogoniland adalah pada tahun 1995 apabila aktivis alam sekitar, Ken Saro-Wiwa dikenakan tindakan undang-undang semasa di bawah rejim Jeneral Sani Abacha. Sebelum kematiannya, Wiwa begitu lantang mengkritik syarikat petroluem seperti Shell. Adik Wiwa, Harry mengalu-alukan kedatangan semula Shell ke wilayah berkenaan selepas dua dekad jika syarikat itu mempunyai tujuan baik iaitu membersihkan tumpahan minyak. "Jika tujuan Shell untuk membersihkan tumpahan, kami mengalu-alukan kedatangannya tetapi UNEP mesti menyelia operasi itu," tegasnya. Menurut kenyataan SPDC, firma tersebut masih lagi mengawal sekurang-kurangnya tujuh telaga minyak di kawasan tersebut dan juga stesen keluaran, loji gas serta saluran paip. - AFP. |
Imej definisi tinggi terbaik Canon Posted: Imej definisi tinggi terbaik Canon5D MARK III terbaharu antara kamera DSLR terbaik keluaran Canon. MASIH mengekalkan 36 x 24 milimeter sensor CMOS bingkai penuh, kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR) Canon EOS 5D MARK III ternyata mempunyai kelebihan tersendiri berbanding Canon EOS 5D MARK II. Perbezaan kedua-dua kamera siri 5D itu jelas daripada aspek binaan megapiksel dan kepekaan sensiviti terhadap dedahan cahaya (ISO) yang telah dinaik taraf. Dengan binaan megapiksel 22.3, 5D MARK III merupakan antara DSLR yang mampu menghasilkan imej definisi tinggi terbaik keluaran Canon tidak kira sama ada dalam mod video mahupun fotografi. Bagi penggunaan ISO pula, 5D MARK III telah diperluaskan hingga ke ISO 25,600 berbanding 5D MARK II iaitu 6,400. Selain itu, ISO bagi kamera ini juga boleh diperluaskan sehingga mencecah ISO 102,400. Fungsi mod Auto ISO turut diperkenalkan dalam siri 5D terbaharu yang memberi kebebasan kepada jurugambar untuk mengambil gambar dengan jelas walaupun dalam situasi cahaya yang sedikit. Fungsi sistem AF 5D MARK III juga merupakan salah satu faktor utama ia lebih baik daripada siri yang sebelumnya. 5D MARK III direka dengan sistem 61 point reticular berketumpatan tinggi dan ia merupakan teknologi yang sama digunakan dalam DSLR terbaik buatan Canon iaitu EOS-1D X. Dengan peningkatan sistem AF, ia memudahkan jurugambar mengambil gambar potret dan sesuatu subjek yang bergerak. Selain itu, sistem AF yang dibina dalam 5D MARK III juga sesuai untuk fotografi sukan, aksi dan hidupan liar. Bagi jurugambar yang meminati ciri-ciri kreatif dalam karya fotografi anda, 5D MARK III merupakan kamera yang wajib dicuba. Dengan mod High Dynamic Range (HDR), penggabungan tiga gambar yang mempunyai dedahan cahaya berbeza akan menghasilkan imej yang mempunyai struktur cahaya lebih terang dan berwarna-warni. Selain itu, kamera tersebut juga boleh menghasilkan teknik tindihan yang memberikan imej lebih artistik dengan kelajuan enam bingkai setiap saat (fps). Pakej DSLR 5D MARK III turut disertakan dengan lensa EF 24-105 milimeter f/4L IS USM. Lensa itu diklasifikasikan sebagai lensa pelbagai guna kerana ia boleh digunakan dalam apa sahaja keadaan termasuk jarak dekat dan jauh. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Infiniti To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |