Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
Posted: Kebanggaan Malaysia
MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan kejayaan kelab bola sepak Liga Kejuaraan England, Cardiff City melayakkan diri ke Liga Perdana England (EPL) musim depan merupakan kebanggaan buat rakyat negara ini. Sambil mengucapkan tahniah kepada kelab yang dimiliki ahli perniagaan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan itu, Ahmad Shabery berkata, kejayaan tersebut dapat membawa jenama Malaysia di persada bola sepak antarabangsa. "Saya amat gembira dengan kejayaan tersebut. Tahniah, kerana ia sedikit sebanyak telah memupuk semangat kepada para pemain kebangsaan untuk bekerja lebih keras dalam mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa," katanya semalam. Kelab tersebut, yang menggunakan jersi yang tertera nama Malaysia, menamatkan penantian selama 51 tahun untuk layak ke Liga Perdana England. Keputusan seri tanpa jaringan yang dicatatkan kelab bimbingan jurulatih dari Scotland, Malky Mackay ketika menentang Charlton Athletic awal pagi semalam, membolehkan mereka beraksi dalam liga utama England itu buat julung- julung kalinya. Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, kelab berkenaan telah lama dianggap sebagai 'pasukan kebangsaan' kerana ia dimiliki oleh rakyat Malaysia. "Malaysia dan Cardiff City sudah lama mempunyai pertalian spiritual kerana apabila penduduk di sana melihat pasukan itu, mereka pasti mengaitkan dengan Malaysia kerana kita adalah penaja utama yang membawa mereka ke tahap ini," katanya. Beliau turut memuji program pembangunan pada peringkat akar umbi yang dijalankan oleh kelab berkenaan dan menggesa pasukan Harimau Malaya bimbingan Datuk K. Rajagobal untuk mencontohinya. Turut senada dengan beliau ialah legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun yang menyifatkan kejayaan kelab itu beraksi di EPL musim depan pasti menggembirakan seluruh rakyat Malaysia. "Kita patut mencontohi bagaimana Vincent Tan membawa pasukan ini ke EPL agar kita mampu mencapai tahap lebih baik pada masa akan datang. "Skuad Harimau Malaya patut menjadikan kejayaan kelab itu sebagai pembakar semangat untuk berusaha dengan lebih keras bagi melayakkan diri beraksi pada Sukan Olimpik nanti," katanya. | |
Tekad gilap dua pemain muda negara Posted: Tekad gilap dua pemain muda negaraMAEDA (kanan) bersama-sama Wan Zack (dua dari kiri), Nazirul (dua dari kanan) serta pegawai FC Ryukyu bergambar kenangan selepas sidang akhbar di Okinawa semalam. OKINAWA, Jepun - Timbalan Ketua Pengarah Kerajaan Wilayah Okinawa Bahagian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan, Mitsuyuki Maeda berharap hubungan baik antara Malaysia dengan Jepun akan terus kukuh dengan kehadiran dua pemain muda negara ini, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Nazirul Naim Che Hashim yang beraksi dalam saingan Liga Bola Sepak Jepun (Liga J). Menurut Maeda, penghijrahan Wan Zack, 22, dan Nazirul, 19, dilihat bakal membuka peluang kepada pemain-pemain negara lain, khususnya dari Malaysia untuk mengembangkan karier bola sepak mereka dalam Liga J. Keyakinan itu hadir selepas beliau menyaksikan kehebatan Wan Zack yang membantu FC Ryukyu menewaskan Sagawa Printing 2-1 di Stadium Okinawa City Athletics pada Sabtu lalu. Beliau menyifatkan pemain-pemain negara dilihat memiliki kualiti yang setanding dengan barisan pemain dalam Liga J. "Saya kini memiliki dua pemain (Wan Zack dan Nazirul Naim) yang cukup terkenal di Malaysia. "Kami selaku wakil dari Jepun sangat berbangga kerana mereka memilih untuk menyertai kelab ini. "Kami berharap lebih ramai pemain dari Malaysia akan menyertai mana-mana kelab Jepun selepas ini dalam usaha kita untuk terus memartabatkan bola sepak di rantau Asia," katanya kepada pemberita pada satu sidang akhbar semalam. Tambahnya, mereka akan berusaha membuat liputan penuh mengenai perkembangan dua pemain muda Malaysia itu dalam usaha menarik minat pemain-pemain dari negara lain untuk mengembangkan karier mereka dalam Liga J. "Pada jangkaan saya, ini adalah satu permulaan yang cukup bagus buat Jepun dan Malaysia yang memulakan langkah mewujudkan program kerjasama dalam sukan bola sepak. "Ini merupakan satu sejarah baharu buat Jepun dan Malaysia yang mempunyai misi untuk meningkatkan kualiti pemain-pemain dari rantau Asia," katanya. | |
Posted: Balingan emas Syimir-TimmyOleh SHANIKA ABDULLATIB TIMMY (tiga dari kiri) dan Syimir (tiga dari kanan) meraikan kejayaan mereka bersama pemenang pingat perak dan gangsa di Sunway Megalanes, Petaling Jaya semalam. TIMMY Tan dan Syimir Abdul Razak yang baru digandingkan ternyata tidak mengecewakan pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) apabila berjaya meraih pingat emas acara beregu pada Kejohanan Boling Antara Negeri 2013 yang berlangsung di Sunway Megalanes, Petaling Jaya semalam. Lebih menarik, kejohanan edisi ke-26 itu menyaksikan gandingan tersebut menewaskan rakan sepasukan, Muhd. Rafiq Ismail dan Muhd. Syafiq Ridwan dengan perbezaan 118 jatuhan pin. Mereka mencatat 2,740 jatuhan pin keseluruhan pada perlawanan tersebut. "Kami tidak mempunyai strategi tertentu. Hanya bermain seperti biasa. Saya langsung tidak sangka untuk muncul juara," ujar Syimir yang mencatat 1,370 jatuhan pin pada perlawanan tersebut. "Rasanya kami lebih menikmati permainan kami berbanding terlalu memikirkan mengenai kemenangan," tambah pemain berusia 20 tahun itu. Menurut pemain pelapis skuad kebangsaan itu, dia amat gembira apabila sekali lagi berjaya melakar kemenangan pada kejohanan tersebut selepas kali terakhir melakukannya tahun 2009 dalam acara berpasukan. "Saya rasa bangga kerana sudah lama tidak mencatat kejayaan pada kejohanan ini. Saya harap momentum ini akan dapat membantu Kuala Lumpur meraih satu lagi kejayaan dalam acara berpasukan esok (hari ini)," katanya. Bagi Timmy, tidak timbul masalah keserasian dengan pasangannya itu kerana mereka sudah mengetahui gaya permainan masing-masing. Kami tahu apa yang perlu dilakukan jika berhasrat untuk bergelar juara. "Apa yang menjadi cabaran kami ialah keadaan lorong yang memang agak mencabar. Ia agak kering dan sukar mencipta balingan sempurna," ulas Timmy. Pada aksi semalam, gandingan tersebut dikejar rapat oleh pasukan Selangor yang diwakili Alex Liew dan Zulmazran Zulkifli. Untuk tiga set pertama, gandingan Selangor itu berjaya mendahului permainan apabila Alex berjaya membuka permainan dengan jatuhan pin sempurna iaitu 300. Bagaimanapun, Syimir-Timmy berjaya menguasai perlawanan dengan corak balingan konsisten sepanjang enam permainan tersebut. Penguasaan gandingan Kuala Lumpur itu gagal ditembusi Alex- Zulmazran apabila sekadar meraih gangsa dengan 2,620 jatuhan pin keseluruhan. Sementara itu, gandingan Rafiq- Syafiq yang masing-masing mencatat 1,228 dan 1,394 jatuhan pin berpuas hati dengan pingat perak. Sementara itu, pasukan Perak berjaya memecah kebuntuan apabila meraih emas dalam acara beregu wanita menerusi gandingan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi- Sin Li Jane. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |