Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Posted: Pencarian Gadis SunsilkOleh ALIF ABU BAKAR
RAMBUT yang cantik mampu meningkatkan keyakinan diri seorang wanita. Seperti perlambangan popular, rambut adalah mahkota wanita, ia menjadi tumpuan utama pada sosok tubuh kaum Hawa. Bagi mendapatkan rambut yang sihat dan berkilau saat disimbahi cahaya suria, penjagaannya harus tepat. Syampu, perapi dan pelembap merupakan tiga item wajib dalam mengekalkan kesuburan rambut setiap individu. Jenama syampu terkemuka, Sunsilk menghargai usaha wanita yang menjaga rambut mereka dengan penuh prihatin. Atas sebab itu, Sunsilk telah membuat keputusan untuk mencari lima gadis bertuah untuk dijadikan Gadis Sunsilk yang baharu. "Sunsilk memang dikenali selaku produk yang mencerminkan keseronokan khususnya dalam menyerlahkan keyakinan seorang wanita. Pencarian Gadis Sunsilk kali ini diinspirasikan daripada budaya K-Pop dari Korea yang telah mencetuskan fenomena luar biasa di negara ini. "Kami turut berkolaborasi bersama selebriti popular Malaysia, Hannah Tan bagi menjayakan pertandingan tahun ini," ujar Pengarah Pembangunan Jenama (Rambut, Deo dan Perapian Jejaka), Uniliver (Malaysia) Sdn. Bhd., Ashlee Ng. Sementara itu menurut Hannah, penglibatannya bersama Sunsilk akan merangkumi sesi pemilihan lima gadis akhir dan bertindak sebagai mentor kepada kesemua peserta tersebut. "Terdapat dua perkara yang boleh saya katakan tentang pencarian Gadis Sunsilk ini iaitu yang pertama, gabungan K-Pop dan Sunsilk secara langsung telah membentuk keunikan kempen ini. "Perkara kedua pula ialah mesej yang cuba disampaikan Sunsilk iaitu dalam memartabatkan semangat dan keyakinan seorang wanita," ujar Hannah pada majlis pelancaran Pencarian Gadis Sunsilk di The Stage @ Publika Square, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini. Pencarian Gadis Sunsilk dibuka kepada wanita warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas. Tiada syarat khusus ditetapkan dan mereka yang berminat boleh melayari laman web Facebook Sunsilk di www.facebook.com/SunsilkMalaysia untuk langkah-langkah penyertaan. Sunsilk turut menjalankan jelajah ke beberapa buah kolej dan universiti sekitar Lembah Klang bermula 18 Mac lalu sehingga 14 April depan. Lima gadis yang terpilih akan membentuk satu kumpulan dan diberi kepercayaan membuat persembahan pembukaan bersama Hannah pada Asia Super Showcase 2013. Para pemenang dan Hannah akan mendendangkan lagu yang dicipta khas untuk mereka berjudul Hey, Miss Pretty. Konsert yang menghimpunkan bintang-bintang K-Pop popular itu bakal diadakan pada 19 Mei depan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Setakat ini, dua kumpulan iaitu Girls Generation dan AOA telah mengesahkan penglibatan mereka pada acara tersebut. | |
Ulang tahun Super Sunday Store Posted: Ulang tahun Super Sunday StoreMODEL menggayakan koleksi pakaian Super Sunday Store semasa acara sambutan ulang tahun keenam baru-baru ini. BERSEMPENA dengan sambutan ulang tahun keenam penubuhan butik dan jenama Super Sunday Store, satu acara diadakan dalam suasana santai di butik itu yang terletak di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Pemilihan lokasi tersebut untuk meraikan sambutan itu dianggap bersesuaian dengan konsep yang cuba dibawa oleh Super Sunday Store. Ini kerana majoriti pengikut setia jenama itu terdiri daripada golongan belia. Selain warga tempatan, ia turut mendapat perhatian daripada pelancong asing yang tertarik dengan kesungguhan jenama itu mengangkat martabat karya tempatan. "Kami mendapat maklum balas positif daripada pengunjung yang dianggarkan melebihi 2,000 orang pada hari itu," ujar Pengurus Super Sunday Store, Tengku Aminuddin Syafiq Tengku Ibrahim ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. Tambahnya, acara itu juga dijadikan medan pertemuan antara pemilik jenama lokal sedia ada bersama belia yang ingin menceburi perniagaan jualan pakaian menjurus kepada fesyen jalanan. "Di samping itu, mereka boleh bertukar-tukar idea sesama sendiri selain memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai jenama yang terdapat di butik kami," jelasnya. Pada acara itu, sebanyak 16 jenama telah mempamerkan pakaian mereka kepada khalayak yang digayakan di tengah-tengah kesibukan Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Pertunjukan itu turut disertai oleh jurugambar-jurugambar amatur dan profesional yang menggunakan kereta vintaj sebagai prop penggambaran. Butik Super Sunday menjadi hab kepada beberapa jenama lokal yang menjadi tumpuan anak muda untuk bergaya bebas dengan menyarungkan pakaian daripada kreativiti ciptaan anak tempatan. - HAFIZ AHMAD | |
Posted: Awas perangkap falasi
DALAM kehidupan kita sebagai manusia, secara psikologikalnya, kita selalu membuat kesilapan mental yang tidak kita sedari. Kita sangka apa yang dirasakan itu sebagai benar kerana kita mempunyai alasan logik untuk membenarkan pandangan kita tadi. Hakikatnya, ia mungkin tidak. Dalam psikologi, kita namakan kesilapan itu sebagai falasi. Ia selalu sahaja memerangkap kita, baik sebagai seorang pekerja atau sebagai orang awam. Falasi adakalanya bukan sahaja menyebabkan kita tersalah membuat keputusan, tetapi juga boleh menyebabkan kita diperdaya oleh mereka yang bijak mengambil kesempatan. Falasi juga adakalanya menyebabkan kehidupan kita kucar-kacir. Misalnya, apabila ada suami yang selalu balik lambat, ada isteri yang mengaitkan kejadian tadi dengan hal lain yang mungkin tidak ada kaitan. Isteri tadi mungkin cuba mengaitkan antara 'balik lambat' dengan 'hubungan dengan perempuan lain'. Mengaitkan dua perkara yang tidak relevan inilah yang dinamakan sebagai falasi. Ia kelihatannya logik, tetapi adakalanya hanyalah sekadar khayalan sahaja. Ada ketikanya, ada peristiwa tertentu yang mungkin ada hubungan. Bagaimanapun, ia mungkin tidak semestinya betul dalam keadaan yang lain. Falasi boleh berlaku di mana-mana sahaja. Kita selalu cenderung menyatakan bahawa mereka yang lulus universiti ialah mereka yang bijak. Ia juga adakalanya bersifat falasi. Manusia cenderung untuk mengaitkan 'lulus universiti' dengan 'kebijaksanaan'. Walaupun mungkin benar lulusan universiti adalah mereka yang bijak, tetapi tidak semestinya mereka ini bijak dalam semua perkara. Mereka yang lulus dalam bidang ekonomi misalnya, tidak bermakna mereka bijak dalam bidang kejuruteraan. Disebabkan falasi seperti ini, ada individu tertentu yang sanggup untuk membeli ijazah palsu daripada institusi tidak diiktiraf kerana ia kelihatannya mampu membuatkan orang percaya terhadap mereka. Falasi dalam politik JANGAN terpedaya dengan seseorang hanya kerana pakaian dan penampilan contohnya jurujual yang datang ke rumah. - Gambar hiasan Mereka mahu memerangkap manusia lain yang selalu percaya bahawa sesiapa sahaja yang ada gelar 'Dr.' ialah mereka yang bijak. Ini mungkin memudahkan mereka dalam perniagaan atau bidang yang mereka ceburi. Dalam bidang politik, falasi selalu menjadi senjata untuk memerangkap orang ramai. Orang diperdaya dengan hujah menyatakan seseorang yang pandai bercakap adalah mereka yang bijak. Hakikatnya, belum tentu seseorang yang pandai bercakap adalah mereka yang pandai memimpin atau mampu melakukan apa yang mereka ucapkan tadi, malah lebih memudaratkan apabila dikatakan bahawa apa sahaja yang dilontarkan oleh individu tadi sebagai benar dan tidak ada cacat celanya. Sedangkan, dalam dunia realiti ia tidak semestinya begitu. Ada individu yang hebat, tetapi mereka mungkin tidak berupaya untuk menjadi pemidato yang baik. Mereka ini mungkin tidak dipercayai oleh orang ramai, jika dibandingkan dengan mereka yang bijak berucap. Kita juga selalu mendengar bagaimana ada orang ramai yang telah diperdaya dengan jurujual yang memakai pakaian kemas dan bergaya. Mereka telah dibenarkan untuk memasuki rumah tanpa sebarang perasaan curiga. Sedangkan yang mungkin terjadi, mereka mungkin telah menggunakan elemen falasi tadi untuk memperdaya orang ramai sama ada untuk membeli barang tiruan, malah adakalanya mampu mempengaruhi orang lain untuk memberikan barang kemas yang mereka miliki. Bersikap rasional Sebab itulah, apabila kita berdepan dengan keadaan-keadaan tertentu yang memerlukan kita membuat keputusan, kita perlu kembali kepada rasional. Adakalanya alasan yang kita berikan untuk membenarkan sesuatu sebab, hanyalah falasi sahaja. Ia tidak semestinya mempunyai hubungan antara satu sama lain, sekalipun ia kelihatannya seperti mempunyai pertalian. Ada orang yang sanggup membeli sesuatu barangan dengan harga yang mahal kerana diandaikan ia mempunyai kualiti yang baik. Ada pula orang yang terpedaya dengan nasihat oleh mereka yang memakai kopiah kerana disangkakan mereka itu alim dan berpengetahuan. Realitinya, falasi inilah yang selalu memerangkap pemikiran kita. Falasi boleh terjadi kepada sesiapa sahaja dan berlaku dalam kehidupan kita setiap hari. Kita mungkin tidak mampu untuk menghindarkannya. Bagaimanapun, dengan bersikap lebih rasional, kita mungkin mampu mengawal pemikiran kita. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |