Utusan Online - Feminin
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Feminin |
Fareeda lelong tudung untuk amal Posted: 18 Apr 2013 02:00 AM PDT Fahrin Ahmad bersama peserta akhir Pencarian Model Fareeda, pada malam amal Tahajjud Cinta di Kuala Lumpur baru-baru ini. PELBAGAI cara untuk individu atau sesebuah organisasi menyemarakkan aktiviti dalam usaha untuk mendapatkan dana bagi membantu insan-insan yang kurang bernasib baik. Begitu yang dilakukan oleh Fareeda, pengeluar rekaan tudung eksklusi yang mempersembahkan Malam Amal Tahajjud Cinta, baru-baru ini, iaitu majlis makan malam amal eksklusif bagi meraih dana untuk dua buah pertubuhan kebajikan. Dua buah pertubuhan berkenaan ialah Yayasan AIDS Malaysia yang membantu mereka yang hidup dalam HIV dan AIDS dan Yayasan Ikhtimam Malaysia. Yayasan Ihtimam Malaysia pula merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang fokus kepada membela masyarakat Islam yang terpinggir seperti golongan ibu tunggal, golongan miskin tegar, warga emas yang terabai, remaja yang terlibat dalam kes-kes juvana serta mereka yang terjejas akibat daripada masalah sosial dan kesihatan awam seperti HIV dan AIDS. Majlis makan malam yang berkonsepkan muzik kerohanian ini menampilkan persembahan istimewa daripada Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, yang juga merupakan Selebriti Sokongan Riben Merah Majlis Aids Malaysia. Majlis amal berkenaan turut diserikan dengan persembahan koleksi terbaru tudung-tudung rekaan Fareeda yang diperagakan oleh finalis program Pencarian Model Fareeda 2012. Pada program amal berkenaan, dana turut dikumpul hasil manfaat daripada lelongan dua pasang tudung Fareeda berharga RM3,900 yang diilhamkan sendiri oleh Siti Nurhaliza, serta sebuah potret lukisan karya pelukis tersohor Abdul Rahman Sulaiman yang berharga RM2,600. Sementara itu pengasas Fareeda, Faridah Zakaria, memberitahu, pihaknya amat beriltizam untuk mendahului usaha dan tanggungjawab sosial korporat dalam kalangan usahawan-usahawan Islam. "Majlis amal ini menggambarkan komitmen kami dalam mendekati masyarakat dan membantu golongan yang kurang bernasib baik," ulasnya. Sementara itu dalam majlis berkenaan, Siti Nurhaliza turut memberitahu, perjuangan orang yang hidup dengan HIV sememangnya dekat di hatinya. Pembabitan beliau dalam program Selebriti Sokongan Riben Merah Majlis AIDS Malaysia semenjak tahun 2009 telah banyak membuka mata beliau tentang realiti sebenar HIV dan AIDS. "Insya-Allah, jika diberikan peluang, Siti berhasrat untuk meneruskan lagi sumbangan yang tidak seberapa ini. Inilah hadiah ikhlas daripada hati Siti," jelas Siti Nurhaliza tentang motivasi beliau di sebalik program amal ini. Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis Malam Amal Tahajjud Cinta, Yazlan Yahya berkata, itu merupakan platform utntuk warga korporat Islam untuk lebih memahami tentang nasib dan keperluan penghidap HIV di samping menyalurkan sumbangan ikhlas. |
Posted: 18 Apr 2013 02:00 AM PDT Oleh NOR AKMA ABDUL RASHID MUNGKIN sukar menemui titik pertemuan antara fesyen dan kereta, namun hakikatnya kedua-dua berkongsi nilai yang sama iaitu lambang kemewahan, elegan dan prestij. Justeru kolaborasi fesyen dan kereta yang dibawakan oleh Edaran Tan Chong Motor, pada majlis pelancaran terbaru kenderaan Nissan baru-baru ini 'menjadi' dalam usaha menonjolkan ketiga-tiga elemen tersebut. Menyaksikan tema jalinan seni, muzik dan fesyen, sesi peragaan mengetengahkan bakat pereka-pereka fesyen muda seperti Syomir Izwa, Allien Gan dan Fazlin Zulkifli (Zleqha). Nama yang agak asing dalam arus perdana dunia fesyen tempatan, namun ketiga-tiganya mungkin tidak perlu menunggu lama untuk mencari tempat di hati penggemar fesyen melalui himpunan rekaan bercita rasa tempatan. Syomir, mendapat inspirasi untuk rekaan fesyennya melalui musim panas di timur Hampton, dekat kota New York. "Rekaan ini bertujuan mempromosikan supaya mereka di luar sana menggunakan fabrik yang sesuai, terutama rakyat Malaysia. "Ini merupakan kali pertama saya menggunakan warna lembut dalam rekaan fesyen saya setelah sekian lama mengimpikannya. "Saya mahu wanita yang memakainya kelihatan cantik, tetapi masih kelihatan kuat," katanya. Sesi peragaan ini menjadi gelanggang bagi pereka-pereka fesyen untuk menunjukkan idea baru mereka. Festival itu bukan sahaja menonjolkan koleksi pakaian malah beg tangan. Allien menampilkan rekaan beg tote yang membawa konsep kitar semula. "Beg yang direka bersifat mesra alam dan tidak diperbuat daripada kulit haiwan. "Sesuai dengan rekaan pakaian yang minimalis, ia mudah digayakan dengan mana-mana koleksi beg tote yang sedia untuk dipakai. "Saya mahu wanita di luar sana kurang membeli belah, tetapi mempunyai pakaian yang boleh dipadankan dengan pelbagai gaya untuk pergi kemana-mana majlis," ujarnya. Sementara itu, Zleqha pula mengetengahkan fesyen yang bertemakan gipsi urban. "Saya mendapat inspirasi setelah pergi bercuti di Bali, Indonesia baru-baru ini. "Saya menggunakan fabrik jenis sutera, kapas dan linen untuk rekaan fesyen pakaian saya. "Fesyen saya menggunakan corak batik dari Bali dan motif paisley daripada fabrik sutera India," katanya. Selain itu, pameran seni dan persembahan muzik secara langsung seiring dengan acara mempromosikan empat jualan terbaik kenderaan Nissan iaitu Nissan Almera, Nissan Teana, Nissan X-Gear dan Nissan Leaf. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Feminin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |