Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
Wajah transformasi Gelang Patah Posted: 17 Apr 2013 12:37 PM PDT Oleh NOR AZAN FITRI Sebahagian daripada kawasan perumahan rakyat di Lima Kedai, Gelang Patah, Johor Bahru, Johor. JOHOR BAHRU 17 April - Kemasukan pelaburan domestik dan asing dalam pelbagai sektor membuktikan kesungguhan kerajaan Barisan Nasional (BN) membangunkan Johor seterusnya menjadikan negeri ini sebagai pemangkin utama dalam memacu perkembangan ekonomi negara. Kerajaan BN menerusi pembangunan di wilayah Iskandar Malaysia giat menjalankan usaha menjadikan kawasan itu sebagai sebuah destinasi pertumbuhan ekonomi mapan di negara ini. Sebagai contoh, kawasan Parlimen Gelang Patah yang dahulunya hanya dikenali sebagai sebuah lokasi yang agak terpencil dengan menempatkan perkampungan nelayan, kini berubah wajah dengan mendadak serta menuju sasaran menjadi sebuah bandar raya metropolis tidak lama lagi. Pelbagai bentuk kemajuan fizikal dapat dilihat, sebagai contoh pembangunan Kota Iskandar bagi menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri yang baharu di Nusajaya dengan menempatkan bangunan-bangunan kerajaan yang menarik. Selain itu, di kawasan Parlimen tersebut turut menempatkan taman tema keluarga bertaraf antarabangsa seperti Legoland Malaysia serta Puteri Harbour yang dibina menggunakan konsep French Riviera dan menempatkan taman tema Sanrio Hello Kitty Town, The Little Big Club dan Restoran Lat's Place. Pada masa sama, kerajaan BN juga memberikan penumpuan terhadap pembangunan modal insan dengan mewujudkan kota pendidikan yang dikenali sebagai Educity bagi menempatkan pelbagai institusi pengajian bertaraf antarabangsa seperti Universiti Newcastle, Universiti Raffles dan Universiti Southampton yang bakal dibuka tidak lama lagi. Penyandang Ahli Parlimen Gelang Patah, Tan Ah Eng, berkata, kerajaan sentiasa mencari pendekatan terbaik bagi memastikan setiap lapisan masyarakat di kawasan berkenaan bersama-sama menikmati limpahan pembangunan yang berlaku di dalam Iskandar Malaysia. Menurutnya, antara usaha yang dilaksanakan termasuk projek-projek kecil di kawasan kampung Melayu di Gelang Patah yang bertujuan membantu menaik taraf kehidupan masyarakat di situ. "Pelaksanaan projek-projek kecil ini bertujuan mengimbangi kehidupan masyarakat yang tinggal di kawasan perkampungan agar selari dengan pembangunan yang sedang rancak berlaku di kawasan Iskandar Malaysia. "Kita juga dapat melihat kerajaan sentiasa melakukan proses penambahbaikan termasuk menaik taraf segala kemudahan infrastruktur bagi keselesaan penduduk," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini baru-baru ini. Ah Eng memberitahu, pelbagai bentuk transformasi sedang giat dilaksanakan di kawasan berkenaan terutama dari segi menaik taraf ekonomi penduduk selain memberikan suasana kehidupan yang lebih baik berbanding sebelum ini. Beliau berkata, kesan pembangunan di dalam Iskandar Malaysia itu secara tidak langsung mewujudkan pelbagai bentuk peluang pekerjaan khususnya kepada masyarakat tempatan. "Pelbagai bentuk transformasi yang sedang dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada waktu ini diyakini mampu mengekalkan sokongan masyarakat di kawasan ini dan kita akan terus berusaha bagi memastikan sokongan terus meningkat," katanya. Dalam pada itu, beliau memberitahu, soal calon yang bakal bertanding di kawasan Parlimen Gelang Patah akan ditentukan oleh pucuk pimpinan tertinggi MCA serta BN dan beliau menghormati apa juga keputusan yang dibuat. "Saya akan sentiasa memberikan komitmen sepenuhnya kepada parti dan memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat," katanya. Seorang penduduk Kampung Sungai Melayu, Gelang Patah, Mohamad Ali Abdullah, 55, mengakui kesan pembangunan di Iskandar Malaysia banyak memberi impak positif kepada penduduk dalam meningkatkan taraf kehidupan mereka. Sebelum ini, dia hanya bergantung hidup daripada hasil laut tetapi kini sudah berjaya mengusahakan perkhidmatan bas sekolah dalam kawasan Gelang Patah dan berjaya meraih pendapatan yang jauh lebih baik berbanding sebelum ini. "Sebelum ini kerajaan mengambil tanah saya untuk tujuan pembangunan dan duit pampasan yang diterima itu saya jadikan modal bagi memulakan perniagaan perkhidmatan bas sekolah. Saya akui limpahan pembangunan itu memang dapat dirasai," katanya. Bagi A. Malik Sabtu, 56, yang mendiami Kampung Pendas Baru, kehidupan nelayan kini jauh lebih senang berbanding dahulu kerana di kawasan kampung itu terdapat pelbagai kemudahan disediakan termasuk rumah yang selesa dan infrastruktur seperti jalan raya yang baik. "Rumah yang diberikan kerajaan sekarang jauh lebih selesa berbanding dahulu. Kalau dahulu, apabila hujan atau ribut semua keluarga duduk dalam ketakutan. Sekarang tidak lagi, malah apabila air pasang pun rumah kami tidak dinaiki air," katanya. Sehubungan itu, penduduk di Gelang Patah diingatkan supaya terus memberikan sokongan kepada BN bagi meneruskan agenda pembangunan yang kian rancak dilaksanakan serta tidak terpengaruh dengan janji pembangkang yang belum pasti kebenaran. |
Penduduk tolak Kit Siang, mahu pemimpin tempatan Posted: 17 Apr 2013 12:37 PM PDT Mokhtar Abdullah Muhamad Haryaf Jeffery Lau PARVATHY Sharif NUSAJAYA 17 April - Sebahagian besar penduduk di Gelang Patah menolak kehadiran Lim Kit Siang untuk bertanding merebut kawasan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kerana Penasihat DAP itu sering bertukar Parlimen dan tidak sempat untuk berkhidmat kepada rakyat. Mokhtar Abdullah, 59, berpendapat Kit Siang sebenarnya tidak perlu datang bertanding kerana pemimpin tempatan dari parti itu sendiri sebenarnya sudah cukup baik selain memberi peluang kepada orang muda untuk mengambil alih. "Dia (Kit Siang) pun sibuk dengan isu nasional dan tidak jaga kawasan Parlimen dia sebelum ini. Dengan umurnya yang sudah meningkat saya tidak rasa dia mampu berulang-alik ke Gelang Patah kerana jauh dari tempat dia tinggal, jadi tidak perlulah susahkan diri sendiri dan pengundi di sini. "Tidak ada cadangan yang kukuh daripada dia, hanya banyak kritikan yang mengelirukan rakyat," katanya yang juga Pengerusi Majlis Pendekar Malaysia (MPM) Johor ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini hari ini. Bagi Ketua Kampung Melayu Gelang Patah, Muhamad Haryaf Bujal, 59, berpendapat veteran DAP itu disifatkan sebagai seorang yang berfahaman keras dan perkauman serta yakin penduduk berbangsa Melayu akan memberi sokongan penuh kepada Barisan Nasional (BN). Beliau menyuarakan kebimbangan hubungan baik persahabatan Melayu-Cina di Gelang Patah akan terganggu jika calon pembangkang itu memenangi kerusi Parlimen tersebut seperti mana yang dinyatakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir. "Saya setuju dengan kenyataan Tun, kerajaan yang sudah sekian lama memerintah ini berjaya memajukan negara sehingga ke tahap sekarang, yang baru ini (pembangkang) tidak memberi jaminan apa-apa," katanya. Seorang pengundi muda yang bakal menunaikan kewajipan, Jeffery Lau, 26, mengakui kebiasaannya dia tidak mengambil tahu tentang perihal politik tempatan ataupun nasional tetapi apa yang pasti dia akan memilih parti yang menjanjikan keamanan berterusan baik di Gelang Patah dan seluruh negara amnya. Menurutnya, dia biasa melihat pemimpin parti BN menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir malah kejadian terbaru yang melanda di Kampung Baru Muafakat, di sini juga menyaksikan pemimpin tempatan itu turun padang dengan segera. Parvathy Sinnasamy, 41, yang berasal dari Taman Nusantara, di sini berpendapat amalan demokrasi tidak menghalang penduduk memilih siapa sahaja untuk mewakili mereka namun dia menyuarakan kebimbangan jika tercetusnya insiden pergaduhan. "Bagi saya BN adalah yang terbaik kerana sudah lama bekerja untuk rakyat dan banyak yang telah dibuktikan," katanya. Seorang ahli pertubuhan bukan kerajaan, Sharif Abdul Razak, 53, berkata, dia sudah tentu tidak akan memilih seseorang pemimpin yang membangkitkan perkara berkaitan dengan perkauman dan mengenepikan pembangunan sama rata kepada setiap lapisan masyarakat. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |