Utusan Online - Jenayah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Jenayah |
Dua ahli perniagaan maut kemalangan Posted: 19 Apr 2013 01:34 PM PDT Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR SEREMBAN 19 April - Dua ahli perniagaan termasuk seorang bergelar datuk maut selepas tercampak dari kereta dan digilis beberapa kenderaan dalam kemalangan di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini, pagi ini. Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa, Leftenan Kolonel (B) Datuk Che Yang Samsudin, 54, dan rakannya, Ahmad Zamakhsyari Sapawi, 39, maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah. Jurucakap polis berkata, ketika kejadian kedua-dua lelaki berkenaan yang menaiki kereta jenis Perodua Viva dalam perjalanan dari arah selatan ke utara. Menurutnya, kereta mangsa dipercayai terbabas ke lorong kanan sebelum dirempuh oleh sebuah lagi kenderaan dari arah belakang. "Rempuhan itu mengakibatkan kedua-dua mangsa tercampak keluar dari kereta sebelum digilis oleh beberapa kenderaan lain yang datang dari arah belakang. "Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan setelah digilis," katanya di sini hari ini Kata jurucakap polis itu lagi, kemalangan tersebut turut menyebabkan kereta Perodua Viva yang dinaiki kedua-dua mangsa terbakar manakala kenderaan yang melanggar kereta mangsa dipercayai melarikan diri. Sementara itu, seorang rakan sekerja mangsa, Rohaya Mohd. Aziz berkata, kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke ibu kota selepas bertemu pelanggan di Muar, Johor. "Kedua-dua mangsa merupakan pengasas syarikat perunding, Double Maths yang berpejabat di Shah Alam, Selangor. "Saya masih ingat kata-kata terakhir arwah Datuk Che Yang ketika kami bertemu di Muar kelmarin, bahawa saya adalah harapan beliau untuk memajukan syarikat ini," ujarnya. Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamarudin ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. Beliau meminta orang ramai mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu menghubungi Inspektor Mohd. Hafidzal Zainal Abidin di talian 06-6033394 atau mana-mana balai polis berhampiran. |
Pencuri ayam diberkas selepas sejam dikejar polis Posted: 19 Apr 2013 01:34 PM PDT Dua anggota polis menunjukkan lori yang digunakan oleh suspek untuk mencuri ayam di pekan Bahau, Jempol, Negeri Sembilan, semalam. JEMPOL 19 April - Polis menahan seorang suspek kes curi ayam di pekan Bahau dekat sini pada Isnin lalu, selepas dikejar hampir sejam. Ketua Polis Daerah, Supritendan Hamzah Alias berkata, kejadian kecurian yang berlaku pada pukul 1.30 pagi itu disedari seorang peniaga ayam sebuah pasar di pekan berkenaan. Beliau berkata, seorang peniaga lelaki berusia 20-an telah melihat sebuah lori dipercayai kenderaan sama yang digunakan oleh penjenayah untuk mencuri ayam beberapa bulan lalu. "Dia kemudian mengekori lori tersebut dan terkejut apabila mendapati kenderaan itu berhenti di kedai milik jirannya di pekan Bahau. "Peniaga terbabit terus mengintip perbuatan suspek bersama dua lagi rakannya yang ketika itu sedang mencuri ayam untuk dimasukkan ke dalam raga di atas lori," katanya dalam pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol di sini hari ini. Hamzah berkata, suspek yang kemudian menyedari kehadiran lelaki berkenaan terus melarikan diri dengan lori bersama 360 ekor ayam daging dan 36 raga yang digunakan untuk mengisi ayam. Beliau berkata, dua rakan suspek yang tidak berada dalam lori sempat melarikan diri secara berasingan. Pada masa sama, katanya, pemilik kedai berusia 47 tahun dan anaknya yang menyedari kejadian itu bertindak mengejar lori berkenaan dengan sebuah kereta sebelum dilanggar suspek. "Suspek akhirnya dapat ditahan oleh polis peronda berhampiran Ulu Bendul, Kuala Pilah pada pukul 2.18 pagi iaitu setelah hampir sejam dikejar. "Polis kini menjejaki dua rakan suspek yang masih bebas dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |