Utusan Online - Mahkamah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Mahkamah |
Felda bertindak ke atas Saifuddin Posted: 18 Apr 2013 12:07 PM PDT Oleh AMIRUDDIN HARUN KUALA LUMPUR 18 April - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengemukakan permohonan bagi mendapatkan perintah penghakiman ingkar kehadiran terhadap Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail berhubung satu kes saman fitnah terhadapnya dan enam yang lain. Saman tersebut antara lain berkaitan penyiaran artikel yang mendakwa wujudnya urus niaga antara agensi itu dengan Israel dalam lidah rasmi Pas, Harakah dan akhbar rasmi PKR, Suara Keadilan pada tahun lalu. Saifuddin yang disaman atas kapasitinya sebagai pemegang jawatan PKR dinamakan sebagai defendan ketujuh. Felda selaku pihak plaintif memfailkan permohonan itu pada 5 April lalu atas alasan defendan ketujuh itu tidak memfailkan memorandum kehadiran dalam tempoh 14 hari. Walhal, satu salinan writ saman dan pernyataan tuntutan bertarikh 8 Januari lalu telah diserahkan kepada defendan itu pada 17 Januari lalu di pejabatnya di Ibu Pejabat PKR, Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, Petaling Jaya, dekat sini. Dengan itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk, ganti rugi keterlaluan, faedah, kos, permohonan maaf dan injunksi menghalang defendan ketujuh, pekerja atau ejennya daripada bercakap atau menerbitkan kata-kata fitnah itu. Permohonan berkenaan disebut di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Heng Cheong di Mahkamah Tinggi di sini hari ini dengan kehadiran peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun mewakili Felda dan S.H. Tan mewakili Saifuddin. Mohd. Hafarizam yang ditemui pemberita selepas prosiding dalam kamar hakim berkata, Heng Cheong menetapkan 30 April ini untuk sebutan semula permohonan itu kerana Saifuddin ingin memfailkan afidavit balasan terhadap afidavit sokongan pihak plaintif. Mahkamah sebelum ini telah menetapkan perbicaraan kes saman fitnah itu selama tiga hari bermula 22 Julai depan. Dalam saman yang difailkan pada 7 Januari lalu, Felda menamakan Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman; Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman defendan pertama hingga ketiga. Turut disenaraikan sebagai defendan keempat hingga keenam ialah Pengarang Harakah, Taufek Yahya; penulis artikel, Mohd. Arif Atan; dan pencetak akhbar tersebut, Angkatan Edaran ENT Sdn. Bhd. Dalam pernyataan tuntutannya, Felda menyatakan, saman itu difailkan ekoran ucapan Mazlan dalam perhimpunan haram di hadapan pejabat plaintif pada 23 November 2012 yang turut disiarkan dalam Facebook beliau bertajuk, Bukti Felda jual minyak sawit mentah (MSM) ke Israel. Rentetan daripada itu, beberapa artikel bertajuk, Felda urus niaga dengan Israel, BN khianati rakyat Palestin, Minyak sawit dijual ke Israel dan Felda urus niaga dengan Israel, BN khianati Palestin diterbitkan dalam Harakah bagi edisi bertarikh antara 26 dan 29 November tahun lalu. Akhbar Suara Keadilan bertarikh 27 November 2012 pada muka surat 10, pula menerbitkan artikel bertajuk, 2,000 himpun bantah Felda jual minyak sawit ke Israel dan BN jangan tipu rakyat. Felda juga mendakwa, defendan pertama memfitnahnya pada 19 November 2012 kerana memuat naik satu gambar invois bersama kapsyen di Facebook miliknya bertajuk, Bukti Felda jual minyak sawit mentah ke Israel. Plaintif dengan itu menuntut ganti rugi keterlaluan dan ganti rugi teladan atas dasar defendan pertama berniat jahat dan sengaja mahu menghancurkan kepercayaan rakyat bagi meneruskan agenda tersendiri untuk kepentingan politik. Sementara itu, pernyataan pembelaan defendan pertama hingga keenam mendakwa, pihak plaintif tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memulakan tindakan saman itu. Keenam-enam defendan berkenaan yang memohon saman itu ditolak, turut bergantung kepada perlindungan bersyarat dan ulasan saksama demi kepentingan awam dalam pembelaan mereka. |
Posted: 18 Apr 2013 12:07 PM PDT Oleh SITI NOORALINA AHMAD KUALA LUMPUR 18 April - Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dua lelaki dilihat membawa masuk kanak-kanak Belanda, Nayati Shamelin Moodliar di dalam sebuah kereta Proton Gen.2 pada pukul 7.41 pagi, 27 April tahun lalu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Asisten Supritendan (ASP) A. Sidambaram dari Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menyatakan, rakaman CCTV itu adalah milik Kondominium Almaspuri yang terletak 15 meter dari tempat kejadian iaitu di hadapan Sekolah Antarabangsa Mont Kiara. Rakaman itu katanya, menunjukkan kereta Proton Gen.2 tersebut berada di hadapan sekolah berkenaan sejak pukul 7 pagi hari tersebut. Menurut saksi pendakwaan ke-12 berkenaan, sebelum itu terdapat pergerakan dua lelaki yang tidak dapat dikenal pasti bangsanya keluar dari kenderaan terbabit. Berdasarkan pemerhatian lanjut, dia mendakwa, terdapat seorang lelaki lain berlari ke arah kereta itu dan cuba menghalang dengan menendang pintu kereta tersebut namun kenderaan tersebut memecut laju meninggalkan kawasan berkenaan. Beliau menyatakan demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jean Sharmila Jesudesan dalam perbicaraan kes tiga lelaki yang didakwa menculik Nayati, 13, pada 27 April tahun lalu bagi mendapatkan wang tebusan RM300,000. Dalam kes itu, Chong Tat Siong yang bekerja sendiri bersama-sama dua rakannya, jurujual telefon, Foong Khar Fai, 20, dan penganggur, Lee Phak Seng, 25, dituduh melakukan perbuatan itu di hadapan Sekolah Antarabangsa Mont Kiara di Jalan Kiara 1, Mont Kiara pada pukul 7.30 pagi, 27 April 2012. Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan. Terdahulu, saksi itu berkata, sebelum melihat rakaman tersebut, dia berjumpa dengan bapa mangsa, Sham Moodliar yang menceritakan kepadanya, Nayati dilarikan oleh dua lelaki berbangsa India menggunakan kereta Proton Gen.2 dan terdapat saksi melihat kejadian itu selain rakaman CCTV. Sidambaram seterusnya menemu bual guru sekolah antarabangsa itu, Jonathan Robert Daley, 38, pada pukul 11.10 pagi hari tersebut dan guru tersebut mengakui, dia adalah individu yang berlari ke arah kereta Proton Gen.2 untuk cuba membantu mangsa seperti yang dirakamkan oleh CCTV itu. Menurut saksi itu lagi, hasil siasatan pakar forensik di tempat kejadian menemui barang kes iaitu satu selipar gelap, sehelai baju singlet putih, empat helai kertas A4 bertulisan Bahasa Inggeris dan tiga puntung rokok. Sementara itu, Ketua Pasukan 24 Jam Tempat Kejadian Jenayah (CSI), Inspektor Mohd. Aizam Mohd. Razif selaku saksi pendakwaan ke-13 mendakwa, hasil siasatan ke atas sebuah kondominium di Cheras menjumpai dua barang yang dipercayai ada kaitan dengan kes disiasat. "Satu, sebuah beg hitam yang tidak berjenama yang terletak di tepi tangga tingkat 9 dan dua, satu puntung rokok di atas lantai di tingkat 9," kata pegawai polis yang juga berkhidmat di IPD Brickfields. Beliau seterusnya menyerahkan barang kes itu kepada pegawai penyiasat, Asisten Supritendan (ASP) Erwanshah Abd. Nasir. Perbicaraan di hadapan Hakim Kamardin Hashim bersambung esok. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |