Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Posted: 21 Apr 2013 11:40 AM PDT Oleh KASTHURI JEEVENDRAN KUALA LUMPUR 21 April - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai, Jenice Lee mendakwa sikap angkuh dan amalan kronisme segelintir pemimpin tertinggi DAP menyebabkan beliau digugurkan daripada menjadi calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Menurutnya, sikap pilih bulu yang diamalkan dalam parti oleh sesetengah pemimpin itu tidak selari dengan slogan ketelusan yang sering dilaung-laungkan. "Ada seorang pemimpin tertinggi dalam DAP yang secara terbuka menyerang saya dengan pelbagai tohmahan tanpa sebarang bukti kukuh, pemimpin lain dalam parti cuma mengikut kehendaknya yang tidak mahu mencalonkan saya. "Adakah ini adil? Adakah ini dinamakan demokratik dan telus? Bagaimana seseorang itu boleh sesuka hati memfitnah tanpa bukti dan semua pemimpin lain tanpa menyiasat terus bersetuju dan menggantikan calon 'payung terjun' demi memastikan karier politik saya hancur," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Selain Jenice, DAP menggugurkan beberapa calon popular parti tersebut termasuk penyandang DUN Kota Alam Shah, M. Manoharan; penyandang DUN Pandamaran, Ronnie Liu dan penyandang DUN Damansara Utama, Dr. Cheah Wen Yin. Yang turut digugurkan ialah penyandang kerusi Parlimen Seremban, John Fernandez, penyandang kerusi DUN Mengkibol, Ng Lam Hua dan calon DAP untuk kerusi Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him. Tambah Jenice, DAP tidak layak mengkritik Pendaftar Pertubuhan (ROS) kononnya telah menjatuhkan hukuman tanpa menyiasat dahulu berhubung isu pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti sedangkan dirinya yang telah difitnah sesuka hati tidak diambil tindakan. "Bersih dan betulkan sistem dalam parti sebelum menuduh orang lain tidak betul. Dalam kes saya, hukuman dijatuhkan tanpa sebarang keadilan, namun tiada siapa kisah. Apabila ROS ambil tindakan, mereka kata tak adil. Hipokrit!," tegasnya. Dalam pada itu, beliau menegaskan tidak akan sesekali tunduk kepada desakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya segera menarik diri daripada menjadi calon Bebas menentang calon DAP. "Mengapa saya harus tarik diri? Penduduk Teratai memerlukan khidmat saya. Saya tidak akan sesekali mengkhianati pengundi saya apatah lagi calon DAP adalah calon 'kegemaran' pemimpin tertentu dan bukan pilihan rakyat," ujarnya. Sementara itu, penyandang kerusi Kota Alam Shah, Manoharan berpendapat, DAP berkemungkinan besar bertindak menggugurkan beliau kerana lantang menyoal isu-isu berkaitan masyarakat India. "Saya rasa itu mungkin antara sebab saya digugurkan, namun saya tidak pasti kerana sehingga saat ini panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak dilayan oleh mana-mana pemimpin. "Adalah tidak adil untuk membiarkan kami tertanya-tanya mengapakah kami digugurkan oleh pimpinan atasan. Ini juga antara punca ramai menjadi calon Bebas," katanya. Penyandang kerusi Parlimen Seremban, John Fernandez yang baru-baru ini membuat kejutan keluar parti dan bertanding sebagai calon Bebas pula menganggap kepimpinan DAP ketika ini sudah hilang arah tujuan. "DAP sudah berubah, mungkin juga kepimpinan ketika ini jauh terbabas dengan prinsip asal, laungan parti semua kaum tidak benar sekali apatah lagi kaum India dipinggirkan," tegasnya. |
Posted: 21 Apr 2013 11:40 AM PDT KUALA LUMPUR 21 April - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng disifatkan angkuh selepas bertindak memekakkan telinga terhadap bantahan ahli-ahli akar umbi parti itu berhubung pemilihan calon dalam pilihan raya umum akan datang. Presiden Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong berkata, parti cauvinis Cina itu juga dilihat membelakangkan Perlembagaan parti tersebut selepas bertindak menempatkan ahli-ahli tidak berpengalaman sebagai calon. "Dalam Perlembagaan DAP, seseorang yang akan bertanding di bawah parti itu perlu mempunyai tempoh keahlian sekurang-kurangnya 24 bulan atau dua tahun. "Meskipun termaktub dalam Perlembagaan DAP, Guan Eng dengan angkuh membelakanginya dengan meletakkan calon yang menyertai parti tersebut tidak sampai dua tahun," katanya. Beliau mengulas tindakan kira-kira 100 ahli DAP yang mengadakan demonstrasi semalam bagi membantah pengguguran penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai, Jenice Lee Ying Haa dalam pilihan raya umum akan datang. Jenice semalam disahkan bertanding sebagai calon Bebas di kerusi DUN tersebut. Jelas Lum Yong, kepincangan DAP dalam percaturan pilihan raya umum kali ini semakin jelas selepas berlaku penolakan besar-besaran ahli-ahli akar umbi yang prihatin dengan nasib parti tersebut. Menurutnya, kepimpinan parti itu sepatutnya mendengar suara hati ahli mereka dan bukan terus menyombong diri serta meneruskan polisi-polisi mementingkan diri dan kroni mereka semata-mata. "Pemimpin DAP perlu sedar parti itu semakin pincang, mereka tidak perlu bersikap bongkak kerana ego masing-masing, sebaliknya mengakui kesilapan percaturan sehingga menimbulkan kemarahan ahli-ahli akar umbi," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |