{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rekreasi

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rekreasi


Shah seronok meluncur air

Posted: 20 Apr 2013 03:19 AM PDT

BERMULA secara suka-suka, namun lama-kelamaan selepas beberapa kali mencuba, akhirnya aktiviti meluncur air bertukar menjadi hobi buat Mohd. Saharani Muhammad, 27.

Tidak sekadar seronok bermain air dan belajar mengimbangi tubuh di atas papan luncur, penyampai radio THR Gegar itu juga menyukai aktiviti berenang jika ada masa lapang.

Baginya, aktiviti berenang dan meluncur air adalah terapi terbaik untuknya menenangkan fikiran selepas sehari suntuk sibuk di konti radio.

Leka mendengar cerita Shah dan para peminat yang turut berkongsi hobi yang sama dengannya, dia menyifatkan aktiviti meluncur air kini sudah menjadi satu budaya baru yang menarik minat remaja.

Para peminat Shah pula berpendapat peluang mendekati penyampai radio itu di Sunway Surf Beach, Sunway Lagoon, Petaling Jaya baru-baru ini menjadi ruang terbaik buat mereka berkongsi keseronokan dan rahsia kepuasan di sebalik sukan urban tersebut.

Menurut Shah, sebagaimana sukan lasak yang lain, aktiviti meluncur air menuntut tenaga dan strategi ketika menggayakan pelbagai aksi menarik.

Saya suka berenang dan semakin aktif sejak kebelakangan ini. Bagaimanapun, setelah diperkenalkan oleh salah seorang rakan, saya semakin tertarik dengan sukan luncur air yang mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kita.

Golongan muda patut mencuba surfing ini kerana aktiviti tersebut memberikan kepuasan terbaik," katanya yang mula berkhidmat di THR Gegar pada 1 Mei 2012.

Bagi yang tidak mengenali Shah, dia memulakan kerjaya sebagai penyampai radio selepas meninggalkan kerjaya juruhebah di sebuah kompleks membeli-belah. Sebelum itu juga, Shah sering diundang sebagai pengacara majlis kenduri perkahwinan.

Selepas beberapa tahun berkhidmat dengan stesen radio Manis FM, Shah kemudian berhijrah ke RTM Pantai Timur.

Daripada pengalaman tersebut, Shah melebarkan sayap kerjayanya di THR Gegar sebagai seorang penyampai radio.

Dalam pada itu, Shah pernah mencatatkan nama dalam Malaysia World Book of Record selepas berjaya ke udara selama 120 jam tanpa henti.

Mengulas lanjut hobinya meluncur air, graduan Kolej Institut Teknologi Putra dalam jurusan Sains Komputer itu menambah, bermain air di lautan buatan manusia dan ombak simulasi seperti di Sunway Lagoon masih menyeronokkan.

Biarpun sekadar meluncur air di Sunway Lagoon, namun pantai dan ombak buatan ini masih menjanjikan keseronokan tersendiri, selain mampu memberikan kepuasan yang sama seperti bermain ombak di pantai sebenar.

Keseronokannya memang sukar untuk diterjemahkan melalui kata-kata," ujarnya yang sering ke udara menerusi segmen Gegar Petang bermula pukul 3.00 hingga 7.00 petang.

Manakala pada hari minggu pula, Shah ke udara bermula dari pukul 6.00 petang hingga 10 malam. - SYAHRIL/SAFRIZAL AZMI

NOA takluk Gunung Benum

Posted: 20 Apr 2013 03:19 AM PDT

PARA pendaki berhati-hati menyeberang Sungai Terbun yang deras.

TERDAPAT dua trek hutan yang boleh dilalui pendaki untuk sampai ke puncak Gunung Benum yang berketinggian 2,107 meter (6,914 kaki) dari paras laut.

Laluan pertama adalah dari Lata Berembun di Raub, Pahang dan laluan kedua dari Pos Perlok di Ulu Cheka, Jerantut, Pahang. Laluan kedua diselenggara oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Pada pertengahan bulan Februari lalu, penulis bersama 15 pendaki dari National Outdoor Adventure (NOA) telah mendaki Gunung Benum melalui Pos Perlok yang memakan masa lima hari empat malam.

Ekspedisi itu diketuai oleh Siti Norhidayah Mohd Azlan dan dibantu oleh tiga penunjuk jalan dari Perhilitan Ulu Cheka, iaitu Saiful Alias (Ali), Azman Samah (Pak Andak) dan Ismail Johar.

Perjalanan hari pertama adalah menuju ke Kem Jeneruh. Kami diberitahu bahawa trek dari Pos Perlok baru dibuka semula pada 16 Januari 2013 setelah ditutup sementara untuk kerja-kerja membaikpulih dan merintis laluan baru.

Pendakian agak mudah pada mulanya walaupun kami terpaksa menahan gigitan pacat yang mula menyerang. Setelah menyeberangi Sungai Kepal, langkah kami terhenti di kawasan yang terdapat bunga Rafflesia yang sedang mekar.

Kami meneruskan pendakian dan berhenti rehat di puncak Bukit 800 sebelum menuruni sebuah kawasan lembah menuju ke Kem Jeneruh untuk bermalam.

Pada hari kedua, sebaik selesai menikmati sarapan, kami mengatur langkah menuju ke Kem Batu Serondong. Kira-kira 30 minit perjalanan, kami berhenti di kawasan Mata Air Bukit Damar. Mata air yang keluar dari celah batu itu menjadi sumber air terakhir kami dalam ekspedisi ini.

Kami dimaklumkan sumber air tidak akan ditemui dalam pendakian dua hari berikutnya. Perjalanan diteruskan sehingga ke puncak Gunung Lilin.

Disebabkan tiada sumber air (sungai) selepas kawasan Mata Air Bukit Damar, maka pihak Perhilitan telah mendirikan pondok kecil yang mempunyai sebuah tangki air. Tangki air juga disediakan di Kem Permatang Angin. Bekalan air diperoleh daripada tadahan hujan.

Dalam perjalanan seterusnya, kami menjumpai tumbuhan periuk kera yang amat besar saiznya dan jarang ditemui. Lewat senja, barulah kami tiba di Kem Batu Serondong.

Keesokan paginya, kami meneruskan misi menawan puncak Gunung Benum. Setelah hampir empat jam mendaki, kami tiba di Kem Permatang Angin. Terdapat pokok pain di kiri dan kanan kawasan ini.

Kami meletakkan peralatan perkhemahan dan beg galas besar di kem ini dan dengan hanya membawa beg galas kecil, kami meneruskan pendakian ke puncak. Terdapat sebuah kawasan lapang bekas tempat helikopter tentera mendarat berhampiran puncak. Setelah dua jam mendaki, akhirnya kami berjaya menjejakkan kaki di puncak Gunung Benum.

Setelah bergambar kenang-kenangan di puncak, kami berpatah balik ke Kem Permatang Angin untuk bermalam. Walaupun suhu dingin, kami tetap merancakkan aktiviti malam dengan berbual mesra bersama-sama rakan pendaki yang lain.

Pada hari keempat, kami menuju semula ke Pos Perlok untuk keluar dari hutan. Kami berhenti rehat di satu kawasan anak sungai sebelum meneruskan perjalanan dengan mendaki tebing curam. Setibanya di atas tebing, tiba-tiba Pak Andak menyuruh kami berhenti. Ini kerana dia telah menemui sesuatu yang unik.

Penulis bersama rakan-rakan tergamam melihat seekor cacing yang besar dan panjang di tepi laluan kami. Inilah cacing gergasi yang pernah diceritakan oleh rakan-rakan penulis.

Setelah hampir lima jam menuruni beberapa laluan curam, akhirnya kami tiba di Kem Sungai Besar untuk bermalam.

Hari terakhir atau kelima dalam ekspedisi ini menyaksikan kami berjalan menuju ke Kem Lata Bujang. Untuk sampai ke sana, kami perlu melintasi Sungai Terbun.

Hujan lebat semalaman membuatkan paras air naik mendadak dan mengalir deras. Kami tiba di persimpangan denai antara Pos Perlok ke Lata Bujang yang mana jarak persimpangan ke Lata Bujang hanya memakan masa 20 minit berjalan. Lata Bujang dikenali kerana mempunyai air terjun empat tingkat.

Terdapat kolam di tingkat pertama yang sesuai untuk aktiviti mandi-manda. Setelah puas mandi-manda, kami keluar semula ke persimpangan denai untuk menuju ke Pos Perlok dan hampir dua jam perjalanan barulah kami selamat tiba di Pos Perlok.

Kami kemudian menaiki pacuan empat roda (4x4) untuk kembali ke Ulu Cheka dan pulang. Kenangan sepanjang mendaki Gunung Benum melalui Ulu Cheka ini tidak akan kami lupakan kerana ia suatu pengalaman yang amat bermakna. - FAIZAL SAMAT

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat