Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Posted: 24 Apr 2013 11:57 AM PDT DATUK DR. HASAN ALI ialah Presiden Jalur Tiga (Jati) PENAMAAN calon sudah berlalu, kini hari penentuan yang ditunggu-tunggu bakal tiba beberapa hari lagi. Sebagai manusia kita sering membuat keputusan daripada yang sekecil-kecilnya yang menyentuh kehidupan harian, yang berskala sedang dan yang berskala besar. Saya tidak bercadang mengulas yang kecil dan yang sedang, tetapi ingin mengajak pembaca merenung sejenak tentang keputusan besar yang mesti dilakukan pada 5 Mei 2013. Tarikh keramat ituadalah tarikh penentuan. Tarikh yang akan menentukan pada malam dan keesokan harinya sama ada Malaysia menjadi negara suram dengan gerhana atau penuh bercahaya memancarkan sinar harapan untuk generasi akan datang. Ertinya jika silap membuat keputusan kitalah yang akan menggerhanakan bumi bertuah ini. Sebaliknya jika jari-jari yang dikurnia Allah digunakan dengan sebaik-baiknya untuk membantu kita membuat keputusan yang sebaik-baiknya dari segi syarak dan amalan kehidupan berbudaya maka keputusan sedemikianlah yang dapat membantu menjemput rahmat Allah dengan kurnia Rahman dan Rahim-Nya dalam kehidupan kita seterusnya. Sering disebut akhir-akhir ini bahawa PRU-13 adalah 'mother of all election'. Ini membawa erti PRU-13 dalam sejarah pilihan raya di negara ini merupakan PRU penentu sama ada negara ini menjadi 'BaldatunTayyibatun Wa Rabbun Ghaffur' atau negara yang sentiasa dalam kelaknatan Allah SWT. Saya tidak perlu menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan kalimat ini, tetapi cukup kalau saya simpulkan keputusan yang tepat mengelakkan kesengsaraan dan kesilapan membuat keputusan di pihak kita bererti kita bersedia menjadikan diri masing-masing pengundang kepada malapetaka. Di ruangan ini saya ingin menyentuh sedikit mengenai berbagai mala petaka yang mungkin akan diturunkan kepada kita. Mala petaka akidah bagi saya adalah mala petaka paling dahsyat yang mungkin berlaku. Mala petaka kategori ini lebih dahsyat daripada gempa bumi berukuran 8 skala Richter seperti yang berlaku di Jepun atau banjir hebat akibat pecahnya dinding-dinding penghadang di New Orleans, Amerika Syarikat. Kedahsyatan mala petaka akidah mungkin tidak menampakkan di hadapan mata kita runtuhnya bangunan, tenggelamnya muka bumi atau hilangnya jiwa ratusan ribu penduduk bumi ini. Mala petaka akidah akan menjadikan insan itu kurus kering tidak bermaya dari sudut hubungan dengan Allah SWT, kaitannya dengan Nabi Muhammad SAW termasuk juga hubungan sesama manusia dalam komuniti atau masyarakat yang sama-sama menanggung bencana kerapuhan dan kehilangan akidah. Di peringkat diri sudah dibayangkan bencana membelakangkan akidah. Di peringkat keluarga bencana yang sama akan menimpanya dalam skop dan ruang lingkup yang lebih besar. Yang kita harus sedar bencana yang akan menimpa umat yang di dalamnya termasuk diri kita, anak isteri, keluarga terdekat, jiran tetangga, anggota masyarakat dan umat sejagatnya. Barangkali tidak ramai di antara kita yang mengaitkan satu undi yang bakal diberi kepada mana-mana parti dengan permasalahan akidah yang dinukilkan. Amat malang bagi kita dalam kalangan parti politik hampir tidak terserlah mana-mana parti politik yang memperjuangkan keluhuran akidah umat. Parti Islam Se-Malaysia atau Pas yang sejak hampir 60 tahun lalu berjuang menjadi benteng mempertahankan akidah umat, kini atas tuntutan teman setiakawan DAP dan PKR terpaksa mengetepikan dan menggugurkan jihad mempertahankan akidah yang diperjuangkan selama ini. Pas telah menggugurkan perjuangan menegakkan Negara Islam dan melaksanakan Hudud. Pas juga merelakan struktur pimpinan parti yang sebelum ini majoritinya terdiri daripada golongan ulama, kini dikuasai oleh kumpulan Anwarinas atau parasit. Daripada bunyi sebutan namanya pun sudah terbayang penguasaan Anwar Ibrahim secara jauh dan secara dekat ke atas batang tubuh Pas. Dikatakan melalui sistem proksi yang dipraktikkan, hala tuju Pas berubah dan beralih hampir menyamai hala tuju perjuangan PKR dan dari sudut negara berkebajikan yang menggantikan negara Islam dari segi 'content'nya menyamai apa yang diperjuangkan oleh DAP. Persoalan yang sering ditimbulkan bagaimana Pas boleh bersekongkol dengan PKR dan DAP. PKR yang dipimpin oleh Anwar cuba mengimport dan memperkenalkan beberapa laras kehidupan yang begitu asing kepada masyarakat Melayu Islam di negara ini. Para ulama dan agamawan menjatuhkan hukuman syirik kepada mereka yang mempromosi Pluralisme agama, Islam Liberal, LBGT (liberal, Biseksual, Gender dan Transseksual) dan sebagainya. Di pihak DAP pula akibat penentangan dengan cara yang begitu angkuh menolak Islam sudah tidak dapat disembunyikan lagi. Ada kalangan anggota masyarakat menolak secara 'outright' kerjasama orang Islam dengan DAP yang disifatkan sebagai penganut kafir harbi. Gambaran yang diberi ini bukan merupakan cetusan baru. Saya telah mengemukakan pendapat dalam hal ini menerusi pelbagai saluran media termasuk dalam pertemuan-pertemuan dengan pelbagai kumpulan masyarakat. Pengalaman saya sebagai mantan Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor mendapati bahawa dari sudut akidah yang dibincangkan ini, penentangan PKR dan DAP khususnya, begitu lantang dan berterusan. Sebagai contoh, peristiwa DUMC yang melibatkan 50 orang Melayu Islam dijemput menghadiri majlis berbuka puasa dalam persekitaran gereja. Tindakan saya bersama JAIS dikutuk dan dikecam pimpinan DAP, PKR dan yang paling malang termasuk juga pimpinan Pas. Kononnya tindakan saya akan menjejaskan perjalanan pakatan pembangkang untuk menguasai Putrajaya. Bagi saya bukan setakat peristiwa DUMC itu sahaja, apa pun yang menyentuh persoalan Islam secara sembunyi atau secara terbuka ditentang oleh ketiga-tiga parti komponen pakatan pembangkang, tidak disenangi bahkan dihalang operasi dan pelaksanaannya. Sebagai contoh untuk menggambarkan bencinya mereka kepada Islam, tulisan Jawi yang digunakan pada papan tanda jalan atau lorong pun dipertikaikan. Pertikaian itu didorong oleh salah persepsi bahawa tulisan Jawi digambarkan sesuatu yang ada pertalian langsung dengan Islam dan orang Melayu. Apakah kita boleh bercerita dengan puak-puak ini mengenai agenda-agenda yang lebih besar seperti agenda pendidikan, agenda ekonomi, agenda kemasyarakatan umat dalam skala negeri dan negara? Atas dasar itu, izinkan saya membuat satu seruan kepada pengundi dan pembaca agar menghargai dan memberi nilai yang sewajarnya kepada undi yang bakal mereka berikan. Dalam sistem demokrasi kita, perbezaan satu undi boleh memenang dan menewaskan calon dan parti. Dengan kelebihan satu undi juga memungkinkan terbentuknya sebuah negara yang berupaya memberi payung akidah dan satu undi itu juga dapat menjerumuskan kita semua ke lubang laknat Allah SWT. Fikir-fikirkan. |
Pembangkang tidak layak berkempen jual isu NFC Posted: 24 Apr 2013 11:57 AM PDT Oleh AZMAN ANUAR HANYA kira-kira tujuh bulan sejak 15 Oktober 2012, janji kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mengambil beberapa langkah dalam mengkaji semula hala tuju projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) di samping mendapatkan kembali pinjaman yang diberikan kepada syarikat National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) akhir sudah tercapai. Kemelut Pusat Fidlot Negara (NFC) menjadi perhatian ekoran Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyatakan bahawa syarikat itu gagal memenuhi matlamat penubuhannya, diikuti dakwaan pembangkang wujud penyelewengan pinjaman mudah kerajaan berjumlah RM250 juta kepada NFC. Kini tiba khabar baik dalam musim kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini apabila sebuah syarikat kerjasama antara Malaysia dan Jepun bersetuju untuk mengambil alih keseluruhan operasi syarikat yang mengendalikan NFC. Pengambilalihan oleh Kirimitonas Agro Sdn. Bhd. (KASB) adalah usahasama antara syarikat tempatan, Otoshitos Sdn. Bhd. dan syarikat makanan terkenal dari Jepun, Hannan Food Group (HFG). Pada 19 April lalu, persetujuan pengambilalihan itu diberikan berdasarkan kesanggupan syarikat usahasama itu mengambil alih semua aset dan liabiliti NFC. Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, KASB bersetuju membuat pembayaran permulaan sebanyak RM34 juta bagi tahun lepas dan tahun ini. Bakinya iaitu RM216 juta termasuk faedah akan dibayar dalam perjanjian konsesi baharu yang akan dibincang dalam tempoh enam bulan akan datang. Dalam pada itu, Mohd. Irwan berkata, pengambilalihan tersebut bukan tindakan menyelamat sebaliknya KASB perlu membayar balik segala aset dan liabiliti kepada kerajaan termasuk modal suntikan sebanyak RM20 juta. Lembaga pengarah syarikat NFC terdahulu telah menyerahkan kepada kerajaan projek ini dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengambil alih dan memulihkannya. Soal hutang pula, sebelum ini modal diberikan kepada syarikat bukan kepada individu atau mana-mana pengarah dan yang lebih penting menerusi perjanjian baharu ini, kerajaan mendapat kembali wang termasuk faedah. Terbukti bahawa projek NFC mempunyai potensi jika tidak bagaimana syarikat KASB sanggup mengambil alihnya. Syarikat HFG dari Jepun itu yakin konsep perniagaan NFC adalah berdaya maju kerana ia hampir menyamai perniagaan HFG yang dimulakan di Jepun selepas Perang Dunia Kedua lebih 65 tahun lalu susulan kebimbangan kerajaan negara itu mengenai isu jaminan makanan. Sebelum ini NFC mempunyai aktiviti penternakan, pemprosesan daging, pengeluaran makanan ternakan dan pemasaran. Ia juga sudah siap membangunkan ladang model seluas 1,500 hektar. Kini kemelut NFC boleh dianggap selesai. Usaha pihak pembangkang selama ini hanya untuk merosakkan imej Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Pembangkang takut dengan kekuatan jentera Wanita UMNO yang bersatu padu, rajin bekerja dan turun padang setiap kali PRU. Pembangkang jadi gementar dan cemburu dengan kerja keras Wanita UMNO maka mereka mencari jalan untuk menjatuhkan sayap UMNO itu. Tetapi pembangkang tersilap perkiraan, apabila pada 19 Januari 2012, Shahrizat memfailkan saman fitnah terhadap Pengarah Strategi PKR, Mohd. Rafizi Ramli dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berhubung isu NFC. Shahrizat mendakwa, Mohd. Rafizi dan Zuraida melancarkan satu kempen strategik untuk mencemarkan nama baiknya dengan mengaitkan diri beliau dengan NFC, sedangkan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu tidak memegang jawatan atau memiliki ekuiti dalam projek tersebut mahupun Agro-Science Industries Sdn. Bhd. (Agro-Science). Apa pun dalam konteks mencari salah pemimpin UMNO dan kerajaan BN ini menunjukkan sikap dwistandard pembangkang. Pemimpin PKR, Pas dan DAP hanya menutup mata jika sesuatu skandal itu melibatkan mereka walaupun ia melibatkan wang rakyat. Contonya mengapa pembangkang cuba menutup skandal penternakan lembu Kedah Corporation Berhad (KCB) bernilai RM1 juta yang mempunyai persamaan dengan kes NFC. Sedangkan sebelum ini pemimpin pembangkang begitu ghairah dan cukup bernafsu mendedahkan kontroversi projek NFC sehingga pelbagai tuduhan dan fitnah dilemparkan terhadap kerajaan. Mengapa pembangkang senyap dan membisu walaupun projek bernilai RM1 juta itu mungkin nampak kecil tetapi sebenarnya ia 0.10 peratus daripada bajet Kerajaan Negeri Kedah yang berjumlah RM1 bilion. Peratusan itu sama dengan kes NFC yang juga 0.10 peratus berbanding bajet Kerajaan Pusat. Ini skandal besar bagi sebuah negeri yang memiliki ekonomi seperti Kedah. Dengan keputusan kerajaan bersetuju KASB mengambil alih projek NFC pada 19 April lalu; dan keputusan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bahawa tiada pembabitan salah guna kuasa oleh Shahrizat membabitkan pemberian pinjaman RM250 juta maka Peguam Negara membuat keputusan supaya kes itu ditutup dan diumumkan oleh badan bebas, Panel Penilaian Operasi pada 31 Mei 2012 - maknanya tiada asas untuk pembangkang mainkan isu NFC dalam kempen PRU-13 ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |