Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Berhenti pupuk politik kebencian Posted: 25 Apr 2013 01:10 PM PDT Oleh NURUL ANUAR KARI DALAM sejarah 56 tahun kemerdekaan Malaysia, rakyat melihat tempoh pilihan raya umum (PRU) sebagai masa untuk calon-calon parti politik di negara ini bersaing mendapatkan undi melalui kempen, manifesto dan janji-janji manis. Sepanjang tempoh penamaan calon, minggu berkempen mahupun hari mengundi, semuanya berlalu secara aman dengan pihak yang akhirnya menjadi pilihan majoriti rakyat diangkat sebagai pemimpin untuk satu penggal sementara yang kalah menerimanya secara berhemah. Namun, sejak PRU 2008, ketenteraman dalam menghadapi pilihan raya semakin terhakis dan rakyat khususnya pengundi, mulai gusar dan bimbang sama ada PRU-13 ini akan mencatat sejarah sebagai tempoh pilihan raya paling ganas. Walaupun sejak 2008 lagi sudah bermacam huru-hara jalanan melanda negara akibat agenda peribadi pihak tertentu, PRU-13 juga tidak terkecuali dengan pelbagai kejadian seperti menyamar sebagai pegawai pemerhati semasa penamaan calon, membakar atau merosakkan bendera parti lawan mahupun pekerja ditetak dan dilanggar ketika memasang bendera parti. Siri 'keganasan' itu semakin memuncak apabila markas parti politik dibakar, bilik gerakan parti dibaling bom petrol dan terkini letupan bom 'profesional' ketika ceramah sehinggakan ada yang cedera. Ini belum mengambil kira ugutan ke atas calon-calon yang bertanding mahupun memutar fakta bagi mengelirukan orang ramai sehinggakan 632 kes dicatatkan polis setakat ini termasuk 22 tangkapan dan beberapa kes sudah didakwa di mahkamah. Ketika rakyat masih bimbang dengan perkembangan pengganas Kiram di Sabah, nampaknya ada pula anasir dalaman yang turut 'menyumbang' kepada tindakan untuk menghuru-harakan negara. Nyata sekali semua yang dilakukan adalah cubaan sabotaj dan menimbulkan huru-hara untuk menakutkan pengundi daripada keluar mengundi atau mungkin sebagai satu taktik mencabar keputusan PRU-13 yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti yang pernah didedahkan sebelum ini. Paling dibimbangi rakyat, jika bermulanya balas-membalas di antara kem-kem politik yang 'main kasar' sehingga memudaratkan lagi keadaan mahupun membawa kepada pertumpahan darah. Pemerhati politik, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling memaklumkan apa yang berlaku sejak mulanya kempen PRU-13 tidak pernah berlaku dalam PRU terdahulu khususnya menggunakan keganasan untuk mendapat kuasa. "Dahulu kalau ada pun sikit-sikit sahaja seperti buang bendera, tidak ada yang lempar bom, bakar, langgar orang, halang rumah orang. Nampaknya ada yang sudah mendidik pengikut mereka menjadi pengganas "Cuma sejak 2008 macam-macam cara ganas digunakan termasuk menghalang kereta Raja (Perak). Ini tindakan orang yang terdesak kerana tahu mereka semakin hilang sokongan," katanya. Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia menolak sebarang tindakan ganas terhadap mana-mana pihak sekalipun sepanjang tempoh PRU-13 berjalan. Tegas beliau, sepatutnya seluruh rakyat Malaysia sudah boleh mengamalkan demokrasi secara matang selepas lebih 50 tahun negara merdeka, bukannya mengikut cara seperti di Pakistan, Afrika dan rantau Arab. "Kita sepatutnya sudah boleh mengiktiraf perbezaan ideologi atau pendapat antara satu sama lain, tak perlu gunakan keganasan dalam apa bentuk sekalipun. "Yang jadi mangsa pula, janganlah balas, kena bertindak secara matang. Lapor kepada polis, kalau mampu boleh tangkap tapi perlu ikut undang-undang," ujarnya. Beliau turut mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa Malaysia mempunyai undang-undang pilihan raya yang boleh digunakan terhadap pihak yang terlibat. "Saya harap polis bertindak tegas, ada pun yang sudah masuk ke mahkamah. Pengundi pula perlu menolak golongan yang gunakan keganasan sebegini kerana jelas mereka jenis manusia yang tidak hormati undang-undang. "Ingatlah, kalau golongan jenis ini yang menang, dia akan tindas rakyat kelak," tegasnya. Penganalisis politik, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan pula mengingatkan para pengundi agar tidak gentar untuk keluar mengundi dan menjalankan tanggungjawab masing-masing memilih pemimpin negara. "Tugas kita selaku pengundi adalah tentukan siapa pemerintah, kalau takut keluar mengundi maka kita gagal menjalankan tugas itu. "Perlu faham, PRU ini adalah kemuncak proses demokrasi apabila rakyat memilih daripada barisan calon-calon parti politik. Undi kita penting dalam sistem demokrasi ini," katanya. Beliau turut kesal dengan apa yang berlaku sejak bermulanya kempen PRU-13 sedangkan angka 13 itu sepatutnya sudah meningkatkan kematangan demokrasi negara. "Pengikut mahupun parti politik itu sendiri tidak sepatutnya buat semua bentuk keganasan ini. Negara kita aman makmur, kenapa perlu lagak samseng, marah-marah, tengking, sampaikan ada yang baling mercun. "Bom molotov, bakar bilik gerakan, tetak orang, turunkan bendera parti lawan, sepatutnya semua ini tak berlaku. Inilah akibatnya kalau terlalu taksub atau digelar assabiyah kepada calon mahupun parti," dakwanya. Tambahnya, perkara sedemikian tidak pernah berlaku dalam kempen PRU terdahulu dan kebiasaannya masalah timbul semasa pilihan raya kecil memandangkan fokus semua pihak cuma di satu kawasan. Jelasnya, apa yang berlaku dalam tempoh berkempen PRU-13 mungkin disebabkan memuncaknya assabiyah memusuhi Barisan Nasional (BN) mahupun ada perancangan untuk menghalang orang ramai keluar mengundi. "Masyarakat kita rata-rata sudah terdidik dan didedahkan kepada media asing, dapat lihat dunia luar. Sepatutnya mereka tidak akan buat perkara seperti itu. "Tapi, mungkin juga semua itu sengaja dilakukan mengikut perancangan untuk menakut-nakutkan orang ramai. Ini tidak patut berlaku jika betul-betul mahukan demokrasi, janganlah kemudahan negara sahaja kelas pertama tapi pemikiran mereka masih kelas ketiga" ujarnya. Zainal Abidin turut menasihatkan mereka yang menjadi mangsa taktik ganas pihak terbabit agar tidak membalas mahupun berdendam sebaliknya laporkan kepada polis dan biarkan pihak berkuasa menyiasat dan bertindak. "Maafkan sajalah, sedangkan mangsa bom tempoh hari masih mahu teruskan berkempen. Jangan berdendam atau membalas. "Pemimpin politik pula, janganlah bakar semangat dendam dalam kalangan pengikut, kalau menang nak penjarakan orang, nak halang jet peribadi keluar. Kata hormati proses pilihan raya aman tetapi masih memupuk politik kebencian," tegasnya. |
Mazlan-Anwar: Pertarungan buku-ruas Posted: 25 Apr 2013 01:10 PM PDT AMAT menarik pertarungan politik Dr. Mazlan Ismail- Anwar Ibrahim di Parlimen Permatang Pauh. Latar belakang tokoh yang mempertaruhkan diri dengan seorang tokoh kontroversial Anwar wajar diberikan fokus. Dr. Mazlan, seorang profesional dan memiliki jiwa agama yang tinggi, boleh menjadi imam dan bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang. Beliau orang profesional dan memiliki kelulusan akademik yang tinggi. Beliau anak tempatan dan telah lama mengenali kampung halamannya dan derita rakyat di situ. Beliau tahu sejak Anwar menjadi wakil rakyat, kekerapan kembali ke kawasan boleh dibilang. Orang Melayu Pulau Pinang menghadapi pelbagai kesulitan dan tekanan. Puncaknya ialah pengunduran Mohammad Fairuz Khairudin daripada jawatan Timbalan Ketua Menteri. Anwar kini sedang tertekan dengan situasi politik pakatan pembangkang. Pas diketahui semacam menolak Anwar untuk menjadi Perdana Menteri. Lim Kit Siang akhirnya tahu bahawa meletakkannya bertanding di Parlimen Gelang Patah sesuatu yang tidak mengenakkan. Anwar yang patut bertanding di luar kawasan Permatang Pauh tiba-tiba kembali semula ke Permatang Pauh. Hasratnya ingin keluar dari Permatang Pauh mungkin menyedari Dr. Mazlan akan bertanding di situ. Dr. Mazlan bukan calang-calang calon. Dengan latar belakang Pas yang ada padanya, kalau tidak semua penyokong Pas menyokongnya sebahagian akan membantu, sokongan daripada warga BN akan membantunya dan ia boleh menimbulkan upset di Permatang Pauh. Ada orang memberi analisis bahawa Pas semacam tidak memperlihatkan tentangan terhadap kehadiran Dr. Mazlan di situ. Apakah bila Pas tidak setuju Anwar menjadi Perdana Menteri maka lebih bijak mengalahkannya di Permatang Pauh daripada kalau menang nanti menentukan calon Perdana Menteri menjadi lebih sukar pula. Ada khabar mengatakan DAP mahukan Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri. Kalau khabar ini jelas, ia suatu pukulan kepada Anwar kerana cita-cita peribadinya itu bakal berakhir di Permatang Pauh saja. Badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan bekas rakan lama Anwar khabarnya akan berkampung di Permatang Pauh. TIBAI, Jati, Muafakat dan banyak lagi akan berada silih berganti di Permatang Pauh. Anwar tentu tidak akan duduk diam, antara meraikan undangan di tempat lain di seluruh negara dengan menjaga kawasan sendiri, Anwar kena membuat pilihan bijak. Bagi Dr. Mazlan menganggap perlawanannya dengan Anwar adalah suatu jihad untuk mengembalikan imej pemimpin berintegriti supaya arah pimpinannya jelas dan berwibawa. Imej Anwar terlalu banyak tercalar. Dalam kalangan yang sudah tahu mengambil tekad meninggalkannya. Dr. Mazlan tentu berada dalam kalangan yang tahu dan membuat ijtihad menentangnya. Ini suatu keberanian yang tinggi martabatnya. Politik Malaysia memerlukan tokoh yang cakapnya serupa bikin. Pemimpin Malaysia yang dikehendaki ialah pemimpin yang tidak dilingkari seribu satu calaran imej yang tidak mampu dileraikan dan memiliki imej berlakon yang melampau. Lebih-lebih lagi pemimpin yang dikaitkan dengan pluralisme agama, LGBT, menyalahgunakan kalimah Allah, mempunyai kaitan dan rangkaian hubungan dengan pihak luar negara dan suatu ketika dalam ABIM bercakap tentang Islam dan dalam UMNO mengkritik pihak di luar UMNO dengan kritikan yang pedas dan bila berada dalam Pakatan membidas UMNO dan BN dan didapati bercanggah dengan apa yang diucapkan dulu. Orientasi politik Malaysia bukan orientasi politik jalanan atau cita-cita membawa faham Arab Spring ke Malaysia. Perubahan rejim yang diinginkan oleh Anwar tidak serasi dengan iklim politik Malaysia yang stabil dan maju. Oleh itu Dr. Mazlan mempunyai bahan kempen yang terlalu banyak sama ada merujuk kepada fahaman tiga parti dalam Pakatan yang satunya memperjuangkan negara Islam, yang satu lagi memperjuangkan fahaman sosialis demokratik chauvanis ala Malaysian Malaysia dan yang satu lagi mendukung fahaman liberal dan pluralisme agama. Dengan dukungan rakan-rakan setempat dan NGO dari luar, Dr. Mazlan bakal mempunyai isu yang banyak tidak saja domestik Permatang Pauh tetapi juga isu-isu nasional dan antarabangsa yang sangat sensitif bagi keselamatan dan integriti Malaysia masa depan. Didoakan Dr. Mazlan mampu melakukan suatu kejutan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |