Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Posted: 14 Apr 2013 12:20 PM PDT Oleh NURUL HUDA HASSAN Dari kiri, Mohd. Farid, Muhammad Nazri, Leonel Jorge Nunez, Andre Francisco William serta Jasazrin yang akan memikul cabaran pasukan Johor Darul Takzim dalam saingan Liga Super musim ini. Mereka diperkenalkan kepada peminat dii Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN JOHOR BAHRU - Johor Darul Takzim mempertaruhkan pemain import baharu dari Argentina, Leonel Jorge Nunez bagi memperkukuhkan jentera serangan pasukan itu mengharungi baki saingan Liga Malaysia 2013. Bekas pemain Argentinos Juniors berusia 29 tahun itu mengikat kontrak dengan jumlah gaji yang tidak didedahkan bersama pasukan tersebut dan bakal beraksi sehingga akhir musim ini menggantikan tempat Daniel Guiza. Nunez yang berasal dari Buenos Aires diperkenalkan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dalam satu majlis di Stadium Tan Sri Hassan Yunos dekat sini, semalam. Pemain yang mempunyai ketinggian 1.83 meter itu pernah beraksi bersama pasukan Olympiacos, Independiente serta Bursaspor. Selain Nunez, PBNJ turut memperkenalkan empat pemain baharu iaitu Andre Francisco Da Silva (tengah), Mohd. Farid Ramli (pertahanan), Muhammad Nazri Ahmad (pertahanan) dan Jasazrin Jamaluddin (tengah). Kempat-empat pemain yang beraksi bersama pasukan Johor dalam saingan Liga Perdana sebelum ini sudah membuat penampilan pertama dengan Johor Darul Takzim ketika menentang Terengganu 12 April lalu yang menyaksikan pasukan itu menang 1-0. Pengumuman pengambilan Andre dan Nunez itu sekali gus melengkapkan kuota pemain import pasukan Johor Darul Takzim. Timbalan Presiden PBNJ, Datuk Obet Tawil berkata, jika semua berjalan lancar termasuk urusan sijil perpindahan antarabangsa (ITC), Nunez bakal diturunkan untuk perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Selangor 16 April ini. "Pihak PBNJ berharap kehadiran kelima-lima pemain baharu itu dapat memperkukuhkan lagi pasukan dalam segenap aspek sekali gus mempertingkatkan lagi mutu persembahan Johor Darul Takzim dalam usaha memburu kemenangan musim ini," katanya. |
Nunez berazam jadi penyerang hebat Posted: 14 Apr 2013 12:20 PM PDT JOHOR BAHRU - Penyerang import baharu Johor Darul Takzim, Leonel Jorge Nunez bersedia memberi tentangan hebat kepada pasukan lawan sekali gus memastikan kemenangan pasukan setiap kali beraksi. Biarpun tidak berapa dikenali, pemain yang memulakan karier bola sepaknya bersama Argentinos Juniors itu akan berusaha menyesuaikan diri dengan rakan-rakan yang lain bagi membentuk satu pasukan mantap. Nunez yang berasal dari Argentina itu juga bersedia untuk meledakkan gol untuk pasukan, namun tidak menetapkan sebarang sasaran gol kerana yang penting berusaha untuk Johor Darul Takzim menjulang piala musim ini. Pada masa sama, pemain berusia 29 tahun itu juga meminta semua pihak termasuk penyokong tidak membandingkan dirinya dengan bekas pemain import Johor Darul Takzim dari Sepanyol, Daniel Guiza. "Kami adalah dua individu yang berbeza. Saya tidak mahu dibandingkan bersamanya, namun saya memiliki keazaman selaku penyerang seperti dia (Guiza) untuk menghasilkan gol demi kemenangan pasukan. "Saya gembira dan saya mempunyai harapan besar datang ke sini untuk bersama-sama pasukan ini," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Memperkenalkan Pemain Baharu Johor Darul Takzim di sini, semalam. Nunez memulakan karier profesional bersama Argentinos Juniors pada tahun 2004 hingga 2007 sebelum bersama Olympiacos (2007-2008) serta Independiente (2008-2010). Dia kemudiannya memilih kelab Turki, Bursaspor (2010) untuk meluaskan pengalaman dalam kariernya sebelum kembali menyarung jersi Independiente (2011) dan Argentinos Juniors (2012-2013). Katanya, keputusan untuk menyertai Johor Darul Takzim dibuat selepas mendengar perancangan masa depan pasukan selain diberitahu mengenai gelombang perubahan demi misi memburu kejayaan dalam saingan Liga Malaysia. Pada masa sama, dia juga tertarik dengan pihak pengurusan yang mempunyai pentadbiran tersusun selain mempunyai penyokong yang memenuhi stadium yang mampu menaikkan semangat seseorang pemain. "Saya berharap tidak akan menghampakan semua pihak dengan memberi persembahan terbaik pada setiap perlawanan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |