Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Posted: 06 Apr 2013 11:59 AM PDT Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR, SHAHRINNAHAR LATIB dan YATIMIN ABDULLAH Pemain Selangor, Peter Chrappan menanduk bola keluar dari kawasan bahaya pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Larkin, malam tadi. - MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI JOHOR BAHRU - Johor Darul Takzim gagal mempertahankan rekod tanpa kalah di laman sendiri, sebaliknya Selangor membawa pulang bekalan selesa ke Shah Alam selepas menang 2-1 dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam. Aksi terakhir dua pemain import Johor Darul Takzim, Daniel Guiza dan Simone Del Nero nyata mengecewakan selepas kedua-dua pemain gagal membantu mencipta jaringan gol. Selangor hampir mengejutkan pasukan tuan rumah seawal minit ketiga perlawanan menerusi tandukan deras pemain import, Peter Chrappan, namun ketangkasan penjaga gol Zaulfadli Mohamed menafikan percubaan itu. Pasukan pelawat akhirnya membuka tirai jaringan pada minit ke-14 menerusi rembatan deras Mahali Jasuli yang berjaya menewaskan Zulfadli. Tiga minit kemudian, pasukan Harimau Selatan memiliki peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma selepas G. Gurusamy menjatuhkan Nurul Azwan Roya di luar kotak penalti, namun kapten pasukan, Safiq Rahim gagal memanfaatkan peluang itu. Pasukan bimbingan Fandi Ahmad memiliki dua peluang terbaik menerusi Guiza pada minit ke-32, namun rembatannya dari jarak 30 meter dan rembatan deras Mohamad Muslim Ahmad seminit selepas itu berjaya diselamatkan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali. Separuh masa kedua menyaksikan pasukan tuan rumah lebih banyak mengasak bagi mencari gol penyamaan dan hasilnya pada minit ke-55, Johor dihadiahkan sepakan penalti selepas Safee Sali dijatuhkan Mohd. Asarudin Putra Omar, namun rembatan Guiza berjaya ditepis Norazlan. Johor terus tertekan apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain pada minit ke-63 apabila Irfan Abd. Ghani dilayangkan kad kuning kedua selepas mengasari Gurusamy. Mohd. Amri Yahyah turut mencatatkan nama selaku penjaring pada pertemuan itu apabila berjaya mencipta jaringan pada minit ke-68 hasil hantaran Francis Forkey Doe yang berjaya memperdayakan pertahanan serta penjaga gol tuan rumah. Tuan rumah akhirnya memperolehi gol tunggal pada minit ke-81 apabila pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti selepas Mohd. Nasriq Baharom menjatuhkan Safee Sali dan Safee berjaya menewaskan Zulfadli menjadikan kedudukan 1-2. Sementara itu, di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan berjaya memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri dengan meraih kemenangan 2-1 menewaskan Sarawak. Kemenangan tersebut membolehkan Kelantan beraksi untuk perlawanan suku akhir kedua Piala FA dengan lebih selesa pada 16 April ini. Dalam pada itu, pada aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan menyaksikan Pahang dan Sime Darby sekadar terikat tanpa jaringan sekali gus memerlukan kedua-dua pasukan bekerja keras pada perlawanan kedua nanti. Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, tuan rumah, Negeri Sembilan terpaksa akur dengan kekalahan kepada Terengganu dengan keputusan 1-3 di laman sendiri. |
Chong Wei tumbang kepada pemain muda China Posted: 06 Apr 2013 11:59 AM PDT Oleh ZAZALI JAMIAN KUALA LUMPUR - Malaysia mengakhiri cabaran badminton Terbuka Australia selepas Datuk Lee Chong Wei tumbang mengejut kepada pemain yang menghuni ranking 196 dunia, Tian Houwei pada separuh akhir di Sydney, semalam. Houwei, 21, pemain muda China yang pernah menjulang gelaran remaja dunia pada 2009 mara daripada peringkat kelayakan pada kejohanan ini. Dia yang tidak pernah bersemuka dengan Chong Wei sebelum ini mengheret pemain No. 1 dunia itu untuk bermain rubber set sebelum menang 19-21, 21-17, 18-21. Sementara itu, jurulatih pemain perseorangan negara, Tey Seu Bock berkata, kekalahan Chong Wei mungkin ada kaitan dengan tahap kesihatan pemain itu yang tidak begitu sihat sebelum ini. "Dari segi latihan memang ada mengganggu kerana sebelum ini dia tidak sihat dan kejohanan ini saya lebih anggap sebagai latihan buatnya untuk mempelbagaikan corak permainannya. "Saya juga memuji aksi yang dipamerkan oleh pemain China tersebut (Tian Houwei) kerana telah bermain dengan berani dalam permainan tersebut dan saya juga tidak menjangka dia mampu bermain dengan sehebat itu," kata Seu Bock. Pada perlawanan tersebut Chong Wei dikerah bekerja keras dengan mata yang tidak terlalu jauh sebelum akur kepada lawannya. Kemenangan yang diraih Tian Houwei membolehkannya melangkah ke saingan akhir menentang rakan senegara, Song Xue. Song Xue yang juga bukan pemain pilihan kejohanan turut membuat kejutan apabila menguburkan impian pemain pilihan ke-12, Alamsyah Yunus dari Indonesia 21-10, 18-21, 21-15. Sementara itu, harapan untuk melihat pasangan beregu negara, Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari mengibarkan Jalur Gemilang di pentas akhir turut musnah apabila mereka tewas kepada Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia 18-21, 18-21. Kekalahan tersebut juga melepaskan peluang mereka untuk mencari tiket ke Kejohanan Dunia. Ahsan-Hendra akan menentang pilihan kedua kejohanan yang juga rakan senegara, Angga Pratama-Ryan Agung Saputra. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |