Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Posted: 08 Apr 2013 12:55 PM PDT Oleh NORZIE MOHD. KHASBI ZAKRY (kiri) dan Fairuzizuan hampir pasti akan memintas V Shem-Khim Wah apabila ranking terbaharu dunia keluar, Khamis ini menjadikan peluang mereka untuk ke Kejohanan Dunia di Guangzhou semakin cerah. KUALA LUMPUR - Biarpun belum mengibar bendera putih, namun ketua jurulatih beregu negara, Tan Kim Her mengakui, kelebihan untuk mengisi slot terakhir Kejohanan Dunia kini dimiliki oleh pasangan KLRC, Mohd. Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari ekoran prestasi hambar anak buahnya, Goh V Shem-Lim Khim Wah pada Terbuka Australia. Zakry-Fairuzizuan hampir pasti akan memintas V Shem-Khim Wah apabila ranking terbaharu dunia keluar, Khamis ini selepas melangkah ke separuh akhir Terbuka Australia, pada ketika gandingan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu pula tersingkir seawal pusingan kedua. Walaupun V Shem-Khim Wah memiliki kelebihan satu kejohanan berbanding pesaingnya, kerana turut disenarai ke Kejohanan Asia di Taiwan, 16-21 April ini, namun itu bukan jaminan mereka mampu mengutip mata yang mencukupi untuk membuat penampilan sulung pada Kejohanan Dunia di Guangzhou, Ogos nanti. Pasangan muda negara itu tidak boleh menerima keputusan selain daripada memasuki final apabila beraksi pada Terbuka New Zealand yang bermula esok atau hanya menyempitkan lagi peluang. "Saya tengok peluang V Shem-Khim Wah untuk mengisi slot terakhir Kejohanan Dunia memang susah selepas mereka gagal meraih keputusan baik di Australia. Sekarang semua bergantung kepada apa yang boleh mereka lakukan di New Zealand atau Kejohanan Asia nanti. "Sudah pasti Zakry dan Fairuzizuan akan potong V Shem-Khim Wah sebaik sahaja tamat Terbuka New Zealand, kecuali kalau anak-anak buah saya berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir. Jadi, final patut menjadi sasaran paling minimum untuk mereka di sini (New Zealand)," ujar Kim Her. Pada Terbuka New Zealand, V Shem-Khim Wah diletak sebagai pilihan kedua dan akan memulakan aksi dengan menentang Lin Yen Jui-Wang Chih Hao dari Taiwan, manakala Zakry-Fairuzizuan, yang turun sebagai pilihan ketiga bermula dengan berdepan satu lagi beregu Taiwan, Cheng Po Wei-Lin Yu Hsieh. Zakry-Fairuzizuan tidak akan beraksi pada Kejohanan Asia, pertandingan terakhir untuk mencari mata kelayakan, sebaliknya V Shem-Khim Wah bakal mengetuai skuad muda negara. Laluan mereka bagaimanapun amat getir kerana akan berdepan Maneepong Jongjit-Nipitphon Puangpuapech di pusingan pertama. Jika berjaya melepasi beregu Thailand itu, juara All England, Liu Xiaolong-Qiu Zihan dari China bakal menanti, manakala Eun-Baek Cheol pula lawan akan ditemui pada pusingan seterusnya. "Suku akhir adalah sasaran minimum buat mereka pada Kejohanan Dunia tetapi kalau hendak selamat, mereka kena mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir. Namun, laluan tidak mudah dan saya harap ada kejutan mampu dilakukan,'' tambah Kim Her lagi. Malaysia boleh menghantar maksimum tiga beregu pada Kejohanan Dunia andai pasangan mereka berada dalam kelompok 24 terbaik dunia pada ranking hujung bulan ini. Beregu No. 2 dunia, Koo Kien Keat-Tan Boon dan pasangan No. 7 dunia, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong hampir pasti mengesahkan tiket, tetapi slot terakhir menjadi perebutan antara V Shem-Khim Wah (No. 14), Zakry-Fairuzizuan (No. 16) dan Gan Teik Chai-Ong Son Hock (No. 19). |
Posted: 08 Apr 2013 12:55 PM PDT Oleh FERZALFIE FAUZI (Dari kiri) pemain Selangor, Asraruddin Putra Omar, pemain tengah Sai Gon, Oloya Moses, Tran Tien Dai serta Irfan Bakti bersalaman antara satu sama lain selepas sidang akhbar Piala AFC di Shah Alam, semalam. Kedua-dua pasukan akan berentap hari ini. SHAH ALAM - Tidak ada perkara lain dalam fikiran jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim selain mencatat kemenangan ke atas Sai Gon Xuan Thanh pada perlawanan Piala AFC peringkat kumpulan hari ini. Menurut Irfan Bakti, mereka masih lagi boleh memikirkan tentang mara ke pusingan kedua Piala AFC tetapi dengan syarat mencatat kemenangan seterusnya beraksi dengan baik pada baki dua perlawanan lagi. "Kita perlu buat yang terbaik, tiga perlawanan sebelum ini kita hanya meraih satu mata sahaja, jadi untuk baki tiga perlawanan lagi kita harus mencatat kemenangan. ''Sebenarnya ketika menentang Sai Gon tempoh lalu kita boleh mencatat kemenangan tetapi hilang konsentrasi menyebabkan kita gagal berbuat demikian," katanya pada sidang akhbar di Stadium Shah Alam, semalam. Pada tiga perlawanan sebelum ini, Selangor hanya mencatat sekali seri ketika bertemu Tampines Rovers dan dua kali tewas kepada Sai Gon dan juga East Bengal, menyaksikan mereka menduduki tempat ketiga Kumpulan H. "Saya yakin jika berjaya mencatat kemenangan ke atas Sai Gon esok (hari ini) kita mampu untuk melakukan sesuatu pada dua perlawanan selepas itu, walaupun East Bengal adalah pasukan paling bagus dalam kumpulan ini. "Pemilihan pemain akan dilakukan dengan teliti kerana jadual pertandingan baik peringkat Asia mahupun domestik sangat padat. Saya akan merehatkan pemain utama, tetapi pemain yang diturunkan esok masih mampu untuk melakukan sesuatu," katanya. Irfan Bakti menjelaskan bahawa dua pemain import mereka, Peter Chrappan dan Michal Kubala akan diturunkan dalam perlawanan hari ini, manakala pemain tengah, K. Gurusamy sudah sepertinya tidak beraksi kerana mengalami masalah kecederaan. Kedudukan ketua pasukan, Mohd Asraruddin Putra Omar juga masih lagi menjadi tanda tanya, sama ada akan diturunkan atau pun tidak kerana memikirkan tentang jadual perlawanan domestik yang perlu diharungi mereka selepas ini. Selangor akan bertemu Felda United dalam saingan Liga Super Sabtu ini, selepas itu mereka akan menentang Johor Darul Takzim bagi perlawanan Piala FA di Stadium Shah Alam. Sementara itu, Asraruddin berkata, dia yakin dengan komitmen rakan-rakannya yang akan mengulangi persembahan terbaik ketika mereka mencatat kemenangan suku akhir pertama Piala FA menewaskan Johor DT 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu lalu. "Komitmen antara pemain utama dan simpanan adalah sama bagus, jadi saya yakin kami mampu meraih tiga mata di sini, walaupun pasukan lawan mempunyai pemain import yang bagus," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |