Harian Metro: Hati
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Hati |
Posted: 23 May 2013 03:54 PM PDT Matanya bersinar tatkala bercakap mengenai seni lukisan kaca bertemakan lautan, malah menceritakan secara mendalam mengenai setiap pengalaman ketika menjengah ke dasar laut di beberapa kawasan menyelam terkenal di dalam dan luar negara. Mengenalinya secara lebih dekat, nyata pemilik nama Zuzila Zain, 43, bukan sekadar pelukis berbakat, tetapi juga mempunyai jiwa yang tabah dalam melalui liku hidup penuh cabaran. Semuanya diterima dengan hati tabah dan diolah menjadi aur positif, kemudiannya dipantulkan sepenuh jiwa ke dalam hasil seni yang dapat menarik perhatian sesiapa yang memandang. "Memang ada masa kita akan berasa kecewa, marah dan sedih apabila datang cabaran dalam hidup, tetapi kita kena reda. Pada saya usaha dan tawakal perlu seiring; dan ia elemen yang sangat penting dalam kehidupan ini. TEMA laut jadi keutamaan karya Zuzila.
Ini kerana katanya, seni berkenaan agak sukar serta berbahaya kerana menggunakan peralatan yang tajam. Malah serbuk kaca yang halus boleh menyebabkan masalah kesihatan serius sekiranya langkah keselamatan tidak ambil. Keadaan itu menjadikannya kurang popular di kalangan artis wanita namun baginya, selain melukis dia amat tertarik dengan kerja pertukangan atau bidang yang ekstrim, kerana ia menepati jiwanya. Malah lukisan yang dihasilkan di atas kanvas turut mendapat sentuhan kerja pertukangan apabila Zuzila memotong dan membentuk kayu hingga menyerupai hidupan laut, sebelum ditampal pada lukisannya. Ia menjadikan hasil kerja wanita itu unik dan menarik, malah mempunyai peminat tersendiri yang tidak teragak-agak mengeluarkan wang untuk mendapatkan kerja seninya biarpun ada yang mencecah ribuan ringgit. "Saya juga seorang penyelam profesional dan mengajar kanak-kanak untuk menyelam. Saya gemar pergi ke tempat menarik dan menyelam di sana kerana sentiasa rasa takjub dengan kehidupan di dalam laut. "Biarpun sudah beberapa kali pergi ke tempat sama sepanjang lima tahun aktif dalam skuba tetapi setiap kali menyelam, pemandangannya berbeza. Setiap kali menyelam ia memberikan pengalaman baru kepada saya. "Ketenangan yang saya rasakan ketika menyelam dan pemandangan indah yang dilihat dalam laut itu digabungkan bersama karya seni saya," katanya. Malah Zuzila turut menggemari aktiviti menyelam pada waktu malam kerana tertarik dengan keadaan dan jenis hidupan laut yang keluar pada ketika itu berbeza dengan pemandangan pada waktu siang. Turut menerima tempahan daripada pelanggan, setiap karya seni Zuzila mengambil tempoh antara satu hingga dua minggu untuk dihasilkan bergantung kepada kerumitan dan juga idea yang datang. Antara teknik lukisan yang digunakannya adalah 'scribble', pindah kolaj, pindah foto, ukiran kayu atas kanvas dan seni kaca yang menggabungkan beberapa jenis dan warna kaca untuk membentuk lukisan. Warna terang juga mendominasi hasil kerja Zuzila memandangkan menurut wanita itu, dia memang menggemari warna sebegitu kerana ia seolah-olah memberi satu nafas kehidupan dan nampak bersemangat. Bagi seni kaca, Zuzila berkata, dia akan memotong dan menyusun semua kaca di tempat yang dimahukan, kemudian ia akan dimasukkan dalam ketuhar dan dibakar pada suhu sehingga 1,200 darjah Celsius. "Ada antara seni kaca saya ditempah untuk dijadikan hiasan dinding dan ada juga yang mahu ia dibentuk menjadi mangkuk hiasan. Saya memilih warna terang kerana ia nampak cantik dan saya mahu setiap orang yang melihat hasil saya akan berada gembira dan terhibur. Saya mahu orang rasa teruja setiap kali melihat karya saya," katanya. Selain mendapat tunjuk ajar dari Raja Azhar, Zuzila pernah mengikuti kelas seni kaca di Canberra, Australia. Semua kaca yang digunakannya diimport khas dari Australia kerana kualitinya yang tinggi. Pemilihan tema laut dalam karya seninya juga mempunyai mesej tersendiri kerana Zuzila berharap ia akan meniup semangat cintakan khazanah laut selain meningkatkan kesedaran untuk menjaga alam sekitar sebaiknya. Masa lapangnya juga banyak dihabiskan dengan mengajar kanak-kanak sekolah cara melukis atau membuat kraf di Balai Seni Visual Negara dan Galeri Petronas, malah turut ke sekolah pendidikan khas dan melukis mural bersama-sama pelajar. Katanya, dia gemar menghabiskan masa bersama kanak-kanak kerana golongan cilik itu mampu memberikan inspirasi kepadanya untuk berkarya dengan lebih yakin. Selain melukis dan menyelam, Zuzila juga suka memasak untuk menjamu rakan-rakan dan keluarga, serta sering melancong sama ada bersendirian atau bersama teman yang ditemui di luar negara. "Saya sanggup mengambil cuti sebulan dan pergi melancong. Saya gemarkan pelancongan bajet kerana ia lebih mencabar dan memberi satu pengalaman yang sukar dilupakan. "Bila melancong kita dapat berkenalan dengan bangsa lain, belajar sesuatu dan mengenali budaya mereka. Namun sebagai seorang Islam, kita kena teguh menjaga solat biarpun di mana pun kita berada. "Mereka menghormati kita kerana kita ada prinsip dan melancong juga akan membantu menguatkan semangat dan menjadikan kita lebih berani berhadapan dengan sesiapa saja," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/22 |
Posted: 22 May 2013 05:18 AM PDT Julia Gillard adalah wanita cekal yang mendapat pujian antarabangsa atas kecaman berapinya terhadap sikap sesetengah pihak yang suka merendahkan kedudukan serta martabat kaum wanita, namun rata-rata pengundi masih belum dapat memahami atau menerima sepenuhnya sisi feminis beliau sebagai Perdana Menteri wanita pertama Australia. Sifat kerasnya sebagai feminis dapat dilihat apabila ahli politik dari Parti Buruh Australia itu berjaya mematahkan cabaran terbaru terhadap kepimpinan beliau baru-baru ini dalam gaya yang menunjukkan kebangkitan kuasanya selepas memegang tampuk pemerintahan sejak 24 Jun 2010. Selepas berminggu spekulasi berkisar mengenai kejatuhannya, Gillard berdiri di dalam Parlimen dan memberitahu pembangkang supaya bersedia sebelum berhadapan dengan pemberontakan dalaman partinya. Malah, Gillard, 52, yang terkenal dengan sikapnya yang pragmatik dan berakal tinggi pernah menggelar pembangkang, Tony Abbott sebagai 'ulat selesema' dan rakan Abbot, Christopher Pyne, sebagai 'anak anjing pencincang'.
"Saya tidak akan diberi syarahan mengenai seksisme atau kebencian terhadap wanita oleh lelaki ini. Kerajaan juga tidak akan diberi syarahan mengenai seksisme atau kebencian terhadap wanita oleh lelaki ini. Tidak sekarang, tidak selamanya," kata wanita berusia yang berjaya menaiki tangga parti politik yang dikuasai oleh golongan lelaki. Ucapannya itu serta-merta menjadi sensasi dan membuatkan Gillard dikagumi ramai termasuklah majalah serta blog feminis yang memuji Perdana Menteri Australia itu. Kejadian itu sedikit sebanyak melonjakkan namanya ketika undian dilakukan namun bekas peguam itu masih berhempas-pulas untuk memenangi pendapat awam mengenai dirinya. Menurut satu bancian yang dijalankan syarikat maklumat global, Nielsen, Gillard tidak pernah menang dalam pendapat awam sejak pilihan raya terakhir pada 2010. Segala perkara mengenai dirinya daripada slanga Australia sehingga minatnya kepada jaket berwarna putih mendapat kritikan hebat. Dia juga dituduh sengaja memandulkan diri kerana tidak mempunyai anak. Gillard tinggal bersama pasangannya, bekas pendandan rambut, Tim Mathieson. Apabila dia menarik balik ikrar yang dibuat pada pilihan raya mengenai cukai karbon, Gillard dikecam teruk dan dilabel sebagai penipu. Perhimpunan juga diadakan oleh penunjuk perasaan yang turut membawa sepanduk yang tertera ayat 'singkir ahli sihir itu'. Namun wanita kelahiran pendatang dari Wales itu mempunyai kekuatan dalaman dan ketenangan yang menyerlahkan lagi nilai kepimpinannya. "Sejak dulu saya memang mempunyai kekuatan dalaman dan tidak mudah ditolak atau ditarik (terpengaruh) oleh pandangan orang lain," kata Gillard pada Disember lalu. Peningkatan kuasanya yang pantas, dengan menyingkirkan ketua sendiri Kevin Rudd dalam rampasan kuasa yang mengejut, sentiasa membayangi pemerintahannya kini. Melalui undian terbaru, Gillard hampir menyebabkan berlakunya bencana apabila partinya kehilangan majoriti dan hanya terus bertahan melalui sokongan kumpulan bebas dari kawasan luar bandar dan parti Greens. Dianggap sebagai perunding yang cemerlang, beliau berjuang untuk cukai karbon pencemaran dan cukai kontroversi ke atas keuntungan perlombongan melalui parlimen. Menyentuh sedikit mengenai latar belakangnya, Gillard dilahirkan pada 29 September 1961 di Barry, sebuah bandar pelabuhan perlombongan arang batu. Ketika usianya baru menginjak empat tahun, ibu bapanya membawa Gillard belayar ke Australia selepas mengambil skim penghijrahan dengan harapan iklim yang lebih panas akan menyembuhkan masalah paru-paru kronik yang dihidapinya. Seorang pelajar yang bijak, dia mengikuti pengajian seni dan undang-undang di Adelaide di mana keluarganya tinggal. Gillard turut menjadi presiden Kesatuan Pelajar Australia pada 1983. Wanita yang lantang bersuara ini membina kerjaya dalam undang-undang perindustrian sebelum terbabit dalam politik sebagai ketua kakitangan pemimpin pembangkang, John Brumby. Selepas pada mulanya ditolak oleh Parti Buruh bagi kerusi Parlimen, Gillard memasuki Dewan Rakyat pada 1998 dan berjaya memenangi kerusi selamat Lalor. Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/22 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Hati To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |