Utusan Online - Mahkamah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Mahkamah |
Warga Maghribi dihukum gantung Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT Oleh SITI NOORALINA AHMAD MOHAMMED Seddiki dijatuhi hukuman gantung atas kesalahan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 6.6 kilogram di Mahkamah Tinggi, Shah Alam, semalam. SHAH ALAM 31 Mei - Seorang jurujual kereta warga Maghribi dihukum gantung manakala dua rakannya, warga Jerman dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 6.6 kilogram, tahun lalu. Pesuruhjaya Kehakiman, Choong Siew Khin menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Mohammed Seddiki, 27, selepas mendapati pembelaan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Beliau bagaimanapun melepas dan membebaskan penghantar surat, Najim Sayed, 27, dan pegawai pemasaran, Yossuf Ezami, 26, daripada tuduhan tersebut selepas mendapati pembelaan kedua-duanya berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu. Kedua-dua lelaki itu turut diperintahkan dihantar pulang ke negara asal mereka. Dalam pembelaan Najim dan Yossuf, mereka mendakwa tiada pengetahuan mengenai dadah yang berada di dalam beg yang dibawa oleh mereka kerana Mohammed yang meminta mereka membawa beg itu. Mohamed dalam keterangannya turut mengakui dia menyuruh rakannya membawa beg tersebut. Ketiga-tiga mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu di pejabat Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini pada pukul 8.45 pagi, 1 Januari 2012. Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori. Mohammed diwakili peguam bela, T. Suresh, Najim oleh Karpal Singh manakala Yossuf oleh Datuk N. Sivananthan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Rozanna Abd. Hadi. Sepanjang perbicaraan, tujuh saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan. |
Lima artis berjaya halang AGM ke-15 Seniman Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT KUALA LUMPUR 31 Mei - Lima penggiat seni hari ini berjaya dalam permohonan mereka di Mahkamah Tinggi di sini untuk menghalang Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mengadakan mesyuarat agung ke-15 persatuan itu di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) esok. Peguam, Zambri Idrus yang mewakili Seniman dan tujuh lagi defendan memberitahu, Hakim Rosilah Yop memutuskan demikian di kamar hakim ekoran terdapat alasan kukuh untuk perintah injunksi terbabit sehingga kes tersebut selesai. Pada 22 Mei lalu, lima penggiat seni yang terdiri daripada Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran (S. Sahlan), Roslinda Buang (Linda Buang), Mior Ahmad Zaudi Mior Ali dan Datuk Abdullah Sani (Sonny Abdullah) telah memfailkan permohonan injunksi selepas persatuan itu mengeluarkan notis mesyuarat pada 14 Mei lalu. Permohonan itu dikemukakan dengan alasan saman induk masih berjalan di mahkamah dan sebarang keputusan mahkamah akan mempengaruhi sebarang pemilihan yang akan diadakan pada mesyuarat agung tersebut. Kelima-lima penggiat seni itu selaku pihak plaintif diwakili peguam Wan Rohimi Wan Daud. Dalam saman yang difailkan pada 25 Januari lalu, pihak plaintif menamakan Seniman dan bekas bekas presidennya, Harun Salim Bachik, Omar Kamarudin @ Yusof Kelana dan Wafa A. Kadir sebagai defendan pertama hingga keempat. Rozaidi Abdul Jamil yang lebih dikenali sebagai Zed Zaidi, Elyas Ismail, Syed Ahmad Nahar Syed Mokhtar (Syean) dan Zaharudin Wahab (Den Wahab) turut disenaraikan sebagai defendan kelima hingga kelapan. Menurut pernyataan tuntutan, defendan kedua, ketiga dan keempat merupakan Presiden, Setiausaha, Bendahari Seniman bagi sesi 2009/2012 sementara defendan kelima ketika itu Pemangku Timbalan Presiden (kini presiden) manakala defendan keenam pula, salah seorang ahli jawatankuasa persatuan. Plaintif antaranya menuntut pengisytiharan antaranya mesyuarat agung persatuan tersebut kali ke-14 pada 26 Mei tahun lalu, sebagai terbatal dan tidak sah. Selain itu, pihak plaintif turut menuntut satu perintah agar RM56,000 dibayar kepada Seniman dalam tempoh sebulan oleh defendan kedua hingga keempat. Pihak plaintif juga menuntut ganti rugi am serta ganti rugi teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya. Perbicaraan kes itu akan bermula 2 hingga 4 Oktober ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |