Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT PENASIHAT Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta satu perjanjian diadakan untuk memastikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan kuasa sekiranya Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), kata seorang saksi pertemuan yang diadakan oleh orang tengah dari Indonesia dengan kedua-dua pemimpin itu. Hamid Awaludin, bekas Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia, berkata "oleh kerana tidak terdapat sebarang perkara yang boleh membatalkan perjanjian itu, yang dibuat menjelang PRU-13 atau pada hari pengundian, maka perjanjian berkenaan terus terpakai". Bagaimanapun, "keadaan berubah apabila Najib diisytihar sebagai pemenang" katanya sambil menjelaskan bahawa Anwar meminta perjanjian itu diadakan kerana beliau "yakin akan mencapai kemenangan pada pilihan raya itu berdasarkan hasil pungutan pendapat yang sering menyebelahinya dan jumlah hadirin pada majlis ceramah anjuran Pakatan Rakyat". Hamid, yang pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Indonesia ke Rusia dan Belarus dari 2008 hingga 2011, memberitahu Bernama beliau turut hadir pada perbincangan yang diadakan antara bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla dengan Anwar dan Najib. "Jusuf sekadar memenuhi permintaan Anwar supaya beliau menjadi orang tengah. Bukan beliau (Jusuf) yang mengambil daya usaha agar perjanjian itu diadakan atau pergi berjumpa Anwar," katanya. Laporan media baru-baru ini menyebut Anwar menafikan beliau memungkiri perjanjian damai yang diatur Jusuf dan mendakwa bekas Naib Presiden Indonesia itu menemuinya untuk menawarkan bantuan bagi memastikan urusan selepas PRU-13 berjalan secara teratur. Bagaimanapun, satu laporan lain pula menyebut Anwar mengaku beliau ada membuat perjanjian dengan Najib, yang menyaksikan Jusuf sebagai orang tengahnya, tetapi mendakwa Barisan Nasional (BN) menjadikan perjanjian itu terbatal berikutan cara parti gabungan itu melancarkan kempennya. PRU-13 menyaksikan BN, yang diterajui Najib, kembali berkuasa apabila memenangi 133 daripada 222 kerusi parlimen. Oleh kerana tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Anwar dan Pakatan Rakyat mengadakan perhimpunan di seluruh negara sejak 8 Mei dengan mendakwa berlaku penipuan pilihan raya. Hamid berkata, Anwar tahu Najib tidak menandatangani perjanjian itu, "tapi Najib memberi jaminan beliau akan mematuhi perjanjian. Malah, kata Hamid, sehari selepas kemenangan Najib, beliau tetap optimistik perjanjian itu akan terus terpakai dan kedua-dua pihak akan mematuhinya. Tetapi, Anwar memungkirinya," kata beliau. "Saya rasa Anwar masih tidak dapat menerima hakikat politik," katanya. Berikut adalah soal jawab dengan Hamid: Anwar mendakwa Jusuf yang menghubunginya, tapi Jusuf pula berkata Anwarlah yang menghubunginya. Mana yang betul? Saya hadir pada perbincangan antara Jusuf bersama Anwar dan Najib. Jusuf hanya memenuhi permintaan Anwar agar beliau menjadi orang tengah. Beliau tidak memulakan daya usaha ke arah itu atau menemui Anwar. Jusuf tidak ada sebarang kepentingan politik dan ekonomi di Malaysia. Beliau sibuk dengan urusannya mengenai Indonesia. Jadi, kenapakah beliau perlu mengambil daya usaha itu dan bertemu dengan Anwar? Ini tidak logik. Jusuf menganggap Anwar dan Najib sebagai sahabat baiknya. Beliau ingin membantu kerana mereka terlibat dalam satu persaingan yang begitu sengit. Beliau melihatnya begitu. Anwar mendakwa perjanjian itu mengandungi beberapa prasyarat, contohnya pilihan raya secara bebas dan kebebasan media. Bolehkah anda nyatakan apakah prasyaratnya? Saya amat pasti tidak terdapat sebarang prasyarat yang dibincang antara Jusuf Kalla dan Anwar. Bagi saya, perjanjian tetap perjanjian dan perjanjian ini dipersetujui kedua-dua pihak - Anwar dan Najib. Sesetengah orang akan cuba mencari ruang atau alasan untuk tidak mengotakan janjinya. Perangai manusia memang tidak sama. Sekarang, Anwar mendakwa, oleh kerana Najib tidak menandatangani perjanjian itu, maka ia tidak sah. Jusuf berkata, Perdana Menteri memberi persetujuannya secara lisan dan ini menjadikan perjanjian berkenaan, sah. Siapa yang betul, Anwar atau Jusuf? Anwar tahu Najib tidak menandatangani perjanjian itu. Najib mempunyai sebab yang amat munasabah dari segi politik untuk tidak menandatangani perjanjian itu dan Anwar memahami serta menerimanya. Bagaimanapun, Najib berjanji akan mematuhi perjanjian itu. Beliau menerima perjanjian itu. Asas akhlak mengajar kita bahawa perkataan seseorang adalah lebih penting daripada tanda tangannya. Perbuatan juga adalah lebih penting daripada kata-kata. Najib mengotakan janjinya. Beliau menyeru ke arah penyatuan nasional ketika menyampaikan ucapan penerimaan. Tindakan Najib menepati kata-katanya. Pada hari mengundi, adakah anda rasa perjanjian itu masih terpakai? Adakah berlaku sebarang perkara sebelum hari mengundi, yang boleh menyebabkan perjanjian itu terbatal? Saya amat pasti tiada sebarang perkara berlaku menjelang hari mengundi atau pada hari mengundi itu sendiri yang menyebabkan perjanjian itu terbatal. Ia terus terpakai. Keadaan berubah selepas Najib diisytihar sebagai pemenang. Malah, sehari selepas kemenangan Najib, saya masih yakin bahawa janji tetap janji dan kedua-dua pihak akan mematuhinya. Barangkali, Anwar tidak mampu mengurus pengikutnya, terutama kerana DAP memenangi lebih banyak kerusi berbanding parti pimpinannya. Anwar mendapati dirinya berada dalam kedudukan yang menyulitkan. Tapi, tugas seseorang pemimpin adalah memimpin, bukan dipimpin. Adakah anda dan Jusuf berpendapat Anwar mengingkari perjanjian itu? Jika demikian, apa alasannya? Saya rasa Anwar masih tidak dapat menerima hakikat politik. Mungkin ada perkara yang beliau tidak ingin ucapkan kerana beliau tidak mahu melukakan hati orang. Saya tak tahu. Adakah anda rasa Anwar akan ikhlas menerima penyatuan nasional di Malaysia? Saya percaya Anwar mempunyai keikhlasan dan masih berharap beliau memilikinya. Pada pendapat anda , apakah yang membuat Anwar bertindak seperti menafikan wujudnya perjanjian itu, enggan menerima kekalahan dan menganjurkan bantahan di seluruh Malaysia? Sejak mula lagi, Anwar yakin beliau akan memenangi pilihan raya itu. Setelah berjuang sejak sekian lama, beliau berpendapat inilah kesudahan bagi perjuangan itu. Anwar berpendapat beliau akan memenangi pertarungan itu dan mengalahkan BN. Keyakinan ini diperkukuhkan lagi oleh tinjauan pendapat yang sering menyebelahinya. Setiap perhimpunan yang Anwar adakan dalam tempoh berkempen juga menarik ramai hadirin. Tetapi, kesudahannya, pilihan rakyat merupakan faktor penentu dalam demokrasi. Anwar percaya beliau akan memenangi pilihan raya itu dan bimbang Najib akan membantah dan tidak mahu menyerah kuasa. Jadi, beliau mahukan jaminan senario itu tidak berlaku. Inilah sebabnya beliau mencadangkan agar perjanjian itu diadakan. - BERNAMA |
Nilai hemah seorang anggota polis dan rakyat Malaysia Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT Oleh Suffian Abu Bakar KONSTABEL Muhalim Osop, 22, seorang anggota polis berasal dari Beaufort, Sabah tanpa diduga menjadi terkenal setelah beliau menerima anugerah penghargaan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Rabu lalu. Penghargaan diberikan kepada anggota itu setelah gambar berhemahnya tatkala diberi tekanan seorang penyokong wanita pakatan pembangkang yang berhimpun di Lokap Berpusat Kuala Lumpur di Balai Polis Jinjang, pada 22 Mei lalu menggambarkan sikap profesionalisme seorang bergelar anggota polis. Dengan wajah yang sabar (meskipun bertugas sejak pukul 7 pagi sehingga ke malam), Muhalim tenang mendengar cacian wanita itu yang dipercayai seorang peguam dengan mulut besar ternganga menuding jari sambil memarahi Muhalim. Peristiwa itu hanya sekelumit daripada cabaran yang dihadapi oleh seorang anggota polis. Banyak kejadian provokasi lebih besar pernah dialami oleh setiap anggota dan pegawai polis. Mereka pernah menempuh lebih banyak provokasi, khususnya ketika berhadapan dengan perhimpunan yang tidak mendapat kebenaran polis seperti Bersih 1, 2 dan 3 dan yang terbaharu himpunan membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) selepas 5 Mei lalu. Seperti yang diceritakan oleh Muhalim kepada penulis, pengalaman yang ditempuhinya pada 22 Mei lalu di Jinjang tidak sehebat ketika beliau bertugas mengawal penyokong pembangkang yang merusuh pada himpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April 2012. Bayangkan, seawal pukul 5 pagi saya dan rakan-rakan sudah mengawal kawasan Dataran Merdeka daripada dimasuki kumpulan itu yang bertekad untuk menyerbu masuk kawasan larangan tersebut. Sepanjang hari itu (Bersih 3.0), kami dilempar dengan kata-kata cacian, malah ada antara rakan setugas yang cedera termasuk kenderaan polis yang diterbalikkan di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Sehingga malam saya dan rakan-rakan bertugas namun bagi saya itu semua adalah tugas polis, saya lakukan dengan penuh ikhlas untuk menjaga keselamatan," kata Muhalim yang bertugas di Balai Polis Jinjang. Meskipun baru dua tahun menceburi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Muhalim ialah antara anggota pasukan keselamatan yang dilatih untuk berhadapan dengan pelbagai bentuk provokasi oleh perusuh. Mereka diberi latihan supaya tidak bertindak sewenang-wenangnya terhadap kumpulan peserta perhimpunan selagi seseorang peserta itu tidak melanggar batas-batas dalam akta yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012. Bagi Muhalim, semua yang dihadapi itu adalah rencah kehidupan yang harus dilalui oleh setiap anggota polis. Saya berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang faham tugas polis. Saya dan kami semua bukannya inginkan nama atau anugerah, tetapi sebagai seseorang yang sudah memegang aku janji memakai pakaian seragam biru, kami harus memartabatkan undang-undang negara secara profesional. Kepada mereka yang sering menggelarkan polis dengan panggilan yang saya sendiri tidak sanggup untuk menyebutnya, sedarlah bahawa kami menjunjung keamanan negara dan mereka juga perlu menghormati tugas kami sebagaimana kami menjaga keamanan dan kedamaian (bebas daripada kacau bilau)," kata anak bujang ini kepada penulis dengan makna yang penuh tersirat. Begitulah naluri seorang anggota polis muda yang cekal menjalankan tugasnya walaupun sering berdepan dengan pelbagai cabaran. Muhalim mungkin antara ratusan atau ribuan anggota dan pegawai PDRM yang mempunyai pengalaman pahit seperti di Jinjang. Namun apa yang menyedihkan apabila berita penganugerahan itu dimanipulasi oleh segelintir pihak. Seperti kata Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Korporat) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf, beliau kesal kerana terdapat segelintir pihak yang mempertikaikan kejadian di Jinjang itu malah diselitkan pula dengan fitnah kononnya kumpulan penyokong itu dipukul. Ada pula pihak yang mendakwa ada peguam wanita yang kena sepak, tetapi polis pula yang dapat penghargaan. PDRM kesal dengan dakwaan itu kerana jika benar berlaku kejadian tersebut, kenapa tiada laporan polis dibuat?. Malah dakwaan itu dikeluarkan oleh seorang individu yang tahu pasal undang-undang," katanya. Menurut Ramli, sebagai rakyat Malaysia mereka seharusnya cuba mengelak daripada terlibat dalam sebarang bentuk keadaan yang menjurus kepada kekecohan. Malah katanya, anggota dan pegawai polis hanya menjalankan tugas mereka. Mereka dilatih untuk menangani sebarang bentuk perhimpunan kumpulan dalam jumlah yang ramai dan mereka juga diajar supaya tidak bertindak sesuka hati. Hanya apabila keadaan sudah tidak dapat dikawal, sama ada wujud pihak yang cuba menimbulkan keadaan di luar ketenteraman awam, makan ketika itu barulah polis boleh bertindak menahan mereka, itu pun dengan kaedah yang mengikut undang-undang. Nasihat saya cuma satu sahaja, kepada segelintir pihak, janganlah menjadi individu yang mencetus kepada keadaan tidak tenteram atau selamat, kerana sekali mereka bertindak sedemikian, polis terpaksa bertindak," katanya kepada penulis. Maka kepada rakyat Malaysia sekalian, jadilah warga negara yang hormat dan patuh pada undang-undang kerana sikap yang ditunjuk itu mencerminkan keperibadian kita, seperti mana sikap profesionalisme dan sabar yang ditunjukkan Muhalim. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |