Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
- Penduduk malu kediaman kusam
- NGO bantah sistem kupon MPPP
- Bandar Raya Getah transformasi luar bandar
Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT Oleh OTHMAN YAHAYA beberapa penghuni Taman Tun Dr. Awang menunjukkan bangunan blok flat mereka yang usang lagi kusam di Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang, baru-baru ini. BUTTERWORTH 29 Mei - Sebelum ini penduduk Taman Tun Dr. Awang, Bagan Ajam di sini sering mengelak setiap kali ditanya oleh orang luar mengenai rumah mereka berikutan malu dengan keadaan kediaman yang usang dan kusam. Sebanyak 10 blok setinggi empat tingkat yang didiami mereka sepatutnya menjadi penempatan ceria dan seronok untuk didiami kerana mempunyai pelbagai kemudahan. Namun disebabkan bangunan itu kurang diberi perhatian dari segi penyenggaraan, kediaman tersebut menjadi pilihan terakhir untuk mereka yang mahu menetap di kawasan berkenaan. Penduduk kawasan itu berharap kerajaan DAP Pulau Pinang dapat berbuat sesuatu seperti mengecat semula bangunan dan membaiki kemudahan-kemudahan yang telah rosak. Seorang penduduk, Osman Bakar, 65, hairan kerana penempatan tersebut seolah-olah dianaktirikan berbanding kawasan perumahan lain di negeri itu. "Bangunan kediaman di sini begitu usang sekali hingga menjadikan kami tidak selesa tinggal di sini. "Biarpun kami telah menyuarakan kepada pihak berkuasa, ia tidak pernah mendapat perhatian," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. Ronyzam Ghaffar, 37, pula memberitahu, kali terakhir bangunan itu dicat adalah sekitar 2002 lalu oleh kerajaan negeri yang ketika itu ditadbir oleh Barisan Nasional (BN). "Sejak itu, ia tidak lagi dipedulikan termasuk oleh pemerintah sekarang biarpun kami telah membuat permohonan berkali-kali meminta dicat semula berikutan telah kusam dan kotor. "Malu untuk mengaku kami penduduk dari taman ini apabila ditanya kenalan dan rakan kerana keadaan bangunan yang tak diselenggara ini," katanya. Faridah Mohd. Shariff, 46, yang telah mendiami salah sebuah blok di situ hampir 10 tahun menjelaskan, cat bangunan itu bukan sahaja sudah pudar malah banyak bahagian yang sudah menjadi kehitam-hitaman akibat terjahan cuaca. "Permohonan kami selama beberapa kali sebelum ini meminta bangunan ini dicat semula tidak pernah mendapat maklum balas positif terutamanya dari kerajaan DAP Pulau Pinang. "Keadaan ini mencacatkan pemandangan hingga menimbulkan persepsi negatif kepada pengunjung mengenai kebajikan kami penduduk di sini selama ini," katanya. Seorang lagi penduduk, Norihan Adam, 49, berkata, lebih memburukkan keadaan, ada dinding yang sudah diliputi lumut dan berbau busuk di tangga menjadikan kawasan itu benar-benar menyedihkan. Menurutnya, dia hairan kenapa pihak berkuasa tidak pernah membuka mata menjaga kebajikan penduduk di situ berbanding dengan penyelenggaraan yang sempurna dilakukan di flat lain sekitar daerah itu. |
Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT Oleh ZABRY MOHAMAD PULAU PINANG 29 Mei - Citizen Awareness Chant Group (Chant Group) membantah pelaksanaan sistem pembayaran berkupon dan elektronik bagi tempat letak kereta oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mulai November ini. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam kenyataannya berkata, berdasarkan sistem kupon yang diamalkan di negeri-negeri lain, pelaksanaannya dilihat tidak sesuai kepada orang luar berikutan kesukaran membeli kupon berkenaan. Jelasnya, keadaan itu bertambah buruk pada hujung minggu kerana premis-premis yang menjual kupon berkenaan tutup. "Bagi sistem elektronik pula, kami bimbang pemandu terlupa mematikan suis alat kad pintar menyebabkan pengiraannya berterusan meskipun kenderaan sudah tidak diletakkan di petak parkir lagi. "Bayangkan jika perkara ini berlaku sudah pasti akan membebankan pemandu kerana jumlah wang dalam kad pintar itu ditolak tanpa disedari penggunanya," katanya di sini hari ini. Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu-Lintas negeri, Chow Kon Yeow mengumumkan pelaksanaan kedua-dua sistem tersebut di kawasan pentadbiran MPPP mulai November ini. Sistem berkupon dikhususkan bagi pemandu dari luar bahagian pulau manakala sistem elektronik untuk penduduk tempatan. Bagi sistem elektronik, pemandu perlu membuka suis pada alat khas dan pembayaran dibuat secara automatik sehingga suis dimatikan. Alat tersebut menggunakan kad prabayar seperti Touch n' Go yang mana pengguna boleh menambah nilai sekiranya kandungan kredit habis. Buat masa ini, kira-kira 2,000 lot letak kereta di bahagian pulau menggunakan sistem bermeter manakala 8,000 petak lagi dikawal secara manual oleh syarikat yang dilantik MPPP. Chant Group menambah, bagi mengatasi masalah yang mungkin terpaksa ditanggung orang ramai, pihaknya mencadangkan penggunaan mesin kupon yang kini digunakan secara meluas di Lembah Klang. "Mungkin boleh letak setiap mesin bagi 20 petak letak kereta. "Operasinya juga mudah kerana pengguna hanya perlu menekan nombor pendaftaran kereta dan memasukkan siling. Tiket kemudiannya diletakkan di atas papan pemuka dalam kereta masing-masing," ujarnya. Chant Group berharap cadangannya mendapat perhatian Ketua Menteri, Lim Guan Eng. |
Bandar Raya Getah transformasi luar bandar Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT mohd. Tajuddin Abdullah (tengah) berbual dengan peserta Kelab Generasi Muda Risda (KGMR) Explore GAP Race peringkat negeri sambil diperhatikan oleh Sopian Abu Bakar (kiri) di Pejabat Risda, Stesen Pokok Sena, semalam. POKOK SENA 29 Mei - Rancangan membangunkan Bandar Raya Getah di Padang Terap di sini membuktikan komitmen kerajaan negeri melaksanakan pelbagai bentuk program dan projek pembangunan yang dijanjikan untuk manfaat rakyat termasuk golongan muda. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah berkata, cadangan itu selaras dengan dasar program transformasi luar bandar yang bertujuan membantu meningkatkan ekonomi rakyat. Katanya, perkara itu termasuk menerusi kewujudan banyak peluang pekerjaan, penggunaan teknologi tinggi, perindustrian dan penyelidikan berasaskan getah. "Ini bermakna rancangan ini merupakan peluang terbaik untuk rakyat Kedah termasuk generasi muda meningkatkan ekonomi mereka. "Saya berharap seluruh rakyat akan memberi sokongan padu kepada projek tersebut kerana bukan sahaja dapat membangunkan negeri tetapi pada masa sama mendatangkan banyak manfaat kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta Kelab Generasi Muda Risda (KGMR) Explore GAP Race peringkat negeri di Pejabat Risda, Stesen Pokok Sena di sini hari ini. Yang hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Korporat) Risda, Ahmad Sufi Alias dan Pengarah Risda Kedah, Sopian Abu Bakar. Manifesto aku janji BN Kedah yang dilancarkan 18 April lalu antara lain menawarkan pembangunan Bandar Raya Getah Kota Putra di Padang Terap yang akan menawarkan kira-kira 13,000 peluang pekerjaan pendapatan sederhana dan tinggi. Mohd. Tajuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Belantek berkata, cadangan mewujudkan Bandar Raya Getah amat bersesuaian kerana negeri ini merupakan antara penyumbang utama kepada industri getah negara dan berharap golongan muda turut merebut peluang berkenaan. Menurutnya, keluasan ladang getah melibatkan pekebun kecil Risda di seluruh Kedah adalah kira-kira 85,000 hektar dengan terdapat kira-kira 90,000 golongan belia agensi tersebut di negeri ini. "Dengan keluasan itu usaha untuk pembangunan dan penyelidikan menggunakan teknologi tinggi mesti terus dijalankan bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran hasil bahan tersebut," katanya. Tambah beliau, generasi kedua pekebun kecil berperanan membawa hala tuju baharu industri getah negara dengan melihat industri tersebut sebagai satu peluang menambah pendapatan seterusnya membentuk satu kolonial baharu pekebun getah yang lebih berdaya maju saing dan maju. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |