Utusan Online - Jenayah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Jenayah |
Remaja perempuan hilang sejak Isnin ditemui mati Posted: 30 May 2013 11:40 AM PDT Oleh FADZLY IZAB BAPA mangsa, Mohamad Sahak (kiri) tidak dapat menahan kesedihan sambil ditenangkan oleh jiran selepas kehilangan anaknya, Aimi Hamizah yang ditemui mati dibunuh di Kg. Solok Gaong, Ayer Molek, Melaka, semalam. MELAKA 30 Mei - Misteri kehilangan seorang remaja perempuan sejak Isnin lalu, terhurai apabila mayatnya ditemui dalam semak berhampiran tempat pembuangan sampah di Kampung Solok Gaung, Ayer Molek di sini malam tadi. Mayat dipercayai gadis yang hilang itu, Aimi Hamizah Mohamad, 14, ditemui sekumpulan remaja kampung yang bermain bola sepak di kawasan lapang berhampiran lokasi kejadian kira-kira pukul 7 malam. Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang setelah tidak pulang ke rumahnya di Taman Desa Molek pada Isnin lalu selepas tamat kelas mengaji al-Quran pada pukul 7.40 malam. Timbalan Ketua Siasatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan R. Gunarajan berkata, polis percaya mayat yang dijumpai adalah remaja perempuan berkenaan berdasarkan pengecaman yang dibuat oleh ahli keluarganya. Menurut beliau, susulan kejadian itu polis menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dipercayai rakan mangsa di sebuah rumah di Ayer Molek pukul 3.30 petang ini bagi membantu siasatan. Gunarajan berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang atas sekeping papan lapis dan masih lengkap berpakaian baju kurung warna merah jambu sama seperti yang dipakainya ketika keluar rumah Isnin lalu. "Siasatan awal polis mendapati tiada sebarang kesan kecederaan ditemui pada tubuh mangsa," katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam. Gunarajan berkata, mayat remaja itu dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Sementara itu, bapa mangsa, Mohamad Sahak, 58, ketika ditemui berkata, anaknya tidak pulang selepas habis mengaji al-Quran di sebuah rumah kira-kira 100 meter dari rumahnya. "Kebiasaannya, dia akan pulang ke rumah pada pukul 9 malam, tetapi pada hari itu sehingga pukul 10 malam dia masih tidak pulang. "Risau dengan keadaan itu, saya bersama anak lelaki, Abu Sufian, 17, terus mencarinya di sekitar kawasan rumah termasuk di tempat mangsa mengaji namun diberitahu oleh ustazah yang mangsa ada datang ke kelas itu tetapi kelas dibatalkan," katanya ketika ditemui di rumahnya. Jelas Mohamad, dia bersama anak lelaki serta beberapa rakan anaknya kemudian terus mencari mangsa di sekitar kawasan tersebut termasuk di beberapa kawasan lain sehingga esok namun tidak berjaya menemui mangsa dan terus membuat laporan di Balai Polis Tiang Dua. "Semalam saya merasa tidak sedap hati setelah polis datang ke rumah kira-kira pada pukul 7 malam dan memaklumkan bahawa mereka ada menjumpai mayat seorang remaja perempuan lalu meminta saya untuk membuat pengecaman. "Saya dan isteri, Maimunah Ismail, 44, serta dua anak lelaki, Abdul Mutalib, 20, dan Abu Sufian terus ke tempat kejadian kira-kira empat kilometer dari rumah untuk membuat pengecaman. "Sampai di tempat kejadian, saya tidak mampu membuat pengecaman kerana masih terkejut namun dimaklumkan oleh isteri dan anak lelaki bahawa mayat remaja perempuan itu adalah Aimi Hamizah berdasarkan pakaian dan barang kemas yang masih ada bersamanya," katanya sedih. Menurut Mohamad, dia reda dengan pemergian anaknya itu tetapi tidak dapat menerima hakikat anaknya meninggal dunia dalam keadaan sedemikian. "Saya berharap agar pihak yang bertanggungjawab melakukan perkara itu terhadap anak gadisnya akan menerima balasan setimpal," katanya. |
Posted: 30 May 2013 11:40 AM PDT Oleh ROKIAH ABDULLAH Mangsa dan suaminya (kanan) ketika ditemui di Ipoh, Perak, semalam. IPOH 30 Mei - Seorang peniaga tidak menyangka menjadi mangsa cabul seorang doktor yang dikenalinya selama 20 tahun di klinik lelaki itu di Simpang Pulai pada 22 Mei lalu. Mangsa yang berusia 49 tahun dari pekan Lahat di sini mendakwa, beberapa hari sebelum kejadian, doktor berusia lingkungan 60-an itu mengundangnya untuk menjadi tetamu pada program mewarna yang dianjurkan di klinik berkenaan. Bagaimanapun, mangsa berkata, dia tidak dapat hadir ke acara tersebut kerana mempunyai urusan perniagaan di luar kawasan dan hanya datang berjumpa suspek pada hari kejadian kerana mahu membawa beberapa pekerja asing untuk pemeriksaan Agensi Pengawasan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) di situ. "Semasa bertemunya, doktor itu mengajak saya ke tingkat atas klinik kononnya untuk menunjukkan lukisan-lukisan pada program berkenaan. Namun sebaik sampai di luar bilik Xray, saya langsung tidak melihat sebarang lukisan, yang ada hanya nama kanak-kanak itu yang ditulis atas kertas dan diikat pada sepohon pokok. "Dalam keadaan saya masih terpinga-pinga, doktor itu tiba-tiba memeluk saya dari belakang sebelum memusingkan badan saya ke depan, mencium serta cuba menyelak baju yang saya pakai. Terkejut dengan tindakan suspek, saya meronta-ronta dan akhirnya dapat melepaskan diri," dakwanya ketika ditemui pemberita hari ini. Ibu kepada empat orang anak itu mendakwa, sebaik berjaya melepaskan diri, dia terus turun ke tingkat bawah klinik dan duduk di sebelah seorang pekerja Bangladesh yang sedang menjalani pemeriksaan Fomema. "Pekerja klinik yang berada di kaunter dapat melihat keadaan saya tidak tentu arah ketika itu dan dia jugalah yang membantu saya mengira jumlah bayaran untuk rawatan Fomema pekerja asing apabila saya tidak lagi dapat mengira dengan betul akibat trauma," katanya. Mangsa mendakwa, akibat trauma dengan kejadian itu, dia hanya membuat laporan mengenai kejadian tersebut lima hari kemudian di Balai Polis Simpang Pulai kelmarin sebaik sahaja kejadian itu diceritakan kepada suaminya. Wanita itu mendakwa kejadian berkenaan juga bukanlah pertama kali berlaku kerana pada tahun lalu, doktor yang sama pernah cuba untuk mencabulnya semasa dia mendapatkan rawatan di situ. Bagaimanapun, jelas mangsa, tindakan itu terhalang apabila pekerja klinik itu tiba-tiba masuk untuk menyerahkan sesuatu kepada doktor tersebut. "Ketika itu saya tidak membuat laporan polis kerana melihat doktor berkenaan bersikap profesional apabila mendapatkan rawatan selepas itu. "Mungkin dia tersilap dan sedar kesilapannya. Jadi saya merasakan perkara tersebut tidak perlu dipanjangkan kerana kami telah lama mengenali antara satu sama lain sehinggakan semasa saya mengandung dan anak-anak saya sakit, dia yang merawat kami," katanya. Mangsa berkata, dia dimaklumkan oleh pegawai penyiasat kes itu bahawa polis mengambil keterangan doktor dan pekerja kliniknya itu dan kes tersebut masih dalam siasatan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |