Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
- Sinha menjadi inspirasi rakyat India
- Apabila kanak-kanak dewasa sebelum usianya
- Pergeseran anak-beranak
Sinha menjadi inspirasi rakyat India Posted: Sinha menjadi inspirasi rakyat India
SATU ketika dahulu, Arunima Sinha, 25, merupakan antara ribuan atlet wanita yang berbakat di India. Aktif dalam sukan bola sepak dan bola tampar sejak zaman remaja, dia berjaya mencipta nama dalam kedua-dua sukan kegemarannya itu termasuk menyertai pelbagai pertandingan yang diadakan di peringkat negeri dan kebangsaan. Bagaimanapun, 11 April 2011 menjadi episod malang bagi wanita yang berasal dari Ambedkar Nagar wilayah Uttar Pradesh itu. Dia yang baru berusia 23 tahun ketika itu sedang dalam perjalanan menaiki kereta api dari Lucknow ke Delhi untuk menghadiri satu temuduga telah disamun sekumpulan penjenayah. Tanpa belas kasihan dia ditumbuk, ditendang dan lebih malang turut dicampak ke luar kereta api yang ketika itu sedang bergerak laju. "Saya terbaring di landasan bersebelahan, tetapi tidak boleh bangun, saya cuba menjerit meminta pertolongan tetapi tiada sesiapa di sekeliling. "Sebuah kereta api tiba-tiba muncul dari laluan bertentangan dan terus menggilis kaki kiri saya menyebabkan saya tidak sedarkan diri," katanya ketika menceritakan tragedi yang menimpanya kira-kira dua tahun lalu. Dia dirawat di hospital tempatan sebelum dipindahkan ke sebuah kolej perubatan di Lucknow. Selain mengalami kecederaan parah di tangan dan kepala, kaki kirinya juga dipotong sehingga ke paras bawah lutut bagi mengelakkan jangkitan kuman. Kejadian yang menimpa pelajar jurusan undang-undang dari Universiti Awadh itu menjadi tajuk berita utama beberapa akhbar di India. Terima pampasan Sumbangan dan bantuan datang mencurah-curah daripada beberapa pihak yang bersimpati. Kerajaan India, melalui kementerian sukan misalnya, bersedia menanggung kos rawatan perubatannya termasuk menghulurkan sumbangan sebanyak Rs. 25,000 (RM1,355). Pada masa yang sama dia turut dijanjikan peluang pekerjaan yang sesuai di kementerian itu. Dia juga turut menerima sejumlah pampasan yang diberikan oleh Railway Protection Force. Selepas pembedahan, Sinha menjalani rawatan intensif selama empat bulan di All India Institute of Medical Sciences (AIIMS). Selain memulihkan kembali emosinya, dia juga diajar menggunakan kaki palsu bagi membolehkan dia kembali berjalan seperti biasa. SEMANGAT yang ditunjukkan Sinha cukup luar biasa. "Sepanjang tempoh itu, saya banyak belajar mengenai erti kehidupan. Hidup mesti diteruskan, lagi pun saya hanya kehilangan kaki bukan nyawa.," ujarnya. Sinha mengimpikan sesuatu yang besar. Dia mahu menawan Gunung Everest, gunung tertinggi di dunia bagi membuktikan kemampuannya. Katanya, dia mengambil keputusan itu selepas bertemu bintang kriket India, Yuvraj Singh ketika terlantar di hospital. "Yuvraj datang melawat dan menyerahkan cek sebanyak Rs. 1 lakh (RM5,420). Ketika kami berbual-bual barulah saya tahu dia juga merupakan seorang penghidap kanser. "Apabila saya melihat dia bermain bersama pasukan kriket India, saya kagum dengan semangat yang ditunjukkannya di atas padang seolah-olah dia tidak pernah mempunyai penyakit. "Sejak itu saya bertekad untuk melakukan perkara yang sama dan diimpikan sejak sekian lama, iaitu menawan Everest," ujarnya. Hasratnya mendapat perhatian Tata Steel Adventure Foundation (TSAF), akademi yang mengajar orang ramai mengenai aktiviti pendakian yang diasaskan Bachendri Pal, pendaki wanita pertama India yang berjaya menawan puncak tertinggi di dunia itu pada 1984. Semangat Sinha Selama satu setengah tahun, Sinha gigih menjalani program dan latihan yang disediakan TSAF. Tahun lalu, dia berjaya mendaki Gunung Chhamser Kangri di Ladakh, India setinggi 6,622 meter sebagai persediaan terakhir. "Saya tidak pernah melihat wanita yang mempunyai semangat yang luar biasa seperti Sinha. Dia sangat fokus terhadap apa yang ingin dicapainya dan mempunyai kekuatan mental yang kuat," kata Pal. Pada masa yang sama, Sinha turut dibawa bertemu Mark Inglis, pendaki dari Amerika Syarikat yang kudung kedua-dua belah kakinya tetapi berjaya menawan Everest pada tahun 2006. "Dia banyak berkongsi pengalaman yang pernah dilaluinya sebelum ini terutama cabaran dan pelbagai masalah yang dihadapi sepanjang pendakian. Pertemuan itu cukup bermakna dan sedikit-sebanyak turut menaikkan motivasi saya," katanya. Ditemani empat rakan pendaki dari pasukan Ekspedisi Eco Everest, misi Sinha menawan Everest bermula April lalu melalui pendakian ke Summit Island Peak setinggi 6,096 meter melalui utara India dan Nepal. SINHA bernasib baik kerana masih bernyawa dalam tragedi yang berlaku dua tahun lalu. Pendakian selama 52 hari itu berakhir pada 21 Mei lalu apabila dia tiba di puncak Everest pada pukul 10.55 pagi. "Dia memulakan pendakian agak perlahan berbanding rakan-rakan sepasukannya yang lain. "Namun, pada ketinggian 8,750 meter dia seakan mendapat tenaga baharu sebelum meneruskan pendakian sehingga ke puncak," kata Dawa Sherpa, pengurus Asian Trekking, syarikat yang berpangkalan di Nepal dan bertanggungjawab menguruskan ekspedisi itu. Kejayaan Sinha bukan sahaja membanggakan jutaan rakyat India, malah Perdana Menterinya, Dr. Manmohan Singh. Melalui kenyataannya, beliau memuji semangat yang ditunjukkan Sinha lebih-lebih lagi apabila diiktiraf sebagai wanita pertama dari India yang berjaya menawan puncak gunung itu dengan hanya mempunyai sebelah kaki. "Ia merupakan satu misi yang luar biasa apatah lagi selepas apa yang pernah dilalui oleh beliau sebelum ini. "Saya berbangga dengan kejayaannya dan berharap ia dapat diteruskan pada masa hadapan di samping menjadi inspirasi kepada jutaan rakyat di negara ini," katanya. | |
Apabila kanak-kanak dewasa sebelum usianya Posted: Apabila kanak-kanak dewasa sebelum usianyaPERKAHWINAN bawah umur di India umpama satu 'industri' yang menguntungkan. DUNIA kanak-kanak biasanya dikaitkan dengan keindahan bermain dan bersekolah. Mereka memiliki dunia yang terasing dengan dunia warga dewasa yang sibuk mengharungi alam penuh cabaran. Mereka tidak perlu menghadapi risiko kehidupan dan ujian seperti warga dewasa. Sekurang-kurangnya, itulah kepercayaan sebahagian besar daripada kita semua, namun, hakikatnya tidak. Berita mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun di Sabah yang telah berkahwin dengan seorang lelaki dewasa, malah dia dikatakan telah dirogol terlebih dahulu mengejutkan banyak pihak. Jika benarlah seperti yang dilaporkan bahawa kanak-kanak itu telah dirogol dan kemudiannya dikahwinkan dengan lelaki yang merogolnya sebagai cara untuk menghindari hukuman, maka ia tentulah sesuatu yang sangat malang. Sebenarnya, dunia malang seperti yang dialami remaja ini berlaku di mana-mana sahaja. Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) melaporkan, pada tahun 2011, dianggarkan terdapat kira-kira 1.2 bilion remaja berusia antara 10 hingga 19 tahun di seluruh dunia. Perkahwinan bawah umur Malangnya, dunia bukanlah tempat yang selamat untuk golongan berkenaan. Menurut laporan itu, di Brazil sahaja, dianggarkan sebanyak 81,000 remaja yang berusia antara 15 ke 19 tahun telah dibunuh antara tahun 1998 hingga 2008. Perkahwinan bawah umur juga seolah-olah sudah menjadi tradisi di beberapa buah negara seperti Bangladesh, Chad, India dan beberapa negara Afrika lain. Perangkaan juga menunjukkan bahawa di kebanyakan negara sedang membangun, setiap seorang daripada tiga anak kecil didapati berkahwin sebelum umur mereka mencecah 18 tahun. Seorang sarjana undang-undang, Profesor Michele Goodwin, secara sinis menunjukkan betapa perkahwinan bawah umur telah menjadi satu 'industri' baharu di India, yang menyumbang kepada Rp 250 billion (RM13.64 bilion) setiap tahun. Walaupun di Malaysia, budaya berkahwin di bawah umur ini bukanlah suatu kelaziman, tetapi apabila ia berlaku, sewajarnya membuka mata kita semua bahawa kanak-kanak tidak sewajarnya didepankan dengan krisis manusia dewasa. Setiap individu, wajar menjaga dan menghormati hak kanak-kanak dan remaja. Mengahwini gadis di bawah umur tidak wajar digalakkan, apatah lagi sekiranya melakukan keganasan seksual dan rogol terhadap mereka. Perkahwinan di bawah umur mungkin bukanlah satu kesalahan. Bagaimanapun, isu utamanya bukanlah sekadar perundangan semata-mata. Isu psikologikal dan emosi kanak-kanak di bawah umur juga wajar dipertimbangkan. Umumnya, ahli psikologi bersetuju bahawa remaja merupakan tahap umur yang sedang berkonflik dalam mencari identiti diri. Mereka mengalami konflik kerana beberapa perubahan yang berlaku ke atas diri mereka, khususnya perubahan fizikal dan alat seksual. KANAK-KANAK perlu mengikuti alam persekolahan bagi mengasah pengetahuan mereka. Alam persekolahan Mereka juga sedang mengalami konflik dalaman kerana perubahan sifat daripada seorang kanak-kanak kepada manusia dewasa. Pada tahap ini juga, bakat intelektual mereka mula berkembang. Mereka mampu menerokai pengetahuan baharu yang mungkin tidak boleh dicapai tatkala mencecah usia dewasa. Sebab itulah, anak-anak berusia bawah 18 tahun ini sewajarnya mengikuti alam persekolahan, dan bukannya terus terjun ke dunia manusia dewasa. Di sekolah, mereka mengikuti pengalaman baharu untuk bersosial dan mengasah pengetahuan mereka. Di sekolah, mereka tidak akan berdepan dengan cabaran pekerjaan atau kesulitan-kesulitan lain yang dialami oleh orang dewasa. Semua pengalaman tersebut bakal membantu mereka untuk menjadi manusia dewasa yang lebih stabil. Sebaliknya, apabila anak-anak gadis ini sudah berkahwin ketika masih terlalu muda, mereka secara automatiknya terpaksa mengharungi cabaran orang dewasa. Mereka bukan sahaja tidak dapat mengikuti pendidikan yang boleh membantu mereka pada masa hadapan, sebaliknya perlu bekerja dan mencari nafkah untuk hidup. Sekiranya mereka melahirkan anak, mereka terpaksa menjadi suri rumah yang terlalu muda untuk menjaga bayinya. Mereka juga akan dilayan seperti seorang dewasa, walaupun pada hakikatnya mereka masih seorang remaja. Lebih buruk, mereka juga mungkin sedang mewariskan kesulitan baharu untuk anak-anak yang mereka lahirkan. Apabila tidak lagi mengikuti alam persekolahan, mereka tidak berupaya mendapatkan pekerjaan yang baik dan mungkin bakal hidup dalam kemiskinan. Sebab itu, menjadi tugas semua untuk memastikan bahawa perkahwinan di bawah umur ini bukanlah satu perkara yang wajar dijadikan eksperimen. | |
Posted: Pergeseran anak-beranakBARU-baru ini industri hiburan tempatan dikejutkan dengan kontroversi pergaduhan pelakon yang sedang meningkat naik, Afiq Muiz, 21, dengan ibu kandungnya Hasliza Mohd, 48. Bagaikan drama swasta yang disaksikan secara langsung, pergaduhan itu semuanya bermula sejak ibunya meluahkan kekecewaan hatinya terhadap Afiq kepada pihak media yang dikatakan telah berubah sikap. Kenyataan ibu Afiq, dibalasnya dengan linangan air mata di hadapan kaca televisyen dan kata-kata yang agak keterlaluan bagi seorang anak. Sebenarnya, kes pergaduhan antara artis dan ahli keluarga terutama bersama ibu bapa bukanlah satu perkara baharu dalam industri seni. Sebelum Afiq, ramai artis pernah mendapat liputan luas media gara-gara drama keluarga. Sekitar tahun 1980-an, telah berlaku kes saman-menyaman antara Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini dan ibunya. Model dan pelakon jelita, Nasha Aziz juga pernah disaman oleh bapa kandungnya pada tahun 2004 dan kes itu berlanjutan sehingga tahun 2009. Selain itu, pelakon Wan Nor Azlin juga melalui episod yang sama apabila disaman oleh bapanya Wan Mohd. Husain Wan Ibrahim, 76, pada 5 Februari lalu kerana didakwa menghalang bapanya daripada menjual hartanah dan enggan keluar dari sebuah rumah milik bapanya di Taman Sri Keramat. Wan Nor Azlin kemudiannya telah memfailkan permohonan untuk mengetepikan saman berkenaan pada 20 Mac lalu. Bukan itu sahaja, pengarah muda Syamsul Yusof dikatakan pernah bergaduh dengan bapanya, Datuk Yusof Haslam. Sementara, pelakon Siti Fazurina sehingga kini masih dalam perang dingin dengan ibunya kerana perkahwinannya tidak direstui. Namun, bukan semua episod pergaduhan itu kekal selama-lamanya, sebaliknya ada yang sudah berbaik semula seperti penyanyi terkenal Ning Baizura. Ning pernah berperang dingin dengan bapanya Sheikh Hamzah Sheikh Muhammed selama 10 tahun. DRAMA. Siti Fazurina ditenteramkan suaminya apabila ibunya (kanan) dibawa oleh adik lelakinya beredar dari lokasi Fazurina mengadakan sidang akhbar pada 23 Disember tahun lepas di Bayan Baru, Georgetown, Pulau Pinang. Sedar kesilapan - Ning Menurut Ning, populariti mampu melalaikan seseorang artis tentang tanggungjawabnya kepada ibu bapa. Itulah hakikat yang berlaku kepada dirinya suatu masa dahulu sebelum tersedar dan berazam untuk memperbaiki hubungannya dengan ayahnya sebelum melangsungkan perkahwinan dengan Omar Shariff Christopher Layton Dayton pada tahun 2008. "Populariti yang datang ketika muda mudah membuatkan kita rapuh dan lalai dengan tanggungjawab sendiri kepada ibu bapa. Masa muda begitu banyak impian yang saya ingin kecapi dan tidak sedar semua populariti dan kejayaan itu membuatkan saya leka dengan dunia saya sendiri," ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini. "Sebelum berkahwin, saya mencari bapa semula dan merapatkan kembali hubungan bapa dan anak yang terputus sebelum itu. Waktu itu, saya lebih matang dan saya ingin kebahagiaan dalam hidup, pergaduhan yang panjang tidak menguntungkan sesiapa. "Alhamdulillah, hubungan kami pulih dan paling penting dalam setiap hubungan adalah kejujuran. Saya rasa lebih tenang dan bahagia selepas bapa sendiri merestui perkahwinan serta setiap kejayaan saya," balasnya. Tambahnya, perceraian antara bapa dan ibunya, Satila Abdullah sedikit sebanyak telah menganggu hubungannya dengan bapa. Hubungan yang keruh antara mereka menyebabkannya menjadi mangsa keadaan. "Hubungan ibu dan bapa saya tidak baik, mangsanya di situ ialah diri saya sendiri. Selepas meningkat dewasa, saya sedar penceraian antara ibu bapa bukan bermakna saya perlu bermusuh dengan bapa sendiri kerana saya tetap anaknya walaupun mereka sudah bercerai. "Tiada ibu bapa yang sempurna dalam dunia ini. Itu hakikatnya dan saya sebagai anak harus sedar di mana kedudukan saya," katanya. Luah Ning, sejak melahirkan anak sulungnya, Ryan Sky Dalton pada 30 Januari lalu, barulah dia mengerti kasih sayang seorang ibu bapa kepada anak. "Selepas melahirkan anak, saya sedar betapa sayangnya saya pada anak sendiri dan besar tanggungjawab saya untuk membesarkannya dengan baik. Saya dapat rasa apa perasaan ibu bapa saya dan sedar begitu besar jasa mereka terhadap saya," ucapnya. Bercakap tentang senario yang melanda ramai artis muda yang begitu lantang bersuara dalam perang dingin antara mereka dan ibu bapa masing-masing, Ning memberi nasihat supaya mereka sedar diri sebelum terlambat. "Sedarlah diri, jika tiada ibu bapa kita, tiadalah kita di dunia ini. Hargailah perngorbanan mereka dan jagalah setiap butir bicara yang keluar dari mulut kita ketika membuat sebarang kenyataan," katanya. IKATAKAN kekeluargaan. Liyana (kanan) serta dua adik-beradiknya bersama ibu mereka. Jangan bogelkan kisah keluarga - Datuk Yusof Haslam Penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam mempunyai dua orang anak yang cukup dikenali terutamanya Syamsul Yusof yang popular sebagai pelakon dan pengarah serta adiknya, Syafiq Yusof yang mula menjinakkan diri dalam bidang pengarah filem. Mempunyai dua orang anak lelaki yang dikenali ramai bukan sesuatu yang mudah. Akui Yusof, dia pernah bergaduh dengan anaknya sebelum ini, bagaimanapun pergaduhan itu tidak berpanjangan. "Tipulah kalau kami tidak pernah bergaduh. Biasalah dalam hubungan antara bapa dan anak pasti akan berlaku perselisihan faham dalam pelbagai perkara. Apa yang penting, bagaimana saya sebagai bapa menghadapi situasi itu. "Kalau boleh jangan mendedahkan kisah peribadi atau sengketa yang berlaku kepada masyarakat. Mesti ada sikap tolak ansur. "Saya tidak terlalu mendesak, jika mereka ada masalah tanya secara baik kerana zaman anak-anak kita hari ini tidak sama dengan zaman saya. Cabaran mereka lebih hebat terutama mereka yang bekerja dalam bidang seni," tuturnya. Menurutnya lagi, teknologi yang canggih hari ini mampu menjarakkan hubungan antara anak dan ibu bapa. Justeru, ibu bapa harus memainkan peranan yang lebih besar supaya jurang antara mereka tidak begitu ketara. "Anak muda hari ini jarang berbual-bual dengan ibu bapa. Mereka lebih suka menatap telefon secara tidak langsung hubungan itu akan mula renggang. Gunakan cara yang baik untuk menarik semula anak kepada kita tetapi bukan dengan cara paksaan," jawabnya. Tegasnya, sebagai anak pula, mereka harus sedar akan tanggungjawab dan harus menghormati ibu bapa walaupun seburuk mana ibu bapa mereka. "Kesabaran ibu bapa ada batasnya, anak harus sedar tempat mereka dan hormati ibu bapa yang membesarkan mereka. "Saya sebagai bapa mungkin lebih sabar dan tenang dalam menghadapi sebarang situasi yang melibatkan anak-anak tetapi kalau seorang ibu, mereka lebih sensitif kerana mereka yang mengandungkan anak itu selama sembilan bulan. "Disebabkan itu, para ibu tidak sedar mereka meluahkan rasa sedih dalam keadaan yang marah. Bagi saya, apa jua konflik yang berlaku anak-anak yang bergelar artis harus beralah dengan ibu bapa dan jika boleh jangan memperbesar-besarkan masalah keluarga sehingga menjadi anak derhaka," balasnya. Jadi rakan anak - Datin Habsah Simpon Ibu kepada pelakon dan penyanyi popular Liyana Jasmay, Datin Habsah Simpon turut bergelar pengurus kepada anak bongsunya itu. Sepanjang kerjaya Liyana, tidak pernah berlaku sebarang konflik yang mampu menggeruhkan hubungan antara ibu dan anak itu. YUSOF dan Syamsul merupakan contoh betapa pentingnya hubungan yang baik antara bapa dan anak untuk masa depan karier seni yang sukses. Kata Habsah, kunci utamanya ialah menjadi rakan baik kepada anak sendiri. Segala masalah yang dihadapi Liyana harus dibincangkan terlebih dahulu bersamanya. "Alhamdulillah, saya tidak ada sebarang masalah sepanjang menguruskan anak sendiri. Mungkin kerana, Liyana bermula daripada bawah dan pada usia yang muda. "Saya masih ingat ketika dia berlakon dalam filem Castello waktu itu usianya 16 tahun, saya katakan padanya untuk menjadi artis harus bijak dan hati harus kuat. "Saya buat Liyana seperti rakan. Apa juga masalah tidak kiralah masalah tentang kekasih, saya harus menjadi orang pertama yang diberitahu. "Sebagai ibu saya harus tahu masalah anak serta ke mana haluan yang dituju dan sebagai pengurus saya harus memastikan kerjayanya berjalan lancar," ujarnya. Habsah juga tidak setuju dengan kelantangan sesetengah artis muda yang memburukkan ibu bapa sendiri kepada media. Sebagai ibu, dia juga sedih melihat situasi yang berlaku sekarang ini. "Sebagai artis setiap perbuatan dan kata-kata kita akan dibaca oleh orang ramai. Seburuk-buruk mana pun ibu bapa kita, sebagai anak kita tidak boleh meluahkan kata-kata yang melukakan hatinya, saya juga seorang ibu, saya tahu bagaimana perasaannya jika anak menjadikan kita sebagai musuhnya. "Apa yang penting harus bermuhasabah diri dan ingat dari mana asal usul kita sebelum menjadi artis. Apa yang boleh saya katakan, syurga tetap di telapak kaki seorang ibu," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |