{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Keluarga

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Keluarga


Penangan serbuk kari cap tarbus

Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

Keluarga besar pasangan Roshidi Hashim dan Zainab Mohd. Zainul Abidin. - Utusan/Roy Azis Abd Aziz

MENYINGKAP kisah percintaan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim dan isterinya Datin Zainab Mohd. Zainul Abidin, sememangnya mengembalikan kenangan indah buat pasangan dua sejoli yang bakal bersara awal serentak, pada penghujung tahun ini.

Setelah 33 tahun hidup bersama dan dikurniakan lima orang anak dan tiga cucu, Roshidi, 58, merasakan sudah tiba masanya untuk beliau lebih meluangkan masa bersama keluarga tercinta.

Apatah lagi setelah tujuh tahun menjadi milik masyarakat kerana berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit Khas kepada Menteri Besar Perak, Tan Sri Mohammad Tajol Rosli Ghazali, pengorbanan dan komitmen beliau untuk berbakti terus didamba sejak dilantik menjadi Setiausaha Bandaraya dan Datuk Bandar Ipoh sehingga kini.

Namun, di sebalik amanah berat yang perlu digalas Roshidi, beliau berasa bersyukur kerana dikurniakan seorang teman hidup yang cukup memahami.

Detik pertemuan sepasang insan ini segalanya bermula sewaktu Roshidi yang memulakan kerjayanya sebagai pegawai kerani di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, ditukarkan ke jawatan sama di Hospital Butterworth.

Roshidi yang ketika itu dipertanggungjawab untuk menyelaras gaji serta tugasan lebih masa pegawai perubatan hospital, mula mengenali kakak Zainab, Maizun seorang pelayan tetamu di Hospital Butterworth.

Setelah begitu rapat dengan Maizun yang dianggapnya seperti kakak angkat, Roshidi tidak menolak pelawaan untuk bertandang ke rumahnya di Kampung Pajak Song, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Ditemani rakannya, Nordin Baharudin, seorang juruteknik perubatan yang kini sudah kembali ke rahmatullah, kedua-dua mereka tiba ke kampung halaman nenek Zainab itu dengan menunggang motosikal jenis Yamaha.

"Ketika itu yang membuka tingkap rumah adalah Zainab. Saya akui hati saya berdegup kencang kerana sedar itu adalah cinta pandang pertama saya. Saya tidak menyangka Maizun mempunyai seorang adik secomel Zainab. Kami makan jemput-jemput yang dibuat dan pulang selepas Maghrib.

"Sejak hari itu, hati saya merasakan sesuatu, lantas cuba menghubungi Zainab melalui surat yang ditulis sendiri dengan menggunakan Maizun sebagai perantara," katanya kepada S2 ketika ditemui di kediamannya di Ipoh, Perak baru-baru ini.

Zainab yang ketika itu bertugas sebagai guru sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Mandin, Butterwoth, bagaimanapun langsung tidak menaruh sebarang hati mahupun perasaan biarpun menyedari Roshidi gemar memerhatikannya.

Malah, beliau yang merupakan anak kepada seorang bekas tentera British di Singapura itu tidak mudah untuk didampingi kerana suka untuk menyelidik latar belakang seseorang rakannya terlebih dahulu sebelum menjalinkan sebarang hubungan dengan lebih rapat.

"Setelah beberapa surat yang dikirimnya, barulah saya tergerak hati untuk membalasnya. Itu pun setelah mendengar pandangan daripada kakak saya sendiri. Saya mahukan orang boleh menyesuaikan diri dengan keluarga saya dan menjaga solatnya.

"Secara jujur, saya kagum dengan sifat kerajinannya yang gigih berusaha untuk menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di peringkat tingkatan enam sebanyak dua kali biarpun berdepan kesempitan hidup," katanya.

Namun, kemesraan mereka mula terjalin setelah beberapa kali bertemu di kedai makan di tepi pantai bersebelahan Hospital Butterworth, akhirnya teruji.

Roshidi yang berjaya menjawat jawatan sebagai Penolong Pegawai Siasatan Badan Pencegahan Rasuah Malaysia (BPRM) hasil kelayakan akademik STPM yang diperolehnya, telah ditukarkan ke Kelantan.

Sedangkan, Zainab pula ketika itu sedang meneruskan pengajian di peringkat sijil di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang dan sering dipikat oleh beberapa rakan lelaki termasuk pensyarahnya sendiri.

"Tiga tahun berjauhan dengan Zainab, saya akui merasa cemburu setiap kali dia jujur bercerita tentang lelaki yang cuba mendekati termasuk meminangnya, malah salah seorang daripadanya adalah juruterbang.

"Namun begitu, setiap bulan Zainab akan selalu mengeposkan serbuk kari cap tarbus kepada saya bersama tulisan resipinya. Dari situ, saya belajar memasak sendiri disebabkan kari di Kelantan rasanya berbeza kerana manis," gelak Roshidi.

Persamaan minat mereka untuk memasak menyebabkan Roshidi gemar bermanja dengan sajian kampung Zainab yang simple seperti masak pindang, singgang, air asam dan sambal.

Malah, biarpun mempunyai tukang gaji sendiri, Roshidi tidak pernah sesekali menjamah masakan yang dimasak olehnya, kerana lebih menggemari air tangan Zainab berbanding hidangan istimewa di hotel.

"Satu perkara yang akan mengingatkan saya tentang Roshidi ialah minyak wangi. Dia sukakan minyak wangi berjenama Charlie. Selain itu dia gemar membeli baju dan kain untuk saya setiap kali beliau ke luar negara seperti ke Indonesia dan China sehingga sudah beratus-ratus helai.

"Namun, yang lebih istimewa, setiap yang dipilihnya itu pasti akan muat dengan bentuk tubuh saya sehingga saya sendiri takut untuk membeli pakaian sendiri kerana bimbang tidak menepati cita rasanya," ujar Zainab sambil tersenyum.

Mujur kami tidak terlanjur, rupanya adik beradik

Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT

KEIKHLASAN dan kejujuran merupakan faktor paling utama dalam sebuah perhubungan. Ikhlas itu sesuatu yang sukar untuk dizahirkan kecuali bagi mereka yang mencari kebahagiaan sejati.

Setakat ikhlas sahaja tidak mencukupi perlu juga diselitkan dengan aura positif yang akan menyinari sebuah kehidupan berasaskan iman dan takwa.

Berbahagialah mereka yang ikhlas dalam perhubungan kerana itulah anak kunci segalanya yang boleh membuka ruang ke arah cinta suci yang tersimpan rapi.

Namun, dalam hubungan ini setiap insan perlu meletakkan fokus terhadap apa yang diingini dalam perhubungan itu kerana itulah yang akan kita peroleh, sama ada yang baik atau sebaliknya.

Kisah ditinggalkan dan dipertemukan kembali adalah lumrah, manis dan pahit juga sudah sebati dengan jiwa mereka yang pernah mengalami masalah dalam perhubungan.

Namun apa yang ingin saya ketengahkan di laman ini minggu ini amat unik. Pada mulanya saya juga tidak percaya dengan cerita ini tetapi setelah mendapatkan kesahihan daripada tuan empunya diri, saya turut sedih dengan apa yang mereka lalui. Kalau selalu kita hanya dapat menonton cerita seperti ini menerusi kaca televisyen, tapi menerusi ruangan ini saya bawakan kisah benar untuk anda baca dan jadikan iktibar.

Kisah cinta dan pertemuan sepasang kekasih yang berakhir dengan sedih. Hajat hati mencari seorang kekasih untuk dijadikan isteri tetapi terpaksa menerima hakikat, kekasihnya adalah adik kandung sendiri.

Kita ikuti cerita Nabiha (bukan nama sebenar) buat teladan dan iktibar bersama. Begini kisahnya:

"Saya berusia lewat 20-an, telah bekerja dan mempunyai keluarga angkat yang menyayangi saya seperti anak sendiri. Saya tidak tahu bagaimana bermulanya kisah hidup saya.

"Namun dalam meniti usia remaja ibu bapa angkat saya memaklumkan yang saya anak angkatnya supaya tidak timbul masalah di kemudian hari. Saya reda dengan pengakuan mereka dan tidak pernah curiga dengan kasih sayang dan perhatian mereka terhadap saya terutama apabila nama bapa saya dikekalkan pada kad pengenalan dan segala yang berkaitan dengan urusan hidup saya.

"Menjadi anak tunggal dalam sebuah keluarga yang agak berada menjadikan hidup saya agak mewah. Saya diberi pendidikan sempurna dunia dan akhirat. Alhamdulillah.

"Seperti orang lain saya juga terjebak dalam percintaan. Bukan mudah mencari keserasian dalam sebuah perkenalan. Bertahun-tahun lamanya saya mengambil masa untuk mengaku yang saya telah jatuh cinta.

"Pun begitu tidak semua percintaan akan berakhir ke jenjang pelamin. Kita hanya merancang, Allah yang menentukan segala-galanya. Ada yang patah di tengah jalan tetapi itu bukan bermakna hidup sudah berakhir.

"Mungkin belum ada jodoh dan Allah akan menghadiahkan seorang insan yang lebih baik untuk kita berkongsi hidup. Nasib menyebelahi saya apabila Nabiha (bukan nama sebenar ) menghulurkan salam perkenalan.

"Saya menerima persahabatannya itu dengan harapan ada bahagia di penghujung persahabatan kami itu. Nabiha seorang mahasiswi di institusi pengajian tinggi awam dan saya sudah pun bekerja. Saya senang berkawan Nabiha. Dia seorang gadis yang pandai membawa diri dan tidak banyak kerenah. Ciri-ciri tersebut menjadi idaman saya.

"Sesekali kami berjumpa di hujung minggu kerana saya tidak mahu mengganggu dia yang sibuk dengan tugasan dan persiapan untuk menduduki peperiksaan akhir semester, yang akan menentukan masa hadapannya.

"Disebabkan Nabiha masih menuntut ada ketikanya saya juga membantunya dari segi kewangan walaupun Nabiha tidak pernah meminta, 'saya ikhlas dan jangan segan untuk menerimanya' itu yang sering saya katakan pada Nabiha.

"Walaupun tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima namun, kerana sayang saya sanggup lakukan apa sahaja tanpa mengharapkan balasan walaupun sekecil zarah atau sebanyak isi alam.

"Pada hari konvokesyen Nabiha saya turut hadir bagi meraikan kejayaannya. Nabiha memperkenalkan saya kepada keluarganya, kami berjabat salam dan bertanya khabar.

"Selepas majlis itu saya tidak lagi berjumpa Nabiha tetapi kami masih berhubung. Dia juga sudah bekerja. Semasa di kampus Nabiha sangat aktif dalam persatuan dan perkara itu diteruskan di tempat kerjanya. Disebabkan masih solo tentu banyak masa terluang digunakan oleh Nabiha untuk melakukan apa yang dia suka.

"Pada masa yang sama, ramai kenalan baharu yang ditemuinya. Saya tidak pernah mengongkong pergerakan Nabiha kerana saya tahu dia sudah cukup dewasa untuk menguruskan dirinya sendiri.

"Suatu hari Nabiha menghubungi saya untuk berjumpa dan kami mengatur pertemuan di sebuah restoran sambil menjamu selera. Maafkan saya kata Nabiha tiba-tiba dengan nada sebak.

"Suasana ceria bertukar menjadi sedih. Kenapa dan apa yang terjadi? Saya bertanya untuk menceriakan kembali suasana yang bertukar menjadi suram.

"Sebenarnya saya adalah anak angkat dan sehingga kini saya tidak tahu siapa emak dan ayah kandung saya, katanya dengan air mata yang berlinangan di pipi.

"Saya faham perasaan Nabiha yang kecewa dengan nasib yang menimpanya walaupun dia ditatang bagaikan minyak yang penuh oleh keluarga angkatnya. Nabiha anak yang baik.

"Pada pertama kali saya berkenalan saya amat tertarik kepadanya yang amat sederhana dalam semua perkara. Tanpa banyak bicara saya menggunakan ruang yang ada untuk melamarnya sebagai suri hidup.

"Saya tidak memaksa tetapi memberinya waktu untuk berfikir dengan sebaiknya. Seminggu selepas pertemuan itu saya mendapat jawapan, Nabiha menerima lamaran saya. Itulah saat yang paling bahagia dalam hidup saya ini.

"Tiba waktu yang dijanjikan, keluarga saya bertandang ke rumah Nabiha untuk melamarnya. Sebenarnya anak saya Fahmi adalah anak angkat, dan kami memeliharanya kerana ibu dan ayahnya meninggal dunia sewaktu Fahmi masih kanak-kanak, demikian penjelasan yang diberikan kepada keluarga Nabiha oleh ayah angkat saya.

"Cerita yang sama diluahkan oleh keluarga angkat Nabiha kepada keluarga saya. Macam-macam soalan yang timbul dalam perbincangan itu. Saya yang pada mulanya tidak dibenarkan ikut sama dalam perbincangan akhirnya dipanggil oleh ibu bapa saya masuk ke rumah Nabiha.

"Pertanyaan demi pertanyaan diajukan, akhirnya saya terpaksa menerima hakikat bahawa jodoh saya dan Nabiha tidak ada. Paling sedih sekali kerana saya mendapat khabar Nabiha adalah adik kandung saya.

"Bapa angkat Nabiha dan ayah angkat saya adalah orang yang bertanggungjawab menguruskan pengambilan anak angkat untuk satu keluarga pasangan suami isteri yang terbunuh dalam satu kemalangan lebih kurang 30 tahun lalu.

"Mereka ini, ayah dan bapa angkat saya dan Nabiha adalah sahabat karib kepada ibu bapa kami. Kehadiran keluarga sebelah ayah saya telah mengesahkan yang kami adalah adik-beradik.

"Begitu kecilnya dunia. Inilah yang dikatakan takdir dan ketentuan Allah. Sedihnya hati saya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Air mata lelaki saya yang mahal akhirnya menitis juga. Segalanya telah tersurat untuk saya. Nabiha menangis teresak-esak setelah mendapat perkhabaran tersebut.

"Syukur kepada Allah kerana kami tidak pernah terlanjur. Malah sepanjang berkenalan, saya dan Nabiha tidak menunjukkan rasa cinta kami seperti pasangan kekasih lain. Entah mengapa saya amat menjaga ketertiban itu sepanjang kami berkawan.

"Saya telah kehilangan kekasih tetapi berganti dengan adik kandung yang telah terpisah sejak kami kecil. Silap saya kerana tidak pernah bertanya Nabiha kenapa nama ayahnya sama seperti nama ayah saya. Kini Allah telah menunjukkan kebesaranNya. Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang berlaku.

"Saya dan Nabiha menerima ujian ini dengan reda dan rasa syukur. Ketika Nabiha bersalaman dengan saya air matanya menitis membasahi tapak tangan saya. Saya memeluknya dengan erat sekali tanda syukur menerimanya sebagai adik saya dunia akhirat.

"Majlis yang meriah akhirnya bertukar menjadi pilu. Tetamu yang hadir turut mengesat air mata. Tiada perkataan yang mampu terucap melainkan air mata yang membasahi pipi.

"Pada majlis itu juga sebagai abang saya memberi kebenaran kepada bapa angkat Nabiha untuk menikahkan dia dengan abang angkatnya. Memang rancangan mereka untuk menjodohkan Nabiha dengan anak kandung mereka tetapi kerana Nabiha ada pilihan sendiri mereka akan merestuinya. Itulah yang dikatakan jodoh.

"Saya amat bersyukur dengan apa yang berlaku dan berterima kasih kepada Allah kerana memberi saya kebahagiaan dalam cara yang selama ini tidak pernah saya fikirkan. Mudah-mudahan Nabiha bahagia bersama suaminya.

"Kepada ibu ayah angkat saya dan bapa angkat Nabiha saya merakamkan terima kasih atas budi dan pengorbanan mereka membesarkan kami. Terima kasih sangat. Kepada ibu bapa angkat saya, insya-Allah saya akan cari juga seorang menantu yang baik seperti Nabiha untuk mereka. Doakan saya," Fahmi menutup ceritanya dengan sebak.

Saya juga terkedu membaca cerita ini. Seperti tidak percaya ia berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Apa pun hanya doa dipanjatkan ke hadrat Allah SWT agar kehidupan Nabiha dan Fahmi akan sentiasa di dalam peliharaannya dunia akhirat.

Mudah-mudahan segala yang diingini Fahmi akan dimakbulkan Allah.

Menamatkan catatan sepatah pesanan saya untuk renungan kita bersama.

Jangan berhenti bersyukur kerana dengan bersyukur kita kembali kepada nikmat Nya yang telah diberikan kepada mu terlebih dahulu selepas susah mu diganti dengan senang.

Salam

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat