Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
Posted: 30 May 2013 11:40 AM PDT Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR MOHAMED Khaled Nordin (tengah) menerima ais krim goyang daripada penjualnya ketika mengadakan lawatan ke Bazar Karat di Johor Bahru, Johor, malam kelmarin. JOHOR BAHRU 30 Mei - Kerajaan negeri merancang untuk membangunkan lebih banyak rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun bagi membolehkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana dapat menikmati kediaman sendiri selain memenuhi keperluan masyarakat. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rancangan itu merupakan antara pendekatan yang dilihat dapat membantu menyelesaikan masalah pemilikan rumah khususnya untuk golongan tersebut. Beliau berkata, kerajaan negeri sedang berbincang serta memperhalusi usaha terbabit supaya impian rakyat untuk memiliki kediaman sendiri dapat direalisasikan. "Usaha mengenal pasti tanah di beberapa kawasan tertentu sama ada milik kerajaan atau agensi di bawahnya sedang dilaksanakan dan akan diberikan perhatian khusus untuk tujuan pembinaan rumah mampu milik. "Hasil mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baru-baru ini, kita bersetuju untuk memenuhi permintaan penduduk yang ingin memiliki rumah mengikut kemampuan mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bazar Karat, di sini malam tadi. Yang turut hadir, Datuk Bandar Johor Bahru, Burhan Amin; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Latiff Bandi. Mohamed Khaled meluangkan masa hampir sejam di Bazar Karat bagi melihat keadaan di kawasan itu selain beramah mesra bersama para pengunjung serta peniaga di situ. Beliau berkata, pihaknya juga akan meneliti semula setiap pemaju di negeri ini bagi memastikan mereka membina rumah mampu milik dalam setiap projek perumahan yang dilaksana seperti yang disyaratkan. "Kita sedang mengenal pasti mana-mana pemaju yang disyaratkan membina rumah mampu milik tetapi tidak dilaksanakan, kita akan tentukan supaya tindakan tertentu diambil untuk memastikan pemaju mematuhi syarat yang ditetapkan. "Kita juga akan melihat kawasan keseluruhan dalam Iskandar Malaysia sebagai contoh di Permas seperti tanah-tanah Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan Tebrau Teguh, kita akan pastikan syarat 35 peratus perumahan kos sederhana dan sederhana rendah tidak ada pengecualian, maknanya mereka wajib bina rumah mampu milik," katanya. |
SPNB perlu tangani kelewatan RMR1M Posted: 30 May 2013 11:40 AM PDT Halimah KULAI JAYA 30 Mei - Kelewatan projek pembangunan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) mengikut jadual yang ditetapkan perlu diberi perhatian serius oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan kontraktor bertanggungjawab kerana memberi imej buruk kepada kewibawaan agensi tersebut. Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh menjejaskan pembangunan negara serta peluang kontraktor lain. Menurut beliau, meskipun sebahagian besar kontraktor yang gagal melaksana tugas telah ditamatkan perkhidmatan dan disenarai hitam namun pemantauan masalah projek RMR1M perlu dilakukan secara berkala. "Kita tidak mahu masalah ini berulang kerana menyukarkan rakyat, ini adalah soal keyakinan rakyat terhadap prestasi agensi kerajaan. "Disebabkan mereka, janji-janji kerajaan menyediakan lebih banyak projek pembangunan menjadi terbengkalai dan yang amat dikhuatiri, rakyat yang tertunggu-tunggu projek itu menyalahkan kerajaan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Perjumpaan dan Perbincangan Perumahan Generasi Kedua Felda Bukit Ramun, Felda Bukit Besar dan Felda Pasir Raja Bersama SPNB di Dewan Felda Bukit Ramun, di sini semalam. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Teknikal SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Generasi Kedua Felda Bukit Ramun, Ahmad Jalilani Amaludin dan rakan sejawatannya daripada Felda Bukit Besar, Azahar Ab. Manab dan Felda Pasir Raja, Mohd Yatim Zakaria. Sebanyak 180 peserta generasi kedua perumahan RMR1M dari tiga rancangan tersebut hadir dalam perbincangan dan mencari penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi mereka. Halimah yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, SPNB perlu memastikan tawaran reka bentuk rumah untuk dijadikan pilihan kepada rakyat dibina kontraktor yang benar-benar berwibawa dengan meneliti semula senarai kontraktor yang tidak berprestasi. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |