{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Diumum dalam masa terdekat

Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT

Oleh Siti Airunnisa Alaui
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 29 Mei - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said (gambar) akan mengumumkan rombakan kecil portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) negeri itu dalam tempoh terdekat.

Beliau yang mengesahkan perkara itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana belum dipersembah untuk mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

"Memang ada rombakan seperti saya maklum dulu, tetapi saya akan umum selepas keberangkatan pulang Sultan Terengganu ke negeri ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Pada 20 Mei lalu, Ahmad mengumumkan kerajaan negeri itu bakal melakukan rombakan kecil melibatkan Exco bagi membolehkan portfolio yang diwujudkan seiring dengan penubuhan kementerian serta Kabinet yang baru ditubuhkan Kerajaan Pusat.

Dalam pada itu, Ahmad turut memaklumkan kerajaan negeri akan mula menunaikan salah satu daripada 18 aku janji yang diumumkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu iaitu pajakan tanah individu dinaikkan dari 30 tahun kepada 60 tahun.

Beliau berkata, inisiatif itu akan merangkumi tanah desa dan perumahan melibatkan premium 10 peratus manakala tanah bandar, komersial dan kedai sebanyak 20 peratus berdasarkan nilai semasa.

"Ini merupakan antara salah satu aku janji yang akan kita beri kepada rakyat dan kita akan terus mengotakan janji-janji kita," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad mengucapkan tahniah kepada enam jabatan kerajaan Terengganu kerana memperoleh penarafan empat bintang Anugerah Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan Terbaik 2012 daripada Jabatan Audit Negara.

Penarafan terbaharu diterima oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Kehakiman Syariah dan Majlis Perbandaran Dungun.

Tiga lagi ialah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Pejabat Perbendaharaan Negeri dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

Jelas Ahmad, kerajaan negeri akan mempertimbangkan pemberian insentif sebanyak RM20,000 bagi setiap jabatan

"Kita berbangga dengan kejayaan ini dan berharap jabatan berkenaan akan terus mengekalkan kecemerlangan manakala lebih banyak jabatan lain turut memperoleh kejayaan seperti ini kerana empat bintang merupakan penarafan yang paling baik kerana biasanya hanya tiga bintang diberikan," jelasnya.

Petronas belanja RM26 juta

Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT

Oleh NIK JASNI CHE JAAFAR
utusanterengganu@utusan.com.my

HANIFF Hassan (tengah) bersama para peserta Program Sentuhan Harapan Petronas di Institut Teknologi Petronas Batu Rakit, Kuala Terengganu, kelmarin.

KUALA TERENGGANU 29 Mei - Petronas telah membantu kira-kira 13,500 keluarga miskin tegar di seluruh negara bagi meningkatkan kualiti hidup mereka melalui Program Sentuhan Harapan Petronas yang digerakkan bermula 2010.

Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Korporat Kumpulan Petronas, Haniff Hassan berkata, sehingga kini, sejumlah RM26 juta diperuntukkan bagi menjayakan program tanggungjawab sosial korporat syarikat tersebut.

Menurut beliau, golongan miskin yang terpilih bukan sahaja menerima bantuan makanan tetapi dibekalkan dengan kemahiran dan rangsangan untuk mereka berusaha membebaskan diri daripada kepompong kemiskinan.

"Mereka menerima sumbangan bulanan dalam bentuk makanan asas bernilai RM80 selama dua tahun selain diberi peluang membina kemahiran diri melalui pelbagai kursus seperti kursus jahitan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Latihan Kemahiran Menjahit di Institut Teknologi Petronas (INSTEP) di sini, petang semalam.

Sebanyak 70 peserta menyertai program selama enam hari itu dan setelah tamat kursus mereka akan dibekalkan dengan mesin jahit di samping menjalani kursus lanjutan bagi memantapkan kemahiran termasuk melalui program mentor bulanan.

Katanya, peserta itu merupakan sebahagian daripada sebanyak 200 peserta melibatkan golongan ibu tunggal, suri rumah dan orang kurang upaya (OKU) selain kumpulan sasar di Kelantan, Perak, Selangor, Johor dan Melaka.

Menurutnya, para peserta didedahkan dengan kemahiran hidup seperti teknik pemasaran, komunikasi berkesan dan motivasi diri.

"Jika kumpulan perintis itu berjaya memanfaatkan kemahiran mereka dan meningkatkan sosioekonomi keluarga, program berkenaan akan diperluaskan," katanya.

Sementara itu, peserta, Che Maznah Kassim, 51, berkata, beliau mahu membuka perniagaan jahitan bagi menampung pendapatan keluarga kerana suaminya uzur selepas serangan penyakit jantung.

"Saya perlu keluar mencari rezeki dengan mengambil upah bekerja kampung, namun pendapatan saya tidak mencukupi.

"Jadi dengan adanya kemahiran menjahit dan bantuan peralatan yang diberikan, bantuan itu sekurang-kurangnya dapat membantu saya," katanya.

TNB baiki rumah golongan tidak bernasib baik

Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT

ZULKIFLI Abd. Rahman (kanan) menunjukkan isyarat bagus sewaktu Adelina Iskandar (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada S. Ganapathy Subramaniam sekeluarga pada Majlis Penyerahan Rumah PMR di Kampung Rahmat, Kuala Krai, Kelantan, kelmarin.

KUALA KRAI 29 Mei - Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan tahun ini memperuntuk sebanyak RM20,000 untuk Projek Mesra Rakyat (PMR) melibatkan usaha membaik pulih dua buah rumah keluarga miskin di negeri ini.

Pengurus Besarnya, Datuk Zulkffli Abd. Rahman berkata, projek itu adalah tanggungjawab sosial korporat TNB yang menyasarkan kediaman golongan kurang bernasib baik seperti golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, warga emas dan penduduk miskin untuk dibaik pulih.

"Untuk hari ini, rumah milik S. Ganapathy dibaik pulih bagi memberi keselesaan kepada mereka sekeluarga yang mana TNB memperuntuk sebanyak RM10,000 untuk setiap rumah.

"Projek kedua akan diteruskan esok melibatkan rumah seorang warga emas, Cang Eng Kiok, di Kota Bharu," katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Rumah PMR di Kampung Rahmat dekat sini, semalam.

Penyerahan rumah yang telah dibaik pulih itu disempurnakan oleh Naib Presiden (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB, Adelina Iskandar.

Zulkffli berkata, setakat ini, sebanyak 13 buah rumah daripada 24 buah rumah di seluruh Semenanjung telah siap dibaik pulih.

"Projek ini dilaksana dengan membaiki mana-mana bahagian rosak serta menukar atap yang bocor supaya mereka dapat hidup dengan lebih sempurna," katanya.

Tambah beliau, projek itu dijangka siap sepenuhnya sebelum 31 Ogos melibatkan 24 buah rumah secara keseluruhannya dengan kos sebanyak RM240,000.

Sementara itu, Ganapathy, 49, berasa lega kerana TNB membantu membaik pulih rumahnya yang daif.

"Saya cukup berterima kasih dengan keprihatinan TNB yang membantu mengubah kehidupan saya sekeluarga," katanya.

Ganapathy berharap lebih banyak rumah akan terpilih pada masa hadapan bagi meringankan beban golongan kurang bernasib baik.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat