Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
Gangguan air jejas 600 penduduk Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT Oleh HARIS FADILAH AHMAD Mohamad Mat Jali terpaksa membeli pam penyedut untuk memperoleh air dari kolam berdekatan rumahnya kerana terputus bekalan air di Kampung Relai, Kuala Lipis semalam. KUALA LIPIS 29 Mei - Kira-kira 600 penduduk dari empat buah kampung di mukim Cheka dekat sini, meminta kerajaan mengatasi masalah gangguan bekalan air bersih yang berlarutan sejak tahun lalu. Dilema yang dihadapi mereka semakin kritikal sejak awal bulan ini selepas gangguan bekalan air berlarutan sepanjang hari. Keadaan itu menyebabkan penduduk Kampung Relai, Pasu, Padang Puyuh dan Lentang tidak dapat menjalankan rutin harian seperti biasa. Penduduk Kampung Relai, Che Latif Che Husin, 42, berkata, bekalan air daripada Perbadanan Air Pahang (Paip) yang diterima penduduk tidak menentu menyebabkan ada dalam kalangan mereka sudah hilang sabar. "Senario ini bukanlah baharu berlaku, malahan sejak sekian lama. Sejak awal bulan ini, keadaan bertambah teruk apabila ada ketika bekalan air terputus sehingga tiga hari," katanya kepada pemberita di Kampung Relai dekat sini. Sehubungan itu, Che Latif meminta pihak berwajib menyelesaikan masalah berkenaan walaupun mereka ada menghantar lori tangki bantuan tetapi masih tidak mencukupi untuk sumber harian. Sementara itu, Ketua UMNO Cawangan Kampung Relai, Mohamad Mat Jali, 46, berkata, penduduk sudah mula rimas dengan isu bekalan air dan sudah sampai masanya kerajaan mencari alternatif yang terbaik untuk mengatasi bekalan yang kerap terputus. "Kami sudah muak menggunakan air dari lori tangki dan air hujan. Bantulah kami menyediakan bekalan yang bersih tanpa terputus untuk keselesaan kami. "Bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri akan tiba tidak lama lagi, sudah sewajarnya masalah bekalan ini dapat diselesaikan segera tanpa membabitkan kos yang tinggi," katanya. Tambahnya, penduduk di tiga buah penempatan di situ amat berharap kerajaan negeri dapat mempercepat menaik taraf bekalan air bersih Paip sejajar dengan manifestasi Barisan Nasional (BN) untuk keselesaan penduduk luar bandar. |
Tambang RapidKuantan mulai Sabtu ini Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT KUANTAN 29 Mei - Perkhidmatan bas RapidKuantan yang memulakan operasi 1 Disember lalu akan mula mengenakan tambang ke atas penumpang mulai Sabtu ini selepas tempoh perkhidmatan percuma berakhir Jumaat ini. Ketua Eksekutif Bas Rapid Sdn. Bhd., Zohari Sulaiman berkata, tambang akan bermula daripada RM2 untuk perjalanan dalam zon tunggal dan maksimum sebanyak RM4 untuk perjalanan merentasi dua zon. Menurut beliau, daripada sebanyak 12 laluan yang dilalui bas RapidKuantan hanya lima sahaja yang akan melaksana sistem tambang dua zon. "Laluan terbabit adalah laluan 100, Hentian Bandar-Bukit Gambang Resort City (BGRC); laluan 301 Hentian Bandar-Bukit Sagu; laluan 400 Hentian Bandar-Pekan; Laluan 401 Hentian Bandar-Kampung Ubai dan laluan 500 Hentian Bandar-Sungai Lembing. "Yang selebihnya iaitu tujuh laluan hanya mengenakan bayaran RM2 bagi setiap perjalanan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Katanya, kanak-kanak di bawah umur tujuh tahun tidak dikenakan bayaran manakala pelajar yang berpakaian seragam sekolah serta berumur tujuh hingga 12 tahun akan dikenakan separuh harga. "Selain itu, turut mendapat diskaun 50 peratus ialah warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU)," jelasnya. Zohari memberitahu, warga emas, OKU dan pelajar boleh mendaftar dengan pihaknya untuk mendapat kad diskaun di tingkat satu Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan di sini. "Kami membuka perkhidmatan bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang dari hari Isnin hingga Sabtu kecuali pada hari cuti umum," katanya. Tambahnya, pemegang kad diskaun hanya perlu menunjukkan kad mereka kepada pemandu bas untuk menikmati diskaun sebanyak 50 peratus. "Saya nasihatkan penumpang sentiasa mempunyai jumlah wang yang tepat bagi memudahkan urusan pembayaran tambang," katanya. |
Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT Oleh SALEHUDIN MAT RASAD Wan Salman Wan Ismail (dua kanan) turut membeli barangan segar ketika pembukaan hari pertama Pakar Jengka, baru-baru ini. KUALA KRAU 29 Mei - Pasar Komuniti dan Karavan (Pakar) di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka di sini yang dijadikan projek perintis bagi konsep pasar seumpama itu di negeri ini, telah mula beroperasi pada 29 Januari lalu. Dibangunkan dengan kos RM4.07 juta, Pakar Jengka merupakan sebuah pasar yang menyediakan pelbagai barangan segar di bawah satu bumbung bagi memenuhi keperluan pengguna masa kini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail berkata, Pakar Jengka dibina di atas tapak pasar tani sedia ada seluas 1.52 hektar pada 11 Januari tahun lalu yang menawarkan 92 lot perniagaan di samping 18 lot lagi untuk perniagaan menggunakan karavan. Beliau berkata, Pakar Jengka merupakan pasar komuniti pertama dibuka di Pahang yang kemudian diikuti di Bera dan Pekan sekali gus memperbanyak peluang perniagaan kepada usahawan tempatan. Katanya, di Pakar Jengka, sebanyak 87 peniaga telah memulakan perniagaan masing-masing dengan menawarkan pelbagai produk barangan asas pertanian termasuk produk perusahaan kecil dan sederhana yang segar dan berkualiti. "Pakar Jengka yang dahulunya dikenali pasar tani menjadi tumpuan lebih 100,000 penduduk khususnya masyarakat peneroka Felda, kakitangan kerajaan dan swasta mendapat barangan keperluan harian. "Pasar ini dibuka bermula pukul 2 petang hingga 9 malam setiap hari Selasa, Khamis dan Ahad," katanya kepada Utusan Malaysia selepas bertemu peniaga sempena pembukaan Pakar Jengka di sini baru-baru ini. Yang hadir sama, Pengarah Kanan Pembangunan Usahawan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Ab. Razak Ab. Majid dan Pengarah FAMA negeri, Ibrahim Mahmood. Pelbagai acara menarik sempena pembukaan itu dilangsungkan seperti pertandingan mengubah buah-buahan untuk pengantin dan mewarna kanak-kanak Tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas). Jelas Wan Salman, Pakar merupakan inisiatif kerajaan untuk memoden dan menggabungkan pasar tani, pasar malam dan pasar minggu di bawah satu bumbung. Dalam fasa pertama operasi iaitu pada Februari lalu, katanya, Pakar Jengka menjana nilai jualan sebanyak RM334,647. Tambah beliau, sambutan baik itu berikutan Pakar Jengka menawarkan kemudahan beli-belah serba lengkap dan selesa yang merupakan konsep peruncitan moden kepada penduduk Felda Wilayah Jengka. "Kewujudan Pakar Jengka adalah janji kerajaan yang ditepati sebagaimana janji yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika pengisytiharan nama Bandar Tun Abdul Razak Jengka pada 7 Julai 2011," katanya. Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tan Sri Badruddin Amiruldin yang ditemui ketika melakukan lawatan kerja ke Pakar Jengka baru-baru ini berkata, Pakar dibangunkan berdasarkan lokasi dan prospek perniagaan yang memberi manfaat maksimum kepada penduduk. Katanya, Pakar yang mula beroperasi di Manjung, Perak pada 9 September tahun lalu berjaya meraih pendapatan sebanyak RM1.1 juta dalam tempoh tiga bulan. Tambah beliau, lapan buah Pakar lagi yang mula beroperasi tahun ini di seluruh negara termasuk di Jengka dijangka menjana nilai jualan sebanyak RM45.68 juta setahun serta mewujudkan 2,080 peluang pekerjaan apabila beroperasi sepenuhnya. Menurutnya, matlamat dan hala tuju projek Pakar adalah bertujuan membuka peluang perniagaan dan peningkatan pendapatan kepada usahawan baharu. "Ini transformasi pasar penjaja ke arah konsep yang lebih moden, bersih, menarik dan teratur sekali gus membela nasib penjaja jalanan yang tiada tapak tetap. "Di samping itu, projek Pakar bertujuan memelihara kesinambungan pasar malam, pasar tani, pasar tamu dan lain-lain kumpulan pasar seumpamanya," katanya. Beliau berkata, pelbagai produk segar yang dijual di Pakar Jengka seperti sayur-sayuran, buah-buahan, daging, ayam proses, makanan, ikan air tawar, ikan laut, produk industri kecil dan sederhana, ubat tradisional dan sebagainya dapat menampung permintaan pengguna. Beliau dalam masa sama mengingatkan peniaga mengutamakan kebersihan premis di samping mematuhi penetapan harga produk yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. "Pakar juga 100 peratus menjadi milik usahawan warganegara sebagai tempat melatih diri sebagai peniaga dan usahawan berjaya," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |