Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Kes denggi naik di Johor Bahru
- Inap desa Kg. Parit Puteri Menangis
- Belia Felda diminta nilai keselesaan hidup
Kes denggi naik di Johor Bahru Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT Oleh AZIZI MAJID JOHOR BAHRU 29 Mei - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menubuhkan Bilik Gerakan Denggi yang beroperasi setiap hari bermula 23 Mei lalu susulan peningkatan kes wabak berkenaan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan berkenaan. Datuk Bandar, Burhan Amin berkata, bilik gerakan itu yang dibuka di bangunan MBJB berfungsi mengatur logistik, tenaga kerja, laporan operasi dan pemantauan kes setiap hari. Tambahnya, pemantauan itu berikutan sejak 1 Januari hingga 25 Mei lalu, sebanyak 433 kes demam denggi dan 12 kes demam denggi berdarah dilaporkan dengan lima kematian. "Dalam memerangi wabak denggi dari berleluasa, MBJB turut mempertingkat tinjauan membabitkan pemeriksaan terhadap sebanyak 10,618 premis manakala 82 kawasan telah disembur dengan racun jentik-jentik. "MBJB turut menjalankan semburan kabus membabitkan sebanyak 30,527 premis di sekitar bandar raya ini," katanya dalam Mesyuarat Penuh Bulanan MBJB di sini semalam. Sehubungan itu, beliau menggesa semua warga bandar raya ini meningkatkan tahap kebersihan kawasan kediaman dan premis perniagaan masing-masing. |
Inap desa Kg. Parit Puteri Menangis Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT Oleh MUHAMMAD ZIKRI PENDUDUK menunjukkan pintu gerbang seperti Menara Berkembar Petronas mengalu-alukan pelawat ke Kampung Parit Puteri Menangis di Pontian, baru-baru ini. PONTIAN 29 Mei - Bermula dengan 10 buah rumah pada 2000, kini Inap Desa Kampung Parit Puteri Menangis, Ayer Baloi di sini bersedia menjadi tuan rumah yang mesra kepada pelawat dari dalam dan luar negeri dengan tambahan enam buah rumah dalam segmen agropelancongan di kampung ini. Menurut Pengerusinya, Sujak Hussin, 53, pihaknya mempunyai sebanyak 16 buah rumah yang terlibat secara aktif bagi sama-sama menjadikan aktiviti tersebut sebagai kegiatan ekonomi penduduk tempatan melalui pelbagai produk makanan, kebudayaan, pertanian, industri kecil dan sederhana (IKS), ternakan dan sukan. Menurut beliau, semuanya ditawarkan dengan pakej serendah RM170 semalam bermula pukul 12 tengah hari sehingga keesokannya termasuk makan minum sebanyak empat kali serta lawatan ke produk pelancongan. "Kami bersedia menawarkan suasana kelainan kepada pelawat seperti memotong buah nenas, memetik buah kelapa sawit, memberi makan kambing, menggoreng makanan ringan serta aktiviti kebudayaan seperti tarian zapin, permainan congkak, silat mahupun berhibur dengan lagu-lagu karaoke tahun-tahun 60-an dan 70-an. "Dengan kemudahan prasarana yang baik dan berdekatan dengan Lebuhraya Utara Selatan di laluan masuk Tol Sedenak dan Simpang Renggam, menjadikan kampung ini destinasi percutian sempurna. Malah, sebanyak empat orang penduduk telah membuat lawatan kerja ke Jepun bagi menimba pengalaman dalam bidang tersebut," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. Bagi Pengerusi IKS kampung tersebut, Masnah Rahmat, 47, beliau bersama pengusaha industri hiliran di kampung itu sentiasa bersedia menerima tetamu yang datang bermalam di inap desan berkenaan dan melihat sendiri penghasilan produk kaum ibu seperti kuih siput, pelbagai jenis kerepek dan kuih tradisional seperti baulu dan bangkit. Menurutnya, kaum ibu turut sama memajukan ekonomi keluarga dalam bidang IKS ketika kaum bapa memerah keringat di kebun kelapa sawit dan nenas seiring usaha memacu ekonomi kampung selari saranan transformasi luar bandar (RTC) oleh kerajaan. "Saya gembira kerana Kampung Parit Puteri Menangis telah mengorak ke satu arah yang tepat sesuai dengan saranan kerajaan agar penduduk desa juga melibatkan diri dalam bidang pelancongan berasaskan pertanian," katanya. Bagi pekebun nanas, Ngadiman Tasno, 66, dia juga bersedia menawarkan kepada pelancong yang ingin mencari pengalaman memotong buah nanas. Katanya, pelbagai jenis tanaman nanas diusahakan di kebunnya seperti nanas jenis Morris, N36, Gandol, Josephine dan Sarawak yang juga menjadi sebahagian daripada produk Inap Desa Kampung Parit Puteri Menangis. |
Belia Felda diminta nilai keselesaan hidup Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT Ayob Rahmat (tiga dari kiri ) dan Shamsuddin Awang (dua dari kanan) serta Pengurus Felda Redong 1, Rosli Abdul Majid (kiri) menunjukkan cek sumbangan kepada Tabung Wira Lahad Datu dan Tabung Kemanusiaan Palestin oleh Badan Kebajikan Khairat Kematian Felda Redong 1 di Labis, baru-baru ini. - utusan/MOHAMED SAARI LABIS 29 Mei - Golongan muda Felda yang berhijrah ke bandar harus menilai dengan bijak keselesaan dan keamanan yang dinikmati ibu bapa mereka yang tinggal di tanah rancangan dan berfikir secara rasional pihak yang bertanggungjawab mewujudkan semua kemudahan tersebut. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Datuk Ayob Rahmat berkata, tinggal di bandar tidak bermakna mereka tahu semuanya mengenai politik negara sehingga tergamak melabelkan kerajaan sebagai zalim sedangkan penduduk luar bandar juga 'celik politik'. "Lebih menyedihkan terdapat segelintir mereka yang mempengaruhi keluarga supaya menyokong pembangkang dengan membawa pelbagai cerita yang memburukkan kerajaan. Apakah kerajaan yang memberi bantuan dan durian runtuh kepada rakyat adalah kerajaan zalim? "Perkembangan ini jika tidak dibendung boleh mendatangkan padah dan kesan buruk kepada kuasa politik orang Melayu dan umat Islam negara yang selama ini dipertahankan. Fakta sebenar harus dimaklumkan di semua peringkat," katanya. Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Badan Kebajikan Khairat Kematian Felda Redong di sini kelmarin. Majlis itu turut menyaksikan Badan Kebajikan Khariat Kematian Felda Redong 1 menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000 masing-masing kepada Tabung Wira Lahad Datu dan Tabung Kemanusiaan Palestin serta wang sagu hati kepada pelajar cemerlang. Sementara itu, Ayob berharap badan khairat itu yang menyambut ulang tahun ke-25 tahun ini dapat menjadi contoh kepada badan dan persatuan lain di Felda tersebut dan tanah rancangan di sekitarnya. Dalam pada itu, Pengerusi Badan Kebajikan Khariat Kematian Felda Redong 1, Shamsuddin Awang berkata, badan khairat tersebut kini mampu menyumbang kepada masyarakat setempat dan antarabangsa seperti mangsa perang Iraq, mangsa tsunami di Aceh dan gempa bumi di Jepun kerana mempunyai dana yang mencukupi hasil kesepakatan kira-kira 700 ahlinya. "Saya berharap lebih ramai golongan muda menjadi ahli kerana setakat ini, sekitar 12 peratus sahaja penglibatan golongan generasi kedua dalam badan kebajikan ini. "Jumlah ini terlalu kecil dan saya bimbang jika mereka tidak berminat, maka tiada golongan pelapis yang akan meneruskan usaha kami selama ini," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |