{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Horizon

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Horizon


Cita rasa asli Rembau

Posted:

Cita rasa asli Rembau

Cita rasa asli Rembau

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

LAGU Rembau Most Wanted yang sedang hangat diputarkan di corong-corong radio ketika ini pasti membuatkan banyak pihak teringin untuk menjenguk Rembau yang merupakan salah sebuah daerah di Negeri Sembilan.

Lagu tersebut merupakan dendangan anak jati Rembau iaitu Muzzammil Alias, 24, atau lebih dikenali dengan panggilan W.A.R.I.S. Lirik lagunya menyentuh mengenai kehidupan masyarakat kampung di Rembau selain memberi informasi mengenai amalan Adat Perpatih di negeri tersebut.

Bait-bait lirik The food gonna make your tongue blaze pada permulaan lagu itu juga menggambarkan keunikan dan keaslian hidangan tradisional Negeri Sembilan yang terdapat di daerah itu.

Restoran Rembau Ria yang terletak di Jalan Rembau-Tampin membuktikan kebenaran bait lirik itu. Mula beroperasi sejak 15 tahun lalu, restoran tersebut menyajikan lebih 30 jenis hidangan tradisi Negeri Sembilan terutamanya untuk hidangan makan tengah hari.

Hidangan seperti daging dan ikan sembilang salai masak lemak cili padi, pucuk ubi tempoyak malah paling istimewa rendang Rembau pasti menepati cita rasa pelanggan yang mahu menikmati sajian asli Negeri Sembilan.

Lokasinya terletak kira-kira 10 minit dari Plaza Tol Pedas, Linggi dan 30 minit dari Seremban.

Pemilik restoran, Norazizah Daud, 47, memberitahu, setiap hidangan di situ merupakan olahan resipi suaminya, Bidin Ali, 55. Ia mengikut cita rasa masyarakat tempatan tanpa mengetepikan keaslian setiap sajian.

"Rendang Rembau merupakan hidangan yang wajib dicuba kerana rasanya berbeza dengan rendang di tempat lain. Ia dimasak tanpa menggunakan minyak dan santan serta mengambil masa beberapa jam untuk dimasak. Pucuk ubi merupakan antara bahan utama yang diletakkan dalam resipi rendang itu.

"Selain itu, pelanggan boleh mencuba pencuci mulut seperti tapai dan kuih sepang iaitu sejenis kuih tradisi di Negeri Sembilan," ujar pemilik restoran yang telah mendapat sijil pengiktirafan Premis Makanan Pilihan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan tahun lalu.


REPLIKA rebana, caklempong dan gong yang terletak di tengah-tengah bandar Rembau merupakan papan tanda terbesar di daerah itu.


Sejarah Rembau

Nama asal Rembau diambil sempena sebatang pokok merbau tua yang telah ditebang pada awal abad ke-16 iaitu sebelum tahun 1540 di kawasan yang dahulunya dipanggil Penagim. Ketinggian pokok tersebut dikatakan mampu mencecah awan ketika cuaca mendung.

Ketika pokok itu ditebang, ia tumbang ke arah utara iaitu di kawasan padi dan ia dibiarkan sahaja selama ratusan tahun. Mengambil kisah keajaiban pokok itu, penduduk menamakan kawasan itu daripada Penagim kepada Merbau. Disebabkan terdapat kekeliruan penduduk mengenai nama kampung dengan spesies pokok itu, lalu ia ditukar kepada Rembau.

Kolam air panas

Di daerah yang sinonim dengan jolokan daerah beradat itu, terdapat kolam air panas yang sentiasa menjadi tumpuan pelancong mahupun penduduk setempat. Kolam air panas Chengkau terletak kira-kira 10 minit dari bandar Rembau dan ia dibuka percuma untuk orang ramai.

Menurut penjaga kolam itu, Abu Hassan Ujang, 53, dua kolam air panas Chengkau itu dimiliki oleh datuknya iaitu Cikgu Hassan, 98, yang tinggal di Kampung Mayon.

Tuturnya, air panas yang terhasil daripada kerak bumi itu mempunyai kepanasan kira-kira 30 hingga 31 darjah Celcius dan ia elok bagi mengubati individu yang mempunyai penyakit kulit.

Seorang penduduk tempatan, Rashid Hamid, 60, berkongsi pengalaman, dia dan isterinya berkunjung ke kolam tersebut tiga kali seminggu terutamanya pada waktu tengah hari.

"Berendam atau mandi air kolam ini mampu memecahkan kandungan kolesterol di dalam badan. Berat badan isteri saya turun sebanyak tiga kilogram usai mandi air panas di kolam baru-baru ini," ujarnya yang memberitahu kolam itu dibuka secara percuma.

Adat Perpatih

Bagi mendapat informasi lengkap mengenai Adat Perpatih, anda boleh berkunjung ke Muzium Replika Istana Raja Melewar yang terletak di Kampung Astana Raja dan ia mengambil masa kira-kira 15 minit dari bandar Rembau.

Staf muzium, Norizan Mohd. Nor, 49, memberitahu, muzium berkenaan menyediakan informasi lengkap mengenai Adat Perpatih di Negeri Sembilan terutamanya peralatan, majlis-majlis rasmi Datuk Undang, pertunangan dan perkahwinan.

"Pentarakna merupakan tempat duduk rasmi Datuk Undang di Rembau. Di muzium ini, pengunjung dapat melihat secara lebih dekat dekorasi dan susun atur majlis-majlis rasmi di Balai Datuk Undang.

"Replika singgahsana Datuk Raja Melewar iaitu Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan yang pertama ternyata menarik perhatian pengunjung. Singgahsana yang dilengkapi dengan tujuh kain cindai itu sama seperti yang terdapat di Pagar Ruyung, Indonesia," ujarnya.

Berdekatan dengan kolam air panas Chengkau, kelihatan papan tanda menggunakan tulisan dialek Negeri Sembilan, 'TOLO 20 sen sebijik' yang terdapat kira-kira satu kilometer dari kawasan itu.


MUZIUM Replika Istana Raja Melewar menyimpan pelbagai khazanah mengenai sejarah Rembau dan adat perpatih untuk tatapan pengunjung.


Telur Ayam

Strategi Zulkefli Bidin, 43, dalam mempromosikan perniagaan telur ayam pelbagai gred itu ternyata menarik perhatian sesiapa sahaja yang melalui Jalan Rembau-Tampin untuk singgah di premisnya.

Menurut pemilik syarikat Zul Tolo itu, dia mula menjalankan perniagaan telur ayam itu sejak lima tahun lalu di hadapan rumahnya yang terletak di Chengkau. Setiap hari, kira-kira 18,000 biji telur terdiri daripada enam gred berbeza dijual kepada pelanggan. Syarikat itu juga menjual telur ayam gred AA serta AAA yang mempunyai dua dan tiga kuning telur di dalam sebiji telur. Saiznya juga lebih besar daripada telur ayam gred biasa yang terdapat di pasaran.

"Zul Tolo juga menawarkan telur ayam kampung yang berprotein tinggi pada harga 40 sen sebiji," ujarnya yang memperoleh bekalan tersebut secara pukal di sekitar Negeri Sembilan.

Produk kristal

Bagi yang meminati barangan perhiasan kristal, Rembau Crystal Sdn. Bhd. merupakan destinasi wajib dikunjungi untuk mendapatkan oleh-oleh.

Galeri perhiasan kristal yang dimiliki sepenuhnya oleh Yayasan Negeri Sembilan itu terletak di Jalan Mulia, Perkampungan Kristal berdekatan dengan Stesen Kereta Api Rembau.

Bakal dibuka dalam beberapa minggu lagi, ia beroperasi di dalam rumah tradisi Minangkabau.

Galeri itu menjual dua jenis teknik penghasilan kristal iaitu anyaman kaca atau borosilikat untuk menghasilkan perhiasan meja, piala dan cenderamata.

Kembara solo ke Bangkok

Posted:

Kembara solo ke Bangkok

Kembara solo ke Bangkok


WAT ARUN menyajikan seni bina menarik, malah mempunyai 86 anak tangga untuk ke puncak kuil.


PERJALANAN saya menuju ke ibu negara Thailand iaitu Bangkok bermula dengan menaiki Keretapi Tanah Melayu Senandung Langkawi dari Kuala Lumpur Sentral pada pukul 9.20 malam.

Saya telah memilih koc yang dilengkapi katil. Perjalanan malam berganti siang, sinaran matahari pagi mula menembus awan. Saya tidak melepaskan peluang untuk melihat pemandangan luar termasuk kehijauan sawah padi.

Dalam perjalanan itu, semua penumpang perlu turun membawa barangan masing-masing apabila tiba di Stesen Padang Besar, Perlis untuk menjalani pemeriksaan kastam dan imigresen.

Pemeriksaan tersebut memakan masa hampir sejam, setelah selesai, saya masuk semula ke dalam kereta api bersama penumpang lain yang mahu meneruskan perjalanan ke Hat Yai.

Sebelum meneruskan perjalanan ke Bangkok, kami melalui transit di Stesen Kereta Api Hat Yai. Ketika itu, waktu tengah hari saya memutuskan untuk menjamu selera di sebuah restoran halal yang berdekatan.

Ketika menunggu kereta api untuk ke Bangkok iaitu pada pukul 7.30 malam waktu tempatan (sejam lewat berbanding waktu Malaysia), saya mengambil kesempatan mencari maklumat berkaitan bandar persinggahan itu.

Ketika berjalan-jalan di sekitar bandar Hat Yai, saya dapati seni bina bangunan kedai di bandar berkenaan tidak banyak berbeza dengan Malaysia.

Kereta api yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba dan saya bergegas ke koc tersebut. Sepanjang perjalanan, saya terpaksa berkongsi tempat duduk dengan penumpang lain sebelum ia ditukar menjadi katil.

Perjalanan ke Bangkok dilatari pemandangan indah sawah padi yang menjadi sumber ekonomi utama penduduk di kawasan pedalaman selatan Thailand.

Selepas hampir 19 jam dalam kereta api bagi jarak perjalanan sejauh 700 kilometer (km), akhirnya saya menjejakkan kaki di ibu negara gajah putih tersebut.

Tanpa melengahkan masa, saya terus ke kaunter tiket untuk pembelian tiket pulang dari Bangkok ke Pulau Pinang bagi mengelakkan masalah seperti kehabisan tiket.

Kemudian, saya terus menuju ke Hostel Etzzz di Lumphini dengan menaiki pengangkutan Transit Aliran Massa (MRT) yang terletak di luar stesen Hua Lompong untuk mendaftar masuk penginapan.


PASAR Chatuchak menjadi destinasi wajib pelancong saat bercuti di Bangkok.


Pasar mingguan terbesar

Di hostel, saya tidak mengambil masa yang lama untuk berehat kerana mahu menuju ke Pasar Mingguan Chatuchak yang terletak berhampiran dengan stesen MRT Kamphaengphet.

Pasar Mingguan Chatuchak atau lebih dikenali sebagai JJ, bukan sahaja merupakan pasar mingguan terbesar di Thailand, malah di dunia.

Terdapat kira-kira 5,000 buah gerai yang menjual pelbagai produk seperti pakaian, cenderamata, barangan antik dan seramik. Persekitaran yang sangat luas dan padat itu menyebabkan saya mudah sesat.

Walaupun majoriti penduduk Bangkok merupakan penganut beragama Buddha, saya bernasib bernasib baik kerana masih berpeluang menikmati makanan halal dan solat di surau yang telah disediakan di pasar tersebut.

Setelah hampir empat jam menghabiskan masa meninjau kemeriahan JJ, saya bergegas pulang ke hostel untuk berehat bagi persiapan aktiviti keesokan harinya.

Masuk hari ketiga berkelana sendirian di sini, jadual utama saya adalah melawat kuil dan masjid di sekitar bandar Bangkok. Bagi memudahkan pergerakan dari satu destinasi ke destinasi lain, saya telah membeli tiket perjalanan tanpa had untuk menaiki MRT.

Tulang belakang

Destinasi pertama yang dituju ialah stesen Saphan Taksin iaitu lokasi utama untuk menaiki bot bagi menyusuri Sungai Chao Phraya. Sungai tersebut diberi jolokan The River of Kings oleh Raja Rama I kerana ia merupakan tulang belakang kepada bandar raya Bangkok. Sungai sepanjang 373km itu antara medium pengangkutan yang terpenting dan dianggarkan seramai 50,000 orang menggunakannya setiap hari.

Saya berpeluang menyaksikan patung Buddha yang terkenal dengan posisi baring mengiring di Wat Po ketika singgah di Jeti Tha Tien. Selepas sejam meluangkan masa melawat kuil berkenaan, saya kembali ke jeti untuk ke Wat Arun yang terletak di seberang sungai.

Setibanya di Wat Arun, saya membayar tiket masuk pada harga 50 Baht (RM5) dan seterusnya memanjat anak tangga setinggi 86 meter (m). Walaupun kepenatan, saya gagahkan diri mencari makanan bagi hidangan tengah hari. Mujurlah ada sebuah restoran halal berhampiran Jalan Khaosan yang juga berdekatan dengan Masjid Chakrabongse.

Usai menunaikan solat dan berehat sebentar, saya singgah sebentar di dua buah lagi masjid yang terperosok daripada jalan utama dan hiruk-pikuk kota. Salah satu daripada masjid tersebut ialah Masjid Haroon yang terdapat penempatan kecil umat Islam yang berasal dari Pattani dan boleh berbahasa dialek Melayu-Kelantan.

Pada hari terakhir iaitu hari keempat di bandar ke-12 terbesar di dunia itu, saya cuma berjalan-jalan di sekitar pusat bandar raya dengan melawat pusat beli-belah terkenal di sana iaitu Siam Paragon dan MBK Center sebelum berlepas pulang menaiki kereta api.

Percutian ala kampung di Cherating

Posted:

Percutian ala kampung di Cherating

Percutian ala kampung di Cherating

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI


SUASANA damai persis sebuah desa menyambut kehadiran pengunjung.


KEMERDUAN alunan desiran ombak, bunyi daun kering bergeseran dan unggas bersahut-sahutan pasti membuai lamunan anda yang mendambakan percutian impian.

Bayangkan pula anda berada di tepi pantai yang memutih dan laut nan biru sambil dikelilingi pepohon kelapa yang melambai.

Impian berlibur sebegitu boleh dinikmati sekiranya berkunjung ke Tanjung Inn Villa de Fedelia. Terletak di Kampung Cherating Lama, Kuantan, Pahang, calet itu disusun atur seperti sebuah perkampungan kecil dengan seni bina rumah Melayu tradisional.

Suasana kampung menjadi taruhan pemiliknya, Abdul Haiyum Abdul Hamid , 60, untuk menyediakan suasana damai persis sebuah desa kepada pengunjungnya.

Calet tersebut pasti menjanjikan pengalaman percutian yang bakal terakam kemas dalam ingatan.

Sebaik melangkah masuk ke pekarangan calet itu, hati tercuit melihat pasangan suami isteri 'Mat Salleh' mengenakan kain pelikat dan berbaju kelawar ketika bersantai di ruang rehat disediakan.

Pasangan tersebut kelihatan selesa berpakaian seperti penduduk tempatan dan mesra bertegur sapa dengan pengunjung. Lagaknya tidak ubah seperti tuan rumah yang mengalu-alukan kedatangan tetamu.

Pengurusnya, Ismail Abdul Haiyum, 34, berkata, terdapat 21 unit calet daripada empat pilihan pakej penginapan ditawarkan kepada pelanggan sesuai untuk seisi keluarga.

Pengunjung boleh memilih untuk menginap di bilik yang dilengkapi kipas atau pendingin hawa dengan kadar harga sewaan yang berbeza.

Lebih menarik, kesemua calet dibina berkonsepkan rumah kayu yang dilengkapi bilik tidur, ruang tamu serta balkoni.


KEADAAN bilik yang selesa menceriakan lagi percutian anda.


Menghabiskan cuti

Dalam pada itu, pasangan pelancong anak-beranak dari Belanda mengakui jatuh cinta dengan suasana persekitaran calet yang sunyi di Tanjung Inn Villa de Fedelia.

Machteld Veldhuizen, 48, memberitahu kunjungannya kali kedua ke calet tersebut sebenarnya ingin membawa ibunya, Roni Kroonenberg, 73, pulang ke Belanda setelah menghabiskan cuti musim sejuk selama tiga bulan di calet itu.

"Selain pantai Cherating yang cantik, kami menyukai suasana kampung yang tenang, cuaca dan penduduknya yang mesra.

"Walaupun calet ini berformatkan bed and breakfast, namun terdapat beberapa buah restoran berdekatan yang menyajikan hidangan tradisional yang lazat dan menyelerakan," katanya sambil tersenyum.

Tambah menarik, penginap boleh menghayati pemandangan taman dan kolam ikan buatan dari jendela atau balkoni masing-masing.

Pengunjung juga berpeluang mencuba pelbagai aktiviti menarik seperti melihat hidupan liar di hutan paya bakau berhampiran, berkayak dan snorkeling di Pulau Ular.

Calet tersebut juga terletak berhampiran lokasi melihat kelip-kelip di Sungai Cherating yang dikelolakan oleh Hafiz's Cherating Activities.

Jika anda dari Kuala Lumpur, tempoh pemanduan memakan masa kira-kira empat jam untuk tiba ke calet tersebut. Perkhidmatan bas dan penerbangan domestik juga boleh digunakan bagi memudahkan anda sekeluarga menikmati percutian hujung minggu.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat