Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Menyerlahkan peranan orang muda Posted: 22 May 2013 11:25 AM PDT FESTIVAL Belia Putrajaya (FBP) yang berlangsung di Putrajaya bermula hari ini boleh saja disifatkan tugas besar pertama KHAIRY JAMALUDDIN sebagai Menteri Belia dan Sukan baharu yang dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Menyifatkan FBP sebagai platform untuk menyerlahkan peranan golongan belia dalam arus pembangunan negara, Khairy percaya orang muda akan menyokong setiap usaha kerajaan jika mereka diberi ruang untuk berbuat demikian. Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, NAZMIL NASIRUDDIN dan jurugambar WAHIDA ZAINAL, Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO mahu menangkis persepsi segelintir pihak bahawa FBP hanyalah sebuah pesta tanpa pengisian yang dapat dimanfaatkan golongan muda. Sebenarnya festival ini adalah seimbang, bunyi saja macam pesta tetapi bila kita lihat secara terperinci kita akan nampak sentuhan lebih menyeluruh merangkumi pelbagai kandungan aktiviti termasuklah unsur kesukanan, pembangunan kerohanian, dan juga hiburan, katanya. UTUSAN: Tahniah Yang Berhormat di atas pelantikan sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu. Apakah cabaran yang akan digalas YB dalam masa terdekat ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13? KHAIRY JAMALUDDIN: Terima kasih. Cabaran saya kini adalah untuk menumpukan perhatian kepada Festival Belia Putrajaya (FBP) 2013 yang bakal menghimpunkan jutaan golongan belia ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini. Cabaran ini memang besar sebab jatuh atas riba saya dalam keadaan festival tersebut sudah hampir sempurna dan keadaan hampir lengkap. Saya pun dari segi perancangan tidak sempat buat apa-apa, cuma saya dapat membantu bersama dengan pihak sekretariat FBP memastikan bahawa apa yang dirancang berjalan lancar. Ini bukan bermakna saya lepas tangan dari segi perancangan, sebagai menteri memang saya bertanggungjawab. Sebagai menteri baharu, saya hendak pastikan apa dirancang berjalan lancar dan tiada kecacatan untuk menepati cita rasa orang muda. Penganjuran FBP 2013 ini merupakan idea yang diilhamkan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan terdahulu, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Apa harapan dan kelainan cuba dibawa pada perhimpunan kali ini? FBP 2013 merupakan kesinambungan penganjuran program himpunan golongan muda sejak 2010 lagi dengan konsep untuk mempromosikan Putrajaya sebagai bandar mesra belia. Penganjuran kali ini pula lebih kepada tema untuk memberi aspirasi kepada golongan tersebut membina ruang memajukan diri melalui program tahunan pihak kementerian itu. Festival belia ini menjadi showcase kepada usaha kerajaan untuk memberi peluang dan ruang kepada belia memperbaiki diri mereka. Penganjuran festival ini mahu menunjukkan Putrajaya yang menjadi Pusat Kerajaan Persekutuan ini menjadi bandar mesra belia dan begitu sinonim dengan golongan belia. Selain itu, penganjurannya dapat menonjolkan tenaga terpendam belia mengendalikan sebuah program yang menghimpunkan pelbagai acara dalam 40 segmen antaranya kerohanian, ilmu sukan malah hiburan. Kita boleh lihat sendiri bagaimana belia dapat membentuk aspirasi, idealisme dan gerakan tersendiri untuk membangunkan negara di masa hadapan. Boleh YB berikan perubahan yang dilakukan pada penganjuran kali ini untuk golongan belia sempena penganjuran FBP ? Antara perubahan pembaharuan kita bawa adalah dengan menekankan kepada program kerajaan yang boleh bantu belia dari segi keusahawanan, pendidikan dan juga kemahiran melalui agensi-agensi kerajaan. Ini kerana golongan muda tidak tahu apa jenis bantuan dan program yang disediakan kerajaan seperti pinjaman pembiayaan, peluang latihan dan sebagainya. Apabila ditempatkan dalam satu tempat seperti dalam melalui pameran FBP proses penerangan tersebut menjadi lebih mudah untuk membantu belia. Selain itu, kita juga adakan pameran pelancongan kepada golongan belia dalam festival tersebut seperti Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair). Terdapat sesetengah pihak memandang negatif terhadap penganjuran festival belia ini, apa nasihat dan pandangan YB dalam hal tersebut ? Sebenarnya festival ini adalah seimbang, bunyi saja macam pesta tetapi bila kita lihat secara terperinci kita akan nampak sentuhan lebih menyeluruh merangkumi pelbagai kandungan aktiviti termasuklah unsur kesukanan, pembangunan kerohanian, dan juga hiburan. Daripada tanggapan masyarakat umum bukanlah hanya konsert dan trek perlumbaan sahaja, tetapi ada juga forum perdana, karnival buku, persembahan penulis muda baca puisi dan baca syair. Pihak sekretariat festival akan pastikan pada tahun ini ada komponen ilmu kerohanian di samping ada hiburan agar kandungan program seimbang. Ini membolehkan mereka yang datang ke sini bukan hanya dapat hiburan tetapi dapat ilmu dan pengisian. Kita juga faham mungkin selama ini festival ini dilihat begitu banyak hiburan. Bagaimana perkara tersebut boleh berlaku, boleh YB jelaskan untuk makluman orang ramai ? Ini berlaku kerana kebanyakan liputan dan publisiti hanya tertumpu kepada sesuatu acara semata-mata biarpun terdapat pelbagai aktiviti lain disusun pihak penganjur. Penganjuran festival itu dilakukan secara sihat dan tidak langsung membawa unsur hedonisme untuk disajikan kepada golongan belia. Kita akan kawal dan pastikan nilai kemasyarakatan, agama, dan budaya kita dapat dipelihara. Yang menjadi tukang komentar ini pula ada yang tidak datang langsung ke festival ini. Macam kritikan tahun lepaslah, saya minta mereka datang sendiri dan tengok macam mana kita buat, kadangkala, yang bagi kritikan dia sendiri tidak datang dan lihat pendekatan kita. Kita sudah buat postmortem tahun lepas, dan sudah lihat kebaikan dan kelemahan. Saya rasa tahun ini dapat dibaiki dengan baik sekali. Bagaimana persediaan daripada pihak kementerian untuk menangkis tohmahan dan persepsi negatif yang bakal disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab terhadap penganjuran FBP ini nanti ? Kita sudah bersedia untuk itu. Untuk menangkisnya, cara terbaik kita gunakan saluran media sosial, kita punya promosi Facebook, Twitter, Instagram dan melalui laman web. Pendekatan sebegini dilihat kita amat berkesan sekali. Kita hendak memberitahu bahawa inilah keadaan sebenar berlaku di Putrajaya tentang persiapan festival dan sewaktunya, kalau ada cerita keluar kita boleh tunjuk dengan gambar dan video bahawa inilah keadaan sebenar. Kita tangkis cerita dan tanggapan berkenaan. Kita telah minta sekretariat proaktif dalam hal ini. Kalau ada apa yang berlaku kita jawab dengan cepat, macam tahun lepas ada insiden di trek pertunjukan drift, kita akan tingkatkan lagi persiapan keselamatan bukan hanya di lokasi itu sahaja tetapi di keseluruhan lokasi penganjuran. Kita sudah ada pasukan khas melalui kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) untuk pastikan keselamatan peserta adalah keutamaan pada tahun ini, saya yakin mari kita berdoa tidak ada apa-apa insiden kali ini. Berapa jumlah pertubuhan belia yang terlibat dengan penganjuran festival kali ini? Semua yang terlibat adalah di bawah Majlis Belia Malaysia (MBM). Semua di bawah MBM ada sebanyak 40 pertubuhan, MBM merupakan rakan strategik untuk penganjuran kali ini. Menyentuh mengenai soal pertubuhan belia, terdapat pertubuhan yang tidak aktif apa tindakan pihak kementerian untuk mengatasinya ? Saya akan lihat perkara ini kerana semua pertubuhan ini di bawah Pendaftaran Pertubuhan Belia (ROY). Pada masa sama, saya sudah sebut beberapa kali sejak pegang jawatan di kementerian ini bahawa saya akan bekerjasama, keutamaannya kita bagi pada badan berdaftar dan juga badan belum berdaftar, sebab kita tidak boleh begitu rigid dan formal sangat dalam pendekatan kita. Dahulu saya ada buat dana Belia 1Malaysia dan kemudiannya diambil alih 1Malaysia for Youth (1M4U). Kita bagi geran dan pembiayaan kepada pertubuhan berdaftar dan tidak juga berdaftar serta individu. Pendekatan mesti cerminkan perubahan walau keutamaan kita bagi pada pertubuhan yang berdaftar ini, tetapi kita juga kena terima hakikat bahawa bukan semua belia mahu terlibat dalam badan berdaftar. Kenapa masalah ini boleh berlaku dan adakah pertubuhan berkenaan perlu terus dihentikan daripada beroperasi ? Ada sesetengah disebabkan oleh masalah dalaman, masalah perpecahan dalaman dan sebagainya. Mungkin ada disebabkan tiada minat, tiada ahli atau pun kurang ahli dan kita akan lihat kepada pertubuhan tersebut tapi saya akan rujuk kepada MBM nanti. Berapa jumlahnya kita tidak dapat pastikan lagi. Saya akan bincang dengan mereka, kita tidak boleh ambil pendekatan yang terlalu keras terhadap mereka. Saya akan bincang dengan ROY apa tindakan dari segi undang-undang pula sebab kita tidak mahu ada persatuan yang hidup segan mati tidak mahu ini terus minta pembiayaan daripada kementerian tapi akhirnya tiada hasil. Pihak kementerian selepas ini perlu lihat apa hasil yang diperoleh selepas sesuatu pembiayaan itu diberikan jadi selepas ini mestilah menitik beratkan kepada kerberhasilan dan kita akan ukur prestasi pertubuhan bersandarkan kepada keberhasilan mereka. Golongan muda dilihat lebih cenderung menyokong pihak pembangkang berbanding kerajaan. Apa pendapat YB dalam isu ini? Di kawasan luar bandar dan pinggiran bandar kita masih dapat banyak sokongan, saya masih lagi sedang buat analisis mendalam tentang itu. Kita belum boleh buat rumusan ini tetapi saya dapati masalah hanya berlaku di sebahagian kerusi kawasan bandar. Itu pun saya nampak masih lagi ada peluang. walaupun kita nampak hayunan sokongan kepada pembangkang di kawasan bandar agak ketara tetapi saya nampak kita boleh bina kekuatan BN di kawasan luar bandar dan pinggiran bandar dan juga kita mesti lebih aktif untuk bentuk minda orang muda di bandar. Sebab orang muda di bandar tidak bersandar kepada soal pembanguan semata-mata mereka lebih kepada isu idealisme dan pengisian. Tadi, YB ada menyentuh isu golongan muda di kawasan bandar dan tidak dipertikaikan soal hak kesamarataan turut diperjuangkan oleh golongan tersebut, bagaimana kita dapat menghadapi masalah ini ? Dalam hal ini, kita perlu mendidik dan beri penjelasan bahawa adakah perjuangan kesamarataan ini relevan pada hari ini. Sebab masih ada ramai orang miskin di kawasan luar bandar perlu kita bantu. Kalau semuanya segala sama rata maka mereka yang duduk di luar bandar yang miskin di pinggiran, di pedalaman, mereka tidak akan dapat peluang yang sama. Kalau segala-galanya berdasarkan kepada kesamarataan yang tidak langsung ada bantuan tiada usaha khusus untuk bantu golongan tertentu yang mungkin terpinggir hari ini. Saya rasa kita nanti kita wujudkan negara dan masyarakat tidak adil daripada apa yang ada pada hari ini. Jadi kita mendekati mereka, jadi saya nampak pembangkang dapat hasut mereka supaya mereka lihat ini adalah sebenarnya perjuangan yang betul. Pada masa sama kita kena peka dengan permintaan orang muda yang mereka tuntut kesamarataan dan persepsi lain seperti ada pemimpin yang dilihat sebagai korup, rasuah, salah guna kuasa. Kita perlu tangani dan kena tunjukkan bahawa kerajaan ini mempunyai pemimpin yang berintegriti dan amanah. |
Rasis hanyalah persepsi keadaan semasa Posted: 22 May 2013 11:25 AM PDT Oleh Azmi Hassan TIDAK mungkin ada negara, organisasi atau pun individu akan berdiam diri apabila dilabelkan oleh orang lain sebagai rasis, anti-sematik, tidak toleran agama atau pun memiliki sikap xenophobia kerana kesemuanya itu adalah tanggapan keji dan berlawanan dengan naluri manusia yang mulia. Akhbar Utusan Malaysia umpamanya telah dituduh sebagai rasis kerana menyiarkan banyak berita yang dianggap terlampau sensitif dan menyinggung perasaan untuk dibicarakan secara umum dan terbuka. Begitu juga dengan Presiden Mesir Mohammed Morsi telah dituduh mempunyai sikap anti-sematik kerana mengaminkan doa kepada kehancuran dan kemusnahan bangsa Yahudi di satu majlis rasmi pada Oktober lepas. Presiden Iran Mahmud Ahmadinejad juga menerima tuduhan serupa beberapa tahun lepas kerana mengidamkan kehancuran Israel. Segelintir masyarakat Australia pula dituduh mempunyai sikap xenophobia yang begitu ekstrem ekoran peristiwa hitam yang dilalui oleh Jeremy Fernadez yang berasal dari Malaysia pada Februari lepas di Sydney. Xenophobia ditakrifkan sebagai sikap dan perasaan benci terhadap sesuatu yang asing terutama sekali yang bersangkut paut dengan cara hidup, pertuturan dan asal usul seseorang. Jeremy yang dilahirkan di Malaysia telah berhijrah ke Australia 22 tahun lepas tetapi apa yang dialami bersama-sama dengan anaknya yang baharu berumur dua tahun ketika dalam bas di Sydney mempamerkan sikap rasis yang paling ekstrem yang belum pernah dilalui olehnya. Begitu juga peristiwa yang melanda Sri Lanka dan Myanmar pada ketika ini mempunyai banyak persamaan di antara satu sama lain iaitu rasis dan tiada sikap tolak ansur terutama sekali yang membabitkan anutan agama yang berbeza. Ditambah pula apabila wujud perbezaan tahap ekonomi di antara dua kumpulan bertelagah, maka suasana sebegini adalah begitu rapuh sekali. Bodu Bala Sena iaitu kumpulan yang didalangi oleh sami Buddha Sri Lanka telah melancarkan gerakan boikot terhadap premis perniagaan pemilik Islam dengan harapan dapat melumpuhkan jaringan perniagaan penduduk Islam di negara tersebut yang lebih kukuh berbanding dengan perniagaan penduduk tempatan lain. Begitu juga dengan nasib malang yang menimpa masyarakat Rohingya di Myanmar adalah campuran dari dua faktor iaitu masalah perbezaan fahaman agama dan tahap ekonomi. Kekacauan terbaharu bermula ekoran perselisihan faham mengenai urusan jual beli di antara pelanggan tempatan beragama Buddha dan peniaga Rohingya yang beragama Islam pada Mac lepas. Sami Buddha adalah dalang utama kekacauan di Myanmar kerana mereka menggunakan sentimen perkauman dengan menuduh jaringan perniagaan Rohingya bukan sahaja mahu meraih keuntungan ekonomi tetapi juga bercita-cita menguasai sistem politik negara itu. Berbalik kepada kemusykilan sama ada akhbar Utusan Malaysia bersifat rasis atau pun tidak terutama sekali dengan tajuk seperti Apa Lagi Cina Mahu? Ia perlu dinilai pada suasana pada ketika itu tidak sampai 48 jam selepas keputusan pilihan raya diketahui sepenuhnya. Apabila hampir 90 peratus pengundi Cina mengundi parti pembangkang maka pertanyaan Utusan Malaysia dianggap sah dan tidak menyinggung perasaan kaum Cina kerana kerajaan Barisan Nasional selama lebih lima dekad menerajui kerajaan telah berlaku adil kepada semua pihak terutama sekali yang melibatkan faktor ekonomi atau pun kebebasan beragama. Menarik jika dikaitkan dengan kajian yang telah dilaksanakan oleh World Value Survey mengenai toleransi perkauman yang telah menilai sikap sosial penduduk di 80 buah negara selama lebih tiga dekad lamanya. Hong Kong didapati adalah negara paling rasis kerana 71.8 peratus penduduk pulau tersebut memberi pendapat bahawa mereka tidak mahu berjiran dengan penduduk dari bangsa lain. Persepsi ini agak mengejutkan kerana dari kajian mengenai kepelbagaian etnik oleh Harvard Institute of Economic Research mendapati Hong Kong adalah sebuah negara yang dihuni oleh majoriti 95 peratus dari kumpulan etnik yang serupa iaitu Cina. Tetapi jika diteliti bentuk soalan yang digunakan dalam tinjauan World Value Survey mengenai kesanggupan berjiran dengan kumpulan bangsa lain maka soalan tersebut dianggap tidak adil untuk menentukan tahap rasis sebuah negara. Ini adalah kerana ungkapan berjiran untuk penduduk Kowloon, Hong Kong yang mempunyai kepadatan penduduk melebihi 43,000 orang satu kilometer persegi berbeza dengan persepsi penduduk Kuala Lumpur umpamanya yang kepadatan penduduknya hanyalah 7,000 orang/km persegi. Tetapi perlu diungkitkan juga ketika tinjauan tersebut dilakukan terdapat keresahan penduduk China Hong Kong yang didatangi dengan begitu ramai oleh penduduk China dari tanah besar terutama sekali selepas Hong Kong dikembalikan oleh British pada 1997. Kedua-dua kelompok bangsa ini walaupun dari etnik yang serupa tetapi mempunyai gaya hidup dan budaya yang begitu berbeza di antara satu sama lain. Hakikatnya adalah persepsi sikap rasis individu, organisasi atau sebuah negara perlu dinilai mengikut keadaan semasa dan tidak boleh dibuat kesimpulan secara mendadak mengikut tafsiran dan kepentingan masing-masing. Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang mempunyai penduduk berbagai bangsa, kaum dan etnik adalah begitu sensitif dengan ungkapan rasis, tiada toleransi agama, anti-sematik atau pun xenophobia sekalipun. Jika Hong Kong yang mempunyai penduduk dari golongan yang sama boleh terpalit dengan ungkapan rasis kerana kesilapan bentuk soalan tinjauan, maka sudah pasti Malaysia yang begitu unik komposisi penduduknya sentiasa terdedah kepada ancaman label yang tidak adil yang mampu mengugat keselamatan negara. PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |