Harian Metro: Hati
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Hati |
Posted: 17 Jun 2013 07:31 AM PDT Siapa yang tidak takut apabila dikejar orang kurang siuman. Niatnya sekadar mahu menghulurkan makanan dan minuman kepada golongan gelandangan di sekitar ibu kota Kuala Lumpur, namun disalah erti pula. Apa sekalipun pengalaman ditempuh sukarelawan Kindess.My (Kindness), Nurul Syima Zulkipli, dia tabah menjalankan tanggungjawab sebagai masyarakat yang prihatin. Malah pengalaman itu dijadikan sebagai memori yang cukup memberi kesan mendalam di jiwa wanita berusia 28 tahun ini. "Walaupun takut mengenang pengalaman itu, saya tetap meneruskannya kerana bagi saya, setiap pertolongan perlu dilakukan dengan ikhlas. NAZIHAH luangkan masa untuk mengajar kanak-kanak Rohingya. TIGA sukarelawan wanita ini sering berbincang dengan Muhammad untuk melaksanakan projek kemasyarakatan.
Tambahnya, selain arwah ayahnya, Nurul Syima yang ketika itu berusia 23 tahun bersama rakan sekerja gemar membantu tukang cuci di syarikat tempat dia bekerja dengan memberi sumbangan berbentuk barangan. Namun, sejak berhenti kerja, dia berasa bosan dan ingin melakukan sesuatu untuk mengisi masa lapang pada hujung minggu. "Saya mencari di Internet sekiranya ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahukan sukarelawan. Walaupun sudah cuba memohon di pelbagai NGO, tiada sebarang jawapan diterima. "Hampir lebih setahun mencuba, akhirnya pada September 2012 Muslim Aid Malaysia menerima permohonan yang dibuat menerusi laman sosial Facebook," jelasnya. Bagi dirinya, kriteria penting yang perlu ada pada sukarelawan adalah ikhlas dan memberi bantuan tanpa meminta ganjaran. Sejak hari itu, dia juga berkenalan dengan Muhammad Kamarulazizi yang kini menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Kindness. Disebabkan tidak mempunyai sumber kewangan yang banyak, Nurul Syima memilih untuk menghulurkan khidmat dari segi tenaga bagi mengumpul dana dan menyampaikan sumbangan penderma kepada golongan memerlukan. Kini, dia yang aktif dan bertanggungjawab mengumpul dana di Kindness tidak kisah meluangkan masa untuk melakukan aktiviti bersama sukarelawan lain ketika hujung minggu walaupun bekerja pada hari biasa. Tambahnya, untuk memberi kepercayaan kepada orang ramai lebih gemar menderma, Kindness berkongsi gambar serta maklumat projek yang dijalankan menerusi laman Facebook, fb.com/kindness.my. Nurul Syima yang kini menguruskan Projek Biskut, bertanggungjawab mengumpul dana bagi memberi sumbangan berbentuk juadah minum petang kepada rumah anak yatim. "Selepas bergelar sukarelawan, ia sedikit sebanyak mengubah sikap tidak serius atau malas untuk ambil tahu dengan keadaan yang berlaku di sekeliling. "Apabila lihat kesusahan orang lain, sekurang-kurangnya ia dapat membantu diri membuang sikap negatif seperti pemarah, suka membazir dan tamak. "Jika ingin memberi bantuan pula, jangan sesekali memilih orang atau bangsa kerana bagi saya, masing-masing mempunyai kesusahan berbeza," katanya. Budaya membantu "Saya lihat budaya memberi bantuan kepada golongan kurang berkemampuan masih rendah dalam kalangan masyarakat di negara ini. "Justeru saya terfikir jika tidak mulakan dari sekarang, ia tidak akan menjadi budaya wajib dalam kalangan generasi akan datang. "Ini satu cabaran buat saya dan rakan lain untuk menjadikan amalan menderma sebagai budaya," kata seorang sukarelawan Kindness, Norharirdayu Hashim, 30. Bagi dirinya, menjadi sukarelawan banyak faedahnya. Bukan hanya dapat berkenalan dengan rakan baru, ia juga mampu memberi kepuasan apabila melihat senyuman yang terukir di wajah setiap penerima sumbangan. Rakan yang ditemui juga bukan daripada calang-calang orang kerana kebanyakannya mempunyai hati yang murni dan tidak sampai hati melihat orang lain hidup dalam kesusahan. Walaupun rakan baru tidak semestinya mempunyai pendidikan tinggi, keikhlasan hati mereka memberi bantuan membuatkan dia sangat bersyukur kerana dipertemukan dengan sahabat seperti itu. Ketika pertama kali menjadi sukarelawan, dia bermula dengan menyertai badan NGO lain selama empat tahun dan berpengalaman mengikuti misi bantuan kemanusiaan ke Palestin. "Atas pengalaman itu, saya bersama empat sahabat lain menubuhkan Kindness selari dengan matlamat sejak dulu lagi iaitu mahu menjadikan sikap murah hati sebagai budaya di negara ini. "Walaupun sebelum ini saya hanya menjadi tulang belakang atau urus setia, kini saya perlu lebih aktif menjalankan pelbagai projek bersama sukarelawan lain untuk memberi bantuan kepada rumah anak yatim, orang tua dan gelandangan," katanya. Tegasnya, bagi sukarelawan yang hanya bersikap 'hangat-hangat tahi ayam' dan memberi bantuan dalam tempoh singkat, sebaiknya jangan berputus asa. Jika tidak boleh bergerak secara berkumpulan, mereka boleh menjalankan tanggungjawab berkenaan secara sendirian. "Pahala akan menyusul kerana kebajikan adalah 'sewa' yang harus dibayar oleh setiap manusia yang hidup di dunia ini," katanya. Bagi seorang lagi sukarelawan Kindness, Nazihah Rusli, walaupun masih bergelar siswazah, dia tetap menjalankan tanggungjawab memberi pertolongan kepada golongan memerlukan. Berusia 28 tahun, kisahnya sebagai sukarelawan bermula pada 2010. Disebabkan rasa bosan dan tidak tahu aktiviti menarik untuk dilakukan pada hujung minggu, dia mencari sesuatu yang dapat memberi faedah kepada dirinya dan masyarakat. Sejak itu, pelbagai aktiviti berbentuk kerja kebajikan dilakukan sehinggalah terpanggil untuk menyertai sukarelawan di Kindness. "Pada mulanya, saya didedahkan kepada projek makan malam amal untuk rumah anak yatim daripada NGO berbeza dan ia menjadi pengalaman pertama bergelar sukarelawan. "Kini, apabila bersama Kindness, saya diberi kepercayaan untuk memastikan kelancaran Projek Vitamin C bagi mengumpul dana mendapatkan keperluan makanan tambahan yang akan disumbangkan kepada Madrasah Tahfiz Hashimiah di Selayang. "Menariknya, saya memerlukan masa dua minggu untuk mengumpul dana bernilai RM5,000 dan bantuan yang diperlukan itu dihebahkan menerusi laman sosial Facebook saja," katanya. Perkara pertama yang dirasakan ketika itu hanya ungkapan syukur kerana ada insan yang baik hati untuk membantu 170 pelajar pelarian Rohingya berkenaan. Walaupun ada yang mempersoalkan mengenai bantuan yang disumbangkan kepada pelajar bukan kalangan rakyat Malaysia, ia dianggap sebagai cabaran buat dirinya serta rakan lain. Baginya, jika ingin membantu kita seharusnya tidak memilih bulu atau golongan tertentu. Bagi meneruskan semangat suka membantu, kadangkala dia turut membawa adik-beradiknya ketika ditugaskan membeli keperluan buat golongan memerlukan sebagai usaha untuk mendidik generasi muda. Sepanjang menjadi sukarelawan, banyak pengalaman yang ditimba wanita ini termasuk ketika mengunjungi rumah anak yatim. "Melihat keadaan mereka, saya sangat bersyukur kerana dapat belajar di sekolah seperti biasa malah mampu melanjutkan pengajian ke tahap lebih tinggi. "Sedikit sebanyak kisah kesusahan orang lain yang berlaku di depan mata boleh dijadikan iktibar kepada diri sendiri untuk terus membantu," katanya. Walaupun sibuk mengulang kaji pelajaran, Nazihah sedaya upaya cuba menghulurkan bantuan mengikut kemampuan dirinya. Dia berasa bertuah kerana kerja amal yang dilakukan itu mendapat sokongan daripada keluarga dan ibu bapa selain sahabat yang banyak mempengaruhinya untuk menjadi sukarelawan. Baginya, dia tidak pernah berasa rugi membantu orang lain kerana setiap sumbangan begitu dihargai oleh si penerima. Kindness kini menjadi perantara yang menghubungkan dermawan dan sukarelawan selain mengadakan pelbagai projek berbentuk kemasyarakatan. Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/17 |
Tenang, seronok buat kerja amal Posted: 17 Jun 2013 07:23 AM PDT Tidak sanggup melihat kesusahan orang lain mendorong wanita ini terus aktif menjalankan kerja kebajikan bagi membantu golongan memerlukan. Walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan keperitan membantu golongan kurang bernasib baik, Puan Sri Siti Sara Husin tetap meneruskan usahanya. Bukan hanya bantuan semata-mata malah dia juga gemar menghulurkan kasih sayang kepada mereka yang kurang mendapat perhatian di rumah penjagaan orang tua. Wanita berasal dari Pulau Pinang dan dilahirkan di Selangor ini sudah menjangkau usia 80 tahun, namun dia kekal cergas dan bersemangat menjalankan kerja sosial. SITI SARA (tiga dari kanan) dan suami ketika meraikan sambutan ulang tahun hari lahirnya ke-80.
"Saya juga rasa lebih tenang dan sangat seronok apabila dapat melakukan kerja seperti ini, apatah lagi melihat mereka yang memerlukan juga gembira dengan kehadiran kami. "Disebabkan itu juga, saya tidak pernah rasa sunyi kerana ada saja aktiviti yang dilakukan bersama rakan lain," kata Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LPKIM) ini ketika meraikan sambutan ulang tahun hari lahirnya yang ke-80 di kediamannya, baru-baru ini. Walaupun nampak tegas, wanita berhati lembut ini tetap memberi bantuan walaupun terpaksa berpindah ke beberapa negeri disebabkan mengikut suami, Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh yang bertugas sebagai pegawai daerah ketika itu. Dari Klang ke Kuala Lumpur kemudian berpindah ke Sabak Bernam, Siti Sara menyertai Women Institute (WI) dan menjadi ahli komuniti kerana baru berjinak-jinak dalam kerja sosial. Apabila terpaksa berpindah ke Alor Gajah, Melaka, dia juga tidak mensia-siakan masa terluang malah tetap memilih WI untuk terus bergiat aktif sehingga dilantik menjadi pengerusi. Ketika itu, dia sangat aktif dan mengadakan aktiviti bersama orang kampung setiap minggu untuk mengajar kemahiran seperti memasak dan menjahit. Menariknya, minat terhadap kerja kebajikan itu bermula sejak zaman persekolahan apatah lagi dia diberi pendedahan awal daripada neneknya mengenai sikap dermawan. "Saya lihat sendiri contoh kebaikan dan teladan daripada nenek sejak kecil. Sewaktu muda, nenek gemar membantu orang yang susah. "Ketika itu, kami tinggal di Kampung Baru, Kuala Lumpur dan saya lihat sendiri segala aktiviti nenek. Secara tidak langsung ia mendorong saya untuk mengikut jejak langkahnya," katanya sambil tersenyum. Jelasnya, apabila melihat nenek yang gemar melakukan kerja amal, apatah lagi rezeki yang diberikan semakin bertambah, hatinya yakin untuk meneruskan usaha murni itu. Tambah membanggakan apabila suaminya turut menyokong setiap aktiviti amal yang dilakukannya walaupun sentiasa sibuk setiap hari. Suaminya sendiri tidak gemar dia duduk berdiam diri di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti berfaedah. Walaupun sibuk, wanita ini tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu kepada lima anaknya. "Setiap hari saya bangun seawal jam 5 pagi. Disebabkan anak-anak semua ke sekolah, saya ambil kesempatan itu untuk melakukan kerja amal. "Pada waktu petang, barulah saya mula memasak untuk sekeluarga. Saya sangat bertuah kerana suami memang tidak cerewet dalam bab makanan," katanya yang masih berupaya memandu kereta sendiri untuk ke mana saja. Mengimbas kembali ketika aktif melakukan kerja amal, dia akui sanggup membawa cucunya bersama untuk mengutip dana bagi membantu golongan memerlukan. Asalkan dia dapat memberi kesenangan kepada orang lain, ia sudah cukup buat dirinya daripada duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa. "Bagi saya, jangan buang masa tidak tentu hala dan melakukan perkara tidak berfaedah. Semua orang boleh melakukan kerja amal dan yang penting, ia terletak pada diri sendiri," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/17 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Hati To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |