Harian Metro: Rap
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Rap |
1 Lawan Satu: Filem aksi identiti Malaysia Posted: 27 Jun 2013 03:41 AM PDT Ia bukan saja filem genre aksi pertama garapan pengarah muda Pierre Andre, tetapi 1 Lawan Satu turut mempertaruhkan barisan pelakon baru berbakat besar selaku teraju utamanya. Filem terbitan MIG yang mula menjengah pawagam seluruh negara semalam ini menampilkan barisan pelakon iaitu Mikail Andre, Azlan Komeng, Fyza Kader, Along Eyzendy, Mimi Ernida, Putri Balqis dan Khatijah Tan. Secara peribadi, Pierre yang lebih sinonim dengan genre seram dan romantik ini mengakui sudah lama mengimpikan untuk mengarah filem bercorak aksi. "Sebenarnya, saya memang sudah lama berminat ingin menghasilkan filem aksi yang pernah dilakukan rakan pengarah lain seperti Syamsul Yusuf dan Farid Kamil, tetapi belum bersedia sebelum ini. ANTARA babak menarik dalam 1 Lawan Satu. PIERRE (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MIG, David Teo (dua dari kanan) dan pelakn 1 Lawan Satu, Alonng Eyzendy, Mimi Ernida, Fyza Kader dan Mikail Andre. MIKAIL sanggup turunkan berat badan dari 150 kg kepada 80 kg untuk berlakon dalam filem ini.
"Antara filem yang menjadi sumber inspirasi buat saya dalam menghasilkan filem ini ialah Fight Club dan banyak lagi. Saya tidak meniru filem itu, sebaliknya hanya mendapat idea dari filem berkenaan. "Saya juga tidak mahu menggunakan khidmat kepakaran seni mempertahankan diri dari luar kerana tidak mahu filem ini nampak seperti filem aksi luar pula. Sebagai pengarah saya inginkan sebuah filem aksi yang beridentitikan Malaysia. "Apa yang menarik, filem ini menampilkan sebanyak 80 peratus babak seni mempertahankan diri membabitkan muay thai, silat, taekwando, karate, tapoeira dan banyak lagi "Walaupun ia filem genre aksi, tetapi saya tetap selitkan mesej kekeluargaan di dalamnya sebagai tarikan pada penonton," katanya. Pierre ditemui di majlis pratonton filem 1 Lawan Satu yang berlangsung di Petaling Jaya, baru-baru ini. Ditanya kenapa memilih adiknya sendiri iaitu Mikail Andre selaku teraju utama filem itu, Pierre berkata, dia yakin dengan bakat dan kesungguhan yang ada pada Mikail. "Saya sudah nampak watak Radhi yang juga 'street fighter' dalam filem aksi ini tepat untuk dilakonkannya. Mikail juga sanggup berkorban menurunkan berat badannya dari 150 kilogram (kg) kepada 80 kg dengan tidak makan nasi selama setahun sebagai persediaan untuk menceburi bidang seni. "Mungkin Mikail memiliki kelebihan dari segi lakonan, tetapi kurang dalam kemahiran seni mempertahankan diri, tapi dia sanggup belajar untuk menjiwai watak Radhi dalam filem itu. "Sebab itu, saya seimbangkan kelebihannya itu dengan menggandingkannya dengan Azlan Komeng yang juga bekas juara silat kebangsaan," katanya. Pada masa sama, kata Pierre, dia mengakui lebih selesa bekerjasama dengan pelakon baru kerana mereka tidak menimbulkan banyak masalah di lokasi. "Kalau pelakon terkenal, kita kena ikut jadual mereka pula. Selain itu, pelakon baru seperti Mikail lebih mudah dibentuk berbanding pelakon yang sudah ada nama. "Apapun, sudah menjadi cara saya memang tidak menjual nama pelakon untuk melariskan sesebuah filem sebaliknya jual cerita yang boleh diketengahkan, sejak dulu lagi," katanya. Kecewa dengan klasifikasi 18PL Selaku pengarah yang julung kali mengarah genre aksi, Pierre akui dia berasa sedikit kecewa kerana filem 1 Lawan Satu itu diklasifikasikan untuk tontonan 18 PL iaitu untuk tayangan penonton berusia 18 tahun ke atas oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF). "Saya memang tidak harap pun filem aksi ini ditonton kanak-kanak berusia lima tahun, tetapi saya harapkan ia dapat ditonton golongan sasaran seperti remaja atau diklasifikasi 13 PL kerana aksi yang dipaparkan tidak ganas atau keterlaluan. "Filem aksi ini juga untuk memberi kesedaran kepada golongan remaja supaya tidak menceburi gejala sosial yang tidak sihat. Namun, saya terpaksa akur apabila LPF pula putuskan ia lebih sesuai ditonton golongan berusia 18 tahun dan ke atas," katanya. Beralih soal kutipan pula, kata Pierre sudah pasti dia menaruh harapan tinggi filem 1 Lawan Satu itu mencatat kutipan yang bagus di pawagam. "Maklumlah, filem yang dihasilkan sebelum ini seperti Chantek tidak mencatat kutipan seperti diharapkan," katanya. Filem 1 Lawan Satu menceritakan Saleh dan Radhi yang berasal dari latar belakang berbeza, tetapi mereka dipertemukan dalam perlawanan Malaysian Super Fighter 2012. Saleh yang dibesarkan dengan ilmu mempertahankan diri penuh di dada diwarisi daripada keluarganya terpaksa berlawan di gelanggang kerana ingin menyelamatkan adiknya Saleha yang hilang. Manakala, Radhi pula berlawan kerana ingin menyelamatkan nyawa adiknya, Sara yang sakit tenat. Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27 |
Posted: 27 Jun 2013 03:26 AM PDT Dibesarkan dalam kekuatan jiwa seorang ibu tunggal, Maggie Barrie membuatkan Jaclyn Victor gigih berusaha untuk menempa kejayaan dan berdikari. Apatah lagi, sebagai anak sulung dalam keluarga membuatkan Jaclyn harus bertanggungjawab. Justeru, kesetiaan ibu yang sentiasa menyokongnya dari belakang diakui amat membantu Jaclyn yang mesra dengan panggilan Jac untuk cekal dan tak mudah mengalah. Jadi, Jac tetap bersabar menunggu gilirannya muncul dengan album baru. Kelmarin, bertempat di Zouk, Jalan Ampang di ibu kota, Jac yang pernah popular dengan lagu Gemilang melancarkan kemunculan album terbaru, Ikut Rentakku yang juga album kelimanya sepanjang sedekad membina nama dalam industri muzik tanah air. Apatah lagi, bernaung di bawah KRU Studios kini, Jac dapat melihat betapa perancangan peluang untuknya teratur dengan jelas. Bahkan, sebagai bukti Jac mendapat peluang untuk menghasilkan lagu duet, Magical Moment bersama kumpulan Az Yet dari Amerika Syarikat. Jac berkata, mula-mula dimaklumkan mengenai kerjasama duet dengan Az Yet yang popular pada era 90-an itu, dia seperti tidak percaya kerana tidak pernah difikirkan langsung. "Saya memang sangat teruja dapat bekerja dengan mereka (Az Yet) kerana inilah peluang keemasan saya. Tak dinafikan, pada awalnya saya memang terasa kerdil di dalam studio sewaktu bersama Az Yet untuk merakamkan lagu berkenaan. "Namun, saya menjadi bersemangat apabila melihat mereka sangat profesional. Hinggakan, saya yang mulanya berdebar-debar dan tak pasti kedudukan diri sebagai penyumbang vokal kelima untuk lagu Magical Moment itu, akhirnya mampu melakukannya dengan baik. "Justeru, dengan kegigihan yang saya lakukan untuk menyiapkan album ini, diharap mendapat sambutan baik peminat. Apa yang pasti, saya sangat berpuas hati dengan semua lapan lagu yang dimuatkan dalam album ini," katanya. Ujar penyanyi berusia 35 tahun ini lagi, ternyata Edry selaku komposer yang bertanggungjawab menyumbangkan lagu untuk album itu berjaya memberikan sentuhan berbisanya, sekali gus menepati cita rasa dan kehendak Jac. "Sudah lebih 10 tahun saya aktif dalam bidang nyanyian. Semestinya, seiring dengan peningkatan usia itu, saya perlulah nampak lebih matang. Jadi, saya berbincang dengan Edry supaya album ini nanti adalah diri saya. "Nampaknya, Edry tidak menghampakan saya dan jujur dikatakan saya sangat menyukai semua lagu dimuatkan di dalam album Ikut Rentakku ini. Apatah lagi, ia lagu yang mesra radio dan mudah mendapat perhatian," katanya. Jac berkata, dia sangat suka bekerja dengan Edry kerana mereka mengutamakan perbincangan. Katanya, Edry seorang yang banyak idea, namun pada masa sama, dia juga bersikap terbuka untuk mendengar setiap luahan pendapat orang lain. Jac sudah minta izin Anuar Zain Melihatkan rakaman istimewa lagu Sedetik Lebih yang turut dimuatkan sebagai salah satu single di dalam album Ikut Rentakku, ia menerbitkan tanda tanya mengapa perlu Jac merakamkan semula lagu yang pernah dinyanyikan Anuar Zain itu? Ujarnya, lagu itu memiliki lakaran sejarah sangat bermakna buat dirinya. "Jangan cuba bandingkan cara nyanyian saya dengan Anuar kerana kami saling menghormati antara satu sama lain. Bahkan, sebelum merakamkan semula lagu ini pun, saya lebih dulu menghubungi Anuar untuk meminta persetujuannya. "Dia nyata seorang yang cukup profesional. Saya ingatkan dia akan marah tetapi Anuar sebaliknya bersetuju dan memberi sokongan kepada saya kerana dia tahu cara kami berbeza. Saya juga sudah menjelaskan kepadanya takkan cuba meniru dia. "Anuar pun memang meminta saya menjadi diri sendiri sepanjang merakamkan lagu ini. Jadi, saya harap peminat dapat menerimanya. Apatah lagi, rakaman istimewa ini dibuat juga bersandarkan kepada permintaan ramai," katanya. Jac yang masih selesa meneruskan kehidupan solo berkata, apa yang berada dalam fikirannya kini adalah fokus terhadap karier. Ujarnya, urusan peribadi seperti hasrat untuk mendirikan rumah tangga biarlah takdir menentukannya. Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |