Berita Harian: Ratu
Posted by Tanpa Nama
Berita Harian: Ratu |
Posted: 27 Jun 2013 04:39 PM PDT Jarang sekali 'artis wanita' berani membuat persembahan nyanyian mahupun bermain alat muzik secara terbuka di lorong atau pekarangan kompleks beli-belah yang sibuk di sekitar ibu negara. Apatah lagi ia membabitkan kumpulan pemuzik yang sering dilabelkan sebagai peminta sedekah, golongan tidak berumah atau gelandangan dan lebih buruk lagi dikaitkan dengan samseng kota dan gejala penagihan dadah.
Dengan hanya bermodalkan suara merdu' dan diiringi alat muzik ringkas, kumpulan kecil pemuzik berkenaan ternyata tidak kekok menghiburkan pengunjung yang melalui laluan pejalan kaki di sekitar Jalan Bukit Bintang dan Jalan Tuaku Abdul Rahman (TAR). Malah, kehadiran segelintir wanita itu seolah-olah menjadi 'penyeri' kepada beberapa kumpulan buskers bagi menarik lebih ramai pengunjung menyaksikan persembahan mereka dengan lebih dekat. Realitinya, aliran anak muda mendendangkan lagu sambil menunjukkan kemahiran bermain alat muzik di negara ini bermula seawal 1980-an yang pada mula kelahirannya dianggap budaya Barat yang ditiru ke tanah air. Bagaimanapun, masa berubah apabila sentimen buruk terhadap buskers mula terhakis. Kini kebanyakan mereka tampil dengan imej lebih baik dan membuktikan mereka juga sebahagian pemuzik profesional.
Bagi pelajar Tahun Tiga Universiti Tun Abdul Razak (UniTAR), Nurul Ashikin Suhaimi, 21, yang menjadi ahli Kumpulan UNME, di sebalik kritikan sinis dilemparkan masyarakat terhadap pemuzik jalanan, masih ada individu melakukan aktiviti sepertinya bagi mencari rezeki di ibu kota secara sepenuh masa. Nurul Ashikin mengakui, pada mulanya beliau mendapat halangan daripada keluarga yang masih menganggap budaya menyanyi sambil meletakkan kotak duit di tepi jalan sebagai menjatuhkan imej seorang pelajar. Lama-kelamaan mereka mula faham apa yang saya lakukan. Lagi pun, saya tak pernah ambil benda haram itu (dadah), malah kalau nak busking pun saya pastikan bersama kumpulan saya. Kami akan membuat persembahan sehingga awal pagi. Mula-mula kami main muzik sekadar hobi saja, tapi bila sudah lama buat persembahan, ramai yang memuji dan minta kami teruskan persembahan. Jika dulu, saya akan busking seminggu sekali, kini hampir setiap hari. Selalunya saya akan bergerak berkumpulan di Jalan Telawi, Bangsar pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad. Kami juga bermain di Jalan Bukit Bintang berhampiran Sungai Wang, katanya yang bergabung dengan dua rakannya, Huzaimir Zainuddin, 33, yang bermain gitar, manakala dram oleh Mohamad Asyiq Solihin, 20. Ada kritikan sinis Ditanya adakah ia mengganggu pengajiannya, Nurul Ashikin berkata, aktiviti buskers langsung tidak mengganggu pelajaran dan sesi pengajiannya. Kita kena pandai urus masa dengan betul. Jika ada peperiksaan atau tugasan yang perlu disiapkan, saya akan tangguhkan aktiviti ini dan beri tumpuan kepada pengajian, katanya. Sememangnya persembahan bertenaga yang ditampilkan golongan berkenaan membawa pengunjung seolah-olah berada di konsert mini artis terkenal tanah air mahupun luar negara seperti M Nasir, Amir Johari, Justin Beiber serta Beory Marantika. Di sebalik mengekalkan imej jalanan dengan meletakkan potter (kotak duit) ketika melakukan persembahan, golongan terbabit masih mendapat kritikan sinis masyarakat yang melabelkan mereka peminta sedekah. Ia berbeza di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Kanada, Eropah dan Australia, iaitu kewujudan pemuzik jalanan diterima baik masyarakat setempat sebagai satu cara tarikan pelancongan ke sesebuah bandar utama negara berkenaan. Tahu menilai persembahan Pandangan itu diakui seorang seniman jalanan, Huzaimir Zainuddin, 33, bahawa seniman jalanan bukan sekadar mahu menghiburkan masyarakat, bahkan menyampaikan nasihat menerusi lagu yang didendangkan. Zaman dah berubah, bagi saya, orang yang memberi duit itu adalah orang yang tahu menghargai apa itu muzik. Bagi yang mengenali busking, mereka sendiri tahu menilai persembahan kami. Kami tak mengharapkan apa-apa, cuma penghargaan daripada orang ramai. Walaupun RM1....kami cukup puas sebab kami rasa dihargai. Saya rasa tak salah, lagi pun saya bukan merompak, tapi memberi hiburan kepada masyarakat umum," katanya. Pendapat itu turut disokong seorang pekerja swasta yang juga seniman jalanan, Elyana Muhamad, 23, menyangkal persepsi buruk masyarakat bahawa golongan berkenaan adalah individu yang tidak berpelajaran. Sebenarnya benda ini langsung tak masuk akal. Kebanyakan pemuzik jalanan yang saya jumpa mempunyai latar belakang pekerjaan yang bagus, malah ada yang bekerja sebagai pengurus, berjawatan tinggi dan pelajar di institut pengajian tinggi. Mereka buat semua ini bukan semata-mata mahu mencari duit lebih, tapi sekadar hendak mendapatkan kepuasan berhibur di samping dapat melepaskan tekanan di tempat kerja, katanya. Sementara itu, bagi Pengurus Kebudayaan dan Kesenian DBKL, Mohamed Fauzi Ahmad, berkata pihak DBKL tidak menghalang mana-mana individu membuat persembahan di jalanan, tetapi perlu mendapatkan permit terlebih dulu. Permit ini bertujuan memastikan pemuzik jalanan ini dapat mematuhi peraturan yang ditetapkan DBKL termasuk mengehadkan lima orang ahli setiap kumpulan, tidak mengganggu kelancaran pejalan kaki dan mengikut tempoh waktu yang diperuntukkan. Sebelum permit dikeluarkan, mereka perlu menjalani dua peringkat uji bakat yang mana pemuzik jalanan ini perlu membuat persembahan di depan pihak Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) dan Jabatan Balai Seni Visual Negara, katanya. Usaha dijalankan DBKL itu turut mendapat sokongan Kelab Penghibur Jalanan Malaysia (MyBC) dengan menganggap ia satu pengiktirafan kepada golongan berkenaan. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Ratu To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |