{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Abdul Aziz H.M. tetap dikenang

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my

Rahimidin Zahari ketika membentangkan kertas kerja dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Abdul Aziz H.M. di Kota Bharu, baru-baru ini.

KOTA BHARU 27 Jun - Titisan air mata penyair, penulis dan penggiat seni mengalir laju tanpa segan pada program Seminar Pemikiran Sasterawan Abdul Aziz H.M. anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur di dewan seminarnya di sini baru-baru ini.

Semuanya disebabkan ingatan dan kasih sayang mereka kepada seorang sasterawan kelahiran Melor, Kelantan yang mana segala budi dan jasanya akhirnya dicungkil dan dirai setelah 17 tahun arwah kembali ke Rahmatullah pada usia 47 tahun.

Nama Abdul Aziz H.M. kurang dikenali generasi baharu terutama kalangan luar bidang teater dan puisi tetapi kebanyakan kita pasti arif lirik lagu 'Permata Buat Isteri' yang sebenarnya puisi nukilan beliau yang telah dipopularkan kumpulan Kopratasa.

Malah, lebih istimewa, pada seminar yang berlangsung itu turut mengundang tetamu khas iaitu isteri arwah, Siti Aminah @ Hasnah Setapa, 64, yang merupakan wanita di sebalik lagu menusuk kalbu tersebut.

Menyingkap kehebatan beliau dalam teater, Abdul Aziz H.M. atau nama sebenarnya Abdul Aziz Yahya dikatakan sebagai tokoh yang membawa pembaharuan dalam teater Malaysia apabila menjadi pelopor teater mini kata dan penggunaan teknik improvisasi dalam pementasan drama.

Teater mini kata adalah pementasan teater dengan dialog yang sedikit kerana lebih mengutamakan penghayatan pelakon contohnya melalui gerak-geri, lenggok tari dan suara.

Menurut Editor Majalah Pentas Istana Budaya, Rahimidin Zahari, sumbangan Abdul Aziz dalam sejarah teater moden negara ini secara mudahnya terbukti apabila nama beliau digunakan sebagai contoh dalam Kamus Dewan Edisi Baru (DBP 1989) yang mencatatkan 'Abdul Aziz H.M. seorang penggerak teater' bagi menjelaskan perkataan penggerak.

Rahimidin berkata, tokoh ini menyambung pengajian ke Indonesia selama beberapa tahun pada awal dekad 70-an dalam jurusan hubungan antarabangsa di Fakulti Sosio-politik Sains Politik, Universiti Negeri Jembar, Jawa Timur serta pengajian falsafah di Universiti Gadjah Mada, Yogyakarta dan dalam tempoh itu sempat berguru dengan penyair dan dramawan ternama negara itu, W.S. Rendra.

Katanya, Abdul Aziz telah mementaskan puluhan drama tanpa skrip seperti 'kuku kaki ku ku kikis-kikis', 'kasut selipar', 'ku rampas kembang-kembang di tangan', 'tak tahu', 'tak jadi', 'katak puru', 'ikan kering', 'ketik-ketik ayam putih', 'badak ayu-ayu' dan banyak lagi di samping menghasilkan skrip drama untuk televisyen dan skrip adaptasi novel sasterawan terkenal tanah air.

"Abdul Aziz adalah pelopor dan tokoh yang membawa genre baru teater ke negara kita daripada pengalaman beliau berguru dengan Rendra.

"Dramanya mungkin ada tema dan mungkin juga tidak tetapi ia memberikan pelbagai tanggapan dan penafsiran mengikut tahap pemikiran dan pendidikan penonton yang menyaksikannya.

"Walaupun teater mini kata berakar dari Barat, namun Abdul Aziz seperti juga gurunya Rendra, tidak membawa jiwa Barat dalam teaternya tetapi mengubahnya sesuai dengan akal budaya tempat kelahirannya," katanya.

Dalam kertas kerjanya lagi, Rahimidin memberitahu, Abdul Aziz telah mengasaskan Teater Malini Kelantan pada Mei 1975 di Kampung Mahligai, Melor bagi merealisasikan konsep teater memanusiakan manusia, gagasan awal yang diungkapkan arwah yang kini turut menjadi ucapan para aktivis dan penggiat teater tempatan.

Menurutnya, melalui kumpulan teater tersebut, Abdul Aziz mementaskan dramanya tanpa perlukan panggung yang lengkap, peralatan canggih ataupun kostum cantik malah dipersembahkan di mana-mana sama ada tepi pantai, taman bunga, padang sekolah hatta di atas pokok kelapa.

"Sasterawan Negara, Allahyarham S. Othman Kelantan yang juga teman rapat arwah pernah memberitahu mengenai drama pemuda hendak bunuh diri dari atas puncak pohon kelapa setinggi 30 meter sehingga penduduk kampung gempar mendengar laungan pemuda itu yang menjerit mahu terjun kerana tidak ada lagi tanah untuk mendirikan rumah, penduduk sekitar datang beramai-ramai untuk melihat sesuatu yang tragik dan kemudiannya tersenyum bila mengetahui ia sebuah drama daripada Abdul Aziz," katanya.

Katanya lagi, setiap drama yang dipentaskan mendapat sambutan ramai kerana walaupun bersifat lakonan spontan, Abdul Aziz mengangkat ceritanya berdasarkan tradisi setempat dan menghormati masyarakat sebagai penonton yang hadir menyaksikan persembahan kumpulan teaternya.

Bagaimanapun, Rahimidin berkata, agak malang kerana hampir kesemua drama mini yang dipentaskan Abdul Aziz tidak dapat dikaji dengan mendalam kerana dihasilkan tanpa skrip.

"Apabila kita ingin melihat semula ia menjadi satu masalah kerana tokohnya sudah tiada, skrip teater mini kata Abdul Aziz tidak ada yang betul-betul lengkap, ia hanya wujud dalam kerangka pemikiran pelakon dan anak-anak didiknya," katanya.

Salah seorang penggerak awal Teater Malini, Wan Mohd. Khalid Wan Ibrahim, 58, yang kini berkhidmat sebagai pengetua sekolah mengakui drama mini kata Abdul Aziz sukar untuk dipersembahkan selengkapnya kerana masalah ketiadaan skrip bertulis.

Bagaimanapun, katanya, sebahagian cerita masih boleh dipentaskan semula mengikut episod-episod tertentu yang masih segar dalam ingatan pelakon asal.

"Kami bersedia mementaskan semula dengan syarat mendapat sokongan dan kerjasama semua pihak yang berminat seperti DBP kerana usaha ini pasti membabitkan masa dan keperluan kewangan," katanya.

Semasa menceritakan kepada hadirin pengalamannya sepanjang bersama Abdul Aziz, beliau telah berkongsi satu tip untuk penyair melahirkan karya hebat itu.

"Saya masih ingat lagi kata-kata arwah, buat puisi ini macam proses kita 'kentut', kita tahan dahulu dan sehingga sampai satu peringkat baharulah kita lepaskan (angin), maknanya kita harus mengumpulkan pengalaman sebanyak-banyaknya sebelum kita berkarya," katanya.

Beliau memberitahu lagi, salah satu faktor yang menjadikan Abdul Aziz seorang seniman berjiwa besar adalah pengalaman arwah semasa menuntut di Indonesia yang tepu dengan sisi masin pahit kehidupan.

"Abdul Aziz menelaah buku di bawah lampu jalan raya, tidur di bawah rumah orang dan terpaksa mengambil papan lapis yang diletakkan di atas batu nisan sebagai meja tulisan," katanya.

Salah seorang teman rapatnya, Wan A. Rafar @ Yakub Ishak, 66, yang juga penyair dan seorang pesara guru berkata, banyak sajak-sajak Abdul Aziz terutama yang dihasilkan ketika beliau berada di Indonesia seperti 'Ramadan' dan 'Selamat Malam Selatku Madura' bermain seputar subjek usia seolah-olah memberi isyarat bahawa arwah sedar usianya tidak lama.

Katanya lagi, ucapan jampi, mantera, pantun dan puisi lama daripada tradisi lisan Melayu juga mewarnai kebanyakan puisi arwah namun dalam masa sama tema Islam juga menjadi pokok pemikirannya.

"Sajak Abdul Aziz ditulis seperti teks Melayu lama yang perlu dibaca secara hati-hati kerana tidak berbaris dan bernoktah menandakan kecintaan Abdul Aziz kepada budaya dan tradisi Melayu.

"Credo seni arwah sebagaimana diungkapkan ketika menubuhkan Teater Malini adalah memperjuangkan konsep seni dan budaya yang sesuai dengan sikap nenek moyang dan perangai manusia purba yang rela dan menyerah di bawah kuasa Yang Maha Esa," katanya.

Penggiat teater kanak-kanak tersohor negara, Ladin Nuawi, 57, yang merupakan antara lelaki yang menumpahkan air mata jantannya pada seminar itu pula mengaku menjadi anak didik Abdul Aziz yang paling lambat 'menjadi' orang.

Beliau berkata, pengalaman bersama Abdul Aziz sejak menyertai Teater Malini pada 1980 mengajarnya supaya berdisiplin, menepati masa dan tidak memandang rendah keupayaan diri sendiri.

Katanya, syarat utama bermain teater yang ditetapkan arwah juga menjadi pegangannya sehingga kini iaitu wajib mempunyai kekuatan dalaman.

"Buka panggung dengan doa, haram bercinta sesama pelakon sehingga pementasan, tepati masa dan mulakan latihan sebelum pengajar sampai.

"Pesanan arwah paling saya pegang adalah untuk menjadi orang, seorang lelaki perlu beristeri, dan sebolehnya isteri itu biarlah seperti isterinya, Kak Nah (Siti Aminah)," katanya.

Syarikat gores, menang diserbu

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Oleh NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI
utusankelantan@utusan.com.my

Ab. Ghani Harun menunjukkan beberapa kad yang digunakan sebagai umpan oleh syarikat gores dan menang untuk memperdaya orang ramai di Kota Bharu, kelmarin.

KOTA BHARU 27 Jun - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan merampas dan menyita pelbagai barangan elektrik serta elektronik bernilai RM120,000 milik sebuah syarikat di Kota Sri Mutiara di sini, yang didakwa menjalankan aktiviti gores dan menang.

Timbalan Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kelantan, Ab. Ghani Harun berkata, rampasan itu dibuat dalam satu serbuan kira-kira pukul 4 petang semalam berdasarkan pemantauan, maklumat dan aduan orang ramai membabitkan kes penipuan sedemikian.

Menurutnya, kegiatan itu dipercayai didalangi satu sindiket dengan menjadikan orang ramai yang mengunjungi pusat-pusat beli belah sebagai sasaran mereka.

Katanya, antara barangan yang dirampas ialah penyedut hampagas, alatan urutan badan, set teater rumah dan ketuhar gelombang mikro.

"Menerusi operasi itu juga seramai 24 orang pekerja berumur awal 20-an yang digunakan bagi memperdayakan orang ramai telah ditahan untuk diambil keterangan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Ab. Ghani berkata, modus operandi sindiket itu adalah menipu orang ramai dengan taktik mengundang mangsa melalui tawaran pelbagai hadiah lumayan menggunakan beberapa kad atau sampul sebagai umpan.

Katanya, selepas berjaya memperdayakan mangsa, kumpulan itu akan membawa mangsa ke premis mereka kononnya bagi urusan tuntutan hadiah, sebelum meminta sejumlah wang.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai telah menjalankan operasi sejak setahun lalu dan sepanjang tempoh berkenaan pihaknya menerima 13 aduan membabitkan kes penipuan gores dan menang.

"Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman RM100,000 atau 3 tahun penjara di bawah Seksyen 21(b) Akta Perihal Dagangan 2011.

"Kita akan sentiasa mengawasi kes penipuan sebegini dan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa. Kita juga nasihatkan orang ramai jangan mudah terpedaya dengan hadiah lumayan yang ditawarkan sindiket berkenaan," katanya.

Ab. Ghani berharap menjelang Ramadan ini, pengguna tidak membelanjakan wang ke atas barangan yang tidak mendatangkan faedah terutama melalui kegiatan gores dan menang.

Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan, Hasmah Ariffin, 45, kecewa kerana suaminya turut terpedaya dengan sindiket gores dan menang tersebut.

"Sebelum ini saya pernah ditawarkan bagi peraduan gores dan menang ini di sebuah pasar raya di Kok Lanas tetapi saya tidak layan. Namun saya tidak menyangka bahawa suami saya tertipu apabila dia membawa pulang barangan elektrik ke rumah dan dikenakan harga yang mahal," ujarnya.

MPKB-BRI lancar Kempen Hijau

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Abdul Fattah Mahmood melakukan upacara menanam pokok sempena Kempen Hijau 2013 sambil diperhatikan oleh Fauzi Mat (berbaju batik merah) di Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/IRWAN MAJID

KOTA BHARU 27 Jun - Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) melancarkan Kempen Hijau 2013 dalam usaha menjadikan Kota Bharu dan kawasan sekitarnya sebagai bandar dalam taman.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Fauzi Mat berkata, bagi mencapai matlamat itu pihaknya menyasarkan untuk menanam sekurang-kurangnya 1,000 batang pokok teduhan setiap tahun seterusnya menjadikan landskap Kota Bharu mesra alam pada tahun-tahun akan datang.

Selain itu, katanya, MPKB-BRI turut menekankan aspek kebersihan sempena kempen itu dan akan menyedarkan orang ramai tentang kepentingan menjaga kebersihan di kawasan kediaman masing-masing.

"Pada awal Mac kita telah melancarkan kempen Go Green peringkat negeri di Pasar Siti Khatijah, di mana ia lebih kepada pendidikan untuk mengamalkan kitar semula dalam kehidupan seharian.

"Kempen hijau pada hari ini pula memfokuskan kepada aktiviti penanaman pokok-pokok teduhan yang merupakan sebahagian daripada itu dan mempunyai objektif sama ke arah melahirkan sebuah bandar yang indah, bersih, hijau dan sejahtera," katanya pada pelancaran kempen tersebut di Jalan Salor - Pasir Mas di sini hari ini.

Sempena pelancaran itu, lebih 100 peserta yang hadir turut menanam sebatang pokok teduhan setiap seorang bagi menjadikan landskap di sepanjang jalan itu lebih cantik pada masa akan datang.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Fauzi berkata, kesedaran mengenai penanaman pokok teduhan telah dimulakan Jabatan Landskap Negara sejak 2000, justeru Kempen Hijau 2013 akan menggunakan modul sedia ada dan laporan penanaman akan dihantar kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri setiap tiga bulan.

Jelasnya, keperluan untuk menghijaukan bumi semakin mendesak ketika ini ekoran perubahan iklim yang mendadak saban tahun disebabkan banyak penebangan pokok berlaku di seluruh dunia.

"Fenomena El Nino, jerebu, lapisan ozon yang semakin nipis serta perubahan ketara cuaca adalah satu perkara yang tidak boleh dipandang mudah, justeru penjagaan alam sekitar amat berkait rapat dengan penjagaan kebersihan.

"Amalan kitar semula dan program menghijaukan bumi adalah satu langkah yang amat dituntut oleh kerajaan bagi melahirkan persekitaran yang sihat untuk semua masyarakat," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat