{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Hiburan

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Hiburan


Rimbun semangat Sang Pencinta

Posted:

Rimbun semangat Sang Pencinta

Rimbun semangat Sang Pencinta

IRAMA dan lagu bagaikan sumpah sakti. Ia hadir menyatu pantang terpisah. Ia meresap menjadi akar, berbunga menjadi benih, digubah ia menjadi muzik. Maka terhasillah muzik itu menjadi sejambak khazanah yang tidak canggung sebaliknya santapan pendengaran kita selama ini.

Seniman muzik yang sebenar akan kenal bentuk, untuk siapa muzik mereka dipersembahkan dan bagaimana ia harus berdendang. Lagunya bukan sekadar sebuah puisi yang memuja bulan. Muzik yang hebat ialah muzik yang mencerminkan budaya, tamadun dan rumpun yang diwakili sang pemuzik itu dan khalayak pencintanya sendiri.

Melihat muzik sebagai penyembuh bahkan penyubur kecintaan menerusi lagu, sengaja perbualan sebegitu yang diheret masuk dalam penyatuan dua nama, seorang sifu bernama Datuk M. Nasir dan seorang lagi, sang gitaris handalan, Aznan Alias.

"Saya tidak tahu apa yang M. Nasir rasa tetapi bagi saya, dialah orang yang paling layak untuk menerajui muzik Melayu. Bila muzik M. Nasir berbunyi, kita tahu itu muzik Melayu.

"Saya fikir seruling Mohar satu benda wajib dalam muzik M. Nasir. Bunyi tiupannya sahaja sudah membentuk bahawa muzik M. Nasir itu muzik Melayu. Kalau tanpa bunyi seruling Mohar, muzik M. Nasir boleh jadi seakan-akan sama dengan soul atau R&B. Ia semangat kepada muzik itu sendiri.

"Kalau dengar minus one sahaja pun orang tahu itu lagu Melayu. Ritma dan skil yang dipraktikkan itu Melayu dan kemelayuan M. Nasir itu tidak ada langsung menjurus ke arah Indonesia. Tapi macam Jaipong dalam lagu Dah Lagu Tu, itu memang sengaja dimasukkan unsur Indonesia.

"Pendek kata semua lagu dalam album M. Nasir bernuansakan muzik Melayu, bahkan lagu Bukalah Hatimu yang disuntik elemen moden pun, kalau dipersembahkan secara langsung, kemelayuannya tetap menyerlah," lentur Aznan Alias bercakap tentang rimbunnya muzik yang dijalani dalam rumpun Melayu muzik M. Nasir.

Sering bersuara melalui petikan gitarnya, sesekali melontarkan pandangan dalam perbualan secara lisan, Aznan yang juga dikenali sebagai Nan Saturnine atau Nan itu seorang yang lantang dan sarat perkongsian.

Pertama kali berkolaborasi, irama dan lagu mereka bergabung dalam rakaman album solo pertama M. Nasir, Solo pada 1988. Sebelum itu, Nan menyumbang khidmatnya dalam pembikinan album artis-artis baharu yang mempertaruhkan karya M. Nasir seperti Roy dan Ruhil.

Sekali lagi diberi mandat menjadi pengarah muzik untuk konsert besar M. Nasir yang berjudul Sang Pencinta, hujung Jun nanti, Aznan tidak mentafsir satu lagi sisi yang berbeza.


M.NASIR bakal membawakan lagu-lagu yang jarang dipentaskan.


Katanya, lagu-lagu M. Nasir membenarkan pemuzik bercerita dan menjadikan melodi itu hak kita semua.

"Seperti lagu Kepadamu Kekasih dan Andalusia. Lagu-lagu itu menjurus ke satu jalan yang betul dan tidak pula menyesatkan. Perantaraan bahasa yang digunakan sungguh dalam. Muzik cuma rasa, yang kena betul ialah cara. Semuanya berdasarkan bahasa.

"Menjelang konsert yang semakin dekat, kami juga semakin merasai kehilangan Loloq. Siapa lagi penulis lirik yang boleh cipta ayat-ayat seperti Loloq," katanya yang menganggap pembikinan konsert berkenaan tidak ubah seperti sebuah reunion. Layaknya seperti sebuah kenduri buat mereka, kata Nan.

Mereka berkobar-kobar kembali bersatu dan meraikan sebuah persembahan untuk dinikmati bukannya untuk bersorak atau terkinja-kinja sekadar berhibur.

Buat Nan selaku pemerhati khalayak peminat, rata-rata peminat berat sifu bukan hanya berhibur kosong. Mereka ini faham dan meletakkan apresiasi tinggi dalam persembahan yang diberikan pasukan M. Nasir di atas pentas.

"50 peratus perancangan di atas kertas sudah cantik. Selebihnya ialah momen magik yang akan berlaku," tambah Aznan.

Kemelayuan

Jika Nan melihat Konsert Pencinta yang dibawakan oleh Bombay Worldwide dan dipromosikan oleh Mewah Events tersebut sebagai kenduri, begitu juga M. Nasir.

Jawabnya terhenti-henti mengembalikan momen empat tahun lepas di mana mereka bersatu di atas pentas yang sama.

"Pemuzik-pemuzik yang terlibat dalam konsert ini juga adalah mereka yang terlibat dalam album-album saya. Mereka ini bagus dan serasi.

"Mereka mengikuti perkembangan muzik yang saya ikuti. Mereka cepat faham dan menjiwainya," jelasnya tentang 20 pemuzik yang bakal mengiringinya kelak.

Membuka topik kemelayuan yang bukan tabu sebaliknya mempamerkan jati diri, M. Nasir menjelaskan suntikan kemelayuan itu hadir sudah lama dalam lagu-lagunya.

"Bila buat lagu dan muzik, semangat kemelayuan itu yang kita ketengahkan. Semangat itu memang menyerlah pada beberapa lagu. Daripada rakaman kita bawa kepada persembahan. Itu yang kita cuba paparkan dan manifestokan.

"Muzik itu bukan hanya didengar tetapi juga dilihat. Itu juga perlu dan apa yang kita cuba pamerkan adalah semangat kemelayuan itu.

"Walaupun saya sendiri secara peribadi gemarkan karya avant garde dan moden, tetapi karya itu perlu ada identiti diri. Itu penting," ulasnya.

Beberapa untaian lagu-lagu jarang dipentaskan seperti Wadi, Dalam, Gurindam Gunung Tahan dan Hijab Kekasih bakal dialunkan dengan jiwa dan rasa yang berangkaian.

"Saya suka buat lagu-lagu yang tidak janggal untuk dibawakan secara langsung. Ada orang rakam lagu tetapi lagu-lagu itu tidak boleh dinyanyikan live.

"Saya pula suka buat lagu yang senang untuk persembahan langsung. Nyanyian live ini satu suasana yang menarik," ujarnya yang memilih repoirtoire lagu-lagu kali ini mengikut tema konsert.

Sesuai dengan gandingan untuk muka depan kali ini, M. Nasir selaku rakan seni melihat pengarah muzik konsertnya, Aznan sebagai seorang yang banyak tahu dalam bidang muzik.

"Mulanya saya tidak tahu betapa hebat kemahirannya. Dia ada pengalaman kelakar dan muzik yang serius. Jadi saya boleh bekerjasama dengan baik," ulas M. Nasir yang juga bakal diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan.

Izzue Islam bergelar suami

Posted:

Izzue Islam bergelar suami

Izzue Islam bergelar suami


AKTOR Izzue Islam mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya, Awin pada Jun tahun lalu dan akan disatukan pagi ini.


TANPA terkait kontroversi besar-besaran mengenai percintaan, penyanyi dan pelakon Izzue Islam pada hari ini akan menjadi suami kepada pengurus peribadinya sendiri, Awin Nurin. Biarpun sering dilihat berkepit sebagai artis dan pengurus sejak lima tahun lalu, kedua-duanya bijak mengunci kisah cinta itu apabila ramai yang melihat mereka rapat atas kapasiti bekerja.

Dalam diam juga, ahli kumpulan Fourteen yang berusia 23 tahun itu telah mengikat tali pertunangan dengan Awin pada Jun tahun lalu sehinggalah membuat pengumuman untuk bernikah dan mengedarkan kad kahwin beberapa minggu lalu.

Diadakan dalam majlis tertutup yang dihadiri saudara-mara, rakan terdekat dan wakil media di lokasi rahsia di Shah Alam, Selangor, kedua-dua mempelai dijadualkan dinikahkan pada pukul 9 pagi ini.

"Seperti lelaki lain yang mahu melangkah ke alam berumah tangga pastinya perasaan berdebar-debar itu ada. Tetapi perasaan tidak sabar dan gembira lebih lagi," kata Izzue kepada Sensasi Bintang.

Majlis resepsi turut diadakan di Shah Alam pukul 1 petang hari ini yang dihadiri oleh tetamu-tetamu jemputan.

Dalam majlis itu, pihak pengantin lelaki memberi lima dulang hantaran berbalas tujuh. Izzue bagaimanapun belum memutuskan untuk berbulan madu.

"Lokasi berbulan madu masih difikirkan kerana saya akan kembali meneruskan penggambaran drama bersiri Sahabat pada Selasa ini.

"Mungkin memikirkannya selepas hari raya nanti kerana jadual sedikit lapang pada ketika itu. Pada Aidilfitri nanti juga akan diadakan majlis kecil-kecilan di kampung saya di Kelantan sempena semua sanak saudara balik kampung," kata anak kelahiran Kota Bharu itu.

Menyingkap semula kisah cintanya bersama Awin, pemilik nama penuh Muhammad Izzul Islam Mazlan itu menjelaskan, dia mula rapat sejak mengenali wanita itu lima tahun lalu.

"Sejak mengenali dia, hubungan kami semakin rapat tetapi tidak pernah terfikir untuk menamatkan zaman bujang.

"Namun, apabila jodoh sudah ditentukan bersama, saya memilih Awin sebagai isteri," kata pelakon drama Sebenarnya Saya Isteri Dia itu.

Walaupun sudah bergelar suami, perjalanan karier nyanyian dan lakonan pelakon filem 29 Februari dan Chikaro itu dijadualkan berjalan seperti biasa.

Saya memang gila-gila – Sakinah

Posted:

Saya memang gila-gila – Sakinah

Saya memang gila-gila – Sakinah

SEJAK dari hari pertama hendak memperkenalkan dirinya sebagai pelakon, mulut Sharifah Sakinah pantas secara terang-terangan mengisytiharkan dirinya sebagai pelakon komedi. Katanya, tidak ramai pelakon yang mahu dikenali sebagai pelakon komedi kerana beranggapan komedi akan mengehadkan tawaran seseorang pelakon. Sementelah, dia secara natural suka berlawak dan mengusik rakan-rakan dan keluarga.

Ketika semakin dikenali dan semakin banyak tawaran lakonan yang diterima, hari ini adik kepada pelakon dan pengacara popular Sharifah Shahirah itu semakin sedar, kecenderungan kariernya bukan untuk komedi semata-mata.

Drama bersiri Bunga Merah Punya yang baru habis siaran di kaca TV membuktikan pelakon yang membahasakan dirinya Sakinah itu mampu melakonkan watak serius.

Masalah besar kepada penerimaan khalayak terhadap Sakinah sekarang ialah kegilaannya memuat turun video-video kelakar menerusi laman sosial Keek miliknya.

Video-video yang dianggapnya sebagai bahan hiburan untuk tatapan kawan-kawannya dicop sebagai aksi bodoh, lawak lucah dan memperbodohkan diri sendiri.

Tidak serik dengan kecaman yang diterima gara-gara video yang menyebut tentang pakaian dalam, Selasa lalu Sakinah diselar dan dicaci lagi akibat sengaja membiarkan zip seluarnya terbuka dalam satu video ucapan sempena hari lahirnya.

"Masalahnya, saya tidak rasa video Keek itu hendak memalukan diri atau sengaja buat lawak bodoh. Saya cuma hendak berhibur dengan kawan-kawan saya. Itu cara saya berhibur," katanya kepada Sensasi Bintang.

Beritahu Sakinah, dia juga tidak berniat untuk mencipta kontroversi atau mencari publisiti murahan dengan cara sebegitu.

"Saya juga ada masalah tidak sedar bahawa saya ini seorang artis atau selebriti. Saya cuma bekerja sebagai pelakon. Setiap hari kerja saya ialah berlakon dan ke lokasi penggambaran. Jarang pergi acara hiburan dan saya ingat saya bukan artis.

"Kalau ada masa santai, saya habiskan dengan keluarga dan kawan-kawan. Buat lawak dan mengusik orang," katanya tidak menyangka aktivitinya dalam laman sosial Keek akan mendapat perhatian ramai.

Tambah Sakinah juga: "Kalau orang kata saya melampau batas, tidak fikir panjang dan tak fikir maruah dengan video-video yang dianggap bodoh dan tidak senonoh itu, itu memang cara saya berhibur. Setahu saya saya tidak maki hamun orang lain kerana politik atau burukkan sesiapa, saya cuma buat lawak untuk kawan-kawan.

"Orang kata saya buat lawak bodoh, sekali fikir mana ada orang buat lawak intelektual dengan kawan-kawan. Lagipun saya fikir, takkan saya nak muat naik video baca buku dalam Keek. Saya cuma bergembira.

"Apabila orang lain yang hidupnya tidak seperti saya melihat video berkenaan, mereka mencerca kerana terkejut dengan keselambaan saya padahal, selama ini kegilaan saya lebih teruk daripada apa yang dimuat naik itu," ujarnya.

Di sebalik perangai yang gila-gila bahkan dianggap 'ting-tong' itu, Sakinah sedar kerja sebagai pelakon membuatkan dirinya diperhatikan. Apa sahaja keburukan akan diperbesar-besarkan dan setiap kesalahan cepat dihukum dengan pandangan serong.

"Saya juga bukan seorang yang mudah dibuli. Ada yang kata saya memberontak, lagi dikecam lagi saya akan buat. Saya bukan begitu, Keek itu tempat saya berhibur.

"Kalau orang lain jadikan kelab malam, parti atau keluar melancong sebagai cara mereka berhibur, saya cuma guna Keek. Selagi benda-benda ini tidak mengganggu tawaran lakonan dan kerja saya sewaktu penggambaran, saya okey.

"Selagi tiada ahli keluarga yang hulurkan saya penampar kerana buat kerja yang dianggap bodoh itu, saya okey. Biarlah orang hendak mengata," katanya.

"Saya hanya jadi diri sendiri. Saya buat kelakar dengan zip seluar terbuka. Saya sengaja biarkan ia sebab saya tahu ia masih tertutup dengan baju saya.

"Apa yang saya nampak, orang Malaysia lebih suka pedulikan benda bodoh berbanding banyak lagi perkara baik-baik yang ada dalam YouTube dan internet," katanya lagi.

Gara-gara video zip seluar terbuka yang diperkatakan ramai, perilaku tidak sopan Sakinah itu turut mendapat reaksi daripada kakaknya Shahira. Dalam nada kecewa Shahira dalam tweetnya meminta agar kelakuan bodoh adik bongsunya itu tidak dilayan.

"Saya okey dengan kakak saya dan saya tahu dia seorang yang sarkastik," tutup Sakinah.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat