Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Cebisan budaya Brazil di Malaysia Posted: Cebisan budaya Brazil di MalaysiaMINAT Juliana Md. Saman, 28, terhadap seni mempertahankan diri dari Brazil iaitu capoeira bermula kira-kira 10 bulan lalu. Dia merupakan salah seorang daripada 20 pelajar yang bernaung di bawah Capoeira Camara Malaysia (CCM) yang berpusat di Lembah Klang. Belum pun sampai setahun mempelajari capoeira, Juliana telah memegang tali pinggang putih dan kuning sekali gus. Ia merupakan satu pencapaian yang membanggakannya. "Dahulu saya beranggapan capoeira sejenis tarian. Tetapi apabila menyertai persatuan ini, barulah saya tahu ia seni mempertahankan diri yang digabungkan bersama tarian. "Setiap kilasan dan gerakan capoeira ternyata mampu mengelirukan pihak lawan terutama ketika sesi latihan atau semasa mengadakan persembahan pentas," ujar gadis ini yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah institusi kewangan di ibu negara. Menurutnya, tenaga pengajar dan pengasas CCM yang diketuai oleh Cristiano Genuino da Silva banyak memberi tunjuk ajar kepadanya. "Walaupun tegas, Cristiano tahu kebolehan setiap pelajarnya. Dia juga individu yang memberi inspirasi kepada saya untuk mendalami seni mempertahankan diri yang berasal dari negaranya itu," jelas Juliana. Capoeira ialah salah satu daripada tarian kebudayaan yang menjadi signatur negara Brazil di mata dunia selain Bumba Meu Boi, Frevo dan Caboclinho Sejak berhijrah dari Recife iaitu sebuah kota metropolitan di utara Brazil ke Kuala Lumpur, Cristiano kini mencipta nama sebagai salah seorang pelopor dalam memperkenalkan capoeira kepada masyarakat di Malaysia. Kelincahannya dalam kebanyakan pertunjukan dan demonstrasi capoeira di seluruh negara ternyata menarik perhatian pengunjung. Kejayaan jejaka berbadan sasa berusia 38 tahun itu menarik minat masyarakat Malaysia terhadap capoeira tidak semudah yang disangka. Dia datang ke Kuala Lumpur sejak lapan tahun lalu selepas mendapat tawaran pekerjaan sebagai jurulatih capoeira daripada salah seorang rakan senegara yang bermastautin di Malaysia. Diperdaya "Apabila sampai di Kuala Lumpur, saya diberi tempat tinggal dan pekerjaan. Namun, pekerjaan itu bukanlah sebagai jurulatih seni mempertahankan diri. Saya juga terpaksa berkongsi rumah dengan lima individu lain yang tidak dikenali. "Apabila sedar telah diperdaya, saya keluar daripada kumpulan itu dan memulakan kehidupan baharu di ibu kota walaupun tanpa mengenali sesiapa pun ketika itu," ujarnya. SUASANA majlis graduasi pelajar-pelajar baharu CCM atau dikenali sebagai batizado dalam bahasa Portugis yang berlangsung tahun lalu. Cerita Cristiano lagi, sebelum menjejakkan kaki ke Malaysia, rakan-rakannya di Brazil menyampaikan perkhabaran bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam dan penduduknya berpenyakit malaria. "Lapan tahun saya di sini, saya tiada masalah dengan orang Islam dan kebanyakan rakan-rakan terdiri daripada orang Melayu. Mereka ternyata membantu saya memahami budaya dan masyarakat di sini. Demam malaria bukanlah satu ancaman berbahaya. Mereka sengaja menakut-nakutkan saya," jelasnya. Ketika Kosmo! menemuinya baru-baru ini, wajahnya mengalami sedikit kecederaan semasa sesi latihan. Walaupun mempunyai pengalaman yang luas mengenai seni mempertahankan itu, anak bongsu daripada dua adik-beradik itu tidak berbangga dengan kebolehan yang dimiliki. Dia juga kagum dengan masyarakat Malaysia yang menyambut baik budaya dari negara Amerika Selatan itu. Ketika ditanya mengenai penglibatan awalnya dalam capoeira, dia yang dikenali sebagai soldadu yang bermaksud instruktor atau askar dalam bahasa Portugis ada jawapannya. Menurutnya, judo merupakan seni mempertahankan diri yang pertama dipelajarinya ketika berumur lapan tahun. Dia ternyata menguasai setiap teknik judo. Sejak kecil, mendiang ayahnya gemar bercerita mengenai seni mempertahankan diri yang sering dipersembahkan di jalanan. Disebabkan mendiang ayahnya itu seorang askar, dia juga sering menceritakan mengenai kehidupan sebagai seorang askar kepada anaknya itu. "Saya suka mendengar cerita daripada ayah. Dia banyak memberi maklumat mengenai capoeira walaupun saya tidak pernah mengetahui teknik-teknik seni mempertahankan diri itu. "Sehingga umur 16 tahun, saya terlihat sekumpulan remaja dan kanak-kanak sedang bertarung. Kilasan kaki dan gerakan pantas yang diselangi dengan alunan gendang sama seperti yang diceritakan bapa," ujarnya yang kehilangan bapa sejak 25 tahun lalu. Mendiang bapa Sejak itu, Cristiano mendalami segenap aspek capoeira seperti gerakan, kilasan dan alatan muzik yang digunakan. Dia juga menyertai pelbagai kursus dan persatuan di Brazil untuk memantapkan lagi kemahirannya itu. "Penglibatan saya dalam capoeira ini adalah cara saya untuk membanggakan bapa. Saya juga menyertai Angkatan Tentera Brazil (Brazilian Armed Forces) untuk mengikuti jejak langkah bapa. Walaupun hanya mempunyai pengalaman selama tiga tahun dalam pasukan itu, sekurang-kurangnya saya dapat merasai apa yang telah dilalui oleh bapa," ujarnya. Menurut Cristiano, dia juga amat mengagumi tiga orang gurunya di Brazil iaitu Master Liminha, Master Grillo dan Master Joao Capoeira yang banyak memberi tunjuk ajar kepadanya. Sebelum berhijrah ke Malaysia, Cristiano juga pernah bekerja di syarikat telekomunikasi, peluncur air dan jurulatih capoeira di Brazil. Diberi peluang mengajar capoeira di salah sebuah universiti awam merupakan salah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan Cristiano sepanjang dia berada di Malaysia. PERSEMBAHAN pentas merupakan salah satu cara terbaik yang dilakukan oleh CCM untuk memperkenalkan capoeira secara jelas kepada masyarakat Malaysia. Ketika memulakan pengajiannya, pihak universiti tidak memberi kebenaran untuk mengadakan sesi kelas kerana khuatir capoeira mempunyai pengaruh negatif kepada pelajar-pelajar. "Pihak universiti bimbang capoeira mempunyai elemen-elemen agama Kristian. Saya telah memberi penjelasan kepada mereka bahawa capoeira merupakan sebuah seni mempertahankan diri yang tiada kaitan dengan agama. "Menerusi capoeira, matlamat saya ialah untuk menyatukan umat manusia tanpa mengira agama dan bangsa. Seperti salah seorang rakan saya yang menjadi jurulatih capoeira di Iran. Pelajar-pelajarnya terdiri daripada orang Islam dan Yahudi. Tetapi mereka boleh berkawan dan belajar capoeira bersama-sama," ujarnya. Cristiano kini dikenali dengan gelaran Brazilasia iaitu gabungan nama negara Brazil dan Malaysia kerana sudah sebati dengan kehidupan masyarakat di negara ini. Dia juga sedang mengenali hati budi seorang gadis Melayu dan mendapat restu daripada keluarganya. Selain itu, dia kini sedang mendalami cara hidup sebagai seorang Islam sebagai persediaan awal. |
Pelihara singa simbol kemewahan Posted: Pelihara singa simbol kemewahanSINGA bukanlah haiwan yang sesuai untuk dijadikan peliharaan di rumah. BAGI kebanyakan golongan elit di Kabul, memiliki rumah besar, mempunyai pengawal dan deretan kereta mewah merupakan cara mereka menunjukkan kekayaan, namun salah seorang daripada mereka mengambil pendekatan berbeza dengan memelihara singa. Mohammad Shafiq, 42, seorang usahawan, berbangga apabila melihat anak singa peliharaannya merayau-rayau di bahagian tingkat atas rumah agamnya yang terletak di tengah Kabul. "Saya memperoleh singa ini melalui seorang kawan dari Kandahar. Dia mengetahui minat saya terhadap haiwan seperti anjing dan burung, tetapi memiliki seekor singa melebihi jangkaan saya. "Sebelum ini, saya tidak pernah melihat singa pada jarak yang dekat kerana haiwan ini hanya terdapat di zoo atau menonton dalam televisyen sahaja. Sebab itu, saya tidak teragak-agak membeli seekor singa untuk dipelihara." Singa yang belum diberi nama itu tidak diikat atau dirantai, bahkan ia dibiarkan bebas. Pada waktu siang, ia tidur di satu sudut dan turun ke tempat makanan ketika dinihari. Mohammad membelanjakan hampir AS$1,000 (RM3,009) untuk menampung kos makanan iaitu daging segar selain mengupah veterinar untuk memeriksa kesihatan singa itu. Sejak 12 tahun pencerobohan Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan, hampir RM30.99 bilion telah disalurkan untuk menghapuskan puak Taliban. Disebabkan itu, sebahagian penduduk mendapat keuntungan daripada situasi yang menggadaikan ribuan nyawa. Malah mereka tidak segan silu mempamerkan kemewahan kepada umum. Simbol kekayaan Kabul dipenuhi rumah-rumah mewah hartawan yang indah dihias lampu-lampu candelier. Kawasan itu mendapat jolokan nama sebagai Istana Poppy, menggambarkan perusahaan ganja yang menjadi sumber ekonomi negara itu. Setakat ini, hanya Mohammad yang memegang status simbol kekayaan yang berbeza dengan kebanyakan jutawan di negara itu. Sebelum ini, Mohammad merupakan salah seorang pejuang ketika kejatuhan Taliban. Beliau memperoleh kekayaan melalui kontrak pembinaan untuk beberapa pelanggan termasuk daripada Kedutaan AS. MEMILIKI rumah agam salah satu kebanggaan kepada golongan elit di Afghanistan. Menurutnya, sewaktu mendapat singa itu, ia baru berumur dua bulan dan menjangkakan bakal menginjak usia enam bulan. "Saya perlu menanggung kos berjumlah RM61,979 termasuk penghantaran dari Kandahar ke Kabul menggunakan jalan darat," ujar Mohammad. Dia mengelak untuk menjawab soalan berkaitan proses penghantaran singa itu yang perlu melalui perjalanan sejauh 480 kilometer yang berisiko terkena letupan bom. Dia menepis pandangan yang mengatakan perbuatan memelihara haiwan liar itu suatu kekejaman. Ketika kunjungan wartawan AFP ke rumah agamnya, singa itu kelihatan gemuruh dan mengaum apabila orang sekeliling cuba mendekatinya. Mohammad bercadang untuk memindahkan haiwan tersebut ke kawasan luas atau bangunan lain di bandar Afghan. Pengarah hidupan liar, Persatuan Dunia Perlindungan Haiwan, Claire McMaster mengkritik perbuatan Mohammad dan memberi amaran bahawa singa yang 'ditawan' boleh membawa kecelakaan kepada orang di sekeliling. "Haiwan ganas tidak boleh dipelihara seperti haiwan peliharaan kerana perkara itu sangat kejam dengan menjauhkan mereka daripada tabiat asal. "Masalah lain yang mungkin terjadi ialah perubahan saiz dan tindak tanduk haiwan itu. Ia boleh mencederakan atau membunuh penjaganya," tambah Claire. Zoo Kabul pernah mempunyai beberapa ekor singa yang didermakan oleh China. Salah satunya ialah singa buta sebelah mata yang menjadi simbol perjuangan Afghan selepas mengharungi pelbagai rintangan dan peperangan ketika era Taliban. Dinamakan sebagai Marjan, singa yang lahir pada tahun 1976 itu menjadi buta akibat bom yang diletupkan ketika peperangan berlaku di negara tersebut. "Saya berasa terkejut jika singa dipelihara sebagai haiwan peliharaan di Kabul," ujar pengarah Zoo Kabul, Aziz Gul Saqeb. Dia berkata, memelihara singa adalah sangat sukar memandangkan ia merupakan haiwan ganas. Setakat ini, Mohammad berasa gembira dengan haiwan peliharaannya namun mengakui dia tidak mungkin dapat menyimpan singa itu dalam tempoh yang lama. "Saya tidak tahu, mungkin saya akan memberikannya kepada Zoo Kabul suatu hari nanti," akhiri Mohammad. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |