{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Mahu penuhi 30 peratus kuota wanita

Posted:

Mahu penuhi 30 peratus kuota wanita

Mahu penuhi 30 peratus kuota wanita

SAAT nama beliau diumumkan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 Mei lalu, Datuk Rohani Abdul Karim tergamam.

Beliau tidak menyangka akan menyandang portfolio tersebut.

Namun Rohani teruja apabila diberi kepercayaan untuk memimpin sebuah kementerian yang bukan sahaja menjaga kebajikan golongan wanita, malah setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

"Saya bersyukur kerana dipilih dan kehadiran saya di sini mendapat sokongan daripada banyak pihak. Mandat yang diberi oleh pemimpin akan dilaksanakan sebaik mungkin," katanya ketika menerima kunjungan Kosmo! di pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Persiaran Perdana, Putrajaya baru-baru ini. Pejabat Rohani di tingkat 38 bangunan itu ialah pejabat tertinggi di Putrajaya.

Rohani yang dilahirkan pada 3 Januari 1955 di Simanggang, Sarawak merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Perniagaan Tani dari Universiti Pertanian Malaysia. Pernah melanjutkan pengajian di Universiti Ohio, Amerika Syarikat dalam jurusan Sarjana Pengurusan Perniagaan, Rohani berkecimpung dalam bidang politik sekitar tahun 1990.

Ibu tunggal kepada tiga orang cahaya mata itu memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuching, Sarawak pada tahun 1980.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Penganalisis Pengurusan di Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia dan memegang jawatan Pengarah Biro Wanita Kementerian Pembangunan Sosial Negeri di Sarawak.

Memulakan tugas secara rasmi di KPWKM pada 17 Mei lalu, Rohani memberitahu, beliau mula mencintai tanggungjawab baharu yang diamanahkan kepadanya.

Setiap program, keperluan dan lapan kelompok sasar kementeriannya diteliti satu persatu agar tidak terlepas pandang.

Kebajikan masyarakat

Lapan kumpulan tersebut terdiri daripada warga emas, kanak-kanak, wanita, golongan miskin, keluarga, papa dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

"Kementerian ini sangat penting kerana ia bukan sahaja menitikberatkan golongan wanita tetapi melibatkan kebajikan masyarakat secara holistik.

"Saya menyifatkan kementerian ini sensitif tetapi dinamik. Sehubungan itu, setiap program dan tindakan perlu diteliti sebaik mungkin supaya mencapai sasaran. Sekiranya tersilap langkah ia memberi impak negatif kepada kementerian," ujar Rohani.

Wanita yang memiliki sifat peramah dan gemar berjenaka itu merupakan Ahli Parlimen wanita yang pertama dari Sarawak.

Beliau ialah Naib Presiden Sayap Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang bertanding buat kali pertama di Parlimen Santubong pada tahun 1990 dan kekal sebagai penyandang di kerusi tersebut untuk tiga penggal berturut-turut sebelum berpindah ke Parlimen Batang Lupar pada tahun 2004.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Rohani terus mempertahankan kerusi Parlimen itu apabila menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat, Abang Zulkifli Abang Engkeh dengan majoriti undi sebanyak 10,964.


ROHANI ABDUL KARIM menghadiahkan kain songket kepada delegasi wanita dari Poland yang mengunjungi beliau di Putrajaya baru-baru ini.


Pada 8 Mac 2008 beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sehingga 3 April 2009. Pada 9 April tahun yang sama beliau menjawat jawatan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Menurutnya, pengalaman ketika bertugas di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta KPDNKK sebelum ini akan digunakan sebaik mungkin demi kebaikan rakyat.

Jelasnya, berkecimpung dalam bidang politik selama 22 tahun bukan satu perjalanan yang mudah. Terlalu banyak kenangan manis dan pahit serta rintangan yang perlu ditempuh.

Menyedari tugas dan tanggungjawab yang dipikul dalam kementerian sangat besar, Rohani tidak mementingkan diri. Beliau mengamalkan konsep bekerjasama dengan para pegawainya supaya setiap pelan yang direncanakan direalisasi dengan baik.

Mutu tugasan

Langkah pertama yang dilakukan ialah menerapkan budaya turun padang dalam kalangan para pegawai kementerian. Ia bertujuan mendidik dan memperbaiki mutu tugasan masing-masing.

"Kami menerima keluhan daripada orang ramai apabila permohonan mereka gagal atau lambat diterima. Kadangkala pengguna merungut kerana terpaksa melalui prosedur yang pelbagai selain wujud masalah penyampaian maklumat atau komunikasi yang lemah.

"Bagi mengatasi masalah ini saya melaksanakan program turun padang supaya para pegawai dapat merasai, melihat dan menilai sendiri keperluan kumpulan sasar. Saya percaya tindakan ini secara tidak langsung dapat mengelakkan rakyat berjauh hati dan semakin yakin kepada pihak kerajaan.

"Kawasan pertama yang perlu mereka lawati ialah kampung halaman saya iaitu di Batang Lupar, Sri Aman, Sarawak. Ia menjadi platform terbaik buat pegawai KPWKM bereksperimen dengan cara hidup masyarakat pedalaman yang berbeza dengan kehidupan komuniti di bandar," bicara Rohani yang memegang kata pepatah Inggeris, "charity begins at home."

Walau bagaimanapun Rohani memberitahu, Batang Lupar sekadar medan latihan buat para pegawainya sebelum menjalankan misi utama kepada pembangunan keseluruhan rakyat di negara ini.

"Sehingga kini saya masih terngiang-ngiang pesanan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang menasihatkan kami agar menjalankan tugas dengan adil dan saksama untuk orang ramai tanpa mengabaikan kawasan sendiri," tutur Rohani yang pernah bersekolah di Sekolah Rendah Abang Ali, Sibu, Sarawak dan Sekolah Perempuan Methodist, Sibu.

Rohani bersama para pegawainya mengambil pendekatan turun padang untuk mengenali masyarakat dengan lebih dekat.


Beliau juga berazam untuk menganjurkan lebih banyak program bersama masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan dan kementerian lain.

"Pendekatan ini penting supaya kementerian dapat menyelami dan memahami keperluan setiap kumpulan sasar serta diterjemahkan dalam bentuk tindakan," katanya.

Dalam tempoh lima tahun ini, Rohani berusaha untuk membantu kerajaan mencapai sasaran meningkatkan penglibatan golongan wanita dalam peringkat pembuat keputusan sektor korporat.

Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus pertambahan bilangan wanita dilantik sebagai ahli lembaga pengarah. Langkah ini dibuat bagi memastikan kepakaran, daya saing dan kepimpinan wanita dapat dioptimumkan.

Rohani berharap sektor korporat khususnya syarikat milik kerajaan dan syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia memastikan sasaran itu dicapai dalam tempoh lima tahun akan datang kerana ia merupakan aku janji pilihan raya umum Barisan Nasional (BN).

"Dasar ini membuktikan bahawa kerajaan mengiktiraf peranan wanita dalam pembangunan dan kesejahteraan negara memandangkan keupayaan dan kredibiliti wanita pada masa ini sangat besar," kata Rohani yang anggun dalam persalinan baju kurung moden.

Aku janji

Rohani memberitahu, ketika ini kerajaan melalui Institut Pengupayaan Wanita Negara yang mengendalikan program latihan pengarah wanita telah mempunyai seramai 365 wanita yang kini bersedia untuk mengisi jawatan dalam lembaga pengarah mana-mana syarikat.

"Kesemua mereka adalah wanita yang layak dan sesuai untuk menjawat jawatan pembuat keputusan di syarikat korporat di negara ini," katanya.

Kementerian Hal Ehwal Wanita diwujudkan pada 17 Januari 2001 sebelum ditukar nama kepada KPWKM bermula 15 Februari 2001.

Kementerian tersebut sebelum ini dipimpin oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil selaku Menteri sehingga Februari 2008 sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerajui kementerian itu bermula 7 April 2012.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei lalu, Rohani dilantik sebagai menteri yang baharu.

Terubuk Lingga tarikan Batang Lupar di kaca mata dunia

Posted:

Terubuk Lingga tarikan Batang Lupar di kaca mata dunia

Terubuk Lingga tarikan Batang Lupar di kaca mata dunia

Oleh SOPI SAMAILE


PESTA BENAK yang mempamerkan keunikan arus kuat di Batang Lupar diiktiraf antara lima acara paling popular dalam kalendar pelancongan Sarawak.


BATANG LUPAR pernah menggemparkan negara dengan kisah buaya legenda Bujang Senang. Bagaimanapun, selepas buaya berukuran 5.46 meter panjang dengan lilitan perut 2.12 meter itu didakwa mati ditembak pada 12 Mei 1992 di anak Sungai Batang Lingga di Batang Lupar, arus sungai yang tenang itu masih berkocak setiap kali tiba masanya.

Setiap bulan hari ketiga dan ke-18 kalendar Lunar Cina, tebing Batang Lupar menjadi tempat penduduk tempatan dan pelancong berhimpun untuk menyaksikan fenomena alam yang dikenali sebagai benak.

Fenomena alam yang mempamerkan keunikan arus kuat di Batang Lupar itu telah diangkat sebagai Pesta Benak. Hari ini, acara itu diiktiraf antara lima acara paling popular dalam kalendar pelancongan Sarawak.

Benak merupakan ombak sungai yang terhasil ketika air laut pasang dan menyebabkan pertembungan arus antara air laut dan sungai. Keadaan itu menyebabkan air sungai mengalir ke arah yang bertentangan iaitu ke bahagian hulu.

Dengan kelajuan 20 hingga 30 kilometer (km) sejam, benak yang bermula di lokasi pertamanya di Pulau Seduku, Batang Lupar itu boleh mencecah ketinggian sehingga enam meter.

Dari Pulau Seduku, benak akan berterusan sehingga 30km ke Engkelili iaitu kira-kira 70km dari Laut China Selatan.

Pengalaman menyaksikan benak pernah diabadikan oleh novelis Inggeris, Somerset Maugham dalam buku bertajuk, Borneo's Stories. Novel itu mengisahkan tragedi yang hampir meragut nyawa Maugham ketika perahu yang dinaikinya dirempuh benak pada tahun 1949.

Batang Lupar merupakan salah sebuah sungai di Sarawak. Batang dalam bahasa Iban bermakna sungai. Sungai Batang Lupar ini mengalir sejauh 200 km ke Teluk Datu di Laut China Selatan dari Bukit Kapuas.

Penggerak ekonomi

Batang Lupar merupakan sebuah kawasan Parlimen yang terletak kira-kira 170km ke timur Kuching.

Menceritakan lanjut mengenai Batang Lupar, seorang penduduk Pulau Suku, Lingga, Arip Abong, 38, memberitahu, Parlimen Batang Lupar terdiri daripada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut Arip, tiga DUN itu ialah Sebuyau, Lingga dan Beting Maro.

Ia juga mempunyai tiga batang sungai utama iaitu Sungai Batang Sadong, Sungai Batang Saribas dan juga Sungai Batang Lupar.

IKAN terubuk Lingga dapat permintaan tinggi daripada pelancong luar negara.


Keluasan kawasan Batang Lupar adalah 2,024km persegi meliputi Kawasan Sebuyau seluas 582km persegi, Lingga (970 km persegi) dan Beting Maro (472km persegi).

"Penggerak utama ekonomi di kawasan Batang Lupar ialah sektor pertanian dan nelayan.

"Pendekatan yang agresif mampu meningkatkan pendapatan golongan nelayan, petani dan penternak di kawasan ini yang mempunyai keluasan melebihi negeri Perlis dan Melaka," katanya kepada Kosmo!.

Arip memberitahu, salah satu projek kerajaan yang berjaya dilaksanakan di Batang Lupar ialah projek agropolitan Pulau Seduku.

Sejak sekurun lalu, penduduk di Pulau Seduku yang terletak dekat muara Batang Lupar hanya bergantung hidup dengan hasil laut dan sungai selain menjadi pekebun kecil untuk menampung kehidupan harian.

Menurut Arip, usaha kerajaan memindahkan penduduk di pulau itu ke tanah besar merupakan inisiatif terbaik untuk mengatasi masalah bekalan elektrik dan air bersih.

"Dengan bantuan kerajaan negeri bersama kerajaan pusat, hasrat penduduk Pulau Seduku untuk membina kehidupan baharu yang lebih selesa kini menjadi kenyataan. Ini kerana mereka akan berpindah ke Penempatan Baharu Rakyat (PBR) Seduku," ujarnya.

Selain itu, Batang Lupar juga merupakan salah satu kawasan yang akan dijadikan sebagai jelapang padi baharu seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2013.

Jelapang padi di Batang Lupar juga telah disenaraikan sebagai Projek Penggerak Ekonomi (EPP) 11 dan akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mengikut Fasa 1 dan Fasa 2.

Terubuk tempatan

Fasa Satu akan merangkumi kawasan seperti Bijat, Stumbin dan Entulang yang berkeluasan 2,817 hektar membabitkan kira-kira 5,000 petani, manakala Fasa Dua pula melibatkan kawasan seperti Lingga dan Banting.

Arip memberitahu, kawasan Batang Lupar khususnya di Lingga cukup terkenal dengan spesies ikan terubuk tempatan.

"Ikan terubuk Lingga mendapat permintaan yang tinggi terutamanya daripada pelancong kerana rasanya yang enak sekali gus menjadi faktor penarik kehadiran pelancong ke Pekan Lingga.

"Terubuk tempatan di pekan Lingga mampu sehingga RM40 hingga RM60 bagi sekilogram atau lebih," kata Arip sambil menambah Lingga bakal menjadi pengeluar ikan terubuk terbesar di negeri ini.

Sebuah Pusat Penyelidikan Ikan Terubuk yang pertama di Sarawak sedang dibina di Pekan Lingga. Pekan kecil Lingga yang terletak di pinggir Batang Lupar mempunyai keluasan 945km persegi dan terletak 50km dari Bandar Sri Aman.

Gadai emas kerana tekanan kos sara hidup

Posted:

Gadai emas kerana tekanan kos sara hidup

Gadai emas kerana tekanan kos sara hidup


SELAIN emas, perkembangan industri pajak gadai menyebabkan beberapa jenis kedai pajak gadai lain diperkenalkan di Singapura contohnya berlian dan jam antik.


SURI RUMAH warga Singapura Siti Khadijah Abdul Rahman mempunyai beberapa barangan kemas yang bernilai ribuan dolar, namun peningkatan kos sara hidup menyebabkan dia tidak mempunyai pilihan lain kecuali menggadaikannya.

Terbeban dengan perbelanjaan isi rumah termasuk persekolahan kedua-dua anak remajanya, pajak gadai merupakan alternatif terbaik dalam meredakan beban kewangan wanita berusia 49 tahun itu.

Suaminya, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mempunyai pendapatan sekitar S$1,500 (RM3,737) sebulan.

"Sekiranya berdepan masalah kewangan lebih baik meminjam di pajak gadai daripada kawan-kawan atau saudara-mara," kata Siti Khadijah.

"Jika mempunyai wang, saya akan menebus semula barang-barang kemas berkenaan."

Dia merupakan salah seorang daripada ribuan rakyat di negara itu yang terpaksa meminjam melalui skim pajak gadai ekoran kenaikan kos sara hidup di negara itu.

Laporan Unit Perisikan Ekonomi baru-baru ini turut menyatakan Singapura kini berada di tangga keenam sebagai negara yang mempunyai kos sara hidup tertinggi di dunia.

Pendapatan isi rumah

Menurut data dikeluarkan pendaftar industri, jumlah pinjaman pada tahun ini meningkat sebanyak 43 peratus, berbanding S$7.1 bilion (RM17.4 bilion) pada 2012.

Berdasarkan populasinya, Singapura melahirkan ramai jutawan tetapi pendapatan isi rumah yang melebihi S$65,000 (RM160,000) di negara itu pada 2012 mewujudkan jurang besar antara golongan kaya dan miskin.

Tiga buah rangkaian perniagaan pajak gadai terbesar di negara itu yang merangkumi hampir 200 cawangan kini menjadi tumpuan peminjam yang menggunakan barangan peribadi mereka sebagai cagaran untuk mendapatkan pinjaman jangka pendek.

"Kamu lihatlah di sekeliling, tidak hairanlah mengapa Singapura antara negara yang mempunyai kos sara hidup tertinggi di dunia," kata Derek Da Cunha, seorang pemerhati sosio politik tempatan.

"Berbanding sebelum ini, perkhidmatan pajak gadai menjadi semakin penting termasuk dalam kalangan profesional untuk mendapat pinjaman jangka pendek bagi menampung keperluan mereka."

Menurut perangkaan jabatan statistik, keluarga seperti Siti Khadijah yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah 10 peratus terpaksa berhadapan dengan penurunan 1.2 peratus dalam pendapatan per kapita mereka mengikut kadar inflasi pada tahun lalu.

Kos penjagaan perubatan juga meningkat sebanyak 3.9 peratus pada 2012 mengikut data yang dikeluarkan kerajaan.

Persatuan pengguna berkata purata harga bagi semangkuk mi berserta bebola ikan, kini 20 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu iaitu S$3 (RM7.50).


MONEY MAX merupakan salah sebuah rangkaian syarikat pajak gadai popular di Singapura.


Harga bahan-bahan asas seperti beras, daging, sayur-sayuran dan produk tenusu juga meningkat mendadak.

Sementara itu, flat-flat awam di kawasan tertentu juga meningkat kepada lebih S$1 juta (RM2.5 juta), manakala pemilik kenderaan juga terbeban dengan cukai tinggi dan sistem kuota kenderaan yang dilaksanakan.

Barangan kemas yang digadai akan dinilai oleh pakar-pakar emas dengan peminjam lazimnya akan dikenakan kadar satu peratus pada bulan pertama dan 1.5 peratus pada bulan berikutnya.

Barangan itu mesti ditebus dalam tempoh enam bulan atau ia tidak boleh ditebus kembali kecuali peminjam memperbaharui perjanjian mereka dengan pajak gadai.

Seorang peminjam yang enggan dikenali berkata, pajak gadai merupakan alternatif terbaik untuk mendapatkan pinjaman jangka pendek berbanding bank yang memerlukan kertas kerja dan tidak semestinya mendapat kelulusan segera.

"Bagi generasi lama, jika kamu menyimpan barangan kemas, lebih baik meminjam daripada pajak gadai," kata pekerja kilang itu yang memperbaharui pinjamannya dengan kedai pajak gadai berhampiran rumahnya setiap enam bulan sekali.

Rangkaian pajak gadai Valuemax dan pesaingnya MoneyMax juga semakin meningkat sekali gus menyaksikan kedua-duanya terpaksa bersaing sengit dengan Maxi-Cash yang menawarkan pinjaman awam sebanyak S$16.8 juta (RM40.6 juta) walaupun dalam keadaan pasaran yang lemah.

Premis-premis pajak gadai juga telah berubah wajah tanpa jeriji besi yang lazim dilihat sebelum ini di samping pemakaian uniform pekerja yang memberi imej seolah-olah sebuah cawangan bank komersial.

Perubahan itu menyaksikan premis pajak gadai turut dikunjungi golongan muda dan mewah yang kini menjadi faktor utama dalam mempopularkan kembali industri ini selain publisiti meluas dalam kalangan selebriti tempatan.

Kedai pajak berlian

Di samping emas, terdapat juga premis pajak gadai bagi berlian, barangan antik dan jam tangan antik.

Pihak berkuasa di negara itu memberitahu, peningkatan mendadak industri tersebut kini sedang dipantau termasuk kemungkinan kewujudan pinjaman mudah untuk kaki judi di negara yang mempunyai pasaran perjudian ketiga terbesar di dunia di belakang Macau dan Las Vegas.

April lalu, Kementerian Undang-Undang telah diminta untuk mendapatkan maklum balas orang ramai berhubung cadangan pindaan kepada undang-undang pajak gadai untuk mengukuhkan tadbir urus industri itu.

Bagi Da Cunha, beliau tidak percaya kerajaan akan mengambil sebarang langkah-langkah drastik bagi mengawal industri itu.

"Premis pajak gadai sememangnya sudah tertanam dalam jiwa masyarakat Singapura. Perkhidmatan yang ditawarkan jauh lebih baik daripada jika mereka meminjam daripada peminjam haram tanpa lesen," katanya. - Reuters

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat