Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
- Menagih rawatan di Klinik Berhenti Merokok
- Simptom sebagai pembersihan tubuh
- Tradisi minum teh negara Matahari Terbit
Menagih rawatan di Klinik Berhenti Merokok Posted: Menagih rawatan di Klinik Berhenti MerokokSAAT melangkah masuk ke sebuah klinik, kelihatan beberapa orang lelaki dewasa sedang duduk menunggu giliran. Ada yang membaca akhbar dan risalah tersedia dengan penuh khusyuk sementara menunggu nama masing-masing dipanggil. Seorang demi seorang daripada mereka diminta menghembuskan nafas menggunakan alat ujian tahap karbon monoksida, COPPM sementara jururawat bertugas mencatat sesuatu dalam buku rekod mereka. Beberapa minit kemudian mereka dipanggil masuk ke dalam sebuah bilik seorang demi seorang. Sebaik sahaja pintu bilik dibuka, kelihatan seorang jururawat merangkap kaunselor Klinik Berhenti Merokok sedang duduk menanti kliennya. "Awak serius nak berhenti merokok? Berapa peratus? Pernah cuba berhenti merokok sebelum ini? Tahu mengenai klinik ini daripada mana?" Demikian soalan-soalan mukadimah yang dizahirkan oleh jururawat Swinder Jit Jag Singh kepada setiap klien yang datang menemuinya. Salah seorang perokok iaitu, Mohd. Ilham Mohd. Said, 26, tidak terkecuali menerima soalan yang sama. "Saya serius nak berhenti merokok, mungkin dalam 85 peratus. Saya tahu mengenai klinik ini melalui kawan-kawan yang sudah berhenti merokok. "Dahulu, mereka sama seperti saya, hisap dua kotak rokok sehari tetapi kini, mereka tidak merokok lagi," kata anak keempat daripada enam beradik yang berasal dari Rawang, Selangor itu menjawab semua soalan dengan tenang. Swinder memberitahu Mohd. Ilham bahawa bacaan COPPM yang dilakukannya menunjukkan bacaan 10 yang disifatkan sebagai 'lampu merah'. COPPM merupakan pemeriksaan untuk mengesan tahap karbon monoksida dalam badan pesakit. Selepas beberapa minit sesi soal jawab berlangsung, jururawat berusia 58 tahun itu menunjukkan kepadanya carta tubuh seorang perokok. SWINDER menunjukkan carta badan seorang perokok yang mengundang pelbagai penyakit. Dalaman tubuh rosak Menurutnya, apabila seseorang itu merokok, badannya mengandungi banyak karbon monoksida. Saluran darah kecil dan halus di hujung kaki hanya memperoleh darah yang mengandungi karbon monoksida dan bukannya darah beroksigen. "Apabila tidak dapat darah beroksigen, saraf tersebut akan mati menyebabkan kaki terpaksa dipotong bagi mengelakkannya merebak. "Mungkin tiada orang yang memaklumkan bahawa merokok boleh menyebabkan kebinasaan pada badan. Secara zahirnya mereka nampak biasa, tetapi dalaman mereka tidak," ujar Swinder sambil memberitahu Mohd. Ilham bahawa perokok umpama kereta yang cantik tetapi enjinnya rosak. Swinder memberitahu, paru-paru seorang perokok seperti 'daging busuk' kerana setiap sedutan yang diambil mengandungi 7,000 bahan kimia dan salah satu daripadanya adalah tar yang menyebabkan paru-paru menjadi hitam. Tambahnya, perokok juga akan mengalami pelbagai masalah kesihatan seperti keguguran rambut, katarak, kulit berkedut, pekak, kanser kulit, pereputan gigi, emfisema dan osteoporosis. Tidak ketinggalan sakit jantung, ulser perut, kekuningan di jari, kanser uterus, keguguran, kecacatan sperma, psoriasis, penyakit buerger dan kanser yang menyebabkan paru-paru bernanah. "Ada rokok sekarang? Keluarkan cepat. Sekarang rokok ini 'kastam' sudah rampas," katanya kepada Mohd. Ilham sejurus dua kotak rokok sudah bertukar tangan. Seperti seorang ibu menasihatkan anaknya, Swinder dengan nada lembut tetapi tegas mengingatkan Ilham supaya tidak lagi membeli, meminta rokok dan katakan tidak andai ada rakan yang menghulurkannya. "Apabila nampak kawan hisap rokok dan rasa gian datang, kena ingat bahawa rasa gian itu berlaku dalam tempoh tiga minit. "Dalam tempoh itu, kamu perlu lawan rasa gian tersebut, tarik nafas, sibukkan diri dan lama-kelamaan rasa gian itu akan menurun," ujarnya sambil memberitahu, bacaan karbon monoksida menjadi kosong jika seseorang itu tidak merokok dalam masa seminggu. SESEORANG perokok perlu mengangkat ikrar di depan Swinder sebagai aku janji mereka mahu berhenti merokok. Sibukkan diri Dalam tempoh 72 jam berhenti merokok dan meminum air kosong dengan banyak, ia mampu menyingkirkan banyak bahan tidak baik daripada badan. Jika ada rasa ketagihan untuk merokok, apa yang perlu dilakukan adalah basuh muka, lap muka dan biarkan tangan dalam keadaan basah kerana apabila tangan basah, tak boleh nak pegang rokok. "Tempoh dua hingga tiga minggu pertama, seseorang perokok yang mahu berhenti perlu 'menyibukkan' mulutnya dengan makan gula-gula, asam, gula-gula getah, kuaci, biskut, emping jagung dan epal hijau. "Sibukkan diri, dua-dua tangan perlu sentiasa bergerak. Alihkan pemikiran kepada perkara lain dan apa yang penting ialah gunakan kekuatan semangat bagi melawan keinginan tersebut," katanya kepada Mohd. Ilham. Kelihatan Mohd. Ilham mengangguk faham bait-bait nasihat Swinder kepadanya. "Saya, Mohd. Ilham Mohd. Mohd Said berikrar dengan sesungguhnya bahawa saya akan berhenti merokok untuk selama-lamanya. "Tarikh saya berhenti merokok ialah 23 Februari 2013," ikrar Mohd. Ilham yang membuka lembaran baharu dalam kehidupan bebas rokok. Sebaik ikrar dilafazkan, Swinder yang menjadi saksi mengucapkan tahniah sambil memaklumkan tarikh perjumpaan seterusnya. Posmen muda itu mula mengenali dan jatuh cinta dengan rokok sejak tingkatan dua. Mohd. Ilham mencuri-curi hisap rokok di luar pengetahuan ibu bapa. Bermula secara suka-suka atas pengaruh rakan, Ilham semakin hanyut. "Memang ada azam untuk berhenti merokok tetapi ada dalam kalangan rakan-rakan yang memperlekehkan hasrat saya, kerana itu hasrat tersebut mati begitu sahaja. "Kini, saya nekad untuk berhenti kerana rasa sakit dada ketika membuat kerja," katanya yang menghisap 38 hingga 40 batang rokok sehari dan membelanjakan lebih RM300 sebulan untuk rokok sahaja. Ia menjadi tabiat yang sebati dalam dirinya sehingga jika tidak dapat rokok, ia mengundang rasa kurang selesa dalam dirinya. Lepas makan sahaja automatik Ilham akan cari rokok. Selepas Mohd. Ilham, ramai lagi klien lain keluar masuk bertemu Swinder. Penulis berpeluang melihat dan mendengar sendiri sesi kaunseling yang diadakan. Rata-rata menzahirkan rasa seronok mereka kerana berjaya berhenti merokok. Selera makan bertambah kerana mereka dapat merasai keenakan makanan. Bukan itu sahaja, mereka tidak lagi gemar akan bau rokok yang dahulunya menjadi 'haruman wajib' melekat di pakaian. Setiap daripada mereka dibekalkan gula-gula getah nikotin, patch, alat sedut (inhaler), vitamin C dan balsam bibir mengikut tahap ketagihan.
Antara ubat yang diberikan adalah Nicotine Replacement Therapy (NRT) yang terdiri daripada Nicotine Gum, Nicotine Transdermal Patch dan Nicotine Inhaler. "Kunyah gula-gula getah ini perlahan-lahan. Apabila rasa pudina semakin kuat simpan gula-gula getah itu di tepi pipi. Jangan kunyah laju-laju. Jika tidak, semua nikotin akan keluar dan serbu ke otak. Ia akan membuatkan anda rasa pening, loya dan muntah," terangnya kepada klien sambil memberitahu, apabila rasa pudina hilang, gula-gula getah tersebut perlu dikunyah semula. Rutin tersebut dilakukan secara berterusan sehingga 30 minit apabila gula-gula getah tersebut tidak mempunyai rasa lagi. Ujarnya, gula-gula getah itu dikunyah apabila rasa gian menyerang seseorang perokok. Selain itu, pesakit dinasihatkan mengambil vitamin C dan balsam bibir untuk mengelakkan bibir mereka kering. Enam tahun bebas rokok Dalam pada itu, seorang bekas pegawai kanan polis, Shubly Zainal Abidin, 60, memberitahu, dirinya tekad berhenti merokok pada tahun 2007 selepas 38 tahun menjadi perokok tegar. Bapa kepada enam orang anak yang berasal dari Malim Nawar, Perak itu berkata, tindakan untuk berhenti datang sendiri selepas memikirkan sudah begitu lama dirinya terikat dan bergelumang dengan rokok. "Ketika mula-mula datang ke Klinik Berhenti Merokok Tanglin, bacaan ujian tahap karbon monoksida adalah antara 17 hingga 18. Setelah dua minggu berhenti merokok, bacaannya turun kepada dua," katanya yang sudah enam tahun tidak merokok. Pada peringkat awal iaitu dalam tempoh tiga bulan pertama, rasa gian untuk merokok memang kuat, namun itu semua berjaya diatasinya. "Apabila sudah berhenti merokok berat badan saya naik mendadak daripada 70 kilogram (kg) meningkat kepada 110kg berikutan penambahan selera makan. Kini berat saya, 95kg. "Tiada alasan bahawa, saya sudah merokok lama, mana boleh berhenti. Kalau ada keazaman yang tinggi, walaupun merokok selama 50 tahun, akan berhenti juga. Ini semua permainan mental," ujarnya sambil mengingatkan perokok supaya menjaga pemakanan dan melakukan senaman bagi mengelakkan berat badan meningkat. | |
Simptom sebagai pembersihan tubuh Posted: Simptom sebagai pembersihan tubuhPEROKOK yang berhenti merokok akan mengalami beberapa simptom seperti bibir mengelupas. - Gambar hiasan. MUNGKIN ramai yang tidak tahu bahawa seseorang yang berhenti merokok berdepan dengan beberapa simptom seperti selesema dan batuk. Namun, tiada apa yang perlu dibimbangkan. Selesema dan batuk misalnya, merupakan antara proses pembersihan oleh tubuh. "Kalau seseorang mengalami batuk dan selesema, tidak perlu makan ubat terlebih dulu. Dahulu, ketika merokok banyak bahan kimia masuk ke dalam badan dan kini apabila sudah berhenti, badan melakukan proses pembersihan. "Batuk kahak berfungsi untuk bersihkan paru-paru, seseorang itu hanya perlu minum banyak air kosong. Selesema pula adalah proses membersihkan kekotoran di hidung, lama-kelamaan deria bau akan menjadi lebih tajam," jelas Kaunselor Klinik Berhenti Merokok, Klinik Kesihatan Tanglin, Kuala Lumpur, Swinder Jit Jag Singh. Tambahnya, kulit bibir juga akanmengelupas untuk memberi laluan kepada pertumbuhan kulit baharu memandangkan sebelum ini ia menjadi tempat letak rokok yang mengandungi pelbagai bahan kimia. Menurut Swinder, lima daripada 100 orang akan mengalami simptom gusi berdarah. Apa yang boleh dilakukan ialah berkumur dengan air suam dan garam selain menggunakan ubat gigi kanak-kanak untuk memberus gigi dengan berus gigi lembut. "Vitamin C yang dibekalkan pula bertujuan memulihkan sel-sel yang rosak. Selera makan seseorang juga akan bertambah kerana sebelum ini nikotin bertindak untuk mengekang selera mereka," ujarnya yang kerap menasihatkan pesakit mengawal pemakanan selain kerap bersenam. Jelas beliau, mereka yang datang untuk merawat ketagihan merokok terdiri daripada kelompok yang berumur antara 20 hingga 72 tahun. Setiap bulan, Swinder berdepan dengan 10 hingga 15 kes baharu dan 120 hingga 130 kes berulang. "Ada yang datang ke sini sekadar cuba-cuba sahaja dan ada juga yang serius mahu berhenti merokok. "Kesemua ubat-ubatan ini mahal, tetapi di klinik ini kita berikan secara percuma. Jadi mereka harus memanfaatkan dengan baik," jelasnya yang turut mengadakan kempen ke sekolah-sekolah.
Melawan gian Gula-gula getah nikotin merupakan nikotin bersih yang diberikan menggantikan nikotin di dalam rokok yang mengandungi 7,000 bahan kimia. Semakin lama, mereka tidak bergantung kepada gula-gula getah nikotin kerana rasa gian telah hilang. "Konsepnya ialah sebaik sahaja seseorang masuk ke dalam bilik ini, dia harus berhenti merokok dan tidak akan merokok lagi apabila keluar dari klinik ini. "Ia kedengaran agak mustahil, tetapi ramai yang berjaya melakukannya dengan berbekalkan keazaman yang kuat dan bantuan ubat-ubatan yang diberikan," katanya sambil memberitahu setiap klien yang hadir akan dipantau. Kesungguhannya untuk membantu para perokok tegar berhenti merokok apabila Swinder tidak kisah memberikan nombor telefon bimbitnya andai mereka berdepan dengan masalah. "Tidak dinafikan ada yang kecundang di tengah jalan. Mereka kembali menghisap rokok kerana tidak kuat melawan rasa gian selain terpengaruh dengan rakan. "Saya akan nasihat, berikan motivasi dan sokongan. Mereka boleh menghantar mesej atau hubungi saya jika ada apa-apa masalah," ujarnya yang memulakan perkhidmatan di klinik berhenti merokok tersebut pada tahun 2005. Klinik berhenti merokok dibuka sejak 10 Mei 2004 oleh Dr. Sallehuddin Abu Bakar yang ketika itu menjawat jawatan Timbalan Pengarah Kesihatan, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Dikendalikan oleh jururawat terlatih atau kaunselor yang berdaftar, klinik berhenti merokok tersebut pernah mendapat tempat pertama dalam Pertandingan Klinik Berhenti Merokok di Wilayah Persekutuan pada tahun 2005 dan 2006 sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia. | |
Tradisi minum teh negara Matahari Terbit Posted: Tradisi minum teh negara Matahari TerbitFESTIVAL Teh Jepun mengumpulkan pengeluar dan pencinta teh dari seluruh negeri Matahari Terbit. DI sebalik kemegahan budaya teh Cina yang tersohor seantero dunia, siapa sangka teh turut sinonim dalam budaya masyarakat di Jepun. Malah, setiap tiga tahun sekali ribuan peminat teh di negara itu akan berkumpul bagi meraikan Festival Teh Dunia yang disambut pada setiap bulan Mei. Sepanjang festival itu, pengunjung bukan sahaja berpeluang mengetahui pelbagai sejarah mengenai teh, malah berpeluang melihat sendiri keunikan tradisi dan teknik menghidangkan teh dari seluruh dunia. Sebut apa sahaja, daripada teknik menghidangkan teh menggunakan cerek tembikar seperti di Jepun atau teh ala Inggeris yang dihidangkan menggunakan cawan atau piring porselin kepada penggunaan bekas aluminium yang dikenali sebagai 'samovar' di Rusia. Tidak ketinggalan teh Turki yang dihidangkan di dalam gelas kecil unik, semuanya boleh dilihat sepanjang festival tersebut. Di samping itu, pengunjung boleh merasai sendiri aneka rasa teh ketika menyertai lawatan berpandu yang diketuai pakar-pakar teh ke kawasan ladang teh yang terdapat di sekitar lereng bukit di Shizuoka, Jepun. Jangan terkejut, ada teh yang mempunyai rasa manis, kelat serta seakan-akan citrus dan harganya pula mampu mencecah 300,000 yen sekilogram (RM8,812). Walaupun, kebanyakan harga runcit teh lebih rendah, namun harga yang ditetapkan oleh Kesatuan Industri Teh Kakegawa Jonan merupakan satu insentif kepada golongan pekerja. Ini kerana untuk mendapatkan kira-kira empat kilogram daun teh terpilih, ia memerlukan seramai 50 pekerja yang terpaksa bekerja sepanjang hari. Terdapat juga upacara yang menggunakan serbuk teh Jepun yang berwarna hijau yang dikacau dengan menggunakan sudu khas yang dibuat daripada buluh. Dikenali sebagai 'sado', teknik menghidangkan teh yang unik itu sarat dengan pelbagai simbolik. Paling penting adalah pergerakan tangan yang mengacau debu-debu halus teh di dalam cawan selain kek gula berwarna-warni yang dihidangkan bersama. Menjadi hidangan wajib setiap hari sama ada dalam bentuk teh asli atau teh hijau yang jernih, teh menjadi pilihan jutaan masyarakat di Jepun. Ia dinikmati di mana-mana sahaja sama ada di rumah, di pejabat atau di dalam botol yang dijual di kedai-kedai runcit. Teh satu budaya Mitsuru Shirai yang mengetuai kilang pertanian dan pengeluaran teh Shizuoka berkata, di sesetengah tempat di Jepun, teh merupakan satu perniagaan yang dijalankan secara serius. "Teh sudah menjadi sebahagian daripada masyarakat di negara ini," katanya, sambil menyatakan festival tiga tahun sekali itu merupakan gabungan antara budaya dan industri. Penanaman teh telah bermula di negara itu sejak 800 tahun lalu. Pada hari ini, industri itu disokong kira-kira 15,000 petani dan 800 kilang. Ia menawarkan lebih 100,000 peluang pekerjaan dalam industri yang bernilai lebih RM1.32 bilion. Shizuoka merupakan antara pengeluar teh terbesar di Jepun dengan mengeluarkan kira-kira 40 peratus teh kepada 128 juta penduduknya. Seperti petani, penanam-penanam teh juga tidak dapat lari daripada berkongsi masalah mereka. Pakar teh, Hidehiro Inagaki berkata, sejak tiga tahun yang lalu kira-kira 60 peratus ladang teh di Shizuoka terjejas teruk akibat musim sejuk yang melampau. WARGA Jepun masih kuat mempertahankan budaya dan teknik minum teh yang sudah diamalkan sejak ratusan tahun. "Sekiranya cuaca terlalu sejuk, pucuk daun teh tidak akan tumbuh kerana tumbuhan itu lazimnya menyimpan tenaga untuk memanaskan diri," katanya Disebabkan itu, penanam-penanam teh sanggup meletakkan kipas-kipas elektrik yang besar bagi menyalurkan udara panas ke ladang mereka. Ia nyata mencacatkan pemandangan, bagaimanapun dalam kalangan penanam teh, ia terpaksa dilakukan. Penyelidikan Beberapa minggu selepas tragedi di Fukushima pada 2011, apabila reaktor nuklear di situ mula mencair selepas dilanda tsunami, kepulan awan radiasi berselerakan di seluruh Jepun. Sebahagian kawasan ladang teh di sini dikatakan turut terkena tempiasnya. Satu kes membabitkan kira-kira 162 kilogram daun teh kering yang dibawa ke Paris, Perancis ditahan di lapangan terbang negara itu kerana dikesan mempunyai paras radiasi yang tinggi. Dua tahun selepas tragedi itu, Institut Penyelidikan Teh berterusan membuat analisis sampel tanah bagi mengesan tanda-tanda pencemaran. "Pada tahun ini kerajaan persekutuan tidak lagi melakukan ujian, tetapi kami tetap melakukannya untuk memastikan ia berada pada tahap terbaik," kata Kazuo Mochizuki, ketua institut berkenaan yang ditubuhkan pada 1908 bagi melaksanakan kajian dan penyelidikan mengenai variasi teh secara berterusan. Biarpun teknologi yang digunakan pada hari ini memudahkan proses tuaian daun teh di samping baka teh yang tahan lasak dan mengeluarkan hasil yang tinggi, tetapi bagi penanam teh veteran, Toshiharu Suguira, sifat semula jadi teh adalah seperti yang berada di depan matanya. Selepas 40 tahun mengusahakan ladang teh seluas 1.2 hektar itu yang diwarisi daripada bapanya, kawasan lereng bukit yang subur dengan daun teh masih kekal seperti sebelumnya. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
You made some good points there. I checked on the net for additional information about the issue and
found most individuals will go along with your views on this
website.
Also visit my web site; Ultra Slim Patch Weight Loss