Utusan Online - Feminin
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Feminin |
Posted: 04 Jun 2013 10:53 PM PDT Oleh NOOR FAZRINA KAMAL nURLIZA Azulkarnain bersama salah satu rekaannya yang diperindah dengan perincian manik dan batu-batu permata. NURLIZA Azulkarnain, 28, seorang gadis yang tahu apa yang dimahukan dalam hidup. Pelajar terbaik di International Fashion Training Centre (IFTC) dan Paris American Academy (PAA) ini, berpegang teguh pada prinsip berusaha untuk berjaya biar apa jua halangan dan rintangan yang datang. Demi matlamat yang jitu dan cintakan fesyen, Nurliza atau mudah disapa sebagai Liza , ke Paris semata-mata untuk menuntut ilmu dan mendalami maksud sebenar fesyen dari dahulu hingga kini. Pada masa sama dia menimba pelbagai pengalaman di kota fesyen tersohor itu. Idolanya ketika itu adalah Bernard Chandran, pereka tersohor yang juga pernah menuntut di IFTC, di Kuala Lumpur, dan PAA di Paris. Nurliza sebenarnya mula berkecimpung dalam dunia fesyen semasa di bangku sekolah. Ketika di tingkatan lima di Sekolah Menengah Teknik Setapak, dia mengambil mata pelajaran tambahan rekaan fesyen sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dalam jurusan rekaan fesyen di IFTC. "Selepas tamat diploma, saya melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah dalam jurusan rekaan fesyen dan haute couture. "Dari situ saya menimba banyak pengalaman tentang sejarah-sejarah fesyen. Maksud sebenar haute couture iaitu seni jahitan teliti penuh seni dengan hanya menggunakan tangan, jarum dan benang. "Saya amat sukakan fesyen yang bergaya. Saya sukakan pakaian yang cantik dan indah di mata. "Kerana itu jugalah saya menceburi bidang ini. Untuk mengembangkan lagi bakat dan mereka sendiri pakaian-pakaian yang cantik dan glamor," cerita Liza yang ditemui di studio jahitannya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Selama hampir dua tahun di Paris, Liza mengakui itulah saat paling berharga dan kenangan paling manis dalam kehidupannya Bahkan, itu juga impiannya sejak dari bangku sekolah lagi. "Paris adalah kota fesyen dunia. Semua pereka terbaik dunia memiliki butik dan kedainya di sana. Malah galeri Jimmy Choo juga ada beberapa cawangan di sana," katanya. Selain itu kata Liza, Paris juga terkenal dengan kota yang paling romantis dan kaya dengan keindahan seni bina. "Terlalu banyak pengalaman yang tidak dapat saya lupakan semasa belajar di sana, terutama apabila saya diberi peluang membuat latihan bersama pereka fesyen antarabangsa terkenal. "Antaranya, Karl Lagerfeld, Elie Saab, Basil Soda, Manish Arora, Ingrid Vlasov, Alexis Mabille dan ramai lagi. Saya juga berpeluang melawat muzium-muzium fesyen seperti Madame Gres, Musee des Arts Decoratifs, Musee de la Mode et du Textile dan banyak lagi. "Saya juga amat teruja apabila di PAA saya dapat belajar teknik-teknik haute couture bersama pekerja dari Madame Gres yang sudah berpuluh tahun bekerja dengan pereka legenda itu. Ia merupakan peluang yang diimpikan oleh semua yang bergelar pereka fesyen," katanya. Bagi Liza, dapat bekerja bersama pekerja Madame Gres dan Karl Lagerfeld umpama mimpi jadi nyata kerana kedua-duanya adalah pereka antarabangsa yang menjadi idolanya dari dulu hingga kini. "Bayangkan begitu ramai pelajar di Paris yang menanti-nantikan saat dapat berjumpa dengan mereka dan saya adalah pelajar yang bertuah dan bernasib baik itu. Tidak semua dapat peluang seperti saya. Mungkin tiga orang dalam sepuluh yang terpilih. "Saya begitu mengagumi Karl Lagerfeld kerana teknik haute couture nya amat menakjubkan dan rekaan-rekaan fesyennya begitu dahsyat," kata Liza. Menurut Liza lagi, Karl Lagerfeld adalah pengasas bagi jenama terkenal di dunia, Chanel. Dia telah bekerjasama dalam pelbagai projek yang berkaitan dengan fesyen dan seni, terutamanya sebagai ketua pereka dan pengarah kreatif untuk rumah fesyen Chanel. " Walaupun tidak lagi berada di Paris, hampir setiap hari saya mengikuti perkembangan fesyen Karl Lagerfeld di laman sesawang," kata Liza yang sedikit sebanyak mampu berbahasa Perancis. |
Posted: 04 Jun 2013 10:53 PM PDT Oleh MERAN ABU BAKAR Sebahagian koleksi rekaan Sazlyanna Zainudin. USIA muda bukan penghalang bagi Sazlyanna Zainudin untuk turut sama bersaing dengan usahawan-usahawan wanita lain dalam bidang perniagaan. Memilih perniagaan pakaian yang tetap mendapat sambutan wanita walau dalam keadaan apa sekali pun, Sazlyanna atau ringkas dipanggil Yanna, 24, bukan setakat memulakan perniagaan di kedai-kedai biasa malah berani melangkahkan kaki ke pusat borong pakaian yang terkemuka di Kuala Lumpur, iaitu di Pusat Borong Kenanga. Mungkin bakat berniaga diperoleh daripada keluarga sendiri di mana bapa saudara dan ibu saudara Yanna turut menceburkan diri dalam bidang perniagaan pakaian. Yanna, yang ditemui di Butik Arca miliknya di tingkat lima pusat borong tersebut berkata, walaupun baru dibuka pada bulan Disember tahun lalu, sambutan di kalangan peminat fesyen amat menggalakkan. Ini kerana Butik Arca sentiasa mengenengahkan fesyen-fesyen terbaru yang lahir daripada idea sendiri dan bukan ditiru daripada butik lain. Menurut Yanna yang juga seorang model dan pelakon sambilan, butiknya menghasilkan pelbagai rekaan baju kurung, jubah, kaftan, blaus bersulam dan fesyen muslimah moden. ''Kebanyakan rekaan adalah ilham saya sendiri dan kemudian saya akan berbincang dengan tukang jahit saya sama ada rekaan tersebut sesuai atau tidak. ''Jika kedua-dua bersetuju, barulah saya mencari kain dan meminta tukang jahit mula membuat fesyen yang direka. ''Saya gemar menggunakan jenis fabrik yang bermutu dan cantik seperti renda Ceruti dan syifon kerana rekaan yang dihasilkan akan nampak eksklusif dan elegan,'' ujar Yanna yang berasal dari Kota Tinggi, Johor. Tambahnya, setiap rekaan akan dibuat sebanyak 400 pasang, manakala setiap tiga minggu pula akan terdapat rekaan baru yang biasanya akan habis dibeli secara borong. Kata Yanna, yang turut memiliki Butik Arca di Sarawak, selain dijual secara borong, pelanggan juga boleh membeli secara runcit pada harga yang sedikit tinggi berbanding borong. Bagi menarik hati pelanggan supaya kerap berkunjung ke butiknya, kata Yanna, dia akan sentiasa memastikan untuk menghasilkan rekaan yang berbeza daripada orang lain. ''Saya tidak pernah mengulangi rekaan yang pernah saya buat. Sebab itu saya perlu kreatif menghasilkan rekaan terbaru yang sedang menjadi trend pada masa kini. ''Kadang-kadang saya risau juga takut orang meniru rekaan saya. Mungkin orang boleh tiru tetapi perbezaan pakaian saya ialah daripada segi fabrik yang saya gunakan. ''Selain boleh dilihat di dalam Facebook, Arca Butik, demi kepuasan digalakkan untuk datang ke kedai agar dapat melihat dari dekat jenis fabrik yang saya gunakan serta mencuba sendiri keselesaan pakaian di sini. ''Selain itu, setiap pelanggan berpeluang untuk memakai pakaian yang dibeli di sini kerana terdapat banyak saiz, iaitu daripada XS sehinggalah XL,'' ujar Yanna yang dapat disaksikan lakonan terbarunya dalam drama Epilog Cinta Kirana di TV3 pada setiap pukul 10 malam hari Selasa, Rabu dan Khamis. Jelas Yanna , dia akan menghasilkan lebih banyak rekaan terbaru baju kurung dan jubah sempena kedatangan hari raya tidak lama lagi. Pemborong serta peruncit yang ingin melihat rekaan terbaru ini bolehlah berkunjung ke Arca.. Yanna turut bercadang untuk menghasilkan pakaian lelaki dan kanak-kanak pada masa hadapan bagi memudahkan sekeluarga untuk datang membeli pakaian di butiknya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Feminin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |