Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Posted: 02 Jun 2013 05:50 AM PDT KEMUSNAHAN akibat rusuhan penonton Peru yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil membatalkan gol penyamaan pasukan mereka. KEJADIAN yang berlaku pada 24 Mei 1964 ini dianggap sebagai tragedi terburuk melibatkan penyokong bolasepak fanatik. Dalam kejadian yang berlaku di Stadium Estadio Nacional di Peru, dikatakan seramai 318 orang terbunuh dan lebih 500 orang cedera. Perlawanan tersebut melibatkan pasukan Peru dan Argentina yang dalam cubaan melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo jika salah satu pasukan menang dalam perlawanan itu. Dikatakan hampir 50,000 penonton menyaksikan perlawanan tersebut dan pasukan Peru hanya memerlukan seri untuk melayakkan diri. Di peringkat awal, perlawanan masih tenang walaupun kedudukan menyebelahi Argentina yang mendahului 1-0 dan berlanjutan sehingga ke hampir wisel penamat. Bagaimanapun pasukan Peru berjaya menjaringkan gol pada saat-saat akhir mengakibatkan stadium bergegar dengan sorakan penyokong yang menyorak kegembiraan. Bagaimanapun kedudukan tersebut hanya untuk seketika apabila pengadil dari Uruguay, Angel Pazos membuat keputusan membatalkan jaringan tersebut. Keadaan ini mengakibatkan penyokong berang dan salah seorang penyokong berlari ke tengah padang dan cuba membantah keputusan pengadil. Namun kemunculan pemuda yang dikenali Negro Bomba itu telah ditahan anggota polis yang kemudian bertindak memukulnya. Kejadian itu telah membangkitkan kemarahan penyokong tempatan yang mula bertindak ganas dan turun ke padang. Pihak berkuasa pula telah bertindak melulu dengan melepaskan gas pemedih mata yang mengakibatkan para penonton mula panik. Mereka yang cuba keluar pula telah dihalang apabila kebanyakan pintu ditutup mengakibatkan ramai yang terbunuh akibat dipijak ketika dalam cubaan menyelamatkan diri. Apabila keadaan di dalam stadium kembali tenang kelihatan ratusan mayat bergelimpangan akibat dipijak oleh mereka yang mahu menyelamatkan diri. Namun keadaan di luar stadium masih tegang apabila pihak penyokong dan pihak berkuasa bertempur antara satu sama lain. Keadaan semakin buruk apabila ahli keluarga mereka yang terbunuh tidak boleh menerima kenyataan itu dan bertindak ganas mengamuk di luar stadium. Keadaan hanya kembali tenang apabila pihak kerajaan melaksanakan perintah berkurung dan menguatkuasakan undang-undang tentera. |
Posted: 02 Jun 2013 05:50 AM PDT Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM HAFIZ dibantu seorang lagi jururawat merawat seorang pesakit yang menjalani hemodialisis. MELIHAT layanan mesra yang diberikan Mohamad Hafiz Mustafaa, 27, kepada pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis di Wad Hemodialisis, Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL) pasti membuatkan pesakit lebih tenang. Wajah Hafiz yang sudah menjadi jururawat selama enam tahun di sana sentiasa tidak lekang dengan senyuman serta sentiasa menyapa pesakit dengan ramahnya. Malah, tidak kurang juga ada pesakit yang begitu menyukai layanan baik yang diberikan jururawat lelaki ini sehingga menganggapnya seperti ahli keluarga sendiri. Malah ada juga yang mahu menjodohkan Hafiz dengan anak mereka! Di sebalik sifatnya yang mesra dengan pesakit, Hafiz tidak memulakan kariernya sebagai seorang jururawat atas cita-cita dari zaman sekolah. Tidak pernah terfikir di benaknya untuk bergelar jururawat yang semestinya lebih sinonim sebagai pekerjaan wanita. Hafiz pada asalnya adalah seorang pemain bola sepak, malah kehebatannya beraksi di padang membuatkan dia terpilih menyertai Pasukan Belia Bola Sepak Perak selepas menghabiskan persekolahannya di Sekolah Menengah Anderson, Ipoh. Ketika itu, dia sudah merangka perjalanan kariernya sebagai seorang pemain bola sepak yang boleh dikatakan agak cerah di Malaysia dan ia kerjaya yang paling diidamkan Hafiz kerana dapat membina hidup atas hobi iaitu bermain bola sepak. Namun, langit tidak sentiasa cerah. Baru saja rancak di dalam pasukannya, Hafiz mengalami kecederaan pada buku lali membuatkan dia tidak lagi boleh terlalu aktif, apa lagi bermain bola sepak. Ketika itu, lelaki berasal dari Ipoh, Perak ini berasa amat sedih umpama dunianya telah berakhir. Hafiz yang amat mementingkan masa depan yang elok terus merancang untuk mengatur kembali perjalanan hidupnya dan akhirnya memilih untuk menyambung pelajaran di Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Pantai atas nasihat pakciknya. Pada mulanya, ibu (Sara Bee Abdul Rahman) agak terkejut dengan keputusan saya kerana kejururawatan dan bola sepak merupakan dua perkara yang jauh berbeza. Tetapi dia dapat menerimanya malah bersifat terbuka atas pilihan saya," ujarnya ketika ditemui di Sambutan Hari Jururawat PHKL, baru-baru ini. Lagipun, tambah Hafiz, dia sudah biasa menjaga ibunya yang merupakan ibu tunggal di hospital atau di rumah sewaktu ibunya terlantar sakit akibat masalah rahim. Pengalaman menyertai pertubuhan amal ke beberapa buah rumah anak yatim ketika zaman persekolahan turut membuka hatinya untuk menyertai bidang kejururawatan. Baran Setelah tiga tahun berada di dalam kolej kejururawatan, Hafiz terus diserap menyertai tenaga kerja PHKL di Wad Hemodialisis. Ceritanya, dia merasakan agak janggal sewaktu berada di dalam kolej kerana majoriti pelajar merupakan wanita. Tetapi dia tidak lagi berasa keseorangan apabila mula bekerja kerana semakin ramai lelaki menceburi bidang kejururawatan dan ia bukan lagi perkara yang pelik berbanding dulu. Mengakui ketika di zaman bermain bola sepak ada tersimpan sedikit sifat baran, ujar Hafiz, sifat buruk tersebut kini hilang sebaik saja mengenali dunia kejururawatan. Masa bersukan dulu biasalah ada sifat baran ditambah dengan usia muda. Namun, sifat negatif itu tidak ada apabila sudah mula melibatkan diri dengan dunia kejururawatan. Malah, saya amat berpuas hati apabila melihat mereka (pesakit) semakin sihat," ujarnya yang merupakan anak tunggal. Di tempat kerjanya, mereka mengadakan sistem anak angkat dan ia amat menyeronokkan memandangkan Hafiz berada jauh dari ibunya. Sedih Ceritanya, pernah sekali dia menitiskan air mata kerana seorang pesakit meninggal dunia. Saya mendapat tahu daripada anak pesakit tersebut, sebelum dia (pesakit) menghembuskan nafas terakhir, dia menyebut nama-nama jururawat yang baik dengannya, bukan nama anak-anaknya. Antara nama yang disebut ialah nama saya membuatkan saya berasa amat hiba. Pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis sememangnya akan menghabiskan hampir setiap hari di wad membuatkan kami seperti sebuah keluarga," ujarnya. Di sebalik kesedihan, Hafiz turut gembira terutama bila ada pesakit akhirnya dapat bantuan pemindahan buah pinggang membuatkan mereka tidak perlu lagi menjalani rawatan hemodialisis. Walaupun sudah pulih kira-kira dua tahun lalu, pesakit tersebut sering datang menjenguk mereka dan keluar makan bersama-sama. Kepuasan utama jururawat seperti kami apabila dapat melihat mereka semakin pulih," ujar Hafiz. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |