{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Pengindahan Sungai Segget

Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY
fikri.rosly@utusan.com.my

Ismail Ibrahim (tengah) bersama Benjamin Hasbie (kiri) dan Engku Ahmad Kamel Engku Taib (kanan) menyentuh bebola elektronik sebagai simbolik majlis perasmian Forum Iskandar Malaysia Metropolis di Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 2 Jun - Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) berjaya mendapatkan keyakinan serta penglibatan awam bagi mengindahkan Sungai Segget sebelum kerja-kerja fizikal dimulakan suku ketiga tahun ini.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Ismail Ibrahim berkata, pihaknya mengambil masa hampir dua tahun untuk mendapatkan sokongan daripada mereka yang bekerja dan menjalankan perniagaan di kawasan sekitar Sungai Segget melalui usaha memupuk kesedaran dan kefahaman.

"Perancangan itu di bawah Projek Transformasi Johor Bahru. Rata-rata kita mendapat sambutan yang amat baik kerana melalui proses perbincangan dan juga pameran yang kita jalankan ini, kita berjaya mendekatkan mereka supaya lebih memahami akan cadangan yang kita nak lakukan.

"Maklum balas daripada mereka adalah amat menggalakkan, malahan saya suka mengatakan bahawa hampir semua pemilik tanah dan pemaju yang memiliki tanah-tanah berdepan dengan Sungai Segget telah pun bersetuju untuk memajukan kawasan mereka dengan beraspirasikan pembangunan Sungai Segget," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Forum Metropolis Iskandar Malaysia 2013, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pesuruhjaya Persekutuan IRDA, Datuk Benjamin Hasbie dan Ketua Penyelidikan Ekonomi IRDA, Engku Ahmad Kamel Engku Taib.

Forum tersebut dianjurkan dengan tujuan memberi maklumat mengenai perkembangan terbaru Iskandar Malaysia kepada pemilik perniagaan, pelabur, pegawai kanan syarikat swasta dan agensi kerajaan serta kesempatan untuk mengenali lebih dekat pelan-pelan strategik Transformasi Johor Bahru.

Menurut Ismail, kerja pembersihan dan pengindahan Sungai Segget akan menyelesaikan masalah banjir, meningkatkan kebersihan dan kesihatan umum serta meningkatkan keindahan pusat bandar sekali gus memberi makna yang amat besar kepada pengunjung dan golongan yang bekerja dan berniaga di kawasan tersebut.

MB mahu lebih ramai atlet kebangsaan kelahiran Johor

Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT

Mohamed Khaled Nordin membuat balingan sebagai simbolik perasmian Pusat Boling Pasir Gudang, di Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 2 Jun - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mahu negeri ini melahirkan lebih ramai atlet kebangsaan, sekali gus mampu melakar nama di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, beberapa prasarana sukan bagi kemudahan penduduk negeri ini untuk bersukan dan beriadah akan dibangunkan dari semasa ke semasa supaya bakat-bakat terpendam yang ada dalam diri anak Johor dapat dikesan serta diketengahkan.

"Selaku pemimpin, saya akan beri perhatian secara adil terhadap pelbagai isu, bukan sahaja perkara besar malah perkara terpencil dan bersifat kemasyarakatan.

"Ini bagi memastikan semua aspek diambil kira termasuklah hal membangun dan menaik taraf prasarana sukan di negeri ini untuk melahirkan atlet yang bukan sahaja bergelar jaguh kampung, malah bertaraf dunia," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Boling Pasir Gudang, di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang, dekat sini baru-baru ini.

Katanya, beliau telah meminta semua exco negeri termasuk Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Zulkurnain Kamisan untuk mengemukakan perancangan terperinci dalam tempoh 100 hari selepas mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pertama yang diadakan 14 Mei lalu.

Mohamed Khaled memberitahu, perancangan tersebut akan dibentangkan untuk pengetahuan umum agar ia mendapat maklum balas yang sewajarnya daripada rakyat Johor.

Mengulas mengenai kedudukan ahli MCA yang mengundur diri daripada memegang jawatan sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan di negeri itu, beliau berkata, kekosongan tersebut tidak akan diisi sekiranya ia tidak menjejaskan korum ahli majlis.

"Saya akui ia akan memberi kesan terhadap perkhidmatan, tetapi saya yakin pihak berkuasa tempatan boleh memikirkan formula sesuai untuk menampung atau menangani masalah yang timbul," katanya.

Keperluan pelabur akan dipenuhi - Hasni

Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT

PONTIAN 2 Jun - Prasarana awam di kawasan pembangunan untuk keperluan para pelabur di negeri ini akan dipenuhi tanpa mengabaikan kepentingan penduduk setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohamed berkata, kawasan pembangunan yang dimaksudkan adalah projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Kota Tinggi serta pembangunan bersepadu di Tanjung Bin, Pontian.

"Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta mengenal pasti pembinaan jalan-jalan ke kawasan berkenaan sentiasa memenuhi tahap keselamatan serta bersesuaian dengan penggunaan seharian kerana digunakan oleh kenderaan berat bagi membawa pelbagai peralatan dan bahan-bahan pembinaan.

"Pada masa sama, ia turut digunakan penduduk tempatan dan ini memerlukan perhatian daripada JKR serta operator pembangunan di kawasan berkenaan," katanya selepas majlis kesyukuran Barisan Nasional (BN) anjuran Pusat Daerah Mengundi Parit Kudus di sini baru-baru ini.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, penyelesaian juga perlu dicari bagi melebarkan jalan raya yang sempit demi keselesaan dan keselamatan pengguna.

Menurutnya, antara kemudahan lain yang perlu diberi perhatian adalah bekalan air, elektrik serta telekomunikasi yang melibatkan beberapa syarikat seperti Syarikat Air Johor (SAJ), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM).

"Di samping menjaga kepentingan pelabur, kerajaan negeri juga prihatin dengan keluhan penduduk yang meminta keperluan mereka diberikan layanan yang sama.

"Perbincangan perlu dilakukan dari semasa ke semasa supaya segala kemudahan diperlukan dapat dipenuhi dan kerajaan negeri akan terus memberi sokongan bagi menjayakan agenda nasional seperti Iskandar Malaysia mahupun kawasan pembangunan yang lain," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat