{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Keluarga

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Keluarga


Terjebak di usia senja

Posted: 18 Jun 2013 10:52 PM PDT

USIA sudah separuh abad, malah usia perkahwinan yang menginjak ulang tahun ke-44, tahun ini bukanlah satu jaminan untuk rumah tangga itu kekal bertahan selamanya.

Biarpun sudah memasuki usia senja, Halimah (bukan nama sebenar), 62, tidak pernah jemu-jemu mencari rezeki untuk membantu suaminya menyara anak-anak yang masih bersekolah.

Demi kasih sayangnya kepada suami, Saidin (bukan nama sebenar), 64, anak-anak dan keluarga, dia rela berkorban.

"Mak cik ni bukannya datang dari keluarga yang senang. Masa mak cik belasan tahun lagi sudah dinikahkan dengan suami mak cik.

"Dia pun bukannya berpelajaran tinggi. Kerja pun biasa-biasa sahaja. Namun mak cik waktu itu sedia menerima dia seadanya demi mengurangkan bebanan yang ditanggung keluarga mak cik ketika itu," beritahu mak cik Halimah ketika ditemui di rumah salah seorang anaknya, baru-baru ini.

Selepas bernikah, status Halimah hanya sebagai suri rumah sepenuh masa. Tetapi apabila anak-anak sudah memasuki ke angka tiga hingga sembilan, Halimah terpaksa keluar bekerja untuk membantu suaminya yang sering sahaja kekurangan duit setiap bulan.

Halimah melakukan pelbagai kerja termasuk pernah menjadi pembantu tukang masak, mengambil upah mencuci kain baju di rumah orang dan akhir sekali menjaga anak-anak jiran.

Mungkin kuat rezeki Halimah, dengan bantuan seorang rakannya, Halimah mendapat kerja di sebuah syarikat percetakan di Bangsar, Kuala Lumpur dengan gaji melebihi RM1,500 sebulan.

"Masa itu suami mak cik telah bersara dan empat lagi anak mak cik masih bersekolah. Setiap pagi dia akan menghantar mak cik ke Bangsar menaiki motor sebelum dia balik ke rumah.

"Jadual rutin dia senang, balik rumah dia perlu membeli sayur dan lauk mentah di pasar untuk memudahkan mak cik memasak pada pagi hari sebelum pergi kerja. Itu sahaja. Seterusnya suka hati dia hendak buat apa," katanya.

Halimah memberitahu, suaminya ketika di rumah di samping anak-anak, merupakan seorang yang bertanggungjawab dan tidak leka dalam mengerjakan solat lima waktu. Malah kopiah putih sentiasa berada di atas kepala.

Pada mulanya semua berjalan lancar sehinggalah pada suatu hari seorang rakan memberitahu Halimah, dia ternampak ada wanita lain membonceng motor suaminya di Bangsar.

Mendengar cerita itu Halimah pada mulanya tidak mempercayai semua tuduhan tersebut kerana kepercayaan terhadap suaminya amat tinggi.

Namun, memandangkan cerita yang didengarnya itu sudah beberapa kali, Halimah mula rasa tidak sedap hati.

"Satu hari mak cik pergi kerja seperti biasa dihantar oleh suami mak cik dalam pukul 7.30 pagi. Selepas suami mak cik berlalu, mak cik pun terus menahan teksi dan kemudian mengekori ke mana suami mak cik pergi.

"Pada satu selekoh, mak cik melihat dia memberhentikan motornya dan seorang wanita berusia lewat 30-an membonceng motosikal itu dan mereka berdua ke sebuah warung di tepi jalan," katanya.

Selepas Halimah membayar tambang teksi, dia terus menuju ke warung itu. Melihat kedatangan Halimah, suaminya menjadi kaget. Kopiah yang sentiasa di atas kepala kini sudah tiada di tempatnya.

Halimah memberitahu, dia sempat bertanya kepada suaminya siapa wanita itu, namun suaminya tidak terkata apa-apa, manakala wanita itu pula kelihatan gugup.

Melihat keadaan warung itu yang semakin ramai dikunjungi pelanggan, Halimah mengambil keputusan untuk tidak menunggu lama dan berlalu dari situ.

"Mak cik mengambil keputusan untuk tidak masuk kerja dan pulang ke rumah. Sejam kemudian baru suami mak cik tiba di rumah.

"Dalam dua tiga hari jua mak cik dan suami tidak bertegur sapa dan kemudian mak cik ikhlas bertanya sama ada sebenarnya dia mahu berkahwin dengan wanita berkenaan," katanya.

Pada mulanya suami Halimah tidak mempedulikan soalan itu.

Halimah pula merasakan dirinya seperti isteri yang terbuang kerana Saidin sudah tidak mempedulikan dirinya lagi.

Seterusnya Halimah memberitahu, pada suatu malam, Saidin pulang ke rumah mengemas pakaiannya dan kemudian keluar dari rumah.

"Apa yang dapat mak cik tahu selepas itu, suami mak cik dan wanita berkenaan sudah berkahwin.

"Tetapi dia tidak menceraikan mak cik dan mak cik juga tidak pernah mengendahkan perlakuan dia," katanya.

Kini telah lima tahun peristiwa itu berlalu, anak-anak Halimah sudah bekerja dan berkeluarga. Anak yang kecil pun sudah memasuki kolej. Halimah pula sekarang sudah boleh berehat dan hanya menumpukan perhatian memperbanyakkan ibadat.

"Sesekali suami mak cik datang berjumpa anak-anak meminta sedikit duit bulanan sambil membawa anak hasil perkahwinan terbarunya yang berumur tiga bulan dan setahun setengah.

"Sekarang, suami mak cik yang tidak pernah melakukan kerja-kerja rumah itu terpaksa menjaga anak-anaknya yang masih kecil kerana isterinya keluar bekerja sedangkan dia juga tidak berapa sihat.

"Namun kerana egonya, dia tetap tidak mahu berjumpa dengan mak cik biarpun selama ini mak cik masih lagi isteri dia yang sah," katanya.

Seni kreatif tampal cantum

Posted: 18 Jun 2013 10:52 PM PDT

Rohana Saadan memberitahu seni jahitan kreatif memerlukan ketekunan dan kesabaran.

ROHANA turut menyatakan, sekiranya tiada komitmen, penghasilan sesuatu produk itu tidak cantik malah, kreativiti juga penting dalam menghasilkan seni jahitan kreatif.

Telah menceburi bidang ini sejak tahun 2009, Rohana menjelaskan seni jahitan kreatif yang ditawarkan pihaknya kepada orang ramai sama ada untuk mempelajari ataupun mendapatkan produk siap terdiri daripada seni jahitan cantum, tampal dan kuilt.

Berbicara lanjut mengenai seni jahitan yang dihasilkannya, ulas Rohana, tampal dan cantum adalah seni cantuman kepingan-kepingan perca kain untuk menjadi sehelai kain yang besar.

Kuilt pula kain yang terhasil daripada cantuman tampal cantum yang dilapik dengan polister di tengah-tengah dan dilapis dengan sehelai kain di sebelah belakang lalu dijahit ketiga-tiga lapisan tersebut.

Katanya lagi, selalunya gambar pemandangan, haiwan, kanak-kanak, corak geometri atau abstrak dijadikan motif dalam jahitan tampal dan cantum ini.

Pada masa yang sama, seni jahitan kreatif ini turut menggabungkan pelbagai jenis kain untuk membentuk motif yang menarik.

"Pelbagai produk seperti selimut, cadar, sarung bantal, beg, dan pakaian boleh dihasilkan daripada seni jahitan kreatif ini.

"Tetapi proses untuk menyiapkannya akan mengambil masa yang lama kerana pembuatannya seperti cantum dan tampal bukanlah satu kerja yang mudah.

"Bagaimanapun apabila produk yang dihasilkan siap, pastinya kita akan berpuas hati," jelasnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di B-3-19, Level 3, Blok B, Oasis Square, Jalan PJU 1A/7A, Oasis Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Bercerita mengenai bagaimana memulakan perniagaan tampal cantum ini, Rohana memberitahu, kedai Anna Patchwork House telah dibuka sejak tempat tahun lalu apabila dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan memberi tumpuan kepada perniagaan seni jahitan kreatif ini.

Ulasnya lagi, penglibatannya di dalam bidang tersebut juga sebenarnya bermula apabila diperkenalkan seorang kenalan yang akhirnya menjadi hobi yang sangat diminati.

Kedai pertamanya beroperasi di Sunway Pyramid selama tiga tahun sebelum berpindah ke Oasis Damansara.

Menurut Rohana, kedainya di Sunway Pyramid ditutup kerana dia ingin mencari satu ruang niaga yang besar kerana selain menjual produk, dia turut menawarkan kelas kepada mana-mana individu yang berminat untuk mempelajari seni jahitan kreatif tersebut.

Begitupun Rohana memberitahu sebelum mendapat ruang di Oasis Damansara, dia terlebih dahulu menjalankan perniagaanya di rumah dan ternyata ia tidak bersesuaian.

Hari ini selain bermacam-macam produk menarik boleh didapati di Anna Patchwork House, pelbagai kelas jahitan seni kreatif seperti pembuatan beg, kuilt bayi, sarung bantal, alas meja, dan sebagainya turut ditawarkan.

Menawarkan kelas setiap hari kecuali Ahad, ia bermula seawal 10 pagi hingga 5 petang.

Rohana menyatakan, yuran untuk setiap kelas adalah berbeza dan ia mengikut jenis jahitan seni kreatif yang dipelajari.

"Di sini, kami juga mengadakan kursus bagi yang berminat dan bayarannya adalah serendah RM100 (asas) hinggalah RM450 (kuilt bayi).

"Setiap sesi pula pembelajarannya bergantung dan minimumnya sehari, maksimum pula enam hari.

"Insya-Allah, melalui pembelajaran ini, ia bukan sahaja boleh dijadikan hobi masa lapang malah secara tidak langsung mampu memberi pendapatan sampingan kepada mereka yang mengusahakannya secara bersungguh-sungguh," tambahnya lagi.

Menggunakan kain kapas berkualiti tinggi yang diimport dari Amerika Syarikat (AS), Rohana amat menitikberatkan soal kualiti dalam setiap produk yang dihasilkan.

Ia bertujuan untuk menjaga komitmen para pelanggannya dari seluruh negara dan tidak ketinggalan negara-negara luar seperti Filipina, Singapura, dan Indonesia.

Katanya, kain kapas dari AS sememangnya terkenal dengan corak yang cantik, tidak luntur serta fabrik yang kuat dan berkualiti.

Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan produk tampal, cantum, dan kuilt atau ingin menghadiri kelas bolehlah hubungi Rohana di talian 012-3174655. - MARIATUL QATIAH ZAKARIA

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat