Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Posted: 19 Jun 2013 11:44 PM PDT BELAJAR di rumah mampu merapatkan hubungan ibu dan anak-anak. DI luar negara seperti di United Kingdom, Kanada, dan Amerika Syarikat, bersekolah di rumah (homeschool) bukanlah sesuatu yang asing, manakala di Malaysia pula aliran yang semakin digemari ini telah bertapak sejak 20 tahun yang lalu. Kini dianggarkan lebih dari 1,000 keluarga memilih kaedah tersebut, namun jumlah sebenar dipercayai lebih tinggi memandangkan kebanyakan pengamal homeschool ini tidak mahu dikenali dan menjadi perhatian ramai. Bagi Nur Baiti Mohd Hanaffiah, 34, seorang bekas jurutera di sebuah syarikat cari gali minyak di Kuala Lumpur, turut bersepakat dengan suaminya, untuk memilih homeschool buat anak-anak. Keputusan ini biarpun menentang kebiasaan budaya pendidikan di negara ini terutamanya di kalangan masyarakat Melayu, mereka melihat kaedah pembelajaran ini mampu membantu anak-anak mengembangkan bakat, dan minat mengikut personaliti masing-masing. Tambahan lagi anak-anak dapat fokus pada cita-cita yang dipupuk sejak awal tanpa perlu dibebani dengan subjek yang tidak berkaitan. "Selain itu, dengan bersekolah di rumah saya sebagai ibu dapat mengawal pengaruh negatif dalam persekitaran harian (termasuk media elektronik) dan bertentangan dengan nilai keluarga Islam. "Hubungan sesama adik beradik dan ibu bapa juga lebih akrab maka wujud rasa saling bergantung dan mempercayai antara kami. Yang penting, kami juga tidak mahu anak belajar kerana mengejar gred atau kedudukan di mata masyarakat. "Biar mereka belajar kerana menghargai ilmu itu, menjiwai sebagai tuntutan fardu ain setiap umat Islam dan akhirnya dapat disumbangkan semula kepada masyarakat kelak," jelasnya yang dihubungi baru-baru ini. Menceritakan tentang pelaksanaan bersekolah di rumah ini, Nur Baiti menjawab, sekolah di rumah bukanlah bermaksud mereplika suasana dan sistem sekolah konvensional di rumah. Di sinilah katanya, terletak kelebihan homeschool kerana bebas mencorakkan sistem dan persekitaran belajar yang unik dan selesa untuk setiap orang. "Sebagai contoh, anak berusia tiga tahun ke bawah mungkin lebihkan bermain dan bergurau dengan mereka untuk latihan motor kasar dan kemahiran motor halus seperti cara memegang pensil, gunting kanak-kanak atau berus lukisan. "Tempoh ini juga anak-anak sedang mengutip perbendaharaan kata pertama mereka. Jadi gunakan ayat yang baik dan penuh. "Manakala antara usia tiga ke enam tahun, sudah boleh melukis, mewarna, menulis, projek kraf tangan, dan laksanakan eksperimen mudah serta menarik. "Pastinya konsep 4M iaitu menulis, membaca, mengira dan manipulatif didedahkan secara bertahap kepada mereka. Budayakan juga akhlak dan tuntutan Islam dalam keluarga seperti solat, puasa dan sedekah. Ajarkan juga membaca al- Quran selain hafaz surah dan doa pendek," katanya . Mengenai ruang belajar pula, Nur Baiti berkata, ia tidak semestinya dihadkan pada satu tempat saja sebagaimana di sekolah biasa. Di mana-mana saja sesi belajar boleh dilakukan sama ada di katil, meja makan, sofa, lantai rumah, bilik belajar dan halaman rumah. "Konsep belajar homeschool adalah cukup variasi sehingga kunjungan biasa ke pasar, taman permainan mahupun ke kenduri, anak-anak akan belajar sesuatu. "Bagaimanapun ibu bapa mesti menyediakan fasiliti belajar di rumah, iaitu sekurang-kurang satu rak buku dan meja belajar walau sekadar meja makan beserta alat tulis yang secukupnya. "Mendisiplinkan anak-anak untuk belajar ialah dengan membuat jadual belajar pada waktu yang mereka selesa. "Untuk mengelakkan kebosanan, masukkan sekali ruang masa untuk mereka buat aktiviti yang disukai seperti bercerita, kraf, main lego, main permainan dalam talian (yang sesuai), eksperimen, buat kuih, atau menonton video cakera padat yang ditapis ibu bapa. "Sekurang-kurangnya dua minggu sekali kena ada sekali kunjungan ke destinasi luar walaupun sekadar ke pantai untuk beriadah," kata Nur Baiti yang juga pernah menjadi guru tuisyen. Hala tuju pelajar Bagaimanapun ada juga yang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai calon persendirian mahupun sekadar mengikuti kursus pendek tertentu yang selari dengan minat masing-masing. "Alternatif lain anak-anak homeschool tidak semestinya ke kolej tapi terus ke dunia kerjaya sebenar seperti menceburi bidang perniagaan, sukan dan bidang seni (halus atau muzik)," jelas Nur Baiti yang kini menetap di Brunei kerana mengikut suami yang bekerja di sana. Nasihat Nur Baiti kepada ibu bapa yang bercita-cita mahu melaksanakan pendidikan di rumah ialah perbanyakkan membaca untuk mendapat gambaran awal, selain mencari seberapa banyak maklumat di Internet dan buku untuk memilih pendekatan dan kurikulum yang sesuai untuk anak-anak. Bina matlamat homeschool yang jelas dan konkrit antara kedua suami isteri. Tidak menumpukan pada kesempurnaan sama ada pencapaian mahupun fasiliti, kerana tujuan utama homeschool adalah membina hubungan yang lebih baik antara ahli keluarga di sebalik proses pembelajaran yang fleksibel. "Sejujurnya homeschool juga boleh menemui kegagalan. Tekanan dan cabaran sentiasa menjenguk para pengamal homeschool sama ada berpunca dari konflik dalaman mahupun asakan dari luar," katanya.- NOOR FAZRINA KAMAL |
Posted: 19 Jun 2013 11:44 PM PDT Oleh NOOR FAZRINA KAMAL Yusfaliyana Jasmin bersama pelbagai model permainan untuk kanak-kanak. SALAH satu tip keibubapaan yang pernah dikongsi selebriti, Wardina Safiyyah menerusi laman Facebooknya tidak lama dulu ialah menggalakkan anak bermain buaian sebagai salah satu medium anak melegakan penat selepas balik dari sekolah. Perkongsian Wardina nyata mendapat maklum balas positif dari begitu ramai ibu bapa hinggakan ia menjadi bualan sepanjang minggu ( talk of the week). Ramai ibu bapa mula sedar pentingnya membiarkan anak bergerak aktif. Selain manfaat daripada aspek kesihatan ia juga berkait dengan perubahan positif emosi anak-anak. Menggalakkan kanak-kanak aktif di taman permainan nyata tidak menjadi pilihan segolongan ibu bapa yang begitu risau tahap keselamatan anak mereka. Nyata pertambahan kes jenayah yang melibatkan kanak-kanak membuatkan ibu bapa mengambil jalan mudah dengan memberikan anak-anak bermain permainan interaktif video atau tablet di rumah, walaupun menyedari ia bukan sesutu yang sihat untuk anak. Terpanggil untuk memberikan alternatif kepada ibu bapa, Anzac Consultancy menyediakan lebih 36 model taman permainan kanak-kanak yang boleh dibeli ibu bapa dan diletakkan dalam rumah. Dengan permainan yang terdiri daripada buaian, gelongsor, rumah permainan, tempat menyorok dan sebagainya, pasti membuatkan kanak-kanak lebih aktif. "Minda yang cergas lahir dari tubuh yang cergas. Kanak-kanak perlu digalakkan untuk bergerak aktif dan bermain salah satu cara mereka membina kemahiran motor dan kreativiti dengan lebih tinggi," jelas Yusfaliyana Jasmin, Eksekutif Pemasaran Anzac Consultancy. Yusfaliyana menambah, dengan pertambahan kes jenayah membabitkan kanak-kanak, ibu bapa boleh memilih taman permainan ini untuk dibina di rumah dan anak-anak boleh bermain dalam persekitaran yang lebih selamat. "Bukan saja ibu bapa, pemilik taska (taman asuhan kanak-kanak) juga boleh membeli alat permainan kanak-kanak ini dan letakkan di premis masing-masing. "Set permainan kanak-kanak ini juga boleh dimiliki ibu bapa yang tinggal di kawasan apartmen kerana ia terdiri dari pelbagai saiz. "Malah dia boleh dibuka pasang sendiri oleh ibu bapa, mudah dan murah berbanding alat permainan kanak-kanak yang terdapat di pasaran sebelum ini," ujar Yusfaliyana. Untuk memudahkan pembeli, Anzac turut menyediakan perkhidmatan penghantaran yang mana untuk satu unit permainan dikenakan bayaran RM30. "Item yang paling laris di pasaran kami ialah gelongsor hijau. Ia bersaiz kecil namun dari maklum balas ibu bapa ramai yang mengatakan bahawa anak-anak masing-masing gembira dengan adanya alat permainan tersebut. "Ibu bapa juga gembira kerana dapat memantau pergerakan anak mereka tanpa perlu rasa khuatir akan keselamatan mereka," ujar Yusfaliyana lagi. Walaupun diperbuat di China, produk ini terbukti berkualiti dan mempunyai ketahanan yang baik setanding jenama-jenama terkenal lain. Sejak dipasarkan kira-kira tiga bulan lalu, ia mendapat sambutan bukan hanya di kalangan individu, bahkan pemilik klinik dan pengusaha taska. "Harga jualan bermula serendah RM100. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk boleh ke laman sesawang kami www.pusatborong.com atau emel ke kursusborongonline@gmail.com," katanya. Bagi ibu bapa yang mahu melihat sendiri model contoh boleh ke pusat pameran dengan menghubungi talian 03-42667515 atau 012-5287515. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |