Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Kenapa tuding UiTM, tidak UTAR? Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT Oleh ZULKIFLI JALIL NAIB Canselor/Presiden Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar sekadar tersenyum sinis apabila penulis 'mengusik' akan kenyataan seseorang dari Suaram baru-baru ini terhadap institusi berteraskan Melayu itu. Cuma, tidak perlulah penulis mencatat nama individu terbabit ini kerana dia bukanlah orang penting yang perlu diketahui umum, cukup dengan ungkapan yang begitu menjengkelkan - mahukan kerajaan memansuhkan dasar UiTM yang hanya menerima kemasukan daripada bumiputera. Kata individu yang diyakini penulis itu cuba berlagak untuk menjadi populis dengan mengeluarkan kenyataan kontroversi - seperti mana trend mereka daripada pembangkang - yang bunyinya begini: "Dasar (UiTM) itu telah melanggar Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Perkauman." Teruk! maka tak perlulah penulis memanjangkan lagi permintaan mengarut si jengkel ini. Dan apabila ditanyakan kepada Dr. Sahol Hamid, beliau tersenyum lagi. Tetapi kali ini senyuman penuh makna. "Saya cukup yakin isu ini hanya diperbesarkan-besarkan oleh pihak atau mereka yang hendak publisiti murahan...akan ada debat dan selepas itu hilang begitu sahaja seperti mana sebelum ini," kata beliau di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam kelmarin. Sahol Hamid nampaknya tidak menghabiskan komennya itu tetapi lebih menarik perhatian penulis kepada satu perkara besar mengenai UiTM. "Anda dan rakyat Malaysia kena tahu ini. Kewujudan UiTM yang kini memiliki hampir 200,000 pelajar ini telah menyelamatkan negara kita. Cuba bayangkan kalau UiTM ini tidak wujud. Mungkin ramai orang Melayu dan bumiputera jadi golongan miskin dan tidak berdaya. Mungkin orang Melayu selama-lamanya menjadi hamba di tanah air sendiri. "Dengan keupayaan UiTM sehingga hari ini melahirkan hampir setengah juta profesional Melayu, maka institusi ini berperanan sebagai pengimbang ekonomi dan menjauhkan ketidaktenteraman dalam kalangan kaum-kaum. Kalau tanpa UiTM, kalau tanpa Kerajaan Barisan Nasional menampung perbelanjaan membina dan menggerakkan aliran pelajarnya, profesional Melayu tidak akan lahir, kemudian berkembang," katanya. Dan tegas Sahol Hamid, oleh kerana ada polisi sedemikian (UiTM hanya dibuka untuk Melayu/bumiputera), manfaatnya ramai Melayu menyertai bidang profesional. "Kalau orang Melayu tidak diberi pendidikan, usahkan apa, ekonomi pun sukar disaingi mereka, maka tentu sekali orang Melayu memberontak. Dan ini tentu merugikan bangsa-bangsa lain," katanya. Sahol Hamid mengambil contoh mudah. Katakan UiTM benar-benar mahu ditutup. Dan cuma ada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang 99.9 peratus pelajar yang masuk adalah Cina dengan sokongan kuat daripada persatuan-persatuan mereka. Dalam aspek ini, kalau pelajar Melayu terbabit beria-ria hendak menyertai UTAR pun, tetapi akhirnya pasti dia tidak akan pergi juga. Ini kerana akan melibatkan banyak kekangan di hadapan. Iaitu, dari sudut agama - soal halal haram termasuk aspek pemakanan. "Tutup UiTM bermakna hanya UTAR yang matlamatnya membangunkan profesional Cina akan wujud dan sama juga dengan kolej di Sungai Petani yang dimiliki MIC. Jadi, kenapa nak persoal UiTM, bukankah mereka juga rasis?," katanya. Dalam soal ini, kata beliau, dengan adanya UTAR untuk kaum Cina, UiTM (Melayu) manakala MIC dengan kolej tersendiri untuk masyarakat itu, maka sekarang adalah formula tercantik dengan semua bangsa ada peluang untuk mendapat pendidikan. "Cuma, ada sebilangan yang tidak bersetuju dengan perkembangan UiTM itu. Malah, yang mengejutkan saya, suara tidak puas hati ini datangnya daripada orang Melayu sendiri. Mereka ini kononnya elit dan Melayu liberal. "Dan ada tanggapan, kalau semua Melayu duduk di situ (contohnya pelajar UiTM yang kelayakannya semua Melayu), maka akan habis mundurlah bangsa dan negara ini. "Untuk menjawabnya, saya minta anda pandang sekeliling. Di Rusia, Jerman hatta Jepun dan Korea (Selatan) sekali pun, adakah terdapat bangsa-bangsa lain. Adakah terdapat Melayu, Cina dan India di negara-negara berkenaan. Adakah negara itu daif," katanya. Di Amerika misalnya, mereka melakukan perkara yang sama untuk membantu kumpulan penduduk kulit hitam berpeluang masuk ke universiti. Sebarang resolusi untuk meningkatkan tahap pendidikan golongan tertentu adalah perkara yang perlu disambut baik dan bukan dipertikaikan Kata Sahol Hamid: "Cuba bayangkan kalau Melayu tidak ada kerja. Yang susah hati ialah bangsa lain sebab keamanan terancam (hasil rasa tidak puas hati terbelenggu di negara sendiri). Inilah yang berlaku di Syria, Mesir dan Turki. Jangan rosakkan UiTM dengan sentimen politik dan rasisme. "Dan kita perlukan orang Melayu yang terpelajar dan lebih ramai yang sokong kerajaan. "Peluang untuk mendapat pendidikan tetap ada untuk semua kaum, jadi tidak timbul isu langgar hak asasi manusia mahupun melanggar mana-mana syarat antarabangsa. UiTM adalah untuk membantu anak bumiputera bersaing secara adil." Kata Sahol Hamid lagi, UiTM bercita-cita besar untuk memastikan kemakmuran Melayu terus terbela dan terpelihara. "UiTM menyokong kerajaan BN dan UMNO sebab hanya BN dapat menentukan masa depan dan kedudukan orang Melayu serta bumiputera di Sabah dan Sarawak," katanya. Menyifatkan UiTM sebagai benteng terakhir dalam mempertahankan kuasa dan survival Melayu, beliau percaya, akan ada pihak tertentu cuba melemahkan benteng terakhir tersebut dengan menghukum orang Melayu. "Cuma, jangan nanti orang Melayu sendiri menjadi pengkhianat," kata Sahol Hamid. Dalam soal ini juga, beliau melahirkan rasa yang cukup khuatir berikutan kebanyakan pelajar universiti kini lebih senang menerokai media baru sehingga terkurung dalam 'kawalan' media tersebut. Kata beliau: "Ini amat berbahaya kepada mana-mana yang menjadi kerajaan. Ini kerana mereka ini (golongan muda) tidak banyak mengikuti buku. Kalau ditempatkan ke cerita asal atau cerita separuh betul, mereka pasti tidak akan dapat tumpukan kepada maklumat berfakta dan sains fiksyen." Apa pun, Sahol Hamid berpendapat, pelajar Melayu harus mengubah budaya pemikiran mereka dengan lebih mengutamakan membaca sesuatu dari sudut fakta, sejarah dan kesusasteraan. "Mempelajari sejarah dan geografi, ini semua proses mengembangkan minda. Dan kepada saya, media baru ini telah merosakkan minda kita semua," katanya. Cuma, tidak perlulah seseorang dari Suaram 'bagai menyalak bukit' termasuk mendakwa dasar kemasukan UiTM kononnya sebagai hipokrit (kerana mendakwa UiTM adalah institusi awam yang dibiayai 100 peratus daripada wang pembayar cukai). "Di seluruh dunia ada universiti untuk semua golongan. Ada AlI Woman University dan All Sunni University malahan All Black University pun ada. Adakah ini bermakna kita rasis. Mengapa UiTM, tidak UTAR menjadi topik Suaram ini?," kata Sahol Hamid mengakhiri sarapan setengah jam bersamanya itu. |
Pengaruh internet terhadap pengguna Muslim Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM. WUJUD statistik yang begitu menarik mengenai taburan penduduk global yang beragama Islam yang perlu ditonjolkan memandangkan wujud persepsi songsang masyarakat antarabangsa terhadap apa jua yang berkaitan dengan Islam. Lebih menarik lagi statistik ini juga mampu menggambarkan mengapa suatu konflik yang melanda sudah hampir pasti melibatkan penduduk beragama Islam sama ada di Eropah, Amerika Syarikat, Asia Pasifik atau pun Timur Tengah. Terdapat hampir 1.6 bilion penduduk Muslim di seluruh dunia dan ini membuat Islam sebagai agama kedua tertinggi diamalkan selepas Kristian. Bertentangan dengan persepsi bahawa rantau Timur Tengah mempunyai penduduk yang beragama Islam paling ramai, tetapi hakikatnya adalah dua pertiga penduduk Muslim sebenarnya menetap di rantau Asia Pasifik. Jika digabungkan penduduk Muslim di India dan Pakistan (344 juta) ia melebihi jumlah penduduk Muslim yang berada di Timur Tengah dan Afrika Utara yang berjumlah 317 juta orang. Tetapi perlu diberi penekanan bahawa kepadatan penduduk Muslim di Timur Tengah dan Afrika Utara adalah begitu tinggi iaitu 93 peratus dari jumlah keseluruhan penduduk rantau tersebut berbanding hanya 24 peratus di Asia Pasifik. Secara perbandingan Malaysia pula mempunyai kepadatan 61 peratus penduduk yang beragama Islam sementara Indonesia dan India masing-masing dengan kepadatan 87 dan 14 peratus. Kepadatan penduduk Islam sesebuah negara adalah statistik yang kritikal kerana ia mampu menggambarkan keadaan geopolitik dan ekonomi sesebuah negara. Dalam hal ini begitu menarik diungkitkan satu laporan kaji selidik mengenai kesan internet terhadap 39 negara yang mempunyai penduduk Muslim yang telah dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Pew pada bulan Mei lepas. Secara purata hampir 20 peratus penduduk Muslim mengguna kemudahan internet dalam kerja seharian mereka yang menggambarkan betapa pentingnya pengaruh maklumat internet. Salah satu hasil tinjauan Pew yang begitu menarik adalah sebahagian besar penduduk beragama Islam yang mengguna internet mempunyai pandangan positif terhadap gaya hidup Barat yang dipamerkan melalui medium hiburan seperti filem, radio dan telivesyen. Penduduk beragama Islam Indonesia umpamanya 68 peratus yang mengguna internet memberi tanggapan positif terhadap gaya hidup Barat berbanding 37 peratus oleh mereka yang tidak bergantung kepada internet. Penduduk Muslim Malaysia juga mempunyai pandangan statistik yang serupa dengan Indonesia. Perlu dikaitkan sebahagian besar penduduk Muslim yang mempunyai pandangan positif terhadap gaya hidup Barat juga terdiri daripada golongan muda yang berumur di antara 18 hingga 35 tahun. Memang tiada cacat celanya bagi seorang beragama Islam yang mempunyai tanggapan positif terhadap gaya hidup Barat kerana ia mempunyai banyak interpretasi. Perlu ditekankan sebahagian besar daripada pengguna internet beragama Islam berpendapat bahawa gaya hidup Barat sebenarnya tidak merosakkan moral dan anutan agama seseorang dan ini berbeza pula dengan pendapat Muslim yang tidak mengguna internet. Tetapi jika dikaitan dengan satu lagi persepsi iaitu sikap penduduk beragama Islam terhadap agama Kristian, statistik yang dibentangkan oleh Pew adalah begitu menarik sekali. Sekali lagi pengaruh internet adalah begitu jelas kerana berbanding dengan penduduk Muslim yang tidak mengguna internet, pengguna internet beragama Islam lebih menjerumus kepada pendapat bahawa terdapat persamaan selari di antara agama Islam dan Kristian. Paling ketara adalah di Pakistan yang mana 35 peratus mereka yang menguna internet mempunyai padangan positif terhadap agama Kristian berbanding hanya 7 peratus untuk mereka yang tidak mengguna internet. Penduduk Muslim Malaysia pula merangkumi statistik 13 peratus pengguna internet yang merasa positif berbanding hanya 8 peratus untuk mereka yang tidak mengguna internet. Jika dikaitkan hasil tinjauan Pew, persepsi penduduk Muslim terhadap dua perkara iaitu gaya hidup Barat dan agama Kristian, internet sebenarnya mempunyai pengaruh yang agak ketara dan kuat. Ini adalah kerana perbezaan pendapat antara mereka yang mengguna internet berbanding dengan kumpulan yang tidak bergantung kepada maklumat internet adalah jauh berbeza. Sebab itu lazim diperkatakan kemelut yang melanda kebanyakan negara yang mempunyai kepadatan penduduk Islam yang ramai seperti di Tunisia, Mesir, Libya, Syria dan juga Turki adalah kerana pengaruh internet yang disifatkan sebagai pemangkin pencetus yang begitu berkesan sekali. Malaysia juga tidak tersisih daripada ledakan maklumat yang dibawa oleh internet yang bagaikan sudah begitu sukar untuk dibendung kerana kebebasan yang dimiliki telah digunakan secara tidak bertanggungjawab. Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika menghadiri Forum Menteri-Menteri Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di Singapura kelmarin menyatakan Malaysia akan mempertingkat tumpuan terhadap pembangunan kandungan serta aplikasi bagi menghadapi cabaran perkembangan ICT yang berkembang pesat. "Perkara yang perlu diberikan perhatian adalah pembangunan kandungan dan aplikasi kerana ia menjadi tonggak utama oleh mereka yang mencipta," tegas beliau. Tetapi apa yang lebih penting adalah pengguna internet Muslim di Malaysia perlu melaksanakan kawalan kendiri kerana jika tidak dikhuatiri pengguna muda akan lebih mudah terpengaruh dengan perkara asing yang mampu memudaratkan keharmonian negara. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |