Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
'Pertunjukan Padang Merbok' gagal Posted: 24 Jun 2013 11:43 AM PDT PROF. SALLEH BUANG ialah penganalisis undang-undang. Portal popular The Free Dictionary mentakrif istilah circus (sarkas) seperti berikut "A public entertainment consisting typically of a variety of performances by acrobats, clowns, and trained animals" yang boleh diterjemahkan secara mudah sebagai bermaksud "satu hiburan awam terdiri lazimnya daripada pelbagai pertunjukan oleh acrobat, badut dan haiwan yang terlatih" (sila lihat laman web http://www.thefreedictionary.com/circus). Tanpa niat menghina mana-mana pihak yang mungkin masih ada tujuan murni ketika menyertai perhimpunan Blackout 505 di Padang Merbok pada hari Sabtu lalu, 22 Jun 2013, perhimpunan itu nyata gagal mencapai maksud penganjurnya (lihat tajuk berita halaman muka depan "Himpunan Gagal" dalam Mingguan Malaysia, 23 Jun 2013). Bukti kegagalan penganjur jelas sekali. Jumlah peserta yang dirancang adalah 250,000 (minimum) hingga 500,000 (maksimum) orang, tetapi yang hadir hanyalah setakat 20,000 sahaja. Walaupun program penganjur ini telah dihebahkan begitu meluas sekali menerusi media sosial dan oleh pemimpin-pemimpin politik Pakatan dalam ceramah mereka di 14 perhimpunan yang terdahulu, nyata sebahagian besar rakyat Malaysia (khususnya penduduk sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang) sudah bosan dan tidak lagi teruja menyertainya. Seperti biasa, Anwar pandai mencari helah. Katanya tidak ramai yang hadir disebabkan cuaca buruk iaitu jerebu yang kini melanda negara. Barangkali ada benarnya juga apa yang dikatakan Anwar ini. Saya teringat kepada sepotong ayat kitab suci al-Quran yang saya mula pelajari sewaktu menjadi Timbalan Dekan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada akhir tahun 1980-an (ironinya pada waktu itu, Anwar adalah presiden UIAM). Ayat berkenaan, iaitu Surah Al-Imran ayat 54, bermaksud: "Mereka merancang, dan Allah juga merancang. Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang". Siapa yang boleh menolak takdir yang ditentukan Allah? Anwar merancang (sudah dua kali) menjadi Perdana Menteri. Jelas Allah merancang sebaliknya. Anwar merancang menghimpunkan setengah juta warga kota berbaju hitam dengan slogan Blackout 505 untuk menjatuhkan kerajaan menerusi people power (kuasa rakyat). Jelas Allah merancang sebaliknya. Anwar merancang melakukan sesuatu yang jelas melanggar undang-undang negara (Akta Perhimpunan Aman 2012), pastinya dengan harapan pihak polis akan bertindak tegas (barangkali dengan ganas) terhadap peserta perhimpunan, dan dengan itu akan menimbulkan kemarahan rakyat terhadap pihak berkuasa. Itu pun tidak berlaku juga, kerana polis telah bertindak secara bijaksana, sentiasa mempamerkan kesabaran. Sepanjang hari Sabtu lalu, saya tidak keluar rumah untuk memastikan saya dapat terus mengikuti perkembangan perhimpunan di Padang Merbok ini menerusi internet. Sejak awal pagi lagi saya lihat sudah ada banyak portal menyiarkan maklumat dari semasa ke semasa, ada antaranya siap dengan gambar yang dimuat naik, ada antaranya siap dengan klip video sekali. Apa yang saya lihat amat melegakan hati, kerana jelas mereka yang mula hadir (bergerak ke padang itu) tidak begitu ramai seperti yang saya khuatiri. Pada sebelah petang apabila seorang sahabat menelefon bertanyakan saya bagaimana keadaan di Padang Merbok itu, jawapan saya kepadanya amat ringkas sekali "Nothing to worry" (Tak perlu bimbang). Sentimen yang sama nampaknya dikongsi oleh akhbar berbahasa Inggeris, The Star, keluaran hari Ahad 23 Jun 2013. Sambil menyiarkan gambar ratusan peserta berjalan kaki menuju Padang Merbok, akhbar itu menyatakan "Rally doesn't live up to its bill" ("Perhimpunan tidak hebat seperti yang diharapkan"). Sementara pihak polis dapat bertindak bijak dan menunjukkan kesabaran, lain ceritanya pula di pihak peserta perhimpunan. Mengikut laporan media, keadaan menjadi tegang dan kecoh apabila dua anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diserang peserta perhimpunan haram itu. Mujur mereka dapat diselamatkan oleh pihak polis untuk dihantar ke hospital. Dalam satu lagi insiden yang berkaitan, kira-kira 10 peserta perhimpunan telah memanjat landasan KTMB berhampiran Padang Merbok itu. Perbuatan salah dan merbahaya ini telah menyebabkan perjalanan komuter dari Batu Caves menuju ke Pelabuhan Klang tergendala selama hampir 15 minit. Kalau kita lihat kandungan beberapa sepanduk yang dikibarkan dalam perhimpunan di Padang Merbok itu, penganjurnya ada membuat tiga tuntutan utama kepada kerajaan - iaitu pertama, kepimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti letak jawatan; kedua, pilihan raya mesti diadakan semula bagi 30 kawasan; dan ketiga, hentikan persempadanan semula sehingga kepimpinan SPR baru dilantik. Soalnya, tidak bolehkah tiga perkara ini dibangkitkan dan disuarakan secara sopan dan teratur oleh salah seorang (atau lebih) daripada 89 Ahli Parlimen Pakatan bila Dewan Rakyat bersidang nanti? Isu ini kemudian boleh dibahaskan secara terhormat dan bijaksana (disokong dengan dalil dan alasan-alasan yang kukuh) dalam Dewan, dan rakyat keseluruhannya boleh terus membincangkan secara rasional isu yang di dada akhbar dan di ruang maya. Jawabnya pasti boleh. Tapi itu bukan cara Anwar. Cara Anwar adalah memboikot persidangan Dewan Rakyat, lalu tidak ada ruang lain tiga isu ini dibangkitkan kecuali melalui perhimpunan haram dan kalau perlu menerusi protes jalanan. Tetapi gesaan Anwar untuk memboikot Dewan Rakyat telah ditolak oleh rakan-rakannya dalam Pakatan. Pada 24 Jun (semalam), Dewan bersidang dan semua 89 wakil Pakatan yang dipilih hadir dan mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen. Jadi apa perlunya perhimpunan Merbok itu diteruskan? Jawabnya, memang tidak perlu diteruskan. Tapi itu bukan cara Anwar. Satu bukti nyata perhimpunan Merbok pada 22 Jun itu gagal boleh dilihat dari apa yang berlaku selepas itu. Selepas peserta bersurai dan meninggalkan padang itu, beberapa khemah terus didirikan. Ini merupakan tindakan beberapa kerat peserta tegar menghuni padang secara salah, mencontohi amalan "guru-guru" mereka di seberang laut yang menghuni atau menduduki (occupy) Taman Zuccotti, di Wall Street New York pada September 17, 2011 yang lalu, dan mutakhir kini perbuatan yang sama oleh remaja menduduki Taman Gezi di Medan Taksim, Istanbul, Turki. Kegagalan perhimpunan Padang Merbok diakui awal oleh portal Malaysiakini, yang semua orang tahu adalah pro-Pakatan, Dalam postinya pada jam 4.30 petang, portal itu menyatakan "The … rally appears to be losing steam long before its scheduled ending time of 7pm…" (Nampaknya perhimpunan ini sudah tidak bermaya lagi, lama sebelum waktu tamat 7 petang seperti yang dijadualkan). Seorang peserta, Thomas Cheah, berusia 30 tahun berasal dari Kajang, dipetik oleh portal itu sebagai berkata "Kita dah penat berjalan begitu jauh sekali dan dah letih. Kawan saya juga letih. Jadi apa lagi yang kita boleh lakukan?" (lihat http://www.malaysiakini.com/news/233655). Mohd Daud Ibrahim, yang turut menyertai perhimpunan itu, mengadu perhimpunan kali ini tidak ada excitement. Katanya "Kalau ada tembakan meriam air (water cannon) dan semburan gas pemedih mata (tear gas), barulah seronok". Bagi saya, antara ucapan pemimpin pembangkang yang menarik adalah ucapan Salahudin Ayub. Berucap pada kira-kira jam 5.10 petang (setengah jam sebelum Anwar berucap), dia kata, antara lain, "Kawan-kawan saya bangsa Cina pesan, jika saya kalah dalam pilihan raya, saya masih boleh pergi ke Hong Kong dan menjadi pelakon kerana wajah saya macam Jackie Chan. Tapi itu bukan niat saya. Saya mahu kekal berada di sini dan melihat mereka (BN) jatuh tak lama lagi. Kita perlu terus berjuang hari ini, esok, bulan depan, selama mana yang perlu. Kita mesti terus berjuang atas nama kebenaran". Amboi. Bunyinya macam Anwar juga. |
Utusan Malaysia membangun jiwa Melayu Posted: 24 Jun 2013 11:43 AM PDT Tiga suku abad kehadiran Utusan Melayu/Utusan Malaysia amat bermakna bagi mereka yang mengerti. Penulis sejak muda lagi memang tidak tinggal membaca Utusan Melayu (Jawi) dan setiap hari rasa terhibur dengan karton Dol Keropok dan Wak Tempe. Sehingga pada larut usia, penulis terus menatap Utusan Malaysia (Rumi) sebagai akhbar pendukung risalah umat Melayu. Bermulanya di Singapura dengan pengalaman perit dan pahit hingga berpindah ke Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, berdepan dengan peristiwa mogok dan pengaruh kumpulan kiri hingga menjadi jurucakap umat Melayu sehingga kini dan mula berpindah ke bangunan baharu yang gah tersergam di jalan yang sama. Utusan Melayu/Utusan Malaysia dari segi sejarahnya sama naik dengan orang Melayu. Sejak zaman penjajah, zaman merdeka dan zaman Malaysia menjadi sebuah negara maju, sumbangan membangun pemikiran dan jiwa orang Melayu dalam arus perjuangan silih zaman dan masa, tidak pernah hilang. Perkataan Melayu adalah perkataan keramat yang menentukan Malaysia masih dipimpin utamanya orang Melayu. Tanah Melayu sebagai sebuah negara yang berdaulat adalah sambung menyambung dari sejarah Melaka. Imigran awal yang datang dan tinggal lama di Melaka walaupun dari tamadun besar mengamalkan sikap dan pendirian di mana bumi dipijak dan di situlah langit dijunjung sehingga kini menghasilkan asimilasi dan penyesuaian budaya setempat dan digelar sebagai Baba dan Nyonya Peranakan. Perlembagaan Malaysia memberikan asas Melayu sebagai beragama Islam, bercakap bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Kemelayuan Melayu itu tunjangnya ialah Islam. Bila zaman berubah di mana imigran gelombang kedua diterima sebagai warganegara Tanah Melayu bertukar menjadi Malaysia. Utusan Melayu akhirnya bertukar menjadi Utusan Malaysia. Sistem pendidikan negara juga menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan universiti. Zaman berubah dan cara berfikir dan hidup orang Melayu juga berubah. Sesetengah orang Melayu menjadi liberal dan sekular hingga menyebabkan faktor Melayu menjadi asing kepada mereka. Sesetengah Melayu merasa malu untuk menyebut diri mereka Melayu sama ada yang terpengaruh dengan budaya hidup Barat atau kalangan orang Melayu yang terlibat dengan dakwah menganggap memperjuangkan Melayu sebagai asabiyyah dan membawa natijah rasis. Tidak terkejut kita mendapati orang Melayu rasa asing dengan Utusan Malaysia dan tulisan Jawi dan berbangga dengan mengepit akhbar berbahasa Inggeris yang seolah-olah menampakkan mereka maju dan kebaratan. Mereka rasa sengkek membaca Utusan Malaysia kononnya tidak maju dan kekampungan. Utusan Malaysia yang ditatap setiap hari adalah hasil pemikiran penulis Melayu dan bukan Melayu yang menyentuh tidak saja aspek politik, budaya, agama, pendidikan dan ilmu, tetapi sifatnya kontemporari dan mencerminkan aspek kemelayuan yang sangat terbuka dan maju. Pendita terdahulu menyebutkan "Bahasa Jiwa Bangsa". Bangsa Malaysia yang memiliki jati diri yang tinggi sentiasa melihat Utusan Malaysia sebagai suatu wadah pengucapan bangsa Malaysia supaya akhirnya bahasa Malaysia menjadi bahasa pemikiran, ilmu dalam binaan bangsa Malaysia yang maju. Ini tidak dimengerti benar oleh orang Melayu yang sebahagiannya menjadi kelompok kelas menengah, ahli akademik dan profesional yang beranggapan membaca Utusan Malaysia adalah sesuatu yang tidak mencerminkan maju dan tangkas. Bayangkan kalau orang Melayu sendiri sudah memiliki sifat demikian, orang Cina juga semakin teguh dengan bahasa dan budayanya sehingga organisasi Dong Zong dan Dong Ziau Jong memperjuangkan bahasa Cina sebagai bahasa utama serta pendekatan pendidikannya, dan hadirnya banyak akhbar Cina yang mendukung cita-cita kecinaannya. Apakah salah orang Melayu mengembangkan pengaruh Utusan Malaysia membawa maksud Perlembagaan yang menjadikan orang Melayu sebagai kelompok teras dengan tidak menghalang orang bukan Melayu maju dalam banyak bidang terutamanya ekonomi? |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |