Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Tiada istilah rehat atau merajuk
- As-Sofa semarak usaha sebar hadis Nabi Muhammad SAW
- Tujuh produk pelancongan tarikan baharu ke Melaka
Tiada istilah rehat atau merajuk Posted: 07 Jun 2013 12:11 PM PDT Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN Mohd. Isa Abdul Samad (tiga dari kiri) beramah mesra dengan seorang Tok Batin dari Perkampungan Orang Asli Rompin sembil diperhatikan oleh L. Manickam (dua dari kiri) ketika Program Mesra Rakyat di pekarangan Pusat Khidmat DUN Jeram Padang, dekat Rompin, Negeri Sembilan, kelmarin. JEMPOL 7 Jun - Anggota komponen Barisan Nasional (BN) diseru berkerjasama membantu wakil rakyat menyelesaikan masalah di peringkat akar umbi demi memastikan parti terus relevan dalam mensejahterakan rakyat. Ahli Parlimen Jempol, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, istilah rehat atau merajuk tidak seharusnya ada di hati mereka sebaliknya ahli parti komponen harus mencurahkan bakti bermula sekarang dan bukannya pada saat ketibaan pilihan raya umum akan datang. "Kita sudah menang. Jadi inilah masa kita untuk memberikan khidmat kepada rakyat. Tidak perlu tungga sehingga empat tahun lagi sampai hampir dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) baru hendak bekerja. "Jika kita tunjukkan prestasi baik dari sekarang pastinya rakyat akan suka dan kita akan terus mendapat sokongan di masa hadapan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program mesra rakyat di pekarangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, dekat Rompin, di sini semalam. Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, L. Manickam. Menurut Mohd. Isa, parti komponen ada di setiap kawasan jadi mereka lebih awal mengetahui masalah di kawasan tersebut, maka diharapkan mereka boleh menjadi 'mata dan telinga' kepada wakil rakyat sekali gus menjadi orang tengah terhadap sebarang permasalahan yang timbul. "Bukan semua masalah dapat diselesaikan dalam jangka masa satu hari. Tetapi apabila sesuatu masalah atau isu timbul terjadi ia perlu diberi perhatian. "Meskipun masalah yang timbul tidak dapat diselesaikan dalam jangka masa singkat, namun sekurang- kurangnya ada daya usaha untuk menyelesaikannya secara berperingkat," katanya. Sementara itu, Manickam memberitahu, jangka masa untuk pilihan raya umum seterusnya tidak begitu lama, maka dia perlu memberikan khidmat terbaik dalam tempoh 59 bulan yang ada ini. "Saya perlu memberikan khidmat terbaik dan pastinya memerlukan sokongan semua parti komponen BN. "Apa yang penting keperluan dan nasib rakyat wajar diutamakan. Jika ini mampu dilaksanakan, tidak mustahil satu masa nanti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bahau juga mampu dirampas kembali,'' tambahnya. |
As-Sofa semarak usaha sebar hadis Nabi Muhammad SAW Posted: 07 Jun 2013 12:11 PM PDT Sebahagian daripada pelajar dan jemaah yang menghadiri ke majlis Pengkhataman Enam Kitab Hadith Muktabar (Sunan Sittah) yang berlangsung di Masjid Negeri, Seremban, Negeri Sembilan, malam semalam. SEREMBAN 7 Jun - Usaha meningkatkan syiar Islam di negeri ini terus diperhebatkan menerusi penganjuran Pengkhataman Enam Kitab Hadith Muktabar (Sunan Sittah) yang dilangsungkan di Masjid Negeri, dekat sini malam tadi. Majlis anjuran bersama Kumpulan Pendidikan As-Sofa dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang dihadiri lebih 2,000 umat Islam itu adalah sempena sambutan Israk Mikraj. Majlis itu turut dihadiri tiga ulama terkenal Mesir dan Maghribi iaitu Sayyid Nu'man al Arabi as Sanusi; Dr. Sayyid Nafi' al Arabi as Sanusi dan Syeikh Dr. Abd. Mun'im Abdul Aziz al Siddiq al Ghumari, yang turut memberikan ijazah pengkhataman pembacaan kitab muktabar berkenaan. Menurut Ahli Majlis MAINS, Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaludik Al Maliki, pengkhataman kesemua enam kitab hadis muktabar itu membuktikan bahawa usaha menyebarkan hadis sebagai rujukan ilmu terus giat dilakukan. Jelasnya, ia juga merupakan usaha menghidupkan sunah Nabi Muhammad SAW menerusi pembacaan kitab yang dilihat sudah semakin dilupakan oleh sebahagian umat. "Majlis ilmu seperti ini sudah semakin dilupakan oleh sebahagian umat Islam ketika ini dan lebih dari itu ada yang mengatakan ia sekadar bacaan sampingan dan bukannya bacaan, penghayatan yang menjadi keutamaan," katanya di Masjid Negeri, di sini malam tadi. Turut hadir, Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Shukor Sabudin; Setiausaha MAINS, Kamal Amran Kamaruddin dan Yang Dipertua Yayasan Sofa, Abdullah Abdol Razak. Beliau yang juga Presiden Kumpulan Pendidikan As-Sofa berharap program seperti itu dapat diteruskan bukan sekadar untuk masa tertentu, sebaliknya dihidupkan sepanjang masa termasuklah di institusi agama di negara ini. "Jika ia dapat dilakukan, saya yakin bahawa usaha mengangkat darjat sunah Nabi Muhammad SAW ini dapat dilakukan sebagai salah satu tanggungjawab umat Islam untuk meletakkan hadis di tempat yang sebaiknya," jelas beliau. Majlis ilmu yang dianjurkan oleh Kumpulan Pendidikan As-Sofa ini berlangsung selama lima hari sejak Rabu lalu dan berakhir Ahad ini. |
Tujuh produk pelancongan tarikan baharu ke Melaka Posted: 07 Jun 2013 12:11 PM PDT MELAKA 7 Jun - Tujuh produk pelancongan baharu yang sedang dibangunkan di negeri ini bakal menjadikan Melaka terus unggul sebagai destinasi pelancongan utama di negara ini. Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Abd. Kadir Md. Idris berkata, kesemua produk yang kini dalam pembinaan dan sebahagiannya dijangka siap hujung tahun ini adalah sebahagian daripada usaha secara drastik bagi meningkatkan kedatangan pelancong. Menurutnya, kerajaan negeri telah mengarahkan semua produk yang akan dibuka nanti bakal menawarkan semua lapisan masyarakat untuk menikmatinya dengan kadar bayaran yang rendah. Beliau berkata, melalui penambahan pelbagai produk pelancongan mega itu dijangka dapat menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara dengan sasaran 13 juta orang akan dicapai tahun hadapan. Katanya, tujuh produk tersebut ialah Arab City, Malaysia Eye & Theme Park (di Pulau Melaka), Perkampungan Hang Tuah (Duyong), Extreme Park Tasik Chin Chin (Jasin), Diamond Coast & Restoran Bas (Klebang), Projek Monorel Fasa Kedua dan Pembangunan Melaka Alive 'Bahtera Merdeka'. "Kesemua produk tersebut berpotensi menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri ini berbanding tahun-tahun sebelumnya. "Kepelbagaian produk ini ada keunikan tersendiri yang tidak terdapat di Melaka tetapi tidak terdapat di tempat-tempat lain dan lebih penting kadar bayaran masuk adalah lebih rendah berbanding di tempat lain," katanya di sini hari ini. Menurut Abd. Kadir, antara produk yang telah siap dibina ialah Perkampungan Hang Tuah manakala Extreme Park Tasik Chin Chin di Jasin dan Malaysia Eye & Theme Park dijangka siap hujung tahun ini. Bagaimanapun katanya, beberapa produk lain masih lagi dalam pembinaan dan dijangka memakan masa antara dua atau tiga tahun akan datang. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |