{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Ceroboh: 47 nelayan asing ditahan

Posted: 14 Jun 2013 11:14 AM PDT

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my

Mohamad Mat Saman (dua dari kiri) melihat sebahagian daripada 55 nelayan yang ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Perikanan Kelantan dan Terengganu di Kompleks Perikanan Tawang, Bachok, kelmarin.

BACHOK 14 Jun - Jabatan Perikanan Kelantan dan Terengganu berjaya menahan 55 nelayan termasuk lapan nelayan tempatan dan merampas hasil tangkapan bernilai RM5,000 dalam operasi bersepadu semalam.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Datuk Mohamad Mat Saman berkata, menerusi operasi berkenaan, sebanyak 37 nelayan Vietnam dan 10 nelayan Thailand berumur di antara 18 hingga 60 tahun turut ditahan.

Menurutnya, operasi berkenaan dijalankan selama tiga hari sejak kelmarin, membabitkan 12 anggota Jabatan Perikanan kedua-dua negeri bagi memastikan bot laut mematuhi Akta Perikanan 1952 termasuk berusaha mengekang pencerobohan nelayan asing di perairan negara.

"Kesemua mereka ditahan bersama lima buah bot yang dikenal pasti melakukan kesalahan menangkap ikan di kawasan yang kurang 22.2 kilometer dari perairan pantai berhampiran Pulau Perhentian, Terengganu.

"Kegiatan yang dilakukan oleh nelayan terbabit bukan saja menjejaskan rezeki nelayan tradisional, malah boleh mengancam kehidupan laut yang lain termasuk terumbu karang," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Perikanan Tawang dekat sini semalam.

Mohamad berkata, Jabatan Perikanan turut menahan sebuah bot memiliki pukat sotong tanpa lesen hasil pemantauan yang dilakukan di antara pukul 5 hingga 8.45 pagi semalam.

Beliau berkata, nelayan terlibat boleh dikenakan kompaun tidak melebihi RM500.

Menurutnya, operasi pemantauan bot dilakukan hasil maklumat nelayan tradisional Pulau Perhentian tentang ancaman bot laut dalam yang menjalankan kegiatan mengancam pendapatan mereka, selain terdedah kepada keadaan berbahaya dirempuh bot bersaiz lebih besar.

"Selain itu, musim sotong bertelur yang telah pun bermula sejak Mei lalu sehingga Ogos ini turut mengundang nelayan asing menceroboh perairan negara. Jabatan Perikanan akan membuat pemantauan berterusan di dua kawasan tumpuan utama iaitu di Tukun Suri Darat dan Suri Laut iaitu lokasi sotong yang diketahui umum," katanya.

Beliau berkata, kedudukan kedua-dua tukun dan lubuk sotong itu adalah di sekitar 9.2 hingga 33.3 kilometer dari pantai Kuala Besar.

"Pemantauan akan dilaksanakan secara berterusan bagi mengelak nelayan asing mengaut hasil laut berikutan peningkatan harga sotong kering di negara mereka, selain mengelak kerugian nelayan tempatan yang diancam pengusaha bot laut dalam," katanya.

Pulau Bidong bebas kencing tikus

Posted: 14 Jun 2013 11:14 AM PDT

KUALA TERENGGANU 14 Jun - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan Pulau Bidong bebas virus kencing tikus atau Leptospirosis dan selamat untuk dikunjungi pelancong.

Perkara itu disahkan Pengarah JKNT, Datuk Dr. Anwa Sulaiman selepas pihaknya mendapati hasil ujian saringan darah yang dijalankan terhadap seorang lelaki yang didakwa dijangkiti virus berkenaan sehingga menyebabkan kematiannya selepas berkunjung ke Pulau Bidong 8 Jun lalu, menunjukkan hasil negatif.

Bagaimanapun, pihaknya tidak memandang ringan kejadian tersebut dan telah menjalankan siasatan ke atas ahli keluarga mangsa serta seramai 63 individu lain yang bersamanya ketika menjalankan aktiviti di pulau berkenaan.

"Hasil ujian yang kita jalankan kesemua mereka didapati sihat dan tiada sebarang tanda mereka dijangkiti virus berkenaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada satu majlis di sini semalam.

Dalam kejadian itu, Ahmadi Abdul Ghawi, 47, yang merupakan kakitangan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas didakwa telah dijangkiti virus kencing tikus ketika mengikuti kursus di Pulau Bidong oleh sebuah akhbar tempatan.

Bagaimanapun pihak UMT menafikan perkara terbabit dan memaklumkan pihaknya telah menerima laporan daripada HSNZ bahawa tiada sebarang diagnosis mengatakan mangsa dijangkiti virus itu.

Dalam pada itu, Anwa memberitahu, JKNT tetap mengambil langkah pencegahan dan kawalan virus berkenaan di sekitar Pulau Bidong bagi memastikan pulau berkenaan bebas sepenuhnya.

Jelasnya, antara langkah yang diambil ialah menjalankan penilaian risiko persekitaran yang meliputi tempat penyediaan makanan, stor makanan, pengurusan sisa makanan dan sampah-sarap yang boleh mengundang kehadiran tikus.

Selain itu ujarnya, penilaian turut dibuat ke atas kemudahan sanitasi yang disediakan di tandas dan bilik mandi, pengurusan air di permukaan serta sisa air limbah.

"Setakat ini, 16 sampel persekitaran iaitu 11 sampel sumber air dan lima sampel tanah telah diambil dan keputusan sampel dijangka diperoleh selepas enam minggu.

"Kita juga turut memasang perangkap tikus di sekeliling kawasan berisiko," jelasnya.

Sawari bantu pasar produk usahawan Felda Terengganu

Posted: 14 Jun 2013 11:14 AM PDT

KUALA TERENGGANU 14 Jun - Sebuah pusat pengumpulan produk usahawan Felda dari 20 buah tanah rancangan di negeri ini yang dikenali sebagai pusat Satu Wilayah Satu Industri (Sawari) bakal dibuka bulan depan.

Penolong Pengurus Besar (Komuniti) Felda Wilayah Terengganu, Badariah Che Omar berkata, pusat pengumpulan tersebut yang akan beroperasi di Pejabat Felda Wilayah Terengganu dekat sini ditubuhkan bagi membantu golongan usahawan berkenaan memasarkan produk-produk yang dihasilkan mereka.

Katanya, sebanyak 2,762 usahawan Felda di seluruh negeri ini yang mengeluarkan pelbagai produk makanan termasuk makanan tradisional Terengganu serta produk kraf tangan mendapat manfaat daripada kewujudan pusat pengumpulan itu.

"Kita telah pun mengambil pekerja untuk ditempatkan di pusat pengumpulan produk berkenaan dan sebelum dibuka, kita akan hantar mereka (pekerja) berkursus dahulu pada 21 Jun ini agar mereka dapat menguruskan tempat itu dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pembiayaan Usahawan dan Anugerah Usahawan Felda Wilayah Terengganu di Pusat Latihan Felda, Kertih di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, Zakaria Mat Hassan, 57, yang bergiat dalam bidang perniagaan perkakasan sejak 1995 telah dianugerahkan sebagai Usahawan Jaya Felda Wilayah Terengganu bagi tahun 2012 yang membolehkan beliau membawa pulang RM1,000.

Dalam pada itu, Badariah memberitahu, pihaknya berhasrat melahirkan 3,200 usahawan dari semua wilayah Felda di negeri itu sehingga hujung tahun ini, selain berusaha membantu mereka dalam bidang keusahawanan dengan menawarkan pinjaman.

Jelasnya, sejak 2002, Felda telah mengeluarkan bantuan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM5 juta kepada usahawannya, melibatkan 562 orang.

"Kita tidak pernah hadkan mana-mana usahawan Felda yang berkelayakan untuk memohon pinjaman daripada Felda dan bagi pinjaman RM10,000 ke bawah boleh diluluskan oleh Felda Terengganu manakala RM10,000 ke atas akan diluluskan Ibu Pejabat Felda di Kuala Lumpur.

"Kita sentiasa mahu membantu dan membimbing usahawan kita sehingga berjaya sama ada dengan kerjasama agensi lain seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan dalam usaha mengetengahkan usahawan ini sehingga mereka berjaya," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat