Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Kelantan hab ternakan kambing
- Let's Talk bukti tiada jurang pemisah antara sekolah, IPT
- Pusat rawatan pesakit mental kedua di Ketereh
Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT Oleh TOREK SULONG PASIR PUTEH 22 Jun - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) Kelantan akan meningkatkan pengeluaran kambing ke tahap maksimum bagi memenuhi permintaan domestik serta meningkatkan pendapatan penternak. Pengarah MARDI negeri, Aminah Abdullah berkata, pihaknya akan menggunakan teknologi moden bagi menjayakan hasrat tersebut selain menjalankan kempen bagi menarik minat rakyat Kelantan menternak haiwan berkenaan khususnya kambing baka Boer. Beliau berkata, kambing Boer mampu memberikan pendapatan tinggi kepada penternak yang serius mengusahakannya. Katanya, peningkatan pengeluaran daging dan susu kambing akan membolehkan Kelantan menjadi hab ternakan kambing secara komersial di negara ini. "Paling tidak mereka menternak sebagai hobi yang menguntungkan atau sekadar sara hidup keluarga. Namun penternakan secara komersial dengan kaedah yang betul akan diberi fokus utama oleh MARDI. "Sehingga kini MARDI telah berjaya mengadakan tiga kursus berkaitan kepada lebih 100 penternak yang memiliki kambing baka berkenaan," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup dan penyampaian sijil latihan penternakan kambing Boer di Stesen MARDI Padang Pak Amat di sini kelmarin. Lebih 30 petani dari seluruh Kelantan menyertai kursus sehari itu membabitkan aspek kesihatan, proses pembiakan, menghasilkan makanan berkualiti dan penyediaan persekitaran kondusif untuk ternakan haiwan tersebut. Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ternak Kambing Kelantan, Wan Ismail Wan Mamat, 66, berkata, sehingga ini seramai 66 petani di seluruh Kelantan terutama di Jeli sudah mendapat manfaat hasil pendedahan MARDI. Beliau berkata, mereka menternak lebih 1,000 ekor kambing Boer secara individu yang menghasilkan pendapatan sampingan antara RM500 hingga RM1,000 sebulan. Katanya, pihak persatuan bercadang melaksanakan projek ternakan kambing komersial dan akan memohon kerjasama daripada kerajaan negeri untuk menyediakan tanah serta peruntukan. "Kita menyasarkan menjelang tahun 2015 Kelantan mempunyai bekalan kambing yang mencukupi sekurang-kurangnya memenuhi permintaan dalam negeri terutama pada musim perayaan dan untuk upacara keagamaan," katanya. |
Let's Talk bukti tiada jurang pemisah antara sekolah, IPT Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT Idris Jusoh (dua dari kanan) beramah mesra dengan peserta Program Perdana Let's Talk and Let's Go Global di Dewan Sultan Mizan Universiti Malaysia Terengganu Kuala Terengganu, semalam. KUALA TERENGGANU 22 Jun - Program Perdana Let's Talk and Let's Go Global anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri membuktikan bahawa tidak wujud jurang pemisah dalam bidang pendidikan di antara sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT). Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, program itu juga menggambarkan terdapat satu sinergi yang jelas apabila Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi digabungkan menjadi Kementerian Pendidikan kerana jalinan tersebut terus wujud. "Sebab itulah hari ini kita dapat lihat Pengarah Pendidikan negeri duduk bersama seorang Naib Canselor... duduk bersama untuk melaksanakan program Bahasa Inggeris iaitu satu program yang dialu-alukan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. "Sebab itulah juga saya turun hari ini kerana ia memberi gambaran selepas dua kementerian ini bersatu atau bercantum, lebih banyak program yang kita boleh laksanakan bersama," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Perdana Let's Talk and Let's Go Global yang disertai oleh 260 pelajar Tingkatan Empat dari 13 buah sekolah di sekitar daerah ini di UMT di sini hari ini. Yang hadir sama Naib Canselor UMT, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo; pengasas program berkenaan yang juga Pengarah Penerbit UMT, Prof. Madya Dr. Noraien Mansor; Pengarah Pendidikan negeri, Zakaria Hussin serta beberapa kenamaan lain. Program yang berlangsung selama enam bulan dengan tema Memperkasakan Komunikasi Bahasa Inggeris itu turut melibatkan enam orang pensyarah bahasa Inggeris dari universiti itu yang bertindak sebagai pengendali program. Dalam perkembangan berkaitan, Idris memberitahu, buat masa sekarang, pihaknya tidak berhasrat memperluaskan program tersebut memandangkan ia hanya salah satu daripada usaha yang dilaksanakan di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI). "Setiap IPT mungkin ada cara masing-masing untuk melaksanakan program ini. Apa yang kita nak lihat ialah produk.. hasilnya macam mana. "Selain UMT, UniSZA (Universiti Sultan Zainal Abidin) juga telah menyerahkan kertas kerja kepada saya untuk melaksanakan program seperti ini di sekolah-sekolah rendah," katanya. |
Pusat rawatan pesakit mental kedua di Ketereh Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT Sebahagian pakar sakit mental melawat gerai menjual buah dikendalikan oleh pesakit mental ketika melawat Pusat Kesihatan Mental Masyarakat Ketereh di Kota Bharu, baru-baru ini. KOTA BHARU 22 Jun - Klinik Kesihatan Ketereh kini menempatkan Pusat Kesihatan Mental Masyarakat Ketereh iaitu pusat rawatan pesakit mental sebagai pesakit luar tanpa memerlukan mereka dimasukkan ke dalam wad seperti biasa. Ketua Jabatan Perkhidmatan Psikiatri Negeri Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Dr. Mohd. Ariff Mohd. Noor berkata, pusat rawatan itu adalah yang kedua di negara ini selepas Putrajaya. Menurut beliau, pesakit yang dipercayai mengalami masalah mental hanya perlu datang ke pusat itu untuk menerima rawatan serta pemulihan secara berkala mengikut nasihat doktor sebagai pesakit luar. "Di pusat ini kami merawat sesiapa sahaja yang mengalami masalah gangguan perasaan, kemurungan atau kegelisahan malah mana-mana pesakit mental yang sudah siuman tetapi masih perlu bantuan seperti mengembalikan keyakinan diri akan turut dilatih di sini. "Pusat rawatan ini tidak seperti pusat mental lain kerana rawatan dibuat sebagai pesakit luar iaitu sama dengan pesakit lain yang datang untuk pemeriksaan atau mengambil ubat dan selepas itu pulang ke rumah lalu datang kembali mengikut temu janji yang ditetapkan," katanya ketika ditemui di pusat rawatan itu baru-baru ini. Menurut beliau, pusat rawatan itu diletakkan di bawah seliaan pakar perubatan berpengalaman sepenuh masa dengan bantuan pegawai pemulihan cara dan pembantu perubatan. Katanya, seramai 107 pesakit telah menerima rawatan di pusat itu yang turut dilengkapi dengan kolam ikan dan kawasan berkebun sebagai aktiviti pemulihan kepada pesakit. Mengulas mengenai program susulan, beliau berkata, HRPZII akan membantu bekas pesakit mendapatkan pekerjaan dengan menjalinkan hubungan bersama para majikan di negeri ini. "Kami akan pastikan bekas pesakit mendapat pekerjaan yang baik dan dalam masa-masa tertentu, seorang pegawai akan dihantar berjumpa mereka untuk bertanya khabar dan perkembangan semasa," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |